Photobucket

Bantah Vs Sokong ISA

ISA: Sokong Dan Bantah Sama Naik...Polis Beri Amaran

1 Ogos depan akan menjadi hari penentuan. Bertempur atau tidak, semuanya mengundang rasa resah di kalangan masyarakat. Mana tidaknya, Gerakan Mansuh ISA (GMI) tetap dengan pendirian mereka untuk meneruskan perhimpunan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan pada masa yang sama Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) juga tetap akan menganjurkan perhimpunan bagi mempertahakan ISA.

Tujuan perhimpunan kedua-dua kumpulan ini ialah Istana Negara bagi menyerahkan memorandum Ke Bawah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Satu memorandum membantah, satu lagi mahu akta itu terus dikekalkan.

Melihat kepada kempen kedua-dua pihak yang semakin rancak menjelang tarikh penentuan, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Sabtu Osman hari Selasa tampil memberikan amaran akan bertindak tegas termasuk membuat tangkapan awal terhadap perancang dan individu dari dua kumpulan menyokong dan membantah.

"Polis akan mengambil tindakan berhemah, kecuali tidak ada cara lain. Polis tidak ingin melihat berlakunya kecederaan, luka atau dalam keadaan yang terdesak. Sebagai langkah pencegahan, polis boleh mangambil tindakan awal mengikut Seksyen 105, Kanun Acara Jenayah, jika nampak niat, pergerakan walaupun sehari sebelumnya," katanya yang tidak menolak kemungkinan tangkapan awal dibuat sebagai langkah pencegahan pada sidang media di ibu pejabat polis kontijen KL.

Berdasarkan rancangan kedua-dua kumpulan, GMI akan berhimpun 1 Ogos ini di beberapa lokasi iaitu kompleks membeli belah Sogo, Masjid Jamek KL dan Masjid Negara yang kemudiannya berarak ke Istana Negara.

Manakala Pewaris pula akan mula berkumpul di Padang Merbok, Pasar Seni dan Masjid Negara sebelum berhimpun di Dataran Merdeka dan seterusnya berarak juga ke Istana Negara.

Menurut Mohamad Sabtu, polis telah menemui wakil Pewaris memaklumkan kepada mereka supaya membatalkan perhimpunan berkenaan dan akan bertemu dengan GMI hari Rabu bagi memberitahu perkara yang sama.

Pewaris dilaporkan hanya akan membatalkan perhimpunan jika GMI juga membatalkan perhimpunan mereka. Jika GMI terus dengan rancangan mereka, Pewaris dikatakan akan terus dengan perhimpunan tersebut.

Menjelaskan mengenai langkah polis bagi menghadapi kemungkinan perhimpunan tersebut, Mohamad Sabtu berkata, polis akan mengadakan sekatan jalan dua hari lebih awal bagi menahan bas-bas yang disyaki membawa peserta ke demonstrasi berkenaan.

Polis juga tambah beliau akan akan mengambil tindakan mengikut Seksyen 141 Kanun Keseksaan atau undang-undang lain sekiranya masih ada pihak-pihak yang mengambil bahagian pada perhimpunan berkenaan sambil menambah jika perhimpunan berkenaan tetap diadakan, pihak polis telah bersedia dengan kekuatannya berhadapan dengan kemungkinan yang berlaku.

AD – 28/7/2009

..........................................

Perarakan bantah ISA boleh cetus ketegangan - Timbalan KPN

KUALA LUMPUR: Polis bimbang ketegangan akan berlaku di sini Sabtu ini semasa perhimpunan dan perarakan berhubung Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terdapat unsur provokasi melibatkan kumpulan-kumpulan yang menyokong dan menentang undang-undang itu.

Oleh itu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, mahu penganjur membatalkan hasrat mereka dan mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan itu.

"Walaupun pihak-pihak penganjur menyatakan perhimpunan dan perarakan ini akan diadakan secara aman tetapi kesannya boleh menggugat ketenteraman awam," katanya dalam satu kenyataan Khamis.

Katanya terdapat agenda berbeza antara Gabungan Mansuhkan ISA (GMI), yang membantah undang-undang itu, dan Majlis Permuafakatan Ummah (Perwaris) bersama PERKASA, yang mahu ISA dikekalkan.

GMI telah menyeru orang ramai menghadiri perhimpunan dikenali sebagai Perhimpunan 100,000 rakyat di beberapa lokasi antaranya Masjid Jamek, Kompleks Sogo dan Masjid Negara sebelum berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong mendesak supaya ISA dihapuskan.

Pada masa yang sama, Perwaris dan Perkasa pula merancang mengadakan perhimpunan di Padang Merbok, Pasar Seni dan Masjid Negara bagi menyokong agar ISA dikekalkan.

Ismail berkata polis tidak menerima sebarang permohonan daripada kedua-dua kumpulan terbabit untuk mengadakan perhimpunan dan perarakan itu.

"Mana-mana pihak yang mengadakannya adalah bercanggah dengan undang-undang negara," katanya.

Beliau berkata perhimpunan dan perarakan itu akan melibatkan ramai peserta dan boleh membawa kesan negatif kepada orang ramai termasuk pelancong, para peniaga dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

BERNAMA

..........................................

Himpunan ISA: 'Dipujuk' Polis, GMI Tidak Berganjak

KUALA LUMPUR: Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh mengakui beliau didatangi anggota cawangan khas untuk 'memujuk' beliau supaya membatalkan hasrat mengadakan himpunan mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Sabtu ini.

Beliau berkata, anggota cawangan khas berkenaan datang menemuinya selepas beliau gagal menghadiri pertemuan yang diaturkan oleh pihak polis.

"Ya, saya telah ditemui oleh anggota cawangan khas, modus operandinya sama... mereka lihat ini adalah satu perhimpunan yang boleh menyebabkan berlakunya huru-hara.

"Jawapan saya ialah ini adalah satu perhimpunan yang termaktub dalam hak kita sebagai rakyat untuk berhimpun secara aman dan kita punyai misi yang jelas iaitu kita mahu elakkan kacau bilau.

"Bagi saya sebelum ini kita sudah cuba dengan pelbagai usaha...ini (perhimpunan) adalah ruang yang ada untuk tunjukkan secara bersama, malah usaha kerajaan yang mengatakan akan mengkaji semula ISA dianggap sudah terlambat, sepatutnya pada tahap ini ISA sudahpun dimansuhkan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini hari ini.

Sabtu ini bakal menyaksikan pertembungan dua pihak di ibu negara iaitu antara GMI dan Majlis Gabungan NGO Pembela Negara (Magaran) - masing-masing anti dan pro ISA.

Kumpulan anti-ISA - GMI akan berkumpul di tiga lokasi iaitu di kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Negara dan Masjid Jamek.Dari tiga lokasi berkenaan, penyokong GMI akan bergerak serentak menuju ke Istana Negara bagi menyerahkan 'Deklarasi Rakyat' kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu Magaran juga merancang untuk mula berkumpul di tiga kawasan iaitu di Masjid Negara, Padang Merbok dan Pasar Seni sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.

Mereka kemudiannya akan menuju ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong yang antaranya menyatakan sokongan terhadap ISA.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim juga berharap agar tidak ada mana-mana pihak yang cuba membuat provokasi hingga boleh mencetuskan kekecohan pada hari tersebut.

"Kita akan sediakan 1,000 anggota keselamatan dari Unit Amal PAS untuk kawal keadaan, kita juga nasihatkan kepada semua penyokong kita agar mengawal emosi masing.

"Tapi masalahnya adakalanya rakyat diprovok, ini yang sebabkan berlakunya kekecohan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Sekretariat Himpunan Mansuh ISA, Kamaruzaman Mohamad mengingatkan kepada kumpulan pro ISA - Magaran supaya tidak menggunakan pendekatan provokatif hingga boleh menimbulkan keadaan huru-hara.

"Saya ingin menyentuh mengenai ugutan yang telah dikeluarkan oleh Magaran yang tersiar dalam mStar Online... ungkapannya ialah 'pergi jahanam GMI' dan 'apa nak jadi... jadilah'.

"Dua ungkapan ini sangat berunsur provokatif, sangat berniat jahat kerana kami secara konsisten menegaskan himpunan ini ialah himpunan aman untuk nyatakan bantahan secara aman.

"Jadi kami minta supaya Magaran membuang unsur-unsur provokatif yang telah dinyatakan, malah sebelum perhimpunan diadakan," katanya.

Kumpulan GMI akan turut disertai oleh gabungan komponen parti politik dari Pakatan Rakayat, pemuda Gerakan, 26 persatuan mahasiswa serta 15 persatuan masyarakat Cina selain penyertaan individu-individu yang mahu ISA dimansuhkan.

Syed Ibrahim berkata, sasaran jumlah mereka yang menyertai perhimpunan GMI ini adalah sama atau melebihi jumlah penyertaan dalam Perhimpunan Bersih pada November 2007.

"Kalau jumlahnya tak sama dengan perhimpunan Bersih, kemungkinan ianya lebih lagi," katanya.

MS

..........................................


Antara FLYERS yang diedarkan oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab, menyeru orang ramai agar menyertai perhimpunan HARAM tersebut.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers