Photobucket

Ahli Umno Usah Terjerat Helah Hadi


Isu kerajaan perpaduan tutup perpecahan: Tengku Adnan
Ahli Umno diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan helah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menubuhkan kerajaan perpaduan bersama Barisan Nasional (BN) kerana ia hanya mainan politik bagi menutup perpecahan di kalangan pemimpin pakatan pembangkang terutama Pas sendiri.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata beliau sendiri kurang yakin dengan keikhlasan Presiden Pas itu kerana sehingga kini tiada seorang pun wakil Pas menemui wakil Umno untuk membincangkan perkara berkenaan secara terperinci.


"Abdul Hadi sengaja mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana mahu mencari kuasa, pengaruh dan menutup kelemahan dalam Pas ketika ini," katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, pendirian Umno adalah jelas iaitu melakukan sesuatu demi kebaikan negara dan rakyat, bukan kerana mengejar kuasa atau pangkat.

"Kita hanya fikirkan kebaikan untuk negara, rakyat dan masa depan negara," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata Umno selama ini tidak pernah berbincang mengenai sebarang syarat sekiranya ia mahu mengadakan perbincangan dengan Pas.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, pada 1999 ada cadangan mengadakan muzakarah antara kedua-dua parti, bagaimanapun tidak menjadi kenyataan selepas Pas mengenakan beberapa syarat.

"Kali ini cadangan daripada Pas mengenai kerajaan perpaduan, dulu muzakarah," katanya.

Diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang membidas golongan dalam parti itu yang mempertahankan cadangan Abdul Hadi untuk membentuk kerajaan perpaduan sebagai 'boneka Umno', Ahmad Shabery berkata, perkara itu adalah masalah dalaman Pas dan Umno tidak berhasrat untuk campur tangan.

"Umno sebagai sebuah parti yang memikirkan masa depan rakyat, kita berasa sekiranya Pas ingin duduk berbincang dengan kita, apa salahnya. Dalam Parlimen pun kita duduk berbincang dan ini tak bermakna apa disuarakan Pas tidak pernah kita terima.BHARIAN

Oleh Saufi Hamzah dan Haika Khazi

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers