Photobucket

Perluas perubahan UMNO ke BN


KUALA LUMPUR 17 Okt. - Semangat untuk berubah yang ditunjukkan UMNO dalam perhimpunan agungnya yang berakhir semalam perlu diperluaskan pada semua komponen dalam Barisan Nasional (BN) memandangkan masa untuk melakukannya sudah agak suntuk.

Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semangat yang dipamerkan UMNO dalam perhimpunan agung parti itu wajar dibawa lebih jauh dan diperluaskan kepada BN pula.

Kata beliau, apa yang diusahakan oleh UMNO itu sepatutnya menjadi ikutan.

"Selepas perhimpunan semalam, kita balik dengan satu semangat baru yang lebih tinggi, lebih bertenaga, lebih bersedia untuk memikul amanah.

"Kita berharap semangat ini akan dapat disemarakkan dalam parti komponen BN supaya kita dapat tingkatkan lagi sokongan dan keyakinan rakyat kepada kita," katanya selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib semasa Perhimpunan Agung UMNO 2009 meminta ahli parti itu agar bangkit menjadikan UMNO sebagai parti yang mendekati rakyat dan berkhidmat kepada rakyat.

Selain itu, beberapa pemimpin lain pula meminta agar semua anggota dan pemimpin parti merapatkan semula barisan dan mengelakkan sebarang persengketaan supaya UMNO mampu meraih semula keyakinan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, transformasi yang dimulakan UMNO itu harus bersifat menyeluruh.

"Pengajarannya ialah bagaimana kita dapat menyelesaikan masalah dan memberi semangat baru kepada parti. Saya melihat UMNO sudah bersedia bangun dan mara ke hadapan, parti komponen ada sesetengahnya yang ada masalah, ambil contoh dan teladan daripada UMNO dan bangkit selesaikan masalah dalaman, kita tidak ada banyak masa

"Macam MCA, kita memang tidak campur tangan, tetapi tolonglah selesaikan cepat," katanya.

Beliau berkata, jika keadaan tidak diperbaiki segera, dikhuatiri masa yang sedia suntuk bagi berubah tidak akan cukup.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, sudah tiba masanya semua dalam BN memperbaharui parti masing-masing dengan pemikiran baru seperti yang disarankan oleh Najib.

Beliau berkata, dalam usaha yang sama, MIC telah menghantar lapan pindaan kepada Pendaftar Syarikat (ROS) bertujuan memperkukuhkan MIC.

"Kita akan bantu Perdana Menteri menjalankan tugas dengan lebih berkesan, lapan pindaan telah dihantar kepada ROS, pindaan itu melibatkan perkara seperti keahlian, kelicinan pentadbiran cawangan-cawangan, laporan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan lain-lain," katanya.

Beliau juga memberitahu, pihak Ibu Pejabat MIC sedang menilai KPI semua cawangan parti itu di seluruh negara dan beberapa ketua cawangan akan dipanggil untuk menjelaskan sebab kualiti kerja mereka boleh dipersoalkan.

Timbalan Presiden MCA yang baru, Datuk Seri Liow Tiong Lai pula berkata, pihaknya amat gembira mendengar ucapan Najib di Perhimpunan Agung UMNO yang membangkitkan motivasi dan merupakan satu ucapan hebat.

Katanya, semangat yang dipertontonkan parti itu bukan sekadar sesuai untuk ahli UMNO tetapi juga kepada rakyat negara ini kerana ia semangat yang bebas daripada sebarang konotasi perkauman.

Kata Tiong Lai, dengan jawatan terbarunya dalam MCA, beliau mahu berusaha memastikan parti itu kembali bersatu kerana orang ramai terutama masyarakat Cina di negara ini sudah mula jemu dengan perbalahan dalaman parti itu.

"Tidak ada gunanya kita menang dalam parti tetapi kalah dalam pilihan raya," katanya.

"Para pemimpin MCA perlu tenang, fikir dalam-dalam, bersatu padu dan pastikan parti kita kembali ke aras tinggi, perpaduan kuat untuk bersama komponen BN yang lain agar 1Malaysia berjaya disemai, BN akan bertambah kuat," katanya.

Beliau menambah, MCA telah memulakan usaha ke arah beberapa perubahan seperti merancang untuk membolehkan semua ahli parti mengundi terus untuk menentukan Presiden parti.


UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers