Photobucket

1Malaysia Bukan Asimilasi

KUALA LUMPUR 15 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan gagasan 1Malaysia adalah amat berbeza daripada konsep asimilasi yang diamalkan di negara lain, di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan bagi digantikan dengan satu identiti nasional baru.

Perdana Menteri berkata, konsep gagasan tersebut juga jauh berbeza daripada konsep Malaysian Malaysia parti pembangkang yang tidak bertunjangkan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya, menurut beliau, 1Malaysia secara tersurat dan tersirat kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti Perkara 3, 4, 152, 153 dan Bahagian 2 serta 3 yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, janganlah mana-mana pihak berasa khuatir atau menaruh syak serta bimbang bahawa konsep ini akan terpesong daripada apa yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh bapa-bapa negara suatu waktu lalu.

“Sebaliknya, 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.

“Malaysia menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum lain seadanya agar kita dapat hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Halimah Mohd. Sadique (BN - Tenggara) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sidang Dewan Rakyat hari ini merupakan yang pertama sejak Najib dilantik sebagai Perdana Menteri.

Najib memberitahu, formula 1Malaysia akan terlaksana dalam dua aspek utama iaitu penerapan teras-teras perpaduan dan nilai-nilai aspirasi.

Teras-teras perpaduan:

*Penerimaan antara semua kaum dan rakyat Malaysia.

*Prinsip-prinsip kenegaraan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara

*Keadilan Sosial.

Nilai-nilai aspirasi merangkumi:

*Budaya kecemerlangan dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab.

*Budaya ketepatan dari segi menghormati waktu dan meningkatkan kecekapan.

*Keberanian untuk berinovasi dan meneroka peluang-peluang baru.

*Meritokrasi dalam memberikan tugasan kepada yang paling layak melaksanakannya berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan dasar negara.

*Kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada negara.

*Ketabahan mengharungi cabaran mendatang dan integriti dalam segala urusan dan transaksi.

Menjawab soalan tambahan Karpal Singh (DAP - Bukit Gelugor) yang mendakwa 1Malaysia ditiru daripada konsep Malaysian Malaysia, Najib menegaskan bahawa kerajaan tidak langsung mencuri idea Malaysian Malaysia sambil menyatakan konsep itu jauh berbeza dengan idea DAP yang tidak berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers