Photobucket

Bukan Mudah Jadi Pemerintah

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 5 Julai - Kekalutan yang melanda pakatan pembangkang sepatutnya memberi kesedaran kepada rakyat untuk menilai perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bukan seperti yang sering digambarkan sebelum ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, pakatan pembangkang hanya pandai menuding juri kepada BN dalam sesuatu isu, tetapi apabila menguasai negeri-negeri tertentu barulah mereka rasa bukan mudah untuk memerintah.

"BN telah teruji begitu lama. Pakatan baru setahun jagung memerintah dan sudah nampak kelemahan mereka.

"Bila berada di luar boleh berjanji macam-macam tetapi apabila sudah berkuasa mereka sendiri tidak mampu menunaikan janji-janji yang ditaburkan kepada rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas masalah dalaman yang berlaku antara pakatan pembangkang di Kedah membabitkan Pas dan DAP.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak membidas DAP Kedah kerana membuat tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan negeri selain bertindak seolah-olah hanya parti itu sahaja yang berjuang untuk kaum Cina di negeri itu.

Pada masa sama, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, DAP Kedah mempunyai alasan untuk keluar daripada pakatan pembangkang di negeri itu terutama selepas mereka berasakan kerajaan negeri meminggirkan parti tersebut dalam pentadbiran negeri.

Menurut Hishamuddin, beliau mengakui UMNO dan BN ada kelemahan tetapi ia tidaklah seteruk seperti yang digambarkan oleh pakatan pembangkang.

"Rakyat perlu beri masa kepada UMNO dan BN untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan kami dan pada masa sama terus mentadbir negara seperti yang diharapkan oleh rakyat sekarang," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, kelemahan pembangkang semakin ketara apabila satu demi satu isu berbangkit di negeri-negeri yang dikuasai mereka tidak dapat diselesaikan dengan baik.

Katanya, inilah masanya untuk rakyat menjadi juri dan menilai sendiri sejauh mana pakatan pembangkang mampu mengotakan janji-janji mereka pada pilihan raya lalu.

''Baru setahun lebih memerintah dah timbul macam-macam masalah. Lebih daripada itu di kalangan pembangkang sendiri tidak ada keserasian untuk menyelesaikan masalah mereka.

''Yang menjadi mangsa ialah rakyat. Rakyat yang meletakkan harapan kepada pakatan pembangkang ternyata tidak mendapat manfaat daripada undi yang mereka berikan,'' katanya.

Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, keretakan kerjasama antara Pas dan DAP jelas menunjukkan terdapat perbezaan ideologi, falsafah, matlamat dan perjuangan antara kedua-dua parti tersebut.

Beliau berkata, kerjasama yang dijalin pakatan pembangkang selepas menang di beberapa negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu semata-mata mahu menunjukkan bahawa mereka boleh membela nasib rakyat.

"Disebabkan sifat tamak itu mereka sanggup berpura-pura untuk bekerjasama walaupun mengetahui tidak akan mencapainya.

"Pakatan yang mereka uar-uarkan hanyalah sementara. Kenyataannya mereka tahu mereka jauh berbeza seperti 'langit dan bumi", jelasnya.

Kamarudin berkata, kerjasama antara pakatan pembangkang juga bertujuan mengelirukan rakyat semata-mata.

Realitinya, kata beliau, masing-masing mempunyai perancangan dan tidak pernah sehaluan.

"Sedangkan UMNO dan yang memperjuangkan Islam dan Melayu pun tidak boleh untuk bekerjasama, inikah pula bersama DAP," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers