Photobucket

SPRM Tiada Hak Soal Siasat Saksi Selepas Waktu Pejabat



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini tidak boleh lagi menyoal siasat saksi hingga ke malam berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur Khamis bahawa soal siasat hanya boleh dilakukan pada waktu pejabat iaitu dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohd Ariff Md Yusof memutuskan bahawa Seksyen 30(3)(a) Akta SPRM 2009 tidak memberi kuasa kepada suruhanjaya itu untuk menjalankan penyiasatan terhadap seseorang saksi sepanjang hari dan malam.

"Frasa 'hari ke hari' dalam seksyen berkenaan bukan bermaksud 24 jam, tetapi waktu bekerja biasa," kata Mohd Ariff dalam keputusan bersejarah itu yang disampaikan pada pukul 2.50 petang.

Bernama melaporkan ketika membenarkan semakan semula kehakiman yang dipohon oleh anggota Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah, Mohd Ariff berkata: "Oleh itu saya bersetuju bahawa dalam kes ini, pemohon telah ditahan secara tidak sah oleh SPRM."

Tan, 39, menyaman ketua pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, penolong penguasa SPRM Mohammad Hassan Zulkifli dan SPRM kerana mendakwa penahanan dan soal siasat yang dilakukan terhadapnya selama 16 jam sehari oleh SPRM, menyalahi undangundang dan menyebabkan beliau mengalami kerugian serta kesan buruk.

Dalam permohonan mendapatkan semakan semula kehakiman yang difailnya pada 22 Julai, Tan meminta mahkamah mengisytiharkan bahawa defendan, yang menjalankan penyiasatan mengikut Seksyen 30(3)(a) Akta SPRM 2009, hanya boleh merekodkan kenyataannya sebagai saksi pada waktu pejabat iaitu dari pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

Tan adalah antara beberapa orang yang dipanggil SPRM untuk memberi kenyataan dalam penyiasatan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam peruntukan kerajaan Selangor.

Mahkamah itu juga memutuskan bahawa Tan perlu dibayar ganti rugi kerana beliau ditahan secara tidak sah oleh SPRM dari pukul 9.45 malam pada 15 Julai, 2009 hingga 2.53 pagi keesokan harinya dan memerintahkan defendan membayar kos kepada anggota majlis perbandaran itu.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohd Ariff berkata frasa "hari ke hari" dalam seksyen berkenaan adalah samar kerana ia tidak dijelaskan dengan sewajarnya dalam akta itu.

Kata beliau tafsiran yang sewajarnya perlu dibuat terhadap frasa itu bagi mengelak kekaburan kerana ia memberi kesan terhadap kebebasan asasi seseorang yang dijamin oleh Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

"Frasa "hari ke hari" bukan bererti dari siang ke malam. Seksyen 30 tidak boleh ditafsir begitu, kerana jika ini dilakukan, ia bertentangan dengan tujuan penggubal undangundang dan akan mengekang kebebasan peribadi seseorang," kata hakim itu.

Beliau berkata sebarang peruntukan berkanun yang menjejaskan kebebasan asasi perlu dibaca dengan sewajarnya dan diberi ruang yang seluas-luasnya.

Mohamad Ariff berkata beliau akan memberi penghakiman bertulis minggu depan.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Tan berkata beliau berasa lega dan gembira dengan keputusan mahkamah itu.

Sementara itu, Karpal Singh, peguam bela utama yang mewakili Tan berkata keputusan itu bukan saja terpakai bagi SPRM, tetapi juga bagi penyiasatan yang dilakukan oleh polis.

Beliau menggesa mereka yang pernah disoal siasat oleh SPRM selepas waktu pejabat supaya menyaman suruhanjaya itu.

Ditanya sama ada defendan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu, Peguam Kanan Persekutuan Noorin Badaruddin berkata beliau menunggu arahan tentang langkah seterusnya yang perlu diambil.


AGENDA DAILY-19/11/2009

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers