Photobucket

Krisis MCA Semakin Kusut

- Krisis dalaman MCA semakin kusut apabila mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) parti itu semalam mengumumkan keputusan drastik termasuk menolak mesyuarat agung luar biasa (EGM) 28 November ini.


- Mesyuarat juga melucutkan keanggotaan Ketua Pemuda, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun serta tujuh lagi dalam Lembaga Presiden.


- Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang tetap mahu ahli-ahli MCA menghadiri EGM tersebut menyifatkan keputusan CC sebagai operasi pancung sejak mesyuarat 3 November lalu.


- Ka Siong berkata, muslihat di sebalik pelan perpaduan itu kini jelas iaitu Presiden mahu membina kumpulan yang mematuhi arahannya.


KUALA LUMPUR 18 Nov. – Kemelut kepimpinan MCA semakin parah apabila Mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) parti itu hari ini memutuskan menolak mesyuarat agung luar biasa (EGM) kedua yang dirancang oleh ‘kumpulan 16’ pada 28 November ini.

Dalam perkembangan yang sama, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat turut mengumumkan pelucutan keanggotaan sembilan ahli Majlis Presiden MCA yang kesemuanya terlibat dalam merancang untuk mengadakan EGM tersebut.

Ketua Pemuda, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun turut terlibat dalam pengguguran itu.

Pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu, Tee Keat berkata, 23 ahli CC telah memutuskan terdapat kecacatan pada resolusi EGM kedua tersebut.

“Dalam perbincangan hari ini, kami mendapati resolusi yang dicadangkan oleh kumpulan 16 ahli CC yang bertegas mengadakan mesyuarat itu, tidak bertepatan dengan perlembagaan parti,” katanya.

Turut hadir Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Naib Presiden, Datuk Seri Kong Cho Ha; Setiausaha Agung, Datuk Wong Foon Meng dan lima ahli CC, Senator Heng Seai Kie, Gan Ping Sieu, Datuk Seri Tan Chai Ho, Datuk Lee Chee Leong serta Datuk Ti Lian Ker.

Tee Keat berkata, rancangan mengadakan EGM kedua itu telah didebatkan pada mesyuarat CC tersebut yang turut dihadiri oleh Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

“Sebanyak 23 ahli CC menolak dan membantah untuk mengadakan EGM kedua kerana mendapati kecacatan resolusinya dan ia juga melanggar perlembagaan parti. Bagaimanapun 10 ahli CC menyokong dan dua ahli mengambil pendirian berkecuali,” katanya.

Sehubungan itu katanya, EGM kedua tersebut tidak seharusnya diadakan kerana mesyuarat CC telah menolak rancangan berkenaan.

Tambah Tee Keat, mesyuarat hari ini turut mempertikaikan notis yang diedarkan kepada para perwakilan di seluruh negara kerana menggunakan kepala surat MCA tanpa restu parti sekali gus melanggar perlembagaan parti.

Pada sidang akhbar itu Tee Keat turut mengumumkan telah menggunakan kuasanya sebagai Presiden mengikut Artikel 46 perlembagaan parti untuk melucutkan sembilan ahli CC daripada Majlis Presiden.

Tujuh anggota CC yang turut digugurkan ialah Lee Wei Kiat, Dr. Hou Kok Chung, Datuk Wee Jeck Seng, Gan Hong Su, Yoo Wei How, Wong Nai Chee dan Datuk Chor Chee Heung.



UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers