Photobucket
Husam Tanding Timbalan Presiden?
Oleh AZRAN FITRI RAHIMazran.rahim@utusan.com.my
UTUSAN MALAYSIA - 30 april 2009

KOTA BHARU 29 April – Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa membayangkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu berdasarkan perkembangan semasa terutama apabila timbulnya keraguan tentang ‘hubungan sulit’ Pas-UMNO.

Beliau berkata, perkara utama yang perlu dilihat sebelum menawarkan diri ialah sama ada tindakan itu akan mengganggu arah tuju Pas dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, Pas perlu membuat keputusan secepat mungkin kerana tempoh enam sehingga 12 bulan dari sekarang adalah waktu yang amat kritikal kerana diramalkan akan berlaku pilihan raya.

“Jika arah tuju Pas diperjelaskan dan tidak ada keraguan dalam hubungan sulit antara Pas dan UMNO, saya rasa tidak ada sebab besar untuk saya bertanding mencabar pemegang jawatan sedia ada.

“Tetapi pada pendapat saya, trend yang berlaku sekarang wujudnya keraguan terhadap hala tuju Pas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selain penyandangnya, Nasharuddin Md. Isa, Naib Presiden Pas, Mohammad Sabu, Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali turut berminat untuk bertanding jawatan itu.

Husam menegaskan, Pas tidak mempunyai pendirian rasmi mengenai kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Oleh sebab tiada ikatan rasmi, maka jalan yang lebih munasabah ialah memperkuatkan parti dan mendapatkan kawasan yang sekarang ini dikuasai oleh UMNO,” katanya.

Ditanya kenyataan Nasharuddin bahawa beliau diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan keputusan muktamar termasuk mengadakan perbincangan dengan organisasi luar termasuk UMNO, beliau berkata:
“Itu yang jadi keliru, sebagai Naib Presiden pun saya keliru. Lembap sikit nak faham benda macam ini, kalau berbelit-belit susah, saya lebih senang berterus-terang saja,”.

Beliau bagaimanapun berkata, pemilihan jawatan utama dalam parti itu terutama Timbalan Presiden mungkin diselesaikan melalui sesi muqabalah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers