Photobucket

JUARA RAKYAT Jadi Program BN

TANJUNG MALIM 6 Mac - Program Juara Rakyat yang diterajui oleh UMNO kini telah diterima sebagai program Barisan Nasional (BN), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu dipersetujui oleh Dewan Tertinggi BN dalam mesyuaratnya yang diadakan baru-baru ini.

Katanya, ia membuktikan bahawa semua komponen BN, sama ada di Semenanjung atau di Sabah dan Sarawak bersatu dalam gagasan 1Malaysia dan berkongsi perjuangan politik yang sama.

"Saya membawa perkara ini dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang lalu.

"Walaupun pada peringkat awal (program) Juara Rakyat ditaja oleh UMNO, seluruh kepimpinan BN berkata ia harus menjadi program BN dan Dewan Tertinggi BN bersetuju," katanya.

Beliau mengumumkan perkara itu sewaktu berucap pada majlis pelancaran Program Juara Rakyat Peringkat Negeri Perak di Tasek YDP, Slim River, dekat sini hari ini.

Walaupun berlangsung dalam suasana panas terik, program berkenaan berjaya menarik kira-kira 10,000 pengunjung.

Hadir sama pada majlis itu ialah isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; pemimpin-pemimpin BN Pusat dan negeri Perak.

Turut hadir bekas pemimpin pembangkang iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi; ADUN Changkat Jering, Osman Mohd. Jailu, ADUN Jelapang, Hee Yit Fong dan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd. Fairus Khairuddin.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menerima 315 borang keahlian Rakan Kelab Penyokong BN Parlimen Bagan Datoh yang terdiri daripada bekas ahli PKR.

Selain itu, beliau menyampaikan sijil dan derma siswa kepada pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2009 serta para graduan daripada keluarga miskin.

Sementara itu, Muhyiddin menjelaskan, program Juara Rakyat bukanlah sesuatu yang baru kerana pada dasarnya UMNO dan BN merupakan parti yang telah lama menjuarai isu-isu rakyat.

Katanya, pengenalan program berkenaan merupakan satu iltizam bahawa parti itu akan meneruskan tradisi berkenaan bagi memastikan rakyat terus terbela.

"Sebagai parti yang dinamik, UMNO dan BN sentiasa mengikuti perkembangan semasa, ia tak statik sebaliknya harus mendepani zaman.

"Ia harus berada di hadapan dalam usaha membawa perubahan kepada rakyat jelata, maka dengan sebab itulah hari ini kita menyatakan iltizam baru, apa masalah rakyat kita akan ambil langkah dan tindakan yang sesuai," tegasnya.

UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers