Photobucket

'Usah Guna Cara Samseng Halang Saya Berkhidmat'

IPOH 17 Ogos - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir memberi amaran keras kepada pakatan pembangkang supaya tidak menggunakan cara samseng untuk menghalang beliau menjalankan tugas terhadap rakyat.

Zambry menegaskan, setakat ini, beliau masih bersabar dan tidak terikut-ikut dengan cara ganas dan tidak bermoral pembangkang bagi memastikan keamanan di Perak.

Sambil menyifatkan perbuatan pemimpin dan penyokong DAP yang membuat kecoh pada satu majlis yang dijadualkan dihadirinya di Dewan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) hari ini, Zambry menambah, perbuatan itu menunjukkan mereka terdesak.

''Saya beri amaran keras jangan halang saya berkhidmat dengan cara (guna samseng) ini. Saya datang untuk beri perkhidmatan kepada rakyat.

''Jangan ingat saya takut atau seorang pengecut. Bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, saya sebenarnya telah dinasihatkan oleh pasukan keselamatan supaya tidak hadir pada majlis itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada 818 ketua kampung negeri Perak di sini hari ini.

Zambry sepatutnya menyerahkan Borang 5A (hak milik tanah) kepada 188 penduduk Kampung Kaki Bukit Jana, Kampung Aulong Baru Tambahan dan Batu 14 Trong di Dewan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) tengah hari ini.

Bagaimanapun, beliau yang telah berada di Taiping ketika itu terpaksa mewakilkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting, Mohd. Zahir Abdul Khalid selepas dinasihatkan oleh polis supaya tidak hadir pada program itu.

Ia ekoran tindakan kira-kira 20 penyokong pembangkang dari DAP yang diketuai Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming; ADUN Aulong, Yew Tian Hoe dan ADUN Pokok Assam, Yee Seu Kai merancang membuat kecoh di Dewan MPT tersebut.

Keadaan tersebut benar-benar berlaku apabila Kor Ming bersama penyokongnya bertindak keluar dewan ketika majlis sedang berlangsung dan cuba menimbulkan kekecohan dengan membawa kain rentang bertulis 'MB haram, malu! malu! malu!'

Zambry berkata, beliau memohon maaf kepada penduduk kampung terbabit kerana tidak dapat hadir.

''Kor Ming buat kenyataan dia kecewa rakyat ditipu dengan janji-janji kerana saya tidak hadir.

''Bayangkan kalau saya datang dengan perilaku mereka (pembangkang), jika berlaku sesuatu, ia akan menyebabkan berlaku keadaan tidak diingin (lebih teruk),'' katanya.

Beliau berkata, apa yang dilakukan pembangkang itu menunjukkan mereka terdesak sehingga sanggup melakukan apa sahaja supaya tidak hilang pengaruh.

''Sebab itu, mereka (pembangkang) minta Persatuan Cina di sini tidak jemput saya kerana mereka tahu kepercayaan rakyat semakin pulih kepada Barisan Nasional (BN).

''Atas sebab itu juga, mereka merancang untuk membuat satu lagi 'sidang dewan','' ujar beliau.

Mengulas mengenai dakwaan Kor Ming bahawa pemberian tanah itu adalah atas 'usaha' mereka, Zambry berkata, perkara itu sebenarnya sudah dilakukan oleh BN sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 lagi.

''Pergi tanya pejabat daerah siapa yang mulakan dulu? Kita akan laksanakan sesuatu yang kita janjikan kepada rakyat,'' katanya.

Sementara itu, Mohd. Zahir berkata, pemberian hak milik tanah itu merupakan sebahagian daripada dasar perumahan rakyat kerajaan negeri.

Beliau berkata, penduduk yang terlibat terdiri daripada 51 penduduk Kampung Kaki Bukit Jana, Kampung Aulong Baru Tambahan (80), Batu 14 Trong (26) dan Ayer Kuning seramai 31 orang.

''Daripada 188 penerima, 40 peratus adalah kaum Cina, manakala masing-masing 30 peratus adalah kaum Melayu dan India,'' katanya.


UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers