Photobucket

ISU MASJID

Isu masjid: Nasaruddin pula minta DAP jaga kesepakatan pakatan pembangkang



Sebelum ini, Timbalan presiden PAS Nasaruddin Mat Isa pernah dikecam pemimpin dalam pakatan pembangkang termasuk daripada PAS sendiri kerana kenyataan isu kerajaan perpaduan kerana dianggap bertentangan dengan kesepakatan dalam pakatan itu.

Peliknya, hanya PAS sahaja perlu jaga hati dan perasaan rakan-rakan mereka dalam PKR dan DAP sebaliknya pemimpin DAP khususnya sering membuat kenyataan yang tidak mengambil kira sensitiviti PAS yang dilabel parti memperjuangkan Islam.

Di Selangor contohnya, wakil rakyat serta Exco DAP, Ronnie Liu bertelagah dengan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Hasan Mohd Ali dalam beberapa isu termasuk soal penjualan arak di tempat terbuka.

Terbaru Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming pula mempersoal perbelanjaan kerajaan sebanyak RM748.26 bagi membina masjid dalam tempoh lapan tahun hingga 2008.

Beliau membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat kelmarin hingga membangkitkan rasa tidak puashati ahli parlimen Bebas Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang menyifatkannya "biadap" dan "dan cuba menyalakan api dalam sekam".

Nasaruddin yang jarang bercakap isu parti kebelakangan itu, hari Khamis ‘pulang paku buah keras’ terhadap keceluparan Nga yang juga ahli parlimen Taiping.

Beliau menggesa isu peruntukan besar untuk pembinaan masjid, tetapi rumah ibadat bukan Islam diabaikan, tidak harus dibesar-besarkan oleh DAP.

Nasharudin bimbang kenyataan Nga boleh membangkitkan sentimen agama dan menimbulkan salah faham orang ramai.

Nasharudin, yang juga ahli parlimen Bachok, berkata salah faham dalam isu seumpama ini boleh "dijadikan bahan untuk merungkai kesepaduan Pakatan Rakyat."

Dalam kenyataannya , beliau berkata menjadi "hak bukan Islam menuntut pembinaan rumah ibadat mereka tetapi bukan dengan mempertikaikan atau membandingkan hak agama Islam sebagai agama rasmi."

“Sepertimana yang kita maklum, sudah menjadi hak dan tanggungjawab pihak kerajaan untuk membina masjid-masjid dan institusi-institusi agama bagi menyemarakkan syiar Islam di Malaysia sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara kita,” katanya.

Bagaimanapun, pihak kerajaan digesa berlaku adil kepada semua rakyat dalam memenuhi keperluan mereka sepertimana yang telah digariskan dalam lunas perlembagaan negara.

“Kita tidak membantah malah menyokong usaha pihak bukan Islam menuntut pembinaan rumah ibadat mereka tetapi bukan dengan mempertikaikan atau membandingkan hak agama Islam sebagai agama rasmi kerana dikhuatiri langkah tersebut akan menyinggung dan menimbulkan perasaan tidak senang hati dikalangan umat Islam Negara kita,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap pimpinan pakatan pembangkang tidak membangkitkan sebarang isu berhubung sentimen agama dan bangsa yang seringkali disalahtafsir oleh sesetengah pihak untuk dijadikan bahan untuk merungkai kesepaduan Pakatan Rakyat.

“Amatlah diharapkan agar isu-isu yang boleh menyinggung sensitiviti agama dan bangsa serta kepentingan komponen parti Pakatan Rakyat dapat diselesaikan melalui saluran dalaman yang lebih efektif.

Ini bagi mengelakkan sebarang polemik sepertimana yang pernah melanda Pakatan Rakyat sebelum daripada ini,” tegasnya.

Apa yang penting katanya, adalah memberikan fokus sebaik mungkin kepada agenda perjuangan yang telah disepakati dalam membangunkan sebuah negara yang lebih berintegriti, berkebajikan dan beramanah.

Mengambil kira teguran Nasaruddin, ramai mahu melihat adakah pemimpin DAP ataupun Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bersuara dalam isu ini.


AD-10/12/2009

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers