Photobucket

80 % Dijangka Keluar Mengundi

PORT DICKSON 1 Okt. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka jumlah keluar mengundi dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang 11 Oktober ini akan mencapai 80 peratus.

Setiausaha SPR, Datuk Ngah Senik berkata, ia berikutan cuti hujung minggu yang memberi lebih masa kepada pengundi untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

“Kita juga harap jumlah pengundi lebih ramai daripada peratusan yang kita sasarkan memandangkan hari pembuangan undi adalah Ahad, ia memberi kelebihan buat mereka untuk keluar mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Taklimat Bersama Media bagi Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang di sini hari ini.

Ngah memberitahu, keputusan pilihan raya kecil itu dijangka diketahui sekitar pukul 8 malam, hari yang sama.

Pada masa sama, beliau menasihati calon parti yang bertanding supaya berada di pusat penjumlahan undi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson sejam lebih awal.

“Kita nasihatkan calon parti yang bertanding berada di pusat penjumlahan undi sejam lebih awal. Kalau mereka tidak hadir, kita tetap buat pengumuman,” katanya.

Sementara itu, beliau menyarankan pengamal media adil membuat sebarang laporan supaya ia tidak dilihat berat sebelah sebaliknya melaporkan pendapat pelbagai pihak.

“Saya fikir jika media boleh beri sama rata kepada calon dan parti yang bertanding, laporannya adil dan tidak memihak, ia tidak menjadi masalah’' ujarnya.

Tambahnya, pengundi juga boleh menyemak daftar pengundian menerusi laman web SPR, www.spr.gov.my atau khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPR SEMAK No. kad pengenalan dan hantar ke 15888 atau hubungi talian 06-6404084.


UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers