Photobucket
Penanti: Mainan politik pembangkang...BN tidak bertanding


Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) memutuskan tidak akan bertanding di DUN Penanti kerana menganggap pilihanraya kecil kawasan itu tidak berasaskan kepada kehendak perlembagaan dan hanya mainan politik pembangkang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika mengumumkan pendirian BN itu berkata, pilihan raya kecil DUN Penanti diadakan hanya kerana Parti Keadilan Rakyat (PKR) hendak menyelesaikan masalah dalaman mereka sahaja.

“Dewan Tertinggi bincang dengan panjang lebar tentang pilihan raya kecil DUN Penanti. Dewan Tertinggi mengambil keputusan oleh kerana kekosongan ini bukan disebabkan oleh peruntukan dalam perlembagaan tetapi sebab PKR nak selesai masalah dalaman mereka dan oleh kerana ini juga merupakan satu permainan politik pembangkang.

“Ia tidak kena mengena dengan peruntukan perlembagaan dan oleh kerana BN lebih utamakan khidmat kepada rakyat dan usaha pulihkan ekonomi negara maka kita memutuskan supaya tidak meletakkan calon untuk bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Penanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan masyuarat Dewan Tertinggi BN di PWTC, petang Isnin.

Menurut Najib, keputusan yang dicapai itu dibuat secara sebulat suara oleh Dewan Tertinggi BN.

“Kita tak menari ikut rentak orang lain,. Ini satu permainan politik. Kita tidak mahu terjerumus dalam permainan parti politik pembangkang. Sebab kalau kita ikut lepas ini mereka akan buat di kawasan lain pula,” tegasnya sambil menambah permainan politik pembangkang itu hanya akan menyusahkan rakyat.

Pada sidang media itu, Najib juga mengumumkan pengwujudan jawatan Ketua Penyelaras BN yang disandang oleh Timbalan Presiden MCA, Datuk Chua Soi Lek.

BN juga memutuskan untuk mewujudkan jawatan Ketua Penerangan BN dan penyandangnya akan diumumkan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN akan datang.

Selain itu, Dewan Tertinggi BN bersetuju mewujudkan Puteri BN dan Ketua Puteri akan dijemput menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

Najib turut mengumumkan perlantikan Pengerusi BN Negeri-Negeri.

Perlis – Datuk Dr. Md Isa Sabu
Kedah – Datuk Seri Shafie Apdal
Pulau Pinang – Tan Sri Koh Tsu Koon
Kelantan – Datuk Mustapha Mohamad
Terengganu – datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein
Pahang – Datuk Seri Adnan Yaakob
Selangor – Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak
Wilayah Persekutuan – Tan Sri Muhyiddin Yassin
Negeri Sembilan – Datuk Seri Utama Mohamad Hassan
Melaka – Datuk Seri Ali Rustam
Johor – Datuk Abdul Ghani Othman
Sarawak – Pehin Seri Taib Mahmud
Sabah – Datuk Seri Panglima Musa Aman

Sementara itu Bernama melaporkan Pemimpin-pemimpin politik Pulau Pinang rata-rata menyokong keputusan k untuk tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Penanti 31 Mei ini.

Naib Presiden Gerakan, Huan Cheng Guan berpendapat keputusan itu bijak.

"Pilihan raya kecil di Penanti ini adalah satu pilihan raya ciptaan dan bukannya disebabkan kematian wakil rakyat dan BN tidak seharusnya mengikut rentak pembangkang," katanya kepada Bernama.

Perbuatan itu katanya merugikan rakyat dan negara kerana pilihan raya kecil memerlukan perbelanjaan besar setiap kali diadakan, selain mewujudkan suasana tidak selesa dalam kalangan penyokong parti-parti yang bertanding.

"Dalam masa sembilan bulan, Permatang Pauh mengadakan dua kali pilihan raya kecil bermula dengan Permatang Pauh tahun lalu oleh Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan begitu mudah walaupun sihat, menyerahkan jawatan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Setiausaha Perhubungan UMNO negeri, Datuk Azhar Ibrahim berkata pihak Umno negeri menyokong dan hormat kepada keputusan pucuk pimpanan.

Kerusi DUN itu kosong berikutan peletakan jawatan Adun Mohammad Fairus Khairuddin pada 19 Mac.

Di Johor Baharu, Ketua Penerangan Umno Ahmad Maslan berkata, "Tindakan BN (tidak bertanding) adalah bijak kerana ia tidak mengikut gendang paluan pembangkang yang membazirkan wang rakyat seperti kos Suruhanjaya Pilihan Raya, Polis dan lain-lain".

"Membuang masa, tenaga dan menyusahkan rakyat, malahan menipu dan mempermainkan mandat rakyat yang telah diberikan sebelum ini. Kita mempunyai banyak agenda negara yang lebih penting," katanya kepada Bernama.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan anggota Parlimen Pontian berkata perbuatan pembangkang di Penanti sama seperti dilakukan ketika pilihan raya kecil di Bukit Selambau dan Permatang Pauh dulu.

BN katanya, tidak pernah gentar untuk berdepan dengan pembangkang dalam pilihan raya tetapi menegaskan siri peletakan jawatan bertujuan mengadakan pilihan raya kecil dengan alasan-alasan tidak munasabah ini perlu dihentikan.

"Kita yakin rakyat yang berfikiran panjang akhirnya akan muak dan jemu dengan permainan politik seperti ini," kata Ahmad.

Di KUALA LUMPUR, Pemuda Barisan Nasional (BN) menyokong penuh keputusan pucuk pimpinan BN untuk tidak bertanding di DUN Penanti.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata BN tidak perlu "menari mengikut rentak" pembangkang dalam menghadapi pilihan raya tersebut.

Beliau berkata Pemuda BN sedar barisan pembangkang, khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai agenda tersendiri termasuk menyembunyikan masalah dalaman yang dihadapi parti-parti komponennya sejak kebelakangan ini.

"Kita juga sedar, apa yang dilakukan pembangkang sekarang ialah mempolitikkan keadaan dan seterusnya cuba meraih populariti melalui pilihanraya kecil," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas Pemuda BN Isnin malam. -18/5/2009

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers