Photobucket

Persuruhjaya PAS Negeri Sembilan calon Bagan Pinang


Berbeza dengan suasana semasa pilihanraya kecil sebelum ini dimana calon PAS bertanding jumlah para penyokong pakatan pembangkang yang hadir pada majlis pengumuman calon parti itu untuk Bagan Pinang tidak ramai.

Ditolak mereka yang berniaga digerai-gerai dan orang yang mundar mandiri di situ hanya kira-kira 300 orang penyokong sahaja hadir di pekarangan Markas DAP di Batu 9 Port Dickson semasa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan nama Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar sebagai calon.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa, Naib Presidennya Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Syed Husin Ali dan Naib Presidennya Mohamed Azmin Ali.

Zulkefly,45 yang merupakan anak jati Lenggeng itu pernah bertanding semasa pilihan raya umum 2008 di kerusi DUN Lenggeng namun tewas kepada calon Barisan Nasional(BN), Mustafa Salim dengan majoriti 1,285 undi.

Beliau merupakan seorang ahli perniagaan dan memegang Ijazah Sarjana dalam bidang Sains daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Bercakap kepada para wartawan selepas majlis itu Hadi berkata Zulkefly adalah calon terbaik kerana beliau calon muda dan berpendidikan tinggi.

"Kami pilih beliau kerana beliau calon terbaik, calon muda dan berpendidikan tinggi. Semua sebulat suara bersetuju," katanya.

Sementara itu Zulkefly berkata beliau berterima kasih atas kepercayaan pucuk pimpinan Pakatan Rakyat, dan menurutnya tujuan pakatan itu memasuki pertandingan semata-mata atas kehendak rakyat, untuk membela rakyat.


AGEDA DAILY-29/9/2009

Isa calon pilihan rakyat - TPM


PORT DICKSON 29 Sept. - Pemilihan Tan Sri Mohd. Isa Samad, 60, sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dibuat atas kehendak akar umbi dan pengundi serta selaras dengan konsep rakyat didahulukan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kehendak rakyat dahulukan dan kehendak pengundi di Bagan Pinang yang mahukan Mohd. Isa sebagai calon telah dikotakan dan utamakan.

"Kita telah teliti, bukan sahaja ditilik malahan kita juga berjumpa dengan pengundi semua peringkat masyarakat dan bertanyakan mengenai calon yang sesuai untuk menjadi wakil rakyat mereka.

"Maka atas dasar inilah dan mengambil kira semua pertimbangan sedia ada, kita ambil keutamaan rakyat didahulukan dan berharap pengundi di sini terus memberi sokongan padu kepada Mohd. Isa," katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan nama calon BN pada pilihan raya kecil berkenaan sempena majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri BN peringkat negeri di Batu 6, Jalan Pantai di sini petang ini.

Muhyiddin sebelum itu secara spontan bertanyakan tiga kali mengenai siapakah calon yang dimahukan oleh lebih 10,000 rakyat yang hadir dan majlis kemudian bergema apabila kesemua hadirin secara serentak melaungkan nama Mohd. Isa.

Selepas itu, Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Pengerusi BN mengumumkan secara rasmi nama Mohd. Isa pada pukul 5.25 petang ini.

Sementara itu, pada sidang akhbarnya kemudian, Muhyiddin menjelaskan, rakyat pelbagai kaum, tidak kira Melayu, Cina dan India menerima Mohd. Isa yang cukup dikenali mereka dan pastinya sokongan itu tidak berbelah bahagi.

"Pengundi di sini sudah lama kenal beliau (Mohd. Isa), beliau begitu mesra dengan orang kampung di sini, populariti beliau tidak dapat dinafikan. Ini adalah kehendak orang tempatan.

"Sebab itulah saya tanya rakyat sebanyak tiga kali sebentar tadi. Saya tak mahu keputusan ini datang daripada saya seorang tetapi juga atas kehendak rakyat. Mereka mahukan Mohd. Isa dan ini membuktikan betapa rakyat yakin dengan kredibiliti beliau," kata beliau.

Kata Muhyiddin, walaupun mungkin dalam sejarah politik, orang akan membangkitkan pelbagai isu yang memburukkan calon BN, namun jentera parti sudah bersedia untuk menjelaskannya sebaik mungkin.

"Dalam sejarah politik, saya sendiri pun ada masalah. Sebenarnya, pengundi di Bagan Pinang, di mana tempat Mohd. Isa dibesarkan, mereka lebih mengenali hati budi beliau.

"Saya tahu pembangkang akan bangkitkan pelbagai isu, kita percaya itu dapat diatasi sebaik mungkin dan kita telah pun membuat keputusan meletakkan Mohd. Isa sebagai calon di Bagan Pinang, oleh itu saya mengharapkan sokongan daripada pengundi di sini," jelas beliau.

Mengenai kawasan di Bagan Pinang ini, Muhyiddin berkata, masih banyak lagi perlu dibangunkan lebih-lebih lagi ia merupakan lokasi strategik pelancongan.

"Kita akan terus bangunkan kawasan ini kerana sebahagian besar kawasan Bagan Pinang merupakan lokasi pelancongan.

"Saya percaya dan yakin Mohd. Isa dapat meneruskan pembangunan di kawasan ini dan dengan pengalaman yang beliau ada, penduduk akan mendapat faedah daripadanya," kata beliau.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Romah Mansor tiba di lokasi pengumuman ini pada 5.30 petang untuk memberi sokongan kepada Mohd. Isa dan jentera parti.

Hadir sama pemimpin komponen BN termasuk Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu; Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai serta Naib-naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Turut hadir Pengerusi BN negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan pemimpin UMNO di semua peringkat di negeri ini.


UTUSAN MALAYSIA

Najib Hulur Lagi Salam Pada PAS…Tapi Jangan Hina UMNO

Sewaktu ditanya dalam satu sidang akhbar baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menolak andaian bahawa UMNO desperate hendak berbaik-baik dengan PAS.Katanya tujuannya semata-mata demi kepentingan agama.

Hal ini berbangkit kerana UMNO berulangkali menghulurkan salam kepada PAS tetapi parti itu bukan sahaja semacam memperlekehkannya malah Tok Guru Nik Aziz terus mempersoalkan akidah orang-orang UMNO.

Malah Najib sendiri telah menegur Menteri Besar Kelantan itu secara berdepan agar tidak melukakan hati orang UMNO dengan kenyataan seumpama itu semasa beliau menyambut ketibaannya di lapangan terbang Kota Bharu baru-baru ini.

Petang Isnin Perdana Menteri mengulangi kenyataannya UMNO bersedia untuk berunding dengan PAS demi kepentingan dan membangunkan umat Islam di negara ini.

Beliau menyatakan demikian depan kira-kira 4,000 orang Kuala Krai dan Manek Urai semasa berucap pada majlis ramah mesra dengan rakyat dan berbuka puasa di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai,Kelantan.

Juga sekali lagi Najib menyuarakan rasa kecewa dengan tindakan pemimpin PAS mengeluarkan kenyataan yang menghina orang UMNO.

"Nak buat baik, saya sanggup runding dengan PAS untuk kepentingan Islam. Tapi saya tidak rela kalau UMNO dihina oleh sesiapapun," katanya.

Sebelum ini, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS mengeluarkan kenyataan bahawa penyokong UMNO tidak masuk syurga .

Beliau tetap mempertahankan kenyataanya sekalipun Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan isu masuk syurga itu adalah hak mutlak Allah.

Tindak tanduk Nik Aziz menghina UMNO bukan merupakan kali pertama malah sebelum ini beliau pernah menyamakannya dengan ajaran sesat dan komunis.

Najib berkata perbincangan antara PAS itu haruslah mementingkan pembangunan umat Islam di negara ini.

Katanya jika mahu perbincangan itu berjaya PAS tidak sepatutnya mempertikai dan mempersoal akidah orang UMNO kerana mereka juga adalah orang Islam.

Najib berkata perkara seumpama itu tidak perlu disebut-sebutkan kerana ia bukan membentuk perpaduan di kalangan umat Islam sebaliknya memecahkan perpaduan di kalangan mereka.

"Jangan persoalkan akidah kita... Sebab ini akan menimbulkan kekecohan dalam masyarakat," katanya.

Beliau berkata PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam tidak sepatutnya berlagak warak dan menilai akidah orang Islam yang lain kerana mereka daripada parti berlainan.

Katanya tindakan mempersoal keIslaman seseorang umat Islam bukanlah kerja manusia tetapi hak mutlak Tuhan untuk menentukannya.

"Dan (tindakan) persoalkan keIslaman kita ini bukan kerja manusia, ini kerja Allah. Ia jelas dalam Quran dan hadis," katanya.


AD - 7/9/2009
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers