Photobucket

Nik Aziz belum sedia undur

KOTA BHARU 1 Okt. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyerahkan kepada kepimpinan Pas negeri dan penyokong parti itu untuk menentukan masa terbaik untuk beliau melepaskan jawatan yang disandangnya sejak sekian lama.

Bagaimanapun, katanya, dalam keadaan sekarang tiada alasan untuk beliau meletakkan jawatan apatah lagi tahap kesihatannya masih mengizinkan beliau terus memikul tanggungjawab menerajui pemerintahan negeri.

Sehubungan itu, tegasnya, beliau tidak akan tunduk kepada desakan pihak tertentu agar melepaskan jawatan itu hanya kerana faktor terlalu lama berada di kedudukan itu.

"Tidak ada sebab untuk saya meletakkan jawatan. Saya lebih tahu tentang kesihatan saya dan parti sendiri tahu mengenai kedudukan saya.

"Kalau saya tidak senang dan kesihatan saya teruk, ataupun parti minta berhenti barulah saya akan berundur. Selagi tubuh saya sihat dan parti tidak minta saya buat demikian, maka saya tidak akan berundur," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas mengulas dakwaan beberapa pemimpin bahawa beliau sudah terlalu lama memegang jawatan Menteri Besar.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka memegang jawatan Menteri Besar sejak 1990 dan persoalan bila beliau akan melepaskan jawatan kepada bakal penggantinya tercetus sejak beberapa tahun lalu.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali menyenaraikan 10 hujah kenapa Nik Abdul Aziz perlu meletak jawatan, antaranya mendakwa pemimpin tersebut sudah terlalu lama memimpin dan gagal memajukan negeri.

Mengulas lanjut, Nik Abdul Aziz berkata, keputusan pilihan raya umum lalu menjadi bukti bahawa kepimpinan beliau masih ditagih rakyat negeri ini.

"Tengok pada keputusan pilihan raya umum dahulu. Daripada 45 kerusi yang dulu kita cuma dapat 23, sekarang ini hanya ada enam sahaja yang kita tak dapat.

"Faham sendirilah. Ini cuma 'politiking' bukan politik. 'Politiking' lain, politik lain," ujarnya.


UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers