Photobucket

Tidak Tuju Pada Individu Tertentu - Nasrudin

KUALA LUMPUR 28 Nov.- Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan menjelaskan, suara luar yang menyebabkan Pas dalam keadaan 'bergegar sepanjang' masa itu tidak ditujukan kepada orang tertentu.

Sebaliknya, kata beliau, ia adalah kenyataan secara umum kepada sesiapa yang berada di luar parti.

Menurutnya, beliau tidak boleh menyekat sesiapa untuk bercakap mengenai Pas tetapi orang di luar parti itu tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku di dalam Pas.

''Sehubungan itu, ahli-ahli dan pemimpin Pas boleh mendengar suara luar, tetapi jangan menjadikannya sebagai asas untuk bertindak secara gopoh sebaliknya lihat, kaji dan teliti terlebih dahulu.

"Saya hanya memberi kenyataan kepada ahli-ahli Pas supaya tidak mudah terpengaruh dengan suara-suara luar ," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau menegaskan demikian berhubung kenyataannya dalam laman blog http://episodeperjuangan.blogspot.com yang antara lain menyebut suara luar menjadikan perjalanan Pas tidak seimbang dan 'bergegar sepanjang masa.'

Menurut Nasrudin, Pas mempunyai mekanisme untuk menangani pelbagai masalah terutama melibatkan isu dalaman.

Tambah beliau, pihaknya akan menerima perkara-perkara yang baik untuk diguna pakai dalam parti dan sebaliknya berhati-hati dalam perkara yang berunsur negatif.

Menyentuh tindakan sesetengah ahli Pas yang sanggup mendedahkan kandungan minit mesyuarat tanpa rasa bersalah dan berpolitik sesama sendiri Nasrudin berkata:

''Dalam blog itu saya nyatakan perkukuhkan parti dengan maksud supaya ahli-ahli Pas berdisiplin, berakhlak, beretika dan tidak membuka rahsia demi memperkukuhkan parti.''

Menurutnya, sebelum ini Lembaga Disiplin Pas telah menangani beberapa masalah dalaman yang melibatkan disiplin dan etika ahli-ahlinya.

Mengenai gesaan supaya Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menamakan penggantinya bagi mengelak kekalutan apabila tiba masa untuk melepaskan jawatan, Nasrudin berkata, semua pihak perlu memberi keselesaan dan ruang kepada 'Tok Guru' dalam membuat keputusan.

"Nik Abdul Aziz telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik dan tiada apa yang boleh membuatkan beliau digesa meletakkan jawatan.

"Cadangan supaya beliau meletakkan jawatan dan menentukan bakal Menteri Besar baru selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 hanya pandangan-pandangan individu," katanya.


UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers