Photobucket

Perluas perubahan UMNO ke BN


KUALA LUMPUR 17 Okt. - Semangat untuk berubah yang ditunjukkan UMNO dalam perhimpunan agungnya yang berakhir semalam perlu diperluaskan pada semua komponen dalam Barisan Nasional (BN) memandangkan masa untuk melakukannya sudah agak suntuk.

Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semangat yang dipamerkan UMNO dalam perhimpunan agung parti itu wajar dibawa lebih jauh dan diperluaskan kepada BN pula.

Kata beliau, apa yang diusahakan oleh UMNO itu sepatutnya menjadi ikutan.

"Selepas perhimpunan semalam, kita balik dengan satu semangat baru yang lebih tinggi, lebih bertenaga, lebih bersedia untuk memikul amanah.

"Kita berharap semangat ini akan dapat disemarakkan dalam parti komponen BN supaya kita dapat tingkatkan lagi sokongan dan keyakinan rakyat kepada kita," katanya selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib semasa Perhimpunan Agung UMNO 2009 meminta ahli parti itu agar bangkit menjadikan UMNO sebagai parti yang mendekati rakyat dan berkhidmat kepada rakyat.

Selain itu, beberapa pemimpin lain pula meminta agar semua anggota dan pemimpin parti merapatkan semula barisan dan mengelakkan sebarang persengketaan supaya UMNO mampu meraih semula keyakinan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, transformasi yang dimulakan UMNO itu harus bersifat menyeluruh.

"Pengajarannya ialah bagaimana kita dapat menyelesaikan masalah dan memberi semangat baru kepada parti. Saya melihat UMNO sudah bersedia bangun dan mara ke hadapan, parti komponen ada sesetengahnya yang ada masalah, ambil contoh dan teladan daripada UMNO dan bangkit selesaikan masalah dalaman, kita tidak ada banyak masa

"Macam MCA, kita memang tidak campur tangan, tetapi tolonglah selesaikan cepat," katanya.

Beliau berkata, jika keadaan tidak diperbaiki segera, dikhuatiri masa yang sedia suntuk bagi berubah tidak akan cukup.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, sudah tiba masanya semua dalam BN memperbaharui parti masing-masing dengan pemikiran baru seperti yang disarankan oleh Najib.

Beliau berkata, dalam usaha yang sama, MIC telah menghantar lapan pindaan kepada Pendaftar Syarikat (ROS) bertujuan memperkukuhkan MIC.

"Kita akan bantu Perdana Menteri menjalankan tugas dengan lebih berkesan, lapan pindaan telah dihantar kepada ROS, pindaan itu melibatkan perkara seperti keahlian, kelicinan pentadbiran cawangan-cawangan, laporan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan lain-lain," katanya.

Beliau juga memberitahu, pihak Ibu Pejabat MIC sedang menilai KPI semua cawangan parti itu di seluruh negara dan beberapa ketua cawangan akan dipanggil untuk menjelaskan sebab kualiti kerja mereka boleh dipersoalkan.

Timbalan Presiden MCA yang baru, Datuk Seri Liow Tiong Lai pula berkata, pihaknya amat gembira mendengar ucapan Najib di Perhimpunan Agung UMNO yang membangkitkan motivasi dan merupakan satu ucapan hebat.

Katanya, semangat yang dipertontonkan parti itu bukan sekadar sesuai untuk ahli UMNO tetapi juga kepada rakyat negara ini kerana ia semangat yang bebas daripada sebarang konotasi perkauman.

Kata Tiong Lai, dengan jawatan terbarunya dalam MCA, beliau mahu berusaha memastikan parti itu kembali bersatu kerana orang ramai terutama masyarakat Cina di negara ini sudah mula jemu dengan perbalahan dalaman parti itu.

"Tidak ada gunanya kita menang dalam parti tetapi kalah dalam pilihan raya," katanya.

"Para pemimpin MCA perlu tenang, fikir dalam-dalam, bersatu padu dan pastikan parti kita kembali ke aras tinggi, perpaduan kuat untuk bersama komponen BN yang lain agar 1Malaysia berjaya disemai, BN akan bertambah kuat," katanya.

Beliau menambah, MCA telah memulakan usaha ke arah beberapa perubahan seperti merancang untuk membolehkan semua ahli parti mengundi terus untuk menentukan Presiden parti.


UTUSAN MALAYSIA

Projek Sayang Erat BN, Rakyat

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kewujudan Projek Sayang menerusi Skuad Sayang mampu mendekatkan lagi hubungan antara parti dengan rakyat.

Menurut Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, beliau yakin usaha tersebut bukan sahaja akan membantu menampilkan imej baru kepada Wanita UMNO tetapi juga memberi kesan positif kepada parti keseluruhannya.

Katanya, yang penting sekarang ialah semua pihak termasuk parti-parti komponen menggerakkan usaha membantu melaksanakan hasrat dan tujuan murni tersebut.

''Saya yakin dan percaya apa yang bakal dilakukan oleh Skuad Sayang ini akan dapat mendekatkan Pergerakan Wanita dan UMNO serta Barisan Nasional (BN) kepada rakyat jelata.

''Insya-Allah program ini akan memberi kesan besar. Saya harap semua bahagian termasuk parti-parti komponen BN melaksanakan aktiviti Skuad Sayang ini dengan penuh semangat,'' katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri dan pelancaran Projek Sayang Wanita UMNO di sini hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Hadir sama Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin; Ketua Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin serta pemimpin-pemimpin kanan UMNO yang lain.

Pada majlis itu, Wanita UMNO turut menerima sumbangan kenderaan Nissan Frontier dan Nissan Pregio daripada Kinta Hub Sdn. Bhd. serta Proton Exora (Desiran Jaya Sdn. Bhd.)

Terdahulu, Rosmah dalam ucapannya berkata, usaha yang dilaksanakan oleh Wanita UMNO selaras dengan aspirasi 1Malaysia.

''Saya yakin program sebegini juga dapat memperkukuhkan lagi hubungan silaturahim yang telah sedia terjalin. Hubungan yang erat ini akan menjadikan pemimpin dan rakyat lebih mesra antara satu sama lain,'' katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengingatkan kejayaan Projek Sayang menerusi Skuad Sayang tersebut bergantung kepada kerjasama dan sokongan semua pihak.

''Saya melihat Projek Sayang ini akan dapat mengusik dan mencuit hati dan perasaan rakyat terhadap Wanita UMNO khususnya dan parti UMNO amnya. Dan insya-Allah, hasilnya akan sama-sama dikecapi apabila sampai masa,'' katanya.


UTUSAN MALAYSIA

Tiada tempoh bertenang

PORT DICKSON 11 Okt. - Tempoh bertenang pada hari mengundi pada setiap pilihan raya tidak berlaku pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang hari ini apabila pihak pembangkang terus berkempen tanpa menghiraukan peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kempen yang berbentuk provokasi itu turut mencetuskan perang mulut dan pergaduhan antara kedua-dua pihak bertanding hingga menakutkan pengundi.

Bermula daripada tengah malam tadi iaitu selepas kempen tamat dan bermulanya tempoh bertenang, pergaduhan demi pergaduhan berlaku akibat daripada provokasi itu.

Perkara itu disahkan oleh pihak polis apabila menerima 13 laporan mengenai pergaduhan hari ini dengan tujuh daripadanya telah dibuka kertas siasatan.

Keadaan itu sedikit sebanyak telah mengganggu perjalanan proses pembuangan undi walaupun SPR telah memberi ingatan kepada semua parti yang bertanding supaya tidak berkempen pada hari pengundian kerana ia merupakan satu kesalahan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengulas perkembangan itu berkata, kerajaan sedia menimbang mengetatkan peraturan sedia ada supaya hari pengundian benar-benar menepati konsep tempoh bertenang.

''Mungkin peraturan sedia ada tidak cukup ketat. Ini kita akan bincang lebih lanjut dengan agensi berkaitan seperti SPR, polis dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selepas Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan pegawai kanan polis di ibu pejabat polis daerah (IPD) di sini hari ini.

Hasil tinjauan Utusan Malaysia di beberapa peti undi mendapati Pas terus berkempen untuk menarik sokongan pengundi.

Lebih malang lagi berlaku provokasi daripada pihak pembangkang yang mencetuskan kekecohan serta ketegangan hingga terdapat satu kes mendatangkan kecederaan kepada anggota polis.

Dalam perkembangan sama Muhyiddin berkata, mengikut sistem demokrasi, hari mengundi sepatutnya diberikan peluang seluas-luasnya kepada pengundi untuk memilih calon wakil rakyat mereka tanpa sebarang gangguan.

''Kita sudah berkempen lapan hari dan dalam tempoh itu kita berusaha menarik pengundi. Hari ini kita sepatutnya memberi peluang kepada pengundi untuk menjalankan tanggungjawab mereka tanpa perlu diganggu.

''Tambahan pula waktu berkempen telah tamat tengah malam tadi yang saya fikir ia wajib dipatuhi oleh semua pihak. Hari mengundi ialah hari aman dan hari tenteram yang seharusnya bebas daripada bahan-bahan kempen," katanya lagi.

Dalam pada itu, Muhyiddin menyelar pihak pembangkang yang sering melanggar peraturan pada setiap kali pilihan raya kecil.

''Inilah Pas. Standard format Pas ini kalau nak bertanding dia bawa semua bala tentera. Mereka buka warung tanpa mengendahkan peraturan. Begitu juga anggota lain yang mereka telah tentukan tugas masing-masing. Saya pun hairan dengan sikap mereka ini.

''Apa yang mereka lakukan ini langsung tidak mencerminkan adat rakyat Malaysia sebenar ," katanya.

Beliau turut kesal dengan tindakan pemimpin Pas yang membiarkan ahli-ahli mereka melanggar undang-undang sesuka hati.


UTUSAN MALAYSIA

PAS terima kekalahan tapi salahkan sistem undi pos


PORT DICKSON: PAS menerima kekalahannya pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang semalam, namun menyatakan undi pos sebagai antara faktor parti itu gagal merampas kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu.

Naib Presiden PAS yang juga Pengarah Induk Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang, Salahuddin Ayub, mendakwa kekalahan parti itu juga disebabkan rasa takut terhadap gangsterisme yang menyukarkan PAS mendekati 13,664 pengundi di kawasan itu.

"PAS terima keputusan ini tapi terus iltizam perjuang sistem undi pos lebih telus," katanya kepada pemberita di Markas Induk PAS di sini sejurus keputusan pilihan raya kecil itu diumum yang menyaksikan Tan Sri Isa Samad (BN) menewaskan Zulkefly Mohamad Omar (PAs) dengan majoriti 5,435 undi.

Isa, yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan mendapat 8,013 undi manakala Zulkefly Mohamad, yang juga Pensuruhjaya PAS negeri, mendapat 2,578 undi.

Bagi undi pos, BN mendapat 3,521 undi, manakala PAS memperoleh 601 undi daripada keseluruhan 4,604 pengundi pos yang terdiri daripada 4,571 tentera dan selebihnya anggota polis.


BERNAMA

Momentum kebangkitan Barisan Nasional

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang memperlihatkan momentum kebangkitan yang mula ditunjukkan parti tersebut.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, sehubungan itu momentum tersebut perlu dipertingkatkan bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya kecil lain serta pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, pengaruh yang ditunjukkan oleh calon BN, Mohd. Isa juga cukup kuat dan tidak mampu digugat oleh pembangkang.

"Calon Pas, iaitu Zulkefly Mohamad Omar tidak setanding dengan Mohd. Isa yang cukup terkenal di kalangan penduduk di Negeri Sembilan terutamanya di Bagan Pinang.

"Kemenangan juga menunjukkan pengundi mula meragui kepimpinan yang ditunjukkan oleh pakatan pembangkang melalui beberapa isu yang timbul di negeri-negeri yang diperintah mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

BN mengekalkan kerusi DUN Bagan Pinang di Negeri Sembilan setelah calonnya Mohd. Isa mengalahkan calon Pas, Zulkefly dengan majoriti 5,435 undi.

Mohd. Isa memperolehi 8,013 undi manakala Zulkefly mendapat 2,578 undi.

Pensyarah Politik dan Pentadbiran Awam Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr. Ahmad Atory Hassan berkata, kemenangan itu menggambarkan usaha memulihkan parti oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya meraih kembali keyakinan rakyat kepada parti keramat itu.

Menurutnya, faktor calon BN merupakan sumbangan yang cukup besar dalam kemenangan parti itu di Bagan Pinang.

Menurutnya, kerajaan dan UMNO perlu terus bekerja kuat untuk meyakinkan rakyat bahawa perjuangan mereka bukanlah seperti yang dicanang pembangkang.


UTUSAN MALAYSIA

Isa menang majoriti besar

PORT DICKSON 11 Okt. - Penerimaan pengundi di Bagan Pinang terhadap konsep 1Malaysia merupakan salah satu faktor yang membantu calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dengan majoriti besar hari ini.

Menurut Mohd. Isa, beliau mengakui bahawa gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu telah berjaya mengembalikan kepercayaan dan sokongan semua kaum khususnya Cina dan India terhadap BN.

''Pada pandangan saya dengan keputusan ini, BN telah mula mendapat sokongan dari semua kaum selaras dengan kosep 1Malaysia, di mana penduduk di Bagan Pinang secara majoritinya yang terdiri daripada Melayu, India dan Cina telah kembali kepada BN.

''Saya harap ini menjadi satu permulaan baik supaya seluruh rakyat Malaysia memberikan sokongan dan kepercayaan kepada pemimpin negara dalam menguruskan negara ini," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengumuman penjumlahan rasmi pengundian Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson di sini malam ini.

Kata Mohd. Isa, beliau amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pengundi Bagan Pinang di atas kejayaan tersebut.

''Terima kasih kepada semua pengundi. Saya akan bekerja keras di Teluk Kemang, Negeri Sembilan dan seluruh negara. Ia juga menunjukkan penduduk Bagan Pinang menerima konsep dan gagasan 1Malaysia.

''Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua jentera yang telah membantu saya meraih kejayaan ini," jelas beliau.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai peningkatan pada undian pos di kalangan anggota tentera terhadap dirinya, beliau memberitahu, secara jelas anggota tentera telah menterjemahkan sokongan mereka kepada kerajaan.

''Saya nampak menerusi undi pos pihak tentera, ini secara tidak langsung menyaksikan bahawa berdiri teguh untuk terus menyokong kerajaan ," ujar beliau.

Sementara itu, melalui kemenangan ini, Mohd. Isa berjanji akan menunaikan segala kepercayaan yang telah diberikan terhadap beliau selain mengalas amanat rakyat setempat.


UTUSAN MALAYSIA

Hanya 81.65 peratus keluar mengundi

PORT DICKSON - Biarpun meningkat, peratusan keluar mengundi sebanyak 81.65 peratus yang dicatatkan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, semalam mengecewakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR, Tan Sri Abd Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya menjangkakan peratusan keluar mengundi, semalam bukan setakat meningkat berbanding pilihan raya umum ke-12 tahun lalu, tetapi sepatutnya boleh mencecah lebih tinggi.

“Saya punya harapan, peratusan keluar mengundi pada pilihan raya kecil ini meningkat sehingga 88 peratus menyamai pilihan raya kecil di Manek Urai lalu. Tapi nampaknya, hanya 81.65 peratus saja,” katanya ditemui, semalam.

Abd Aziz berkata, bilangan penyokong yang datang ke Bagan Pinang jauh lebih memberangsangkan berbanding peratusan keluar mengundi.

Ketika ditanya kemungkinan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) yang kononnya akan berlaku kekecohan di Bagan Pinang, baru-baru ini punca bilangan peratusan keluar mengundi tidak seperti yang diharapkan, beliau berkata: “Kita akan kaji sebabnya.”

Pada pilihan raya umum lalu, peratusan keluar mengundi di Bagan Pinang adalah sebanyak 81.59 peratus dan jumlah itu lebih tinggi berbanding 2004 yang menyaksikan bilangan peratusan keluar mengundi sebanyak 74.44 peratus.

Beliau bagaimanapun memberi penghargaan tinggi kepada anggota polis yang telah bekerja keras mengawal keadaan sepanjang proses kempen dan hari pengundian bagi pilihan raya kecil itu.


SINAR

PM lancar Makkal Sakhti...janji bersama 1Malaysia

Makkal Sakhti, satu lagi parti baru yang mewakili kaum India dilancarkan pagi Sabtu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Serdang, Selangor.

Dalam kata-kata aluannya yang dimuatkan pada buku aturcara pelancaran parti itu, Najib berharap, parti itu yang membawa maksud “kuasa rakyat” akan dapat menjadi wadah berkesan untuk meningkatkan taraf hidup kaum India.

Malah beliau berharap, Makkal Sakhti akan sama-sama mendukung gagasan 1Malaysia untuk mebela rakyat tanpa jemu.

Sementara itu Presiden Makkal Sakhti, R.S. Thanentiran dalam ucapan aluannya berkata, partinya itu berjanji akan berganding bahu dengan Barisan Nasional (BN) untuk menjayakan wawasan 1Malaysia.

“Makkal Sakhti juga akan menjadi jambatan bagi mencari penyelesaian masalah masyarakat India di negara ini,” katanya.

Menurut beliau, setiap ahli parti Makkal Sakhti berikrar akan mengabdikan jiwa dan raga mereka untuk meningkatkan martabat bukan sahaja masyarakat India tetapi semua rakyat Malaysia.


agenda daily - 10/10/2009

Perwakilan tolak Ong Tee Kiat sebagai Presiden MCA


Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA, hari Sabtu membuat keputusan yang dramatik apabila usul menolak kepimpinan Presidennya Datuk Seri Ong Tee Kiat diluluskan dengan perbezaan 14 undi.

Manakala nasib Datuk Seri Dr Chua Soi lek sebagai Timbalan Presiden, EGM berkenaan memutuskan untuk mengekalkan beliau sebagai ahli tetapi tidak mengembalikan jawatan Timbalan kepadanya.

Melalui undian usul pertama yang berbunyi bahawa perwakilan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Presiden, seramai 1,155 perwakilan menyokong usul itu manakala 1,141 menolak.

Usul kedua mengenai sama ada pemecatan atau penggantungan Soi Lek sebagai ahli oleh Majlis Presiden diterima atau tidak, seramai 1,204 menolak keputusan Majlis Presiden itu dan 1,095 perwakilan setuju Soi Lek dipecat atau digantung.

Manakala usul ketiga berhubung dengan kedudukan Soi Lek sebagai Timbalan Presdien pula seramai 1,184 setuju dengan keputusan parti memecat Soi Lek daripada jawatan Timbalan Presiden dan hanya 1,110 tidak setuju.

Mengulas keputusan tersebut, Tee Kiat berkata, beliau menerima keputusan yang dibuat oleh para perwakilan itu dengan hati terbuka.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai hasil EGM berkenaan.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Foon Meng pula ketika ditanya implikasi keputusan EMG itu berkata, Jawatankuasa Pusat MCA akan mengadakan mesyuaratnya tidak lama lagi bagi menentukan kedudukan Tee Kiat.

Berdasarkan perlembagaan MCA, Presiden hanya boleh dipecat melalui dua pertiga undi perwakilan persidangan.


agenda daily – 10/10/2009

Presiden MCA serahkan nasib kepada jawatankuasa pusat


KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat bersetuju untuk tidak membuat sebarang keputusan mengenai masa depannya tanpa terlebih dahulu berbincang dengan jawatankuasa pusat (CC) parti selepas perwakilan parti meluluskan undi tidak percaya terhadap kepimpinannya kelmarin.

Setiausaha Agung parti Datuk Wong Foon Meng memberitahu pemberita di sini semalam, presiden mematuhi nasihat majoriti anggota CC.

"Majoriti anggota Jawatankuasa Pusat MCA telah menasihatkan presiden MCA untuk tidak membuat sebarang keputusan berhubung keputusan EGM (mesyuarat agung luar biasa) sehingga presiden dirujuk ke jawatankuasa pusat MCA dan beliau bersetuju," kata Wong.

Sehari selepas MCA terjerumus dalam satu lagi krisis kepimpinan, Wong berikrar bahawa CC yang akan bermesyuarat pada 15 Okt, akan bertindak dengan mengutamakan kepentingan komuniti dan MCA serta pilihan raya umum akan datang.

Ong mengesahkan perkara itu dalam blognya semalam.

"Saya bertanggungjawab sepenuhnya bagi keputusan EGM dan akan mengambil tindakan dengan mengutamakan kepentingan parti selepas berbincang dengan rakanrakan dan penyokong saya dan perbincangan mengenai mesyuarat jawatankuasa pusat akan datang," katanya.

Mengenai keputusan EGM, beliau menulis: "Saya menghormati keputusan yang dibuat oleh perwakilan pusat pada EGM MCA semalam. Keputusan itu telah menghantar isyarat tertentu yang saya lihat telah ditafsirkan dalam akhbar oleh pihak-pihak berlainan dengan pelbagai tafsiran."

Wong berkata CC akan melakukan post-mortem yang serius terhadap EGM yang turut mengembalikan keanggotaan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tetapi menolak usul untuk mengembalikan jawatannya sebagai timbalan presiden parti.

Beliau mengulangi bahawa tindakan disiplin yang diambil terhadap Dr Chua yang membawa kepada EGM itu merupakan "keputusan kolektif" majlis presiden.

Majlis Presiden memecat Dr Chua pada Ogos kerana mencemarkan imej parti berikutan skandal video seksnya dan CC meminda keputusan itu kepada digantung keanggotaan selama empat tahun.

Setiausaha Akhbar Ong, Lim Xiu Bin dalam kenyataan semalam berkata Ong mengambil cuti selama empat hari sehingga Rabu ini.


BERNAMA

Al-Quran bukan mainan politik

KUALA LUMPUR 5 Okt. – Para pemimpin politik bukan Islam tidak boleh sewenang- wenangnya mempergunakan ayat suci al-Quran untuk kepentingan politik mereka.

Perkara itu dizahirkan oleh beberapa tokoh agama apabila Pas yang kononnya memperjuangkan Islam, sanggup bersekongkol dengan ahli politik bukan Islam bagi meraih sokongan rakyat.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berpendapat, Pas seolah-olah turut sama mempermainkan al-Quran kerana membenarkan ahli politik bukan Islam menggunakan ayat suci al-Quran dalam ceramah mereka.

‘‘Perkara itu sama seperti menghina Islam dan umat Islam yang menjadi majoriti rakyat di negara ini.

‘‘Kita perlu ingat bahawa al-Quran merupakan kitab suci bagi umat Islam dan ayat suci al-Quran tidak boleh dipermainkan oleh sesiapapun,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, pemimpin bukan Islam pakatan pembangkang menggunakan ayat suci al-Quran di atas pentas ceramah Pas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Dalam ceramah itu, Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) tanpa segan silu menggunakan ayat suci al-Quran bagi menarik perhatian penyokong parti itu.

Pada 4 April lalu, Ahli Parlimen Taiping yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis daripada DAP, Nga Kor Ming juga melakukan perbuatan yang sama dalam ceramah pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang.

Harussani mengingatkan, jika dibiarkan perkara itu berlarutan, ia boleh mencemarkan imej Islam.

Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut menegaskan, kitab suci al-Quran tidak boleh dipermain dan diketawakan untuk tujuan politik murahan.

Katanya, tanggungjawab memelihara kesucian al-Quran itu terletak pada bahu umat Islam dan al-Quran menjadi petunjuk kepada orang yang bertaqwa.

‘‘Kita sebagai umat Islam perlu menjaga maruah Islam, jangan sampai meletakkan al-Quran itu di tempat yang rendah sekali.

‘‘Ayat al-Quran bukannya sebagai bahan ketawa dan untuk dihina tetapi kita sebagai umat Islam perlu menjaga dan memeliharanya sehingga sesiapa yang memegangnya mesti ada wuduk,” katanya.

Nooh yang juga bekas Mufti Johor memberitahu, al-Quran sepatutnya digunakan oleh para ulama dan ilmuwan Islam untuk menerangkan keadilan, kesederhanaan dan keindahan Islam kepada orang bukan Islam dengan harapan mereka menerima Islam tanpa paksaan.

‘‘Tetapi bukan sebaliknya, iaitu orang bukan Islam pula merujuk pada al-Quran dan disampaikan pula kepada orang Islam. Itu sudah terbalik,” tambahnya.


UTUSAN MALAYSIA

Pas pertahan tindakan Gobalakrishnan

PORT DICKSON 5 Okt. – Tidak salah Ahli Parlimen Bagan Serai, N. Gobalakrishnan menggunakan petikan ayat suci al-Quran ketika berkempen kerana ia bertujuan untuk menguatkan hujah sewaktu berceramah.

Itu alasan yang diberikan oleh Naib Presiden Pas, Salehuddin Ayub ketika mempertahankan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang memetik ayat dari surah al Imran dalam ucapannya di markas Pas di sini malam kelmarin.

Menurut Salehuddin, tindakan itu tidak salah malah bukannya sesuatu yang bertentangan dalam Islam kerana apa yang dilakukan oleh Gobalakrishnan itu bertujuan untuk mempertahan serta menguatkan hujahnya.

Justeru beliau berkata, golongan yang menyelar tindakan Gobalakrishnan kerana tindakannya memetik ayat-ayat suci al-Quran ketika berkempen disifatkan sebagai mereka yang berfikiran lapuk dan terkebelakang.

‘‘Salah ke Gobalakrishnan memetik beberapa ayat al-Quran di dalam ceramahnya? Pas melihat ini bukannya satu kesalahan kerana tujuan Gobalakrishnan adalah untuk menguatkan hujahnya ketika memberi ceramah.

‘‘Di Mesir, rakyatnya yang bukan beragama Islam antaranya masyarakat Yahudi sering memetik ayat-ayat suci al-Quran.

‘‘Sebenarnya Islam tidak pernah menghalang orang yang bukan Islam berbuat demikian,’’ katanya di markas Pas Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang di sini hari ini.


UTUSAN MALAYSIA



Negara malap jika pembangkang berkuasa

DUNGUN 5 Okt. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, keadaan negara akan menjadi malap dan buruk sekiranya pentadbiran kerajaan berpindah daripada Barisan Nasional (BN) kepada pembangkang kerana kebanyakan pemimpin pembangkang sanggup menukar pendirian semata-mata untuk mendapat populariti dan sokongan rakyat.

Katanya, ada juga dalam kalangan mereka sanggup menghalalkan sesuatu yang dulunya mereka anggap haram semata-mata untuk memuaskan hati musuh yang kini menjadi rakan dalam pakatan pembangkang.

"Dulu Pas kata kerjasama dengan bukan Islam akan jadi kafir, sekarang bukan sahaja mereka bekerjasama dengan bukan Islam, tapi dia kata ternak babi pun tak apa, tapi orang Islam tak boleh makan babi.

"Dia (Pas) ambil tafsiran dalam al-Quran kata (orang Islam) tak boleh makan babi, dia tak kata tak boleh ternak (babi). Kalau dah ambil tafsiran macam tu, maknanya kita boleh ternak, kita boleh jual babi, kita boleh masak babi, tapi jangan makan, fasal nak setuju juga dengan orang ini, kita sanggup tukar pendirian kita sama sekali," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menyampaikan wacana bertajuk Dari Minda Tun, Ketuanan Melayu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu, kampus Dungun, di sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah.

Dr. Mahathir berkata, Malaysia tidak mampu mempunyai pemimpin yang tidak berpendirian dan hanya mencari populariti diri.

"Kalau orang macam ini jadi pemimpin, susahlah," katanya.

Mengulas masa depan politik UMNO selepas ini, beliau berkata parti itu masih relevan, namun pemimpin dan anggota termasuk dari akar umbinya perlu bijak dan berani dalam bertindak.

"Kalau pemimpin buat sesuatu yang tak baik, mereka perlu suarakan... Saya sangat menyambut baik pelantikan Senator Datuk Seri Idris Jala sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. Sepatutnya ada lebih ramai dilantik dari luar parti berbanding dari dalam parti untuk pegang jawatan," katanya.

Berhubung kemelut yang kini melanda UMNO Terengganu, beliau berkata, pimpinan tertinggi parti perlu menyelesaikan rasa tidak puas hati yang ditimbulkan pihak-pihak terlibat bagi mengelak wujudnya puak-puak berbeza dalam UMNO di negeri itu.

Dalam ucapannya pula, Dr. Mahathir menyeru pelajar bumiputera untuk lebih berani bersaing dengan kaum lain, termasuk memilih untuk belajar di institusi pengajian tinggi swasta yang tidak didominasi oleh bumiputera seperti UiTM.


BERNAMA





Dakwaan Pas mengenai pemilih pos salah - SPR

KUALA LUMPUR 2 Okt. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan dakwaan Pas bahawa hanya 1,200 pemilih pos sahaja yang berada di kem yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang berbanding 4,604 yang berdaftar kerana sudah pencen atau berkhidmat di luar kawasan sebagai tidak benar.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, kesemua pemilih pos yang diwartakan itu ialah mereka yang direkodkan Kementerian Pertahanan sebagai petugas di kem berkenaan.

Katanya, dalam hal ini Pas tidak boleh samakan seseorang tentera yang berdaftar sebagai pemilih pos dengan pemilih biasa kerana jenis pekerjaan itu memerlukan mereka berkhidmat di luar kem yang didaftarkan seperti menjalani latihan di tempat lain.

''Takkanlah kalau tentera laut yang didaftarkan tempat bekerja di kem Lumut, dia mesti berada sepanjang masa di kem. Sebagai tentera laut mungkin dia sedang berlayar.

''Begitu juga dengan Kem Sri Rusa. Mereka ada yang jalani latihan atau bersama pasukan ditempatkan di kawasan di luar kem untuk tugas tertentu. Tak kan askar kena duduk dalam kem saja.

''Mengenai dakwaan ada pemilih pos yang sudah lama bersara juga tidak betul, kita kemas kini rekod sebelum warta pada September lalu. Pelik juga kenapa mereka tak faham kerana ini bukan baru kita gunakan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali pada sidang akhbarnya pagi ini mendakwa hanya 1,200 pemilih pos yang sebenarnya mempunyai 'kehadiran fizikal' atau bertugas di kem dalam DUN Bagan Pinang.

Menurut Mustafa, lebih 3,000 yang lain sama ada sudah bersara atau pun sudah tidak lagi berkhidmat di kem berkenaan.

Sementara itu, Wan Ahmad menjelaskan undang- undang pilihan raya menetapkan daerah mengundi bagi pemilih pos ditentukan mengikut kem mana seseorang tentera itu didaftarkan oleh Kementerian Pertahanan.

''Mungkin ketika ini dia mengikut kontinjen bertugas di Sarawak tetapi didaftarkan bekerja di kem di Bagan Pinang, maka dia layak. Ini sama juga yang dilakukan di Wangsa Maju, Gemas, Lumut dan sebagainya.

''Bukannya baru kita guna kaedah ini. Jadi apa yang nak dipelikkan pula kali ini,'' jelasnya.

Pada masa sama Wan Ahmad menyifatkan kenyataan Mustafa yang mempersoalkan bendera UMNO dibenar dipasang sedangkan yang bertanding adalah BN hanyalah sebagai satu usaha untuk mengelirukan rakyat.

Menurutnya, peraturan pilihan raya adalah jelas kerana BN adalah gabungan berdaftar dan sehubungan itu bendera parti komponen boleh dinaikkan manakala pakatan pembangkang tak berdaftar.

''Sebab itu hanya Pas saja dibenarkan. Kalau pakatan berdaftar sebagai satu gabungan macam BN dengan setiap simbol parti komponen didaftarkan maka pakatan juga boleh naikkan bendera pakatan beserta bendera simbol parti komponen mereka walaupun yang bertanding itu Pas.

''Saya pelik sikit, macam sekadar nak timbul kekeliruan kerana yang bercakap itu sudah berpuluh tahun terlibat dalam pilihan raya. Saya percaya beliau lebih daripada faham. Harap mereka patuh.

''Tapi kalau nak naikkan juga, lepas ini pakatan kena daftar. Kalau tak daftar, parti yang tak bertanding tetap tak boleh naikkan simbol mereka, kita tak akan berkompromi, salah kita ambil tindakan,'' tegasnya.


UTUSAN MALAYSIA

Shahruddin isytihar keluar PKR

PORT DICKSON 2 Okt. – Ahli jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Teluk Kemang, Shahruddin Abd. Hamid, 52, hari ini mengisytiharkan keluar daripada parti itu bagi membolehkannya bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang sebagai calon Bebas.

Serentak itu, beliau turut melepaskan jawatan sebagai Ketua Penaja PKR DUN Lukut serta keahlian parti berkenaan.

Beliau berkata, langkah itu juga bagi menyahut cabaran Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Naib Presiden Pas, Salehuddin Ayob supaya beliau meletakkan jawatan dalam PKR.

‘‘Dengan keputusan ini saya akan hadir pada hari penamaan calon esok bersama penyokong di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) sebagai calon Bebas.

‘‘Hari ini saya umumkan secara rasmi keluar daripada PKR kerana saya mendapat petunjuk bahawa saya perlu bertanding pada pilihan raya kecil kali ini,” katanya pada pemberita di sini hari ini.

Shahruddin yang juga seorang peniaga sebelum ini merupakan pegawai di pejabat Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin yang juga Pengerusi Perhubungan PKR negeri.

Beliau sebelum ini telah memberikan komitmen untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.

Semalam, Pengarah Pilihan Raya Pusat PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR akan memecat Shahruddin sekiranya meneruskan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil itu.

Dalam pada itu, Shahruddin yang juga anak jati Bagan Pinang berkata, berdasarkan pengamatannya dijangka 30 peratus daripada pengundi berdaftar DUN Bagan Pinang akan berpihak kepadanya.

Ujarnya, daripada jumlah itu, 20 peratus merupakan pengundi atas pagar, lima peratus penyokong pakatan pembangkang dan lima peratus lagi penyokong Barisan Nasional (BN).

‘‘Mengapa saya kata saya boleh mendapat sokongan daripada penyokong-penyokong pakatan pembangkang dan BN. Ini disebabkan kedua-duanya bergolak. Pembangkang pun bergolak, BN juga bergolak.

‘‘Akan ada pengundi yang tidak memilih mereka.

Saya perlu mengambil kesempatan ini untuk menarik mereka mengundi saya,” katanya.


UTUSAN MALAYSIA

80 % Dijangka Keluar Mengundi

PORT DICKSON 1 Okt. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka jumlah keluar mengundi dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang 11 Oktober ini akan mencapai 80 peratus.

Setiausaha SPR, Datuk Ngah Senik berkata, ia berikutan cuti hujung minggu yang memberi lebih masa kepada pengundi untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

“Kita juga harap jumlah pengundi lebih ramai daripada peratusan yang kita sasarkan memandangkan hari pembuangan undi adalah Ahad, ia memberi kelebihan buat mereka untuk keluar mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Taklimat Bersama Media bagi Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang di sini hari ini.

Ngah memberitahu, keputusan pilihan raya kecil itu dijangka diketahui sekitar pukul 8 malam, hari yang sama.

Pada masa sama, beliau menasihati calon parti yang bertanding supaya berada di pusat penjumlahan undi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson sejam lebih awal.

“Kita nasihatkan calon parti yang bertanding berada di pusat penjumlahan undi sejam lebih awal. Kalau mereka tidak hadir, kita tetap buat pengumuman,” katanya.

Sementara itu, beliau menyarankan pengamal media adil membuat sebarang laporan supaya ia tidak dilihat berat sebelah sebaliknya melaporkan pendapat pelbagai pihak.

“Saya fikir jika media boleh beri sama rata kepada calon dan parti yang bertanding, laporannya adil dan tidak memihak, ia tidak menjadi masalah’' ujarnya.

Tambahnya, pengundi juga boleh menyemak daftar pengundian menerusi laman web SPR, www.spr.gov.my atau khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPR SEMAK No. kad pengenalan dan hantar ke 15888 atau hubungi talian 06-6404084.


UTUSAN MALAYSIA

Nik Aziz belum sedia undur

KOTA BHARU 1 Okt. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyerahkan kepada kepimpinan Pas negeri dan penyokong parti itu untuk menentukan masa terbaik untuk beliau melepaskan jawatan yang disandangnya sejak sekian lama.

Bagaimanapun, katanya, dalam keadaan sekarang tiada alasan untuk beliau meletakkan jawatan apatah lagi tahap kesihatannya masih mengizinkan beliau terus memikul tanggungjawab menerajui pemerintahan negeri.

Sehubungan itu, tegasnya, beliau tidak akan tunduk kepada desakan pihak tertentu agar melepaskan jawatan itu hanya kerana faktor terlalu lama berada di kedudukan itu.

"Tidak ada sebab untuk saya meletakkan jawatan. Saya lebih tahu tentang kesihatan saya dan parti sendiri tahu mengenai kedudukan saya.

"Kalau saya tidak senang dan kesihatan saya teruk, ataupun parti minta berhenti barulah saya akan berundur. Selagi tubuh saya sihat dan parti tidak minta saya buat demikian, maka saya tidak akan berundur," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas mengulas dakwaan beberapa pemimpin bahawa beliau sudah terlalu lama memegang jawatan Menteri Besar.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka memegang jawatan Menteri Besar sejak 1990 dan persoalan bila beliau akan melepaskan jawatan kepada bakal penggantinya tercetus sejak beberapa tahun lalu.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali menyenaraikan 10 hujah kenapa Nik Abdul Aziz perlu meletak jawatan, antaranya mendakwa pemimpin tersebut sudah terlalu lama memimpin dan gagal memajukan negeri.

Mengulas lanjut, Nik Abdul Aziz berkata, keputusan pilihan raya umum lalu menjadi bukti bahawa kepimpinan beliau masih ditagih rakyat negeri ini.

"Tengok pada keputusan pilihan raya umum dahulu. Daripada 45 kerusi yang dulu kita cuma dapat 23, sekarang ini hanya ada enam sahaja yang kita tak dapat.

"Faham sendirilah. Ini cuma 'politiking' bukan politik. 'Politiking' lain, politik lain," ujarnya.


UTUSAN MALAYSIA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers