Photobucket

BN mahukan pertandingan yang sihat di Manek Urai : Najib

SEGAMAT - Barisan Nasional (BN) mahukan pertandingan yang sihat di dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, BN dan Pas harus memberikan tumpuan kepada agenda masing-masing yang boleh dibawa kepada pengundi di Manek Urai, dan bukannya kempen yang bertumpu kepada kata-kata kesat dan kutuk mengutuk.

“Ini yang kita nak, pertandingan sihat. Tak usah mengeluarkan kata-kata kesat dan kutuk mengutuk,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Peneroka Felda 2009 di Felda Maokil.

Najib yang juga Presiden Umno berkata, demikian ketika diajukan soalan bahawa pilihan raya kecil Manek Urai dilihat sebagai lebih sihat.

Bagaimanapun, Najib mengingatkan bahawa ini mungkin berubah apabila kempen pilihan raya menjadi semakin panas.

Ditanya sama ada pertandingan itu lebih sihat berikutan ketiadaan DAP dan Keadilan, beliau berkata: “Manek Urai bukan DAP manakala kehadiran penyokong Keadilan adalah kurang.”

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, BN akan berusaha sedaya upaya bagi memenangi kerusi tersebut tetapi dengan cara yang bersih.

Katanya, calon BN Tuan Aziz Tuan Mat, 39, mempunyai latar belakang yang baik dan disukai ramai.

Beliau berkata, BN menjanjikan pembaharuan dan era baru bagi penduduk di Manek Urai.

Tuan Aziz akan bertanding satu lawan satu dengan calon Pas Mohd Fauzi Abdullah, 50.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi tersebut, Ismail Yaacob dari Pas pada 22 Mei akibat sakit jantung.

Ismail telah memenangi kerusi DUN itu dengan menewaskan calon BN Mohamed Zulkifli Omar dengan majoriti 1,352 undi pada pilihan raya 2008.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers