Photobucket

ERDOGAN Masih Mahu Terus Berkuasa Dalam PAS

Pada sidang media selepas tewas merebut jawatan Timbalan Presiden PAS dalam muktamar parti itu minggu lalu, Datuk Husam Musa yakin perjuangan dan pandangan politiknya dapat diteruskan dalam parti itu.

Beliau mendakwa, majoriti ahli jawatankuasa PAS Pusat dan Naib Presiden yang dipilih adalah mereka yang komited terhadap pandangan terutama dalam menolak gagasan kerajaan perpaduan.

Bekas Naib Presiden dan Exco kerajaan Kelantan itu menjelaskan, beliau membangkitkan isu menolak gagasan kerajaan perpaduan bukan untuk menang pemilihan parti tetapi tidak mahu PAS mengadakan rundingan dengan UMNO.

Katanya, tiada jalan pintas walau apa cara sekalipun untuk PAS bersama-sama UMNO.Beliau tegas pada pandangan PAS mesti menggantikan UMNO.

Kini kata-katanya mengenai perjuangan itu akan diteruskan mula nampak tandanya.

Barangkali memegang prinsip ‘alang-alang menyeluk pekasam, biar ke pangkal lengan’, usaha Husam dan beberapa pemimpin lain dalam kumpulan Erdogan, nampaknya tidak berakhir selepas muktamar tersebut.

Malah desas desus yang berlegar mengatakan adanya pertemuan sulit kumpulan itu yang turut dihadiri oleh Musyridul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat di ibukota selepas muktamar itu untuk merumus cara mematahkan sebarang usaha untuk menjayakan idea kerajaan perpaduan,pasti akan menghangatkan lagi keadaan.

Juga terbaru, Datuk Mahfuz Omar yang menang jawatan Naib Presiden mencadangkan Husam dan Mohamad Sabu diberikan jawatan yang penting dalam Dewan Harian PAS Pusat.

Cadangan itu dibuat sehari sebelum mesyuarat dewan berkenaan yang mungkin membincangkan kedudukan serta jawatan dalam barisan terbaru kepimpinan PAS selepas perwakilan membuat pilihan.

Tidak sukar menduga tindakan Mahfuz kerana beliau perlukan Husam, Mohamad dan beberapa pemimpin lain bagi memastikan PAS tidak berpaling tadah sehingga meninggalkan pembangkang andainya gagasan kerajaan perpaduan tercapai.

Namun, Mahfuz lupa bahawa perwakilan sudah menolak kedua-dua bekas Naib Presiden parti itu dan sewajarnya Husam dan Mohamad melupakan hasrat untuk terus bersama pemimpin yang akan mencaturkan organisasi PAS.

Apakah Dewan Harian PAS akan menerima cadangan itu atau kedua-dua tokoh hanya akan dicadangkan supaya dilantik dalam jawatankuasa PAS Pusat atau mana-mana Lajnah sahaja?

Sumber PAS membayangkan, Husam dan Mohamad tidak mungkin dilantik menganggotai Dewan Harian dan amat mustahil kedua-dua mereka bersikap ‘hidung tak mancung. pipi tersorong-sorong’ untuk menerima tawaran seperti dicadangkan Mahfuz.

Mahfuz menegaskan kedua-dua pemimpin tersebut merupakan aset penting dalam PAS dan tidak seharusnya ia dipersia-siakan.Beliau berpendapat, jika kedua-duanya tidak diberikan jawatan-jawatan penting ia pastinya akan merugikan parti.

Itu hanya pandangan beliau yang tidak mengambil-kira apakah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh menerima dengan terbuka pemimpin yang dilihat kurang sehaluan dan tidak ‘walaq’ atau taat pada ketua?

Semua sedia maklum mengenai penentangan Husam terhadap idea kerajaan perpaduan dan hingga saat-saat ini, beberapa media alternatif termasuk lidah rasmi PAS masih mengkritik idea Hadi.

Jelaslah penentangan kumpulan pro Anwar dalam PAS masih belum berakhir selepas muktamar baru-baru ini.

Kalau tidak ada perang besar lebih hebat selepas ini pasti wujud perang dingin jika diambil kira penolakan perwakilan terhadap calon-calon daripada Kelantan dalam muktamar itu.

Sama ada benar atau tidak, mungkin ramai tidak sedar mesej perwakilan apabila mereka menolak Husam yang juga anak didik Nik Aziz bermakna mereka juga mulai menolak kepimpinan Menteri Besar itu.

Kelantangan kenyataan Nik Abdul Aziz kononnya PAS tidak boleh ada dua nakhoda baru-baru ini dilihat memberi kesan kepada perwakilan malah membibitkan ruang-ruang perpecahan dan puak dalam PAS Kelantan.

Natijahnya pada pemilihan lalu, calon yang dilihat pro Nik Aziz-Husam dan Hadi-Nasharuddin Mat Isa ramai yang tewas kecuali Datuk Kamaruddin Jaafar.

Beliau mungkin terselamat kerana dilihat bukan seperti pemimpin dari Kelantan kerana lebih banyak masanya di ibu negara.

Ada kalangan ahli PAS yang berpandangan di bawah barisan baru kini pucuk pimpinan tiada pilihan lain selain berusaha membersihkan anasir yang cuba melemahkan parti dari dalam.

Dan idea kerajaan perpaduan yang dibawa oleh Hadi nampak macam sudah ‘menjerat’ musuh dalam selimut parti itu seperti pernah dibimbangi Datuk Haron Din.

AD - 10/6/2009

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers