Photobucket

Pemecatan Anwar SAH

PUTRAJAYA 8 Mac - Pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada semua jawatan dalam kerajaan 11 tahun lalu, sah di sisi undang-undang setelah Mahkamah Persekutuan memutuskan pelantikan dan pelucutan jawatan menteri Kabinet merupakan kuasa Perdana Menteri.

Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff menyatakan, Yang di-Pertuan Agong langsung tidak mempunyai budi bicara mempertikai atau menolak sebarang pelantikan mahupun pemecatan menteri.

Jelas beliau, ini kerana sistem Raja Berperlembagaan mengehadkan kuasa Seri Paduka berbuat demikian memandangkan rujukan kepada baginda seperti yang dizahirkan di bawah Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan hanya satu formaliti.

Dengan keputusan itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku responden pertama dan kerajaan Malaysia responden kedua bertindak mengikut undang-undang ketika memecat Anwar daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

''Kuasa memilih dan melantik Menteri Kabinet terletak di tangan Perdana Menteri, jika beliau memutuskan seseorang menteri itu meletak jawatan, Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa menyatakan sebaliknya.

''Prinsip undang-undang jelas menyatakan bahawa hanya pihak yang melantik berhak melakukan pemecatan,'' ujar Hakim Alauddin ketika membacakan penghakiman bertulisnya setebal 33 muka surat.

Sehubungan itu, mahkamah berpuas hati bahawa Seri Paduka tiada pilihan selain bertindak atas nasihat Perdana Menteri kerana beliau yang bertanggungjawab memilih, melantik dan memecat Menteri Kabinet.

Hakim Alauddin menyatakan demikian ketika menggariskan alasan berhubung keputusan panel tersebut menolak rayuan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu terhadap pemecatannya pada pukul 5.30 petang, 2 September 1998.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Wira Mohd. Ghazali Mohd. Yusoff dan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan pemecatannya sah di sisi undang-undang.

Dalam rayuannya, Ketua Pembangkang tersebut menyatakan, pemecatan itu bercanggah dengan Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan kerana ia jelas menyatakan hanya Seri Paduka berhak memecat menteri Kabinet atas nasihat Perdana Menteri.

Anwar dipecat melalui surat yang ditandatangani oleh Dr. Mahathir yang antara lain menyatakan:

''Dengan dukacitanya, saya terpaksa melucutkan jawatan-jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan daripada Datuk Seri serta lain-lain jawatan yang dipegang dalam Kerajaan.

''Pelucutan ini berkuat kuasa dari hari ini, 2 September 1998 mulai pukul 5.30 petang. Pelucutan ini telah dimaklumkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong."

Sementara itu, Anwar dalam reaksi ringkasnya kepada pemberita di luar mahkamah berkata, beliau telah menjangkakan keputusan tersebut.

Peguam Karpal Singh ketika berhujah sebelum ini menyatakan, Dr. Mahathir bertindak tanpa mengikut perlembagaan ketika memecat Anwar kerana beliau sekadar menyampaikan atau memaklumkan keputusan yang dibuatnya, bukan menasihati baginda.

Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaludin Md. Said pula berhujah, Yang di-Pertuan Agong tidak membantah pemecatan Anwar ketika disampaikan oleh Dr. Mahathir dan ia jelas menunjukkan baginda memperkenankan keputusan tersebut.

UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers