Photobucket

Pendidikan Seks: GPMS Kedah Tidak Setuju

ALOR SETAR 23 Mac - Pendedahan awal mengenai pendidikan seks di sekolah dikhuatiri akan disalahgunakan oleh pelajar dan bukannya membantu mengurangkan gejala sosial.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Zuraidi Rahim berkata, walaupun cadangan melaksanakan pendidikan seks antara lain bertujuan memberi kesedaran kepada golongan muda, namun kemungkinan besar ia juga akan membawa lebih banyak keburukan.

Katanya, tidak mustahil pelajar akan mudah terjebak dengan perlakuan seks bebas jika mereka menyalahgunakan ilmu yang dipelajari dalam sukatan pelajaran tersebut.

"Kami cukup khuatir pelajar akan cuba 'macam-macam' dengan ilmu yang mereka peroleh itu kerana penerimaan mereka termasuk sesetengah remaja terhadap sesuatu perkara lebih kepada untuk seronok.

"Cara berfikir mereka lain daripada golongan yang sudah dewasa serta matang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada program soal jawab yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 malam tadi, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyarankan agar pendidikan seks dimasukkan dalam kurikulum pembelajaran di sekolah ekoran peningkatan kes buang bayi dan pelbagai gejala sosial di kalangan remaja.

Menurut beliau, maklum balas diterima kementeriannya menunjukkan masih ada remaja yang tidak memahami implikasi yang mungkin berlaku jika mereka melakukan hubungan seks luar nikah.

Zuraidi berkata, subjek pendidikan seks tidak perlu dikhususkan kerana mata pelajaran Sains sudah memadai bagi tujuan berkenaan.

Selain itu, katanya, banyak cara lain boleh digunakan untuk mengelakkan golongan muda terjebak dengan gejala sosial seperti mengadakan taklimat dan mempergiatkan lagi program kesedaran bahaya seks luar nikah.

"Jika dilihat daripada segenap aspek, GPMS Kedah tidak nampak apa motif untuk melaksanakan subjek pendidikan seks dalam kurikulum pembelajaran di sekolah," katanya.

UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers