Photobucket

BN Azam Rampas 5 Kerusi DUN Pembangkang

MELAKA 2 Dis. - Barisan Nasional (BN) negeri berazam untuk merampas kembali lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimiliki pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, tidak mustahil untuk BN mendapatkan kembali lima kerusi yang 'terlepas' kepada pembangkang pada pilihan raya umum lalu jika gagasan 1Malaysia dapat diterjemahkan secara menyeluruh kepada rakyat negeri ini.

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata, seluruh ahli komponen BN perlu menterjemahkan gagasan 1Malaysia itu tanpa perlu menunggu musim pilihan raya umum hendak diadakan.

"Menjadi keazaman saya selepas sedekad menjadi Ketua Menteri dan Pengerusi BN negeri, saya akan pastikan lima kerusi DUN kembali ke pangkuan BN semula.

"Untuk itu, semua ahli parti komponen BN perlu bekerja keras bermula dari sekarang untuk merampas kembali lima kerusi tersebut," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Makan Malam Sedekad Menjadi Ketua Menteri, 1Malaysia 1Dekad di Dewan Seri Negeri, Air Keroh di sini malam ini.

Dalam pada itu, katanya, beliau akan memastikan rekod cemerlang BN di negeri ini tidak akan terlepas kepada Pas dan Parti Keadilan Rakyat.

Majlis tersebut diadakan kerana hari ini genap 10 tahun Mohd. Ali menjadi Ketua Menteri selepas mengangkat sumpah jawatan itu pada 2 Disember 1999.

Kira-kira 2,500 rakyat pelbagai lapisan masyarakat termasuk para pemimpin komponen BN iaitu UMNO, MIC, MCA, Gerakan dan Parti Progresif Penduduk (PPP) menghadiri majlis tersebut.

Turut hadir Exco kerajaan negeri, Ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka.

Pada majlis itu juga, Mohd. Ali telah dianugerahkan Tokoh Arkitek Melaka Moden yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Timbalan Pengerusi BN Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Di samping itu, beliau turut melancarkan buku biografi dirinya bertajuk Dari Bukit Katil ke Seri Bendahara hasil karya Setiausaha Akhbarnya, Daud Awang.


UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers