Photobucket

Bezanya PAS dahulu dan PAS sekarang...

PAS dahulu berjuang untuk menegakkan negara Islam dan melaksanakan syariat hudud, qisas & ta'zir. sebab itulah PAS pada masa itu disokong dan didokong oleh ramai anak muda yang dahagakan pengembalian pemerintahan Islam!

Tetapi PAS pada masa sekarang jauh terpesong dari perjuangan asal.
PAS sekarang sedia bersekongkol dengan kafir harbi DAP.
PAS sekarang sanggup mengadakan perjanjian persefahaman penubuhan Kerajaan Pakatan Rakyat bersama DAP/PKR yang tidak menerima undang-undang Islam dan menolak perlaksanaan hudud, qisas & ta'zir.
PAS sekarang membenarkan nama ALLAH digunakan secara syirik oleh kumpulan Kristian.
PAS sekarang membenarkan tempat sujud ruku' umat Islam dicemari oleh kaki kafir harbi yang tidak menghormati hukum berpakaian Islam.
PAS sekarang menghalalkan penggunaan hasil arak untuk pembangunan.
PAS sekarang membenarkan anak isteri dijadikan bahan gadai politik dengan bai'ah talaq tiga.
PAS sekarang membenarkan kuil hindu dibina dikawasan perumahan orang Islam.
PAS sekarang bersedia meletakkan calun kafir bertanding atas tiket PAS.
PAS sekarang bersekongkol dengan Anwar Ibrahim!

rujuk : http://zul4kulim.blogspot.com

Orang Sudah Tidak Percaya Anwar : Dr Mahathir

KEMAMAN - Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pihak luar semakin tidak percaya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dengan itu kerajaan tidak perlu bimbang dan menghalangnya daripada pergi ke luar negara bagi mengelak ketua pembangkang itu daripada terus menghina Malaysia.

Lagipun, kata bekas perdana menteri, jika Anwar dihalang ke luar negara, ini akan menimbulkan kemarahan terhadap kerajaan, dan kerajaan akan berdepan dengan pelbagai tuduhan.

"Kita tak patut halang dia keluar negara. Saya tak fikir kita patut takut kepada dia. Kita buat macam itu, orang lagi jadi marah kepada kita, benci kepada kerajaan. Nanti mulalah orang cakap kerajaan itu dan ini.

"Tak apalah, saya ingat orang lain pun tak percaya kepada dia dah, siapa nak percaya. Kalau saya, saya tidak peduli. Bukan orang itu yang nak mengundi, yang mengundi orang di sini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Eastern Pacific Industrial Corporation (Epic) Berhad di Kemaman Supply Base kawasan Perindustrian Teluk Kalong di sini, hari ini.

Dr Mahathir sebelum itu menyampaikan syarahan perdana bertajuk "Cabaran Umat Islam Pada Masa Kini" di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman anjuran Institut Pembangunan Terengganu dengan kerjasama Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu yang dihadiri oleh hampir 5,000 orang kakitangan awam dan masyarakat sekitar.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan isteri Toh Puan Norliza Mahmud dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

SINAR HARIAN

TPM Bidas Tindakan Anwar

BATU PAHAT 4 Julai – Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sanggup bersekongkol dengan rejim Zionis dan Yahudi semata-mata mahu mencapai matlamat menjadi Perdana Menteri.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pemimpin parti pembangkang itu sanggup menghalalkan apa sahaja bagi memenuhi perjuangan asalnya yang berasaskan nafsu amarah dan hanya memikirkan soal mendapatkan kuasa.

“Sikap seperti sesumpah ini maknanya bertukar-tukar kata, bila berjumpa dengan satu pihak di sini dia kata, kita mesti mengecam Israel dan Zionis tetapi apabila ke luar negara, pergi Amerika Syarikat (AS), dia minta maaf.

“Jadi sikap yang berdolak dalik ini bermakna satu pembohongan yang tujuannya tidak lain tidak bukan, iaitu untuk mempengaruhi pengundi supaya menyokong beliau menjadi Perdana Menteri kerana sejak dahulu lagi hajat dia masih belum tercapai, sebab itulah dia menghalalkan segala-galanya asalkan tercapai cita-cita,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat di Dewan Jubli Intan di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa rakyat tidak terpedaya dengan politik ‘sesumpah’ yang diamalkan Anwar yang lebih mementingkan politik peribadinya untuk menjadi Perdana Menteri.

Muhyiddin berkata, hubungan baik antara Anwar dengan tokoh-tokoh Yahudi dan Zionis sudah lama diketahui umum.

“Dia pandai memutar belit fakta, kita semua tahu siapa Anwar sebelum ini pun,” jelasnya.

UTUSAN MALAYSIA

Pembangkang Menyusup Jadi Ahli UMNO?

LUMUT 4 Julai - Pakatan pembangkang di negeri ini dikesan mengubah strategi mereka dengan menyusup masuk sebagai ahli UMNO untuk memecahbelahkan parti itu dari dalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ketika mendedahkan perkara itu berkata, pembangkang menggunakan taktik tersebut kerana semakin terdesak selepas ceramah politik mereka tidak mendapat sambutan manakala UMNO pula terus mendapat sokongan rakyat.

Sehubungan itu, beliau meminta ahli UMNO supaya berhati-hati dan tidak melayan sekiranya ada pihak tertentu cuba melaga-lagakan sesama mereka.

''Satu demi satu cara digunakan untuk meruntuhkan UMNO tetapi mereka tidak berjaya dan kini mengubah strategi dengan masuk ke dalam UMNO. Cucuk sana dan cucuk sini kerana hanya dengan meretakkan UMNO, barulah mereka akan jadi kuat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Lumut di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zambry yang juga Ketua UMNO Bahagian Lumut meminta semua ahli UMNO di negeri ini tidak mengambil sikap duduk dalam zon selesa sebaliknya sentiasa berada dalam 'zon perang'.

Katanya, mulai sekarang, ahli UMNO perlu bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 dan menepis tohmahan dan fitnah yang ditabur pembangkang.

''Kita perlu bekerja kerana pada waktu ini kita berada dalam zon perang dan suasana perang memerlukan kita memakai pakaian perang iaitu perlu bersiap siaga dan semangat kita perlu kuat," ujar beliau.

Mengulas mengenai perebutan jawatan Menteri Besar Selangor di kalangan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), beliau berkata, barulah sekarang mereka tahu mereka tidak mampu menahan keinginan untuk merebut 'harta rampasan perang'.

Katanya, apa yang berlaku itu sama seperti dalam cerita 'Ali Baba Bujang Lapuk' apabila mereka berebut-rebut harta.

''Perebutan ini antara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Azmin Ali iaitu siapa yang hendak dapat lebih dan mereka berebut sakan," katanya.

UTUSAN MALAYSIA

Usah Jadi Primadona Dalam UMNO - Najib

Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad menegur anggota dan pemimpin-pemimpin UMNO supaya tidak bersikap sebagai primadona, yang akhirnya dilihat akan hanya merosakkan parti itu.

Perdana Menteri yang membuat analogi kejayaan pasukan bola sepak yang sedang bertanding di Piala Dunia ketika ini berkata hanya pasukan yang mempunyai semangat berpasukan yang tinggi sahaja akan berjaya berbanding pasukan yang mempunyai ramai "primadona".

"Dalam Piala Dunia, pasukan favourite pun kalah. Adakah pasukan favourite UMNO dan Barisan Nasional boleh berjaya dalam pilihan raya umum ke-13 nanti?.

"Kalau pasukan kita banyak "primadona", dia kira nak sumbat gol sendiri, alih-alih dia tersungkur, kita bina semangat berpasukan, individu yang ada kebolehan akan lebih berjaya jika ada semangat berpasukan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian mesyuarat UMNO bahagian Pekan di Pekan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pekan berkata semua aanggota dan pemimpin UMNO perlu kembali kepada asas perjuangan dengan meletakkan kepentingan parti melebihi daripada kepentingan-kepentingan lain.

Najib berkata dalam sistem politik berparlimen, kedudukan parti politik sentiasa saja akan mengalami pasang surut dan boleh merudum jika tidak melakukan perkara-perkara yang disenangi rakyat.

Perdana Menteri berkata usaha menguruskan kejayaan parti yang telah berjasa kepada bangsa, agama dan negara itu sebenarnya lebih payah berbanding untuk meraih kejayaan.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Najib berkata kiasan itu lebih berbentuk nasihat dan bukanlah bererti UMNO kini berada dalam keadaan lemah.

"Ia lebih berbentuk nasihat, apa yang saya sarankan ini sebagai nasihat, nasihat saya sebagai Presiden, untuk diri saya juga.

"Kita mesti sentiasa mengingatkan bukan bererti keadaan terlalu buruk sangat, tapi saya ingin yang terbaik untuk UMNO, kita menghadapi pelbagai cabaran, supaya dari proses ini kita jadi parti dan pemimpin yang disanjung rakyat," katanya.

Najib berkata analogi kejayaan pasukan bola sepak yang bertanding di Piala Dunia itu adalah supaya semua anggota dan pemimpin UMNO lebih bersikap mementingkan parti atau pasukan daripada lebih bersikap individulistik.

"Maknanya sebagai sepasukan, kita tengok pasukan dalam Piala Dunia, lebih berjaya dari pasukan yang utamakan individu," katanya.

Ditanya berkenaan perjalanan mesyuarat bahagian UMNO yang sedang berlangsung ketika ini, Najib berkata perjalanan mesyuarat berkenaan kini dipantau sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pengurusan melalui laporan yang dibuat Badan-badan Perhubungan Negeri.

"Setakat ini, saya tidak dapat laporan negatif, semua berjalan baik walaupun satu bahagian di Kelantan timbulkan masalah yang agak rumit yang sedang ditangani Badan Perhubungan UMNO Kelantan dan Jawatankuasa Pengurusan," katanya.

AGENDA DAILY - 4/7/2010

Bekas pemimpin minta ROS siasat PKR

IPOH 4 Jun - Bekas Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Ipoh Barat, Fauzi Muda hari ini mendakwa parti itu melakukan penipuan dalam penyediaan laporan tahunannya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Pendaftar Pertubuhan (ROS) menyiasat dakwaan tersebut.

"Saya membuat aduan kepada ROS ini agar dapat menjalankan siasatan bahawa selama ini PKR adalah sebuah parti yang menipu.

"Rakyat harus sedar, PKR sudah tenat dan mereka tidak harus tertipu dengan menyokong parti didokong oleh pemimpin berkepentingan diri sendiri," katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menyerahkan memorandum meminta ROS menyiasat dakwaan penipuan laporan tahunan PKR.

Dakwa Fauzi, kebanyakan cabang PKR Perak yang menjalankan mesyuarat agung tahun lalu tidak sah kerana tidak cukup kuorum.

"Ada cabang-cabang yang tidak menjalankan mesyuarat tetapi menghantar laporan palsu kepada ROS kononnya mereka sudah mengadakan mesyuarat," dakwa beliau.

Laporan yang diberikan oleh cabang-cabang berkenaan, kata Fauzi, adalah palsu dan hanya direka-reka bagi memenuhi kehendak ROS untuk mengelak kedudukan mereka dibatalkan.

Beliau mendakwa, Kongres Nasional Tahunan PKR yang berlangsung pada 28 hingga 30 Mei lalu di Kelantan juga terbatal kerana perwakilan yang hadir adalah tidak sah.

"Saya mendesak ROS supaya menggantung parti itu daripada beroperasi sehingga siasatan menyeluruh dijalankan," katanya.

Fauzi, 51, meletakkan semua jawatan dan mengisytiharkan keluar parti berkuatkuasa serta-merta kerana mendakwa hilang kepercayaan terhadap parti itu pada 15 Mei lalu.

Serentak itu, beliau mengumumkan PKR Ipoh Barat dibubarkan kerana lebih daripada dua pertiga Ahli Jawatankuasanya (AJK) termasuk sayap Wanita mengambil tindakan serupa.

Fauzi sebelum ini pernah membuat dakwaan bahawa beliau ditawarkan RM50 juta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menarik mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini melompat parti.

Kenyataan itu dibuat ekoran tindakan ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi dan ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu meletak jawatan dan keluar daripada PKR.

Fauzi kemudiannya didakwa oleh penyokong pembangkang sebagai individu bertanggungjawab memujuk Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri meninggalkan PKR pada Mac lalu.

UTUSAN MALAYSIA

SELAMAT HARI GURU - 16 Mei 2010

Proton Exora Akan Diperkenal Sebagai Teksi 1Malaysia

KUALA LUMPUR 14 Mei – Bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan awam khususnya teksi, kenderaan pelbagai guna (MPV) Exora keluaran Proton Holdings Bhd. akan dijadikan sebagai teksi 1Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Proton pada 6 April lepas mengenai perkara itu dan berpendapat kenderaan berkenaan dapat memberi keselesaan kepada penumpang.

"Exora dijangka lebih baik daripada model teksi lain yang sedia ada sekarang kerana ia selesa dari segi ruang tempat duduk dan tempat menyimpan barangan.

"Imej teksi bukan sahaja terletak pada mutu perkhidmatan yang ditawarkan malah turut dilakar dari segi tahap kualiti kenderaan,” katanya kepada pemberita sebelum menyempurnakan majlis penyampaian surat tawaran kelulusan (STK) 3,000 lesen baru teksi individu di Lembah Klang di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada masa ini, pengeluaran teksi bajet menggunakan beberapa model kenderaan seperti Iswara, Wira, Waja dan Saga teksi akan diteruskan sehingga November ini selain memperkenalkan model Persona sebagai teksi.

Nazri berkata tahun lalu, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) menerima 5,954 permohonan baru lesen teksi individu dan daripada jumlah itu, 3,000 permohonan diluluskan.

"Daripada jumlah ini, pemohon mengikut kaum ialah Melayu (1,572 orang), Cina (659), India (743) dan lain-lain (26). Daripada angka ini, seramai 2,753 orang adalah lelaki manakala wanita (247),” katanya.


BERNAMA

Skandal Pasir: Ahli Parlimen Wee Choo Keong Keluar PKR


KUALA LUMPUR 14 Mei – Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong hari ini mengisytiharkan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana kesal dengan kepemimpinan PKR dan pakatan pembangkang yang gagal mengambil tindakan terhadap skandal pasir di Dengkil, Selangor.

Katanya beliau setakat ini, tidak bercadang menyertai mana-mana parti dan akan menjadi Ahli Parlimen Bebas.

"Saya mengumumkan keluar parti dan meletakkan jawatan dalam PKR setelah kecewa dengan kepemimpinan tertinggi PKR dan pakatan rakyat yang gagal mengambil tindakan sewajarnya berkenaan isu pasir di Dengkil.

"Saya merasakan saya tidak boleh lagi menyumbangkan khidmat dalam keadaan sebegini terutama isu-isu yang saya sendiri tidak boleh percayai,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Choo Keong, seorang peguam berkata, beliau telah memaklumkan peletakan jawatannya kepada majlis tertinggi PKR.

BERNAMA

Pengasas Al Arqam Meninggal Dunia

IPOH: Ashaari Muhammad, 73, bekas pemimpin kumpulan Al Arqam yang diharamkan, meninggal dunia di Hospital Pakar Ipoh di sini hari ini, tiga hari selepas dimasukkan kerana jangkitan paru-paru.

Ashaari yang juga Pengerusi Syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd berada di sini dalam siri lawatan ke rangkaian perniagaan syarikat berkenaan.

Seorang kakitangan syarikat berkenaan, Marzuki Hussein, 57, berkata jenazah Ashaari yang dipanggil Abuya oleh para pengikutnya telah dibawa ke kampung asalnya di Kampung Pilin, Rembau, untuk dikebumikan.

Katanya, Ashaari berada di sini selepas melawat Thailand dan Kedah dan dikejarkan ke hospital Isnin lepas selepas mengadu sakit dada.

Jurucakap hospital berkenaan sementara itu berkata Ashaari meninggal dunia pada 2.10 petang tadi.

"Ini siri lawatan biasanya ke rangkaian perniagaan Global Ikhwan," kata Marzuki kepada pemberita selepas jenazah Allahyarham Ashaari disembahyangkan di sebuah banglo milik syarikat itu di sini.

Marzuki berkata rumah berkenaan adalah rumah tamu syarikat berkenaan.

Rombongan yang membawa jenazah Allahyarham ke Rembau berlepas dari rumah berkenaan pada kira-kira 5.30 petang tadi.

Kira-kira 200 pengikut Allahyarham turut berada di rumah berkenaan. Kumpulan Al Arqam diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos 1994.

Apabila ajaran Al-Arqam diharamkan, Ashaari ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari 2 hingga 24 Sept 2004 sebelum ditahan mengikut Akta Kediaman Terhad di Rawang dekat sini dan Wilayah Persekutuan Labuan selama 10 tahun.

Al-Arqam diasaskan oleh Ashaari juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah dan aktivitinya berada di kemuncak sekitar lewat 80-an dan 90-an dan dilaporkan mempunyai kira-kira 10,000 pengikut.

Kumpulan itu dilaporkan menyebarkan kegiatan dakwah Islam melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan, perusahaan,perniagaan, perubatan, dan pertanian.

BERNAMA

ADUN PKR Keluar Parti Lagi...


ADUN Bakar Arang umum keluar PKR, jadi wakil rakyat Bebas

KUALA LUMPUR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah kawasan Bakar Arang, Tan Wei Shu semalam mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuat kuasa serta merta dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Wei Shu, 54, berkata, keputusannya keluar dari PKR disebabkan rasa tidak puas hati kerana mendakwa dipermainkan oleh pemimpin parti yang beliau sifatkan sebagai 'kacang lupakan kulit' yang mempergunakannya untuk kepentingan tertentu.

“Setelah beberapa minggu berlalu saya me�nunggu pemimpin parti meminta maaf p:ada saya dalam semu:a akhbar atas pertuduhan bukan-bukan ke atas saya.

:“Pertuduhan yang mengatakan saya tidak layak dan tidak bekerja, pada hal saya sudah buktikan rekod kerja saya dalam dua tahun ini,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini.

:Wei Shu menjadi ADUN kedua dari negeri ini keluar dari PKR menjadi wakil rakyat Bebas selepas Adun Lunas, Mohammad Radzhi Salleh berbuat demikian 23 Ogos tahun lepas.

Ekoran tindakan Wei Shu, Dewan Undangan Negeri Kedah kini terdiri daripada 16 wakil Pas, 14 wakil Barisan Nasional (BN), tiga (PKR), satu DAP dan dua Bebas.

Katanya, tindakan keluar parti itu juga adalah jalan terakhir bagi memastikan dirinya tidak terus dipermainkan dan bersubahat dengan pihak tertentu mempermainkan rakyat.

Sinar


.............

ADUN Bakar Arang Keluar Parti Tepat Pada Masa

RAWANG : Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Tan Wei Shu meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi wakil rakyat Bebas tepat pada masanya.

Beliau berkata, perkara itu menjadi isyarat kepada pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor bahawa ahli dan pemimpin PKR sendiri semakin tidak mempercayai perjuangan parti itu.

"Ini satu petanda bahawa beliau kecewa dan tak yakin dengan PKR, timing pun memang tepat kerana ianya akan memberi satu isyarat kepada pengundi-pengundi di sini.

"Di peringkat Parlimen kita sudah tahu siapa yang keluar jadi Bebas, (sekarang) di peringkat DUN pula, ia menandakan bahawa PKR sudah sampai ke peringkat yang tak boleh dipercayai bukan sahaja oleh ahli biasa tetapi juga pemimpin-pemimpin mereka," katanya selepas mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor di Pusat Operasi BN di Bukit Sentosa di sini.

Wei Shu hari ini mengumumkan keluar dari PKR dan menjadi ADUN Bebas kerana kecewa dipergunakan untuk kepentingan individu tertentu.

Beliau yang juga bekas Exco kerajaan negeri berkata, keputusannya meletakkan jawatan sebagai ADUN adalah muktamad.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, tindakan lebih ramai pemimpin PKR meninggalkan parti itu menandakan mereka sudah tidak boleh dipercayai.

"Ia menandakan PKR sudah sampai ke peringkat yang tak boleh dipercayai bukan sahaja oleh ahli biasa tetapi juga pemimpin-pemimpin mereka.

"Pastinya waktu awal dia jadi ahli PKR, dia mungkin terpengaruh dengan banyak kata-kata (Datuk Seri) Anwar Ibrahim yang hebat-hebat, tapi dalam tempoh dua tahun sudah dapat menilai siapa Anwar, siapa PKR dan apa yang mereka lakukan.

"Jelas terbukti mereka berpendapat perjuangan PKR adalah sia-sia, sebab itulah mereka meninggalkan parti itu," katanya.

mStar

...............

PRK Hulu Selangor - Kamalanathan Calon BN


Saya berjanji bekerja 'siang dan malam' - Kamalanathan

HULU SELANGOR 15 April - Calon Barisan Nasional (BN), P. Kamalanathan, 44, berjanji untuk bekerja keras 'siang dan malam' demi kebajikan rakyat di kawasan Hulu Selangor sekiranya berjaya memenangi pilihan raya kecil Parlimen kawasan itu 25 April depan.

Kamalanathan juga berjanji untuk menjadikan dirinya milik rakyat dengan tumpuan akan diberikan terhadap pembangunan Hulu Selangor, seiring dengan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendirikan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini jika BN kembali memerintah Selangor.

Katanya, pendekatan mesra rakyat akan digunakan bagi memenangi hati pengundi dengan matlamat utamanya adalah untuk menyedarkan rakyat di kawasan itu betapa pembangunan akan hadir serta-merta jika calon BN menguasai semula negeri ini.

''Saya yakin akan menang dan faham apa yang diperlukan penduduk di sini. Saya akan berenang, timbul atau tenggelam bersama rakyat Hulu Selangor dan tidak akan pulang ke Kota Bharu sebaik memenangi pilihan raya.

''Seluruh jentera akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan BN di sini. Iltizam saya adalah untuk berikhtiar sehabis mungkin bagi menghadiahkan Hulu Selangor kepada Perdana Menteri sempena setahun mentadbir kerajaan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas diumumkan sebagai calon BN oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan lebih 5,000 penyokong di Markas Induk BN di Bukit Sentosa di sini hari ini.

Pemilihan Kamalanathan melenyapkan spekulasi mengenai pemilihan Timbalan Presiden MIC, Datuk G. palanivel dan Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan sebagai calon BN di kawasan berkenaan.

Kamalanathan menambah, beliau hanya mengetahui mengenai pencalonannya tengah hari tadi setelah dimaklumkan oleh Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Katanya, beliau benar-benar terharu dengan kepercayaan diberi MIC dan BN sehingga menitiskan air mata.

''Umpama askar yang diarah ke medan perang, saya akan bekerjasama dengan askar-askar lain bukan sahaja untuk mempertahankan kubu malah bergerak gagah menawan kubu lawan," ujarnya.

Ditanya mengenai ketidakhadiran Palanivel pada majlis itu, beliau percaya Timbalan Presiden MIC itu turut merestui pencalonannya pada pilihan raya berkenaan.

''Saya dicalonkan kerana restu Presiden dan Timbalan Presiden BN serta MIC. Begitu juga dengan majlis tertinggi parti dan pemimpin komponen BN, kebanyakan mereka hadir ke sini memberi sokongan.

''Saya kenal para penyokong Palanivel dan telah bertemu dengan mereka. Mereka akan terus saya dekati bagi mendapatkan kerjasama kerana saya tidak boleh berdiri seorang diri," katanya.

Kamalanathan yang juga Ketua Penerangan MIC bagaimanapun enggan mengulas mengenai lawannya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim.

''Saya tidak mahu ulas tentang beliau. Biarlah kerja kita yang membuatkan BN menang dan kita akan turun padang. Apa yang penting, saya tidak akan pulang ke Kota Bharu sebaik menang kerana saya cuma tinggal di Sungai Choh, Rawang," katanya.

................

Calon muda mampu beri kelebihan

KUALA LUMPUR 15 April - Pemilihan calon muda mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini mampu memberi kelebihan kepada parti itu.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, kriteria itu penting bagi menjamin kemenangan BN sekali gus merampas semula kerusi Hulu Selangor daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

''Saya yakin kita ada peluang yang cerah untuk berjaya di Hulu Selangor tetapi kecerahan itu bergantung kepada calon yang akan bertanding.

''Kalau calon muda, saya rasa peluang BN untuk menang adalah cerah kerana suara hati pengundi di situ inginkan pemimpin yang muda," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, maklum balas yang diterima daripada pengundi di kawasan tersebut menunjukkan mereka mahu calon muda untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

''Kita akan pastikan kemenangan calon yang diturunkan untuk bertanding di kawasan itu menang dalam pilihan raya ini," katanya.

................

Isyarat kepada pengundi Hulu Selangor

HULU SELANGOR 15 April - Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Tan Wei Shu mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini memberi petanda kepada pengundi-pengundi bahawa kepimpinan PKR semakin tidak diyakini pemimpin-pemimpinnya sendiri.

Sambil menyifatkan ia waktu yang tepat kerana bakal berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, apa yang dilakukan oleh wakil rakyat berkenaan adalah satu yang agak klasik.

"Ia kerana sebelum ini beberapa Ahli Parlimen PKR sudah pun berbuat demikian. Ini menandakan PKR sudah sampai ke peringkat tidak boleh diyakini dan dipercayai oleh pemimpin mereka sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor di sini hari ini.

Muhyiddin mengulas tindakan Wei Shu yang dalam pengumumannya menyatakan tindakan itu dilakukan kerana kecewa dipergunakan oleh individu tertentu.

Sebelum ini empat ADUN PKR juga sudah melakukan tindakan yang sama. Mereka ialah Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering), Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang), Mohd.Radzhi Salleh (Lunas) dan Badrol Hisham Abdullah (Pelabuhan Klang).

Ahli Parlimen PKR yang berbuat demikian pula ialah Datuk Mohamed Zahrain Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) manakala Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) dipecat daripada parti tersebut.

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata, Wei Shu juga bertindak demikian selepas mendapati perjuangan PKR adalah sia-sia dan menilai sikap sebenar Penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bijak berkata-kata.

"Mungkin pada awal dahulu beliau begitu yakin dengan kepimpinan Anwar dan terpengaruh dengan kata-kata Penasihat PKR tersebut tetapi selepas dua tahun beliau sudah dapat menilai keadaan sebenar.

"Tetapi apa pun sebabnya termasuklah tidak diberi tempat sewajarnya dan layanan yang saksama, beliau berasa kecewa kerana perjuangan dalam PKR tidak ada apa-apa makna," katanya.

Mengenai calon BN, P. Kamalanathan yang akan berhadapan dengan calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim yang dianggap 'heavyweight', Muhyiddin menolak tafsiran tersebut.

Sambil berseloroh beliau berkata, "Mungkin kalau ditimbang, Zaid berat sikit daripada Kamalanathan tetapi sebenarnya PKR menggunakan psikologi kononnya Zaid lebih berwibawa."

"Tetapi kalau kita lihat rekod Zaid, ia bukanlah baik sangat. Saya tidak mahu menyentuh apa-apa tentang beliau, biarlah ia dinilai oleh pengundi-pengundi. Lagipun dia orang asing.

"Apabila saya turun bertemu rakyat di Hulu Selangor, mereka mahu orang (calon) di sini yang dekat dan tahu masalah mereka, soal dia 'heavyweight' atau tidak, itu tidak penting."

................

Pemilihan calon kehendak pengundi - Muhyiddin

HULU SELANGOR 15 April - Ketua Penerangan MIC, P. Kamalanathan diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor, 25 April ini.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis di Markas Induk BN, di Bukit Sentosa di sini hari ini.

Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, pemilihan Kamalanathan yang merupakan anak jati Rawang dilakukan selepas mengambil kira pandangan pengundi di kawasan Parlimen ini yang mahu seorang muka baru diketengahkan.

''Kamalanathan adalah seorang anak muda yang berkelulusan tinggi, fasih dalam tiga bahasa dan tidak mempunyai sebarang rekod buruk, pemilihan beliau menepati semangat gagasan 1Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan," katanya.

Beliau berkata, pemilihan calon daripada MIC itu membuktikan bahawa UMNO tidak tamak dan ingin mengambil kesempatan.

''Kita berpegang kepada semangat setiakawan, ini kerusi MIC, maka kita berikan kepada MIC untuk bertanding.

''Kamalanathan bukannya bertanding atas nama MIC tetapi BN. Beliau akan memberi perkhidmatan kepada semua penduduk tanpa mengira kaum," katanya.

Mengenai Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon yang paling layak, Muhyiddin berkata, beliau sudah bercakap dengan Mugilan sebelum pengumuman dilakukan.

''Saya jelaskan kepada beliau bahawa mungkin hari ini bukan rezeki beliau dan meminta kerjasama untuk turun berkempen, beliau memberi jaminan akan berbuat demikian," katanya.

Pada sidang akhbar selepas itu, Muhyiddin menjelaskan, BN mengambil masa agak panjang untuk membuat keputusan bagi memastikan calon yang dipilih benar-benar memenuhi kehendak pengundi.

''Selama dua minggu kita turun padang mendengar pandangan pengundi dan mereka ternyata mahukan muka baru, oleh itu kita sepakat mencalonkan Kamalanathan kerana beliau mempunyai kriteria yang dikehendaki,'' katanya.

Ditanya ketidakhadiran Datuk G.Palanivel ke majlis itu, Muhyiddin secara terus terang berkata, Timbalan Presiden MIC mungkin sedikit kecewa kerana tidak terpilih.

''Tetapi itu biasalah, kita manusia. Namun saya yakin sebagai Timbalan Presiden MIC, beliau pasti akan turun untuk berkempen bagi membantu BN, lagi pula Kamalanathan bukan orang asing bagi beliau," katanya.

Kamalanathan yang berkelulusan ijazah Komunikasi Massa dari Universiti Edith Cowan, Australia. Beliau adalah Pegawai Perhubungan Awam Serba Wangi Sdn. Bhd anak syarikat Beras Nasional (BN) dan telah menjadi ahli MIC sejak berusia 18 tahun.

................

Samy Vellu terima dengan hati terbuka

HULU SELANGOR 15 April - Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, beliau menerima dengan hati terbuka pemilihan P. Kamalanathan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor pada 25 April ini dan yakin Ketua Penerangan MIC itu akan mampu meraih sokongan pengundi.

Presiden MIC itu berkata, keputusan menamakan Kamalanathan diperakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan parti itu menghormatinya.

"Kamalanathan calon yang layak untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu memandangkan beliau berpendidikan tinggi dan juga fasih dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Tamil.

"Beliau turut terbabit dalam banyak aktiviti sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan selama bertahun-tahun dan ini akan memberi beliau peluang mendapatkan pendekatan untuk berkhidmat kepada rakyat dengan baik.

"Saya hanya boleh mencadangkan seorang calon namun keputusan muktamad terletak dalam tangan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas pengumuman calon BN di Markas Induk BN di Bukit Sentosa, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai keputusannya sebelum ini untuk meletakkan timbalannya, Datuk G.Palanivel sebagai calon sebelum ini, Samy memberitahu beliau sebenarnya telah menghantar dua nama kepada Perdana Menteri.

"Antara dua nama itu, Perdana Menteri memilih Kamalanathan. Kita sentiasa berhubung dengan Perdana Menteri ketika perbincangan semalam dan hari ini.

"Palanivel juga ada beberapa tugas lain untuk dilaksanakan dan beliau boleh jadi calon untuk pilihan raya lain. Sebaik sahaja Perdana Menteri pulang, akan ada perbincangan terus MIC dengannya. Saya yakin, semua hal berbangkit akan selesai," ujarnya.

Sementara itu, Samy mengesahkan bahawa Palanivel bakal menggantikan dirinya untuk mengepalai MIC dalam tempoh sekurang-kurangnya setahun lagi.

"Beliau akan jadi Presiden dalam tempoh 13 atau 14 bulan lagi. Apabila beliau jadi Presiden, beliau boleh pilih siapa calon disukainya untuk bertanding dan berpeluang memilih kawasan yang baik untuk dirinya sendiri," kata beliau.

Mengenai Kamalanathan, beliau percaya latar belakang Kamalanathan sebagai seorang pegawai perhubungan awam dan mengenali ramai wartawan bakal memberi kelebihan kerana dapat berkongsi pandangan dengan rakan-rakannya itu mengenai cara terbaik bagi meraih sokongan dan mentadbir kawasan Hulu Selangor.

Selebihnya kata beliau, usia Kamalanathan yang masih muda selain faktor calon tempatan bakal mendatangkan kelebihan.

"Beliau adalah calon muda yang mempunyai banyak pengalaman sebagai bekas ketua putera dan kini Ketua Penerangan MIC. Berdasarkan pengalamannya itu di samping latar belakang pendidikan serta karier yang baik, saya yakin Kamalanathan mampu meraih sokongan daripada penduduk di sini," katanya.

...............

Sumber : UTUSAN MALAYSIA

Harga Setem Naik Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR : Harga setem pos dalam negeri akan lebih tinggi berkuatkuasa Julai ini sebagai sebahagian daripada strategi Pos Malaysia Bhd untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapannya.

Ini adalah kali pertama Pos Malaysia menyemak harga (setem) sejak pengkorporatannya pada 1992, kata syarikat itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Syed Faisal Albar berkata, kenaikan itu akan memberikan dana tambahan bagi Pos Malaysia menyediakan perkhidmatan yang lebih berkualiti, setara dengan amalan terbaik antarabangsa.

"Dalam tempoh 18 tahun kebelakangan ini, kami telah menyaksikan penyusutan berterusan jumlah mel awam dan Pos Malaysia telah mengambil langkah-langkah untuk mengawal kos di samping mengekalkan produktiviti kami," katanya.

Pada masa yang sama katanya, ini telah menjejaskan keupayaan syarikat melaraskan gaji posmen dan kerani kaunternya yang 19 peratus lebih rendah daripada rakan sejawatan mereka dalam kerajaan.

"Penstrukturan semula gaji posmen dan kerani kaunter akan dilakukan serentak dengan kenaikan harga setem pos domestik," kata Syed Faisal.

Penstrukturan semula gaji akan menjadi satu rangsangan moral bagi kaki tangan operasi sejajar dengan langkahnya untuk meningkatkan prouktiviti dan komitmen mereka ke arah memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti.

Apabila dilaksanakan nanti, harga setem pos domestik bagi mel standard seberat hingga 20 gram akan dinaikkan daripada 30 sen kepada 60 sen dan mel seberat hingga 50 gram harga setem akan dinaikkan daripada 40 sen kepada 70 sen.

Kenaikan harga ini juga melibatkan mel standard yang beratnya kurang daripada 50 gram, mel bukan standard yang beratnya kurang daripada 100 gram, bahan cetak berkala, Pos Dokumen, mel berdaftar dan bungkusan kurang daripada dua kilogram.

Bagaimanapun, kenaikan ini tidak melibatkan mel bukan standard melebihi 100 gram hingga dua kilogram, Peti Surat, beg berkunci dan serahan tingkap.

Pada masa ini, setem pos domestik (30 sen bagi mel standard yang beratnya hingga 20 gram) merupakan yang terendah dalam Asean selepas Thailand.

Dalam kalangan negara Asean, harga setem pos domestik Filipina (pada berat yang sama) adalah yang tertinggi iaitu 66 sen, diikuti oleh Singapura (62 sen), Indonesia (54 sen) dan Brunei (47 sen).

Sementara itu, sejajar dengan aspirasi 1Malaysia Kerajaan, Pos Malaysia akan memperkenalkan Mel Rakyat pada Mei untuk memenuhi keperluan orang yang masih memilih untuk menggunakan perkhidmatan pos pada harga yang lebih rendah.

Mel Rakyat, yang bentuk dan fungsinya serupa dengan mel udara, akan dikenakan kadar tunggal 30 sen bagi penghantaran ke mana-mana alamat dalam Malaysia.

Dengan Mel Rakyat, pelanggan individu yang menyumbang sembilan peratus jumlah mel Pos Malaysia, masih mempunyai pilihan menikmati kadar pos yang lebih rendah bagi keperluan mel domestik mereka.

BERNAMA

KELUAR PKR BERAMAI-RAMAI

V. SUBRAMANIAM bersama sebahagian daripada 300 ahli PKR yang hadir melaungkan kata-kata semangat untuk keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kampung Tengku Hussein Hujung, Manjoi, Ipoh, Perak, kelmarin. - UTUSAN/Mohd. Najib Mohd. Nor

Kecewa dengan sikap dan cakap tidak serupa bikin para pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyebabkan seramai 700 ahli Pemudanya dari Bahagian Ipoh Barat bertindak keluar parti itu beramai-ramai, kelmarin.

Ketua Pemudanya, V. Subramaniam menjangkakan lebih ramai ahli parti itu akan keluar kerana telah sedar dengan apa yang berlaku.

Pengumuman keluar parti itu dilakukan di Kampung Tengku Hussein Hujung, Manjoi, Ipoh.

Hadir sama ialah Naib Ketuanya, Sherol Aizam Mohd. Damanhuri; Ketua Penerangan, Mokhtar Kodin dan Setiausaha, S. Vikneswaran.

Pemuda PKR Ipoh Barat ketika ini mempunyai kira-kira 900 ahli.Menurut Subramaniam, pemimpin PKR bukan sahaja bersikap 'cakap tidak serupa bikin,' malah mendakwa turut tidak menghormati agama lain.

UTUSAN MALAYSIA

Ahli Parlimen PKR Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR 25 Mac – Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Selangor, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia di rumahnya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras, Kajang malam ini.

UTUSAN MALAYSIA

Kerusi DUN Titi Tinggi Tidak Kosong - SPR

PUTRAJAYA 24 Mac - Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Titi Tinggi, Perlis tidak kosong dan penyandangnya, Yip Sun Onn masih anggota DUN yang sah, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Abdul Aziz berkata, setakat ini SPR belum lagi menerima sebarang surat rasmi mengenai peletakan jawatan Sun Onn daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Datuk Yazid Mat.

"Walaupun Speaker sudah sahkan terima surat itu tetapi selagi SPR tidak menerima sebarang surat rasmi, kerusi DUN itu tidak kosong dan hanya SPR sahaja yang boleh memaklumkan mengenai sebarang kekosongan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ditanya berapa lama Speaker boleh memegang surat peletakan jawatan itu, Abdul Aziz berkata, tempoh masa bagi Speaker boleh memegang surat itu tiada dalam undang-undang.

"Itu semua terpulang kepada urusan Speaker dan anak buahnya," katanya.

Semalam, Speaker DUN negeri itu, mengesahkan menerima surat peletakan jawatan daripada Sun Onn yang juga Naib Ketua MCA bahagian Padang Besar pukul 3 petang dua hari lepas dan menasihatkannya supaya mempertimbangkan keputusan itu.

Sub Onn, 52, dikatakan kecewa kerana tidak dilantik semula sebagai anggota Exco kerajaan negeri yang disandangnya sejak dua tahun lalu apabila namanya tidak disenaraikan dalam majlis mengangkat sumpah di Istana Arau, Jumaat lalu.

Sebaliknya ADUN kawasan Indera Kayangan, Dr. Por Choo Chor dilantik ke jawatan itu dan mengangkat sumpah di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

BERNAMA

Pendidikan Seks: GPMS Kedah Tidak Setuju

ALOR SETAR 23 Mac - Pendedahan awal mengenai pendidikan seks di sekolah dikhuatiri akan disalahgunakan oleh pelajar dan bukannya membantu mengurangkan gejala sosial.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Zuraidi Rahim berkata, walaupun cadangan melaksanakan pendidikan seks antara lain bertujuan memberi kesedaran kepada golongan muda, namun kemungkinan besar ia juga akan membawa lebih banyak keburukan.

Katanya, tidak mustahil pelajar akan mudah terjebak dengan perlakuan seks bebas jika mereka menyalahgunakan ilmu yang dipelajari dalam sukatan pelajaran tersebut.

"Kami cukup khuatir pelajar akan cuba 'macam-macam' dengan ilmu yang mereka peroleh itu kerana penerimaan mereka termasuk sesetengah remaja terhadap sesuatu perkara lebih kepada untuk seronok.

"Cara berfikir mereka lain daripada golongan yang sudah dewasa serta matang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada program soal jawab yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 malam tadi, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyarankan agar pendidikan seks dimasukkan dalam kurikulum pembelajaran di sekolah ekoran peningkatan kes buang bayi dan pelbagai gejala sosial di kalangan remaja.

Menurut beliau, maklum balas diterima kementeriannya menunjukkan masih ada remaja yang tidak memahami implikasi yang mungkin berlaku jika mereka melakukan hubungan seks luar nikah.

Zuraidi berkata, subjek pendidikan seks tidak perlu dikhususkan kerana mata pelajaran Sains sudah memadai bagi tujuan berkenaan.

Selain itu, katanya, banyak cara lain boleh digunakan untuk mengelakkan golongan muda terjebak dengan gejala sosial seperti mengadakan taklimat dan mempergiatkan lagi program kesedaran bahaya seks luar nikah.

"Jika dilihat daripada segenap aspek, GPMS Kedah tidak nampak apa motif untuk melaksanakan subjek pendidikan seks dalam kurikulum pembelajaran di sekolah," katanya.

UTUSAN MALAYSIA

PAS Tahu Komplot 16 September

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam menjelaskan bahawa parti itu mengetahui mengenai rancangan yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih kerajaan pusat pada 16 September 2008 lalu.

Menurutnya, PAS turut bersama dalam perancangan tersebut kerana parti itu dan Pakatan Rakyat (PR) berusaha untuk mengubah kerajaan pusat sama seperti tindakan Barisan Nasional (BN) yang berusaha mengubah kerajaan sesebuah negeri.

“Memang kita bersama (PR), kita berusaha untuk membuat perubahan tersebut, kita memang berusaha sepertimana BN, ia adalah amalan demokrasi negara,” katanya kepada media di lobi Parlimen semalam.

Ditanya adakah beliau mengetahui bahawa ada golongan ulama dalam parti itu yang mendakwa mereka tidak mengetahui mengenai perancangan itu, Abdul Hadi bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai pandangan peribadi sesetengah pihak.

“Dakwaan itu tidak tepat dengan hakikat yang sebenar, kami lebih faham apa yang berlaku, PAS juga bijak menangani hal ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan, dakwaan lapan nama ahli parlimen yang dikatakan akan melompat keluar dari BN oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim juga tidak tepat.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi menuntut perkataan Tuhan dalam Rukun Negara ditukar kepada nama Allah kerana penganut agama lain sudah menerima kalimah Allah seperti mana yang dituntut oleh penganut Kristian.

Katanya, Islam tidak pernah melarang orang bukan Islam dari menggunakan nama Allah dalam agama mereka walaupun terdapat percanggahan.

“Orang bukan Islam sudah menyedari kalimah Allah ini memberi makna yang unggul, perkataan seperti God dan Lord tidak menepati apa yang mereka mahukan.

“Oleh itu, kerajaan perlu menerima secara positif dalam menangani hal ini dan pada masa sama ia akan menuju kepada perpaduan rakyat,” katanya.

mSTAR

Tan sri Dr Sulaiman Daud Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pertanian Tan Sri Dr Sulaiman Daud meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 8.10 pagi ini setelah lama uzur.

Pengarah HKL Datuk Dr Zaininah Mohd Zain berkata jenazah dibawa balik ke kediaman Allahyarham di 61, Lorong Lai Tet Lok Satu Off Jalan Gurney di sini.

Allahyarham yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-77 pada 4 Mac lepas, meninggalkan empat anak, iaitu Mahathir, Norshida, Zelda Raha dan Azman.

Isteri Allahyarham, Puan Sri Naemah Hasbi meninggal dunia pada 26 Mac 2005 akibat barah paru-paru.

Sulaiman, yang merupakan bekas Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak dan bekas anggota Parlimen Petra Jaya, Sarawak, pernah menjawat pelbagai jawatan sebagai menteri di peringkat persekutuan, bermula dengan Menteri Wilayah Persekutuan pada 19 Mac 1981.

Selain itu, Allahyarham juga pernah memegang jawatan Menteri Pelajaran (1981-84 dan juga 1995-99), Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1984-86), Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah (1986-89), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1989-1990), Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (1990-1991) dan jawatan terakhirnya sebagai Menteri Pertanian (1995-1999).

Anak kelahiran Kuching, Sarawak yang berkelulusan ijazah kedoktoran pergigian dari University of Otago, New Zealand, pernah bertugas sebagai doktor gigi di kerajaan negeri Sarawak dan Jabatan Perubatan Brunei pada tahun 1960-an.

BERNAMA

Konsep 1Malaysia Tiru 1Israel Hanya Pembohongan

KUALA LUMPUR 18 Mac - Tuduhan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa konsep 1Malaysia ditiru daripada 1Israel yang kononnya mendapat nasihat syarikat perunding sama, adalah pembohongan terbaru Ketua Pembangkang itu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mendedahkan pembohongan Anwar itu berkata, firma perunding komunikasi global, Apco Worldwide (Apco) yang dikaitkan terlibat dalam pembentukan 1Israel telah pun membuat penafian.

''Apco dalam kenyataan hari ini menafikan dakwaan Anwar itu dan menegaskan bahawa gagasan 1Malaysia telah diilhamkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum firma perunding berkenaan dilantik untuk memberi sokongan komunikasi kepada kerajaan Malaysia.

''Firma perunding ini juga menafikan bahawa ia mewakili kerajaan Israel atau Perdana Menterinya, Ehud Barak dan turut menjelaskan ia tidak terlibat dengan kempen 1Israel," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ahli Parlimen Pontian yang juga Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, Khairy mengedarkan kepada wartawan kenyataan akhbar oleh Apco yang beribu pejabat di Washington, Amerika Syarikat dan mempunyai 29 pejabat cawangan di seluruh dunia.

Apco dilantik oleh kerajaan Malaysia sebagai firma perunding bagi membantunya berkomunikasi menerusi media bentuk baru.

Ketika berucap menyokong usul menjunjung kasih di atas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam, Anwar mendakwa konsep 1Malaysia diilhamkan oleh Apco yang merupakan sebuah firma perunding negara itu yang turut mengutarakan konsep 1Israel.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menegaskan, Anwar perlu menarik balik dakwaannya dan meminta maaf kepada kerajaan Malaysia dan Najib kerana membuat tuduhan melulu.

''Sekiranya beliau masih bertegas dengan dakwaan ini, Anwar tidak harus berselindung di sebalik kekebalan ahli Parlimen dengan mengulang balik retorik politiknya di luar Dewan.

''Ini bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadapnya," kata beliau.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pada sidang akhbar berasingan berkata, hanya Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat yang boleh menentukan bentuk hukuman terhadap Ketua Pembangkang itu.

''Ini kerana tuduhan ke atas Perdana Menteri adalah serius apatah lagi beliau yang juga seorang Islam dikaitkan dengan satu pertubuhan yang didakwa sebelum ini telah membantu Israel.

''Saya tidak tahu dan tidak mempunyai kuasa dalam hal ini, tetapi anda boleh merujuk kepada kes-kes lalu umpamanya membabitkan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo," katanya.

UTUSAN MALAYSIA

Pemecatan Anwar SAH

PUTRAJAYA 8 Mac - Pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada semua jawatan dalam kerajaan 11 tahun lalu, sah di sisi undang-undang setelah Mahkamah Persekutuan memutuskan pelantikan dan pelucutan jawatan menteri Kabinet merupakan kuasa Perdana Menteri.

Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff menyatakan, Yang di-Pertuan Agong langsung tidak mempunyai budi bicara mempertikai atau menolak sebarang pelantikan mahupun pemecatan menteri.

Jelas beliau, ini kerana sistem Raja Berperlembagaan mengehadkan kuasa Seri Paduka berbuat demikian memandangkan rujukan kepada baginda seperti yang dizahirkan di bawah Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan hanya satu formaliti.

Dengan keputusan itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku responden pertama dan kerajaan Malaysia responden kedua bertindak mengikut undang-undang ketika memecat Anwar daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

''Kuasa memilih dan melantik Menteri Kabinet terletak di tangan Perdana Menteri, jika beliau memutuskan seseorang menteri itu meletak jawatan, Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa menyatakan sebaliknya.

''Prinsip undang-undang jelas menyatakan bahawa hanya pihak yang melantik berhak melakukan pemecatan,'' ujar Hakim Alauddin ketika membacakan penghakiman bertulisnya setebal 33 muka surat.

Sehubungan itu, mahkamah berpuas hati bahawa Seri Paduka tiada pilihan selain bertindak atas nasihat Perdana Menteri kerana beliau yang bertanggungjawab memilih, melantik dan memecat Menteri Kabinet.

Hakim Alauddin menyatakan demikian ketika menggariskan alasan berhubung keputusan panel tersebut menolak rayuan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu terhadap pemecatannya pada pukul 5.30 petang, 2 September 1998.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Wira Mohd. Ghazali Mohd. Yusoff dan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan pemecatannya sah di sisi undang-undang.

Dalam rayuannya, Ketua Pembangkang tersebut menyatakan, pemecatan itu bercanggah dengan Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan kerana ia jelas menyatakan hanya Seri Paduka berhak memecat menteri Kabinet atas nasihat Perdana Menteri.

Anwar dipecat melalui surat yang ditandatangani oleh Dr. Mahathir yang antara lain menyatakan:

''Dengan dukacitanya, saya terpaksa melucutkan jawatan-jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan daripada Datuk Seri serta lain-lain jawatan yang dipegang dalam Kerajaan.

''Pelucutan ini berkuat kuasa dari hari ini, 2 September 1998 mulai pukul 5.30 petang. Pelucutan ini telah dimaklumkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong."

Sementara itu, Anwar dalam reaksi ringkasnya kepada pemberita di luar mahkamah berkata, beliau telah menjangkakan keputusan tersebut.

Peguam Karpal Singh ketika berhujah sebelum ini menyatakan, Dr. Mahathir bertindak tanpa mengikut perlembagaan ketika memecat Anwar kerana beliau sekadar menyampaikan atau memaklumkan keputusan yang dibuatnya, bukan menasihati baginda.

Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaludin Md. Said pula berhujah, Yang di-Pertuan Agong tidak membantah pemecatan Anwar ketika disampaikan oleh Dr. Mahathir dan ia jelas menunjukkan baginda memperkenankan keputusan tersebut.

UTUSAN MALAYSIA

JUARA RAKYAT Jadi Program BN

TANJUNG MALIM 6 Mac - Program Juara Rakyat yang diterajui oleh UMNO kini telah diterima sebagai program Barisan Nasional (BN), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu dipersetujui oleh Dewan Tertinggi BN dalam mesyuaratnya yang diadakan baru-baru ini.

Katanya, ia membuktikan bahawa semua komponen BN, sama ada di Semenanjung atau di Sabah dan Sarawak bersatu dalam gagasan 1Malaysia dan berkongsi perjuangan politik yang sama.

"Saya membawa perkara ini dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang lalu.

"Walaupun pada peringkat awal (program) Juara Rakyat ditaja oleh UMNO, seluruh kepimpinan BN berkata ia harus menjadi program BN dan Dewan Tertinggi BN bersetuju," katanya.

Beliau mengumumkan perkara itu sewaktu berucap pada majlis pelancaran Program Juara Rakyat Peringkat Negeri Perak di Tasek YDP, Slim River, dekat sini hari ini.

Walaupun berlangsung dalam suasana panas terik, program berkenaan berjaya menarik kira-kira 10,000 pengunjung.

Hadir sama pada majlis itu ialah isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; pemimpin-pemimpin BN Pusat dan negeri Perak.

Turut hadir bekas pemimpin pembangkang iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi; ADUN Changkat Jering, Osman Mohd. Jailu, ADUN Jelapang, Hee Yit Fong dan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd. Fairus Khairuddin.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menerima 315 borang keahlian Rakan Kelab Penyokong BN Parlimen Bagan Datoh yang terdiri daripada bekas ahli PKR.

Selain itu, beliau menyampaikan sijil dan derma siswa kepada pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2009 serta para graduan daripada keluarga miskin.

Sementara itu, Muhyiddin menjelaskan, program Juara Rakyat bukanlah sesuatu yang baru kerana pada dasarnya UMNO dan BN merupakan parti yang telah lama menjuarai isu-isu rakyat.

Katanya, pengenalan program berkenaan merupakan satu iltizam bahawa parti itu akan meneruskan tradisi berkenaan bagi memastikan rakyat terus terbela.

"Sebagai parti yang dinamik, UMNO dan BN sentiasa mengikuti perkembangan semasa, ia tak statik sebaliknya harus mendepani zaman.

"Ia harus berada di hadapan dalam usaha membawa perubahan kepada rakyat jelata, maka dengan sebab itulah hari ini kita menyatakan iltizam baru, apa masalah rakyat kita akan ambil langkah dan tindakan yang sesuai," tegasnya.

UTUSAN MALAYSIA

Zulkifli Tak Hirau Dipecat

KUALA LUMPUR 6 Mac – Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini memecat Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dan memintanya mengosongkan kerusi Parlimen itu.

Setiausaha Agung parti Saifuddin Nasution berkata keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan Pusat PKR yang diadakan hari ini.

“Ya, sah Zulkifli dilucutkan keanggotaan parti,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata Zulkifli juga diberi tempoh 14 hari untuk merayu keputusan itu.

Zulkifli yang juga seorang peguam, dihadapkan kepada Lembaga Disiplin parti bagi menjawab isu berhubung laporan polis yang dibuatnya terhadap rakan sekutu dari PAS, Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkenaan isu kalimah Allah dan kritikan beliau terhadap kepimpinan DAP.

Khamis lepas, anggota Parlimen yang terkenal dengan tindakan “menentang arus” dalam PKR itu bertindak keluar daripada sidang Lembaga Disiplin yang membicarakan kesnya kerana membantah anggota panel terdiri daripada bukan Islam.

Zulkifli memberitahu pemberita selepas itu bahawa tindakan tersebut berasaskan prinsipnya yang tidak mahu tunduk atau mengiktiraf panel bukan Islam bagi membicarakan isu berhubung agama Islam.

Beliau juga memberitahu pemberita tidak berhasrat untuk keluar daripada PKR kerana masih yakin dengan kepimpinan parti.

Pagi ini, Zulkifli menerusi surat terbuka di dalam blognya sekali lagi merayu anggota majlis pimpinan pusat PKR agar memberi peluang kepada beliau membela diri di hadapan panel disiplin beragama Islam berhubung isu yang dibangkitkan.

“Saya menuntut supaya saya diberikan keadilan. Sebab itu saya menyokong perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan keadilan dalam kes liwat beliau.

“Perjuangan beliau ingin mendapat keadilan sehingga sampai ke peringkat mendapat sokongan luar. Kalau Datuk Seri Anwar menuntut keadilan, saya juga menuntut keadilan yang sama... kita patut amal apa yang kita uar-uarkan,” katanya dalam surat itu.

Sebelum ini, Zulkifli mendakwa beliau adalah mangsa rancangan jahat “firaun-firaun kecil” dalam parti yang sengaja mahu memalukan dan mengaibkan beliau dan agama Islam serta sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan beliau dipecat.

Sementara itu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini memberi amaran kepada wakil rakyat parti itu supaya berpegang kepada prinsip perjuangan masyarakat berbilang kaum sekiranya tidak mahu dipecat.

Beliau berkata, PKR tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan seperti yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin hari ini jika wakil rakyat parti itu tidak berpegang kepada prinsip perjuangan parti yang mengutamakan semua kaum dan hak asasi manusia.

BERNAMA

Lambaian Lombok - Bella Pulang Ke Pangkuan Keluarga


Isyarat Jelas PKR Tidak Mampu Bela Rakyat

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Pengumuman Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini isyarat jelas bahawa PKR bukan parti yang mampu memperjuangkan nasib rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai orang lama dalam politik Zahrain terpaksa bertindak sedemikian setelah didapati sumbangan serta pengorbanannya tidak lagi diiktiraf oleh PKR.

"Kita sudah jangka perkara ini kerana telah ada pemimpin dan ahli-ahli mereka keluar parti. Zahrain mungkin sedar perjuangannya tidak lagi bermakna dan sia-sia.

"Saya percaya Zahrain terpaksa ambil keputusan ini kerana perjuangannya semakin tidak mendapat pengiktirafan. Oleh itu apa guna beliau terus kekal dalam PKR," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pembukaan cawangan Ar-Rahnu X'Change Koperasi Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) di Cheras Maju dekat sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman keluar PKR oleh Zahrain hari ini. Bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang itu turut meletakkan semua jawatannya dalam PKR.

Isu yang membabitkan Zahrain mula tercetus apabila beliau lantang mengkritik kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang dilabel beliau sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran bahaya.

Berikutan kecaman tersebut, Jawatankuasa Disiplin PKR pada 31 Januari lalu menetapkan tempoh sebulan untuk meneliti tindakan ke atas Zahrain selain seorang lagi wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, berkemungkinan Zahrain selepas ini akan mengikut jejak wakil rakyat lain untuk tidak menyertai mana-mana parti.

"Saya fikir beliau mahu menjadi wakil rakyat bebas. Namun begitu segala-galanya terletak pada tangannya.

"Bagi UMNO kita tidak pernah menutup pintu kepada sesiapa yang mahu berjuang bersama kita. Walau apa pun seperti yang saya katakan tadi di peringkat ini kita biarkan Zahrain untuk membuat keputusan," tambahnya.

UTUSAN MALAYSIA

Zambry Mahu Wujud Kerajaan Negeri Terbaik Untuk Rakyat Perak

IPOH: Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah pada Selasa lepas menguatkan lagi semangat dan perjuangannya untuk mewujudkan sebuah kerajaan negeri terbaik untuk rakyat negeri itu.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak akan mempedulikan tentangan politik keterlaluan sebaliknya mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada pembangunan negeri dan rakyat.

"Semalam pula saya difahamkan ramai rakyat berpuasa dan membuat kenduri kesyukuran. Saya ingin katakan di sini kemenangan itu bukan kemenangan Dr Zambry tetapi ia adalah kemenangan seluruh rakyat," katanya ketika berucap pada majlis kesyukuran dan perhimpunan rakyat yang dihadiri kira-kira 3,000 orang di kediaman rasmi Menteri Besar, di sini hari ini.

Ketika ditanya pemberita selepas itu mengenai dakwaan Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham bahawa beliau tidak ikhlas ketika membuat kenyataan kerajaan BN sentiasa bekerjasama dengan semua pihak untuk membangunkan negeri dan rakyat, Zambry berkata anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sitiawan itu lebih mengetahui siapa ikhlas dan siapa yang tidak.

"Saya nak tanya, adakah dia betul-betul ikhlas ketika pakatan pembangkang memerintah negeri 11 bulan yang lepas?," katanya.

Zambry turut mempersoalkan syarat pembangkang yang mahu kerajaan negeri pimpinannya membenarkan Adun pembangkang menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Negeri dan Jawatankuasa Tindakan Daerah.

"Sebelum ini ketika Barisan Nasional jadi pembangkang dengan mempunyai 28 Adun kenapa mereka tidak memasukkan kami sebagai Adun di dalam jawatankuasa berkenaan," katanya.

BERNAMA

Saya Pening - Ahli Parlimen Nibong Tebal

KUALA LUMPUR: "Kepala saya sudah pening, saya mahu makan panadol malam ini."

Demikian keluhan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Bang mengenai kemelut politik Pakatan Rakyat (PR) di Pulau Pinang ketika ini.

Sementara itu, Tan pada satu sidang ahkbar hari ini berdolak-dalik apabila ditanya tentang masa depan politiknya selepas Datuk Seri Zahrain Hashim keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pagi tadi.

"Saya tidak boleh kata bahawa saya beri sokongan kepada tindakan beliau, tapi saya sokong dia menentang Ketua Menteri, Lim Guan Eng," ujarnya.

Setakat ini hanya beliau yang berani menyuarakan sokongan kepada Ahli Parlimen Bayan Baru yang mengelarkan Lim sebagai diktaktor, cauvinis dan berfikiran komunis.

Tan juga mengelarkan Setiausaha Agung DAP itu "pemimpin yang tiada kelas" kerana meminggirkan pemimpin PKR dalam membuat keputusan.

Beliau juga mendakwa kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang enggan menyediakan peruntukan kewangan kepada wakil-wakil rakyat PKR di negeri itu.

Terdahulu Zahrain mengumumkan peletakan jawatannya dalam PKR, menjadikan beliau wakil rakyat PR di Parlimen yang pertama menjadi anggota bebas.

Peletakan jawatannya diumumkan ketika timbul khabar-khabar angin yang mengatakan beberapa wakil rakyat PKR yang lain akan meletak jawatan sebelum Tahun Baru Cina lusa.

Mengenai tindakan Zahrain itu, Tan berkata: "Saya tidak boleh memaksa beliau, saya menghormati tindakannya. Saya ucapkan selamat kepadanya.

"Itu berita yang mengejutkan bagi saya juga."

Ditanya sama ada beliau juga akan mengikut langkah keluar parti, Tan berkata beliau masih mahu berhadapan dengan pucuk pimpinan parti berhubung tindakan Lim.

"Setakat ini belum terlintas dalam fikiran saya. Saya masih dalam proses mengumpulkan lebih banyak bukti terhadap Lim dan saya harap parti akan bertindak. Jika tidak kami perlu mempertimbangkan tindakan selanjutnya," kata beliau.

"Sejak pilihan raya umum 2008, lima ADUN PKR telah keluar parti untuk menjadi penyokong Barisan Nasional (BN).

Dengan tindakan Zahrain keluar parti, jumlah kerusi PR dalam 222 anggota Parlimen sekarang tinggal 81.

Buat masa ini BN menguasai 137 kerusi dengan SAPP dari Sabah mempunyai dua kerusi manakala dua lagi termasuk Zahrain dikuasai oleh bebas.

mStar Online

Zahrain Tinggalkan PKR

PETALING JAYA 12 Feb. – Tidak mahu dilihat sebagai sebahagian daripada ‘gerombolan yang menjahanamkan negara, bangsa dan agama Islam’, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim hari ini meletak kesemua jawatan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan keluar parti itu serta-merta berkuat kuasa hari ini.

Katanya, semasa beliau dijemput oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai parti itu dulu, beliau yakin PKR berjuang untuk reformasi dan perubahan tanpa berkompromi dengan nilai-nilai bangsa serta agama.

Namun katanya, beliau kini ragu dengan matlamat dan cara perjuangan PKR dalam pakatan pembangkang kerana bekerjasama dengan DAP yang disifatkannya mengamalkan politik sempit.

Katanya, ini dapat dilihat melalui gaya kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang membelakangkan orang Melayu beragama Islam khususnya golongan penjaja di negeri itu.

Beliau yang juga bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang menambah, dasar cauvinis dan ekstremis yang dibawa DAP di negeri itu turut dibuktikan dengan tindakan Guan Eng mempolitikkan institusi Islam seperti pusat zakat baru-baru ini.

‘‘Saya tidak mahu sejarah menghukum saya kerana tidak berbuat apa-apa dalam berdepan dengan keadaan tersebut.

‘‘Saya tidak mahu generasi akan datang melihat saya sebagai sebahagian daripada gerombolan yang menjahanamkan dan merosakkan negara, bangsa dan agama saya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehudin Hashim dan Pengerusi Tetap PKR cabang Bayan Baru, Ismail Mohd. Ali.

Zahrain bagaimanapun menegaskan prinsipnya untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas tanpa menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) serta belum berjumpa dengan mana-mana pemimpin pembangkang mahupun pemimpin BN mengenai tindakannya hari ini.

Dalam pada itu, beliau menafikan bahawa tindakannya keluar daripada PKR mempunyai kaitan dengan isu ‘pembelian’ wakil rakyat pembangkang seperti di uar-uarkan Anwar sebelum ini.

‘‘16 September itu apa cerita? Saya pun kecewa dengan 16 September, tidak timbul isu beli membeli,” tegasnya.

Beliau merujuk kepada janji Anwar sebelum ini untuk merampas kerajaan berikutan dakwaan mempunyai ramai wakil rakyat BN yang akan berpaling tadah menyertai pembangkang tahun lalu.

Mengulas lanjut, kata Zahrain, tindakannya meninggalkan PKR antara lain didorong oleh gaya kepimpinan Guan Eng yang membelakangkan prinsip keadilan dan hak asasi manusia dalam penyingkirannya sebagai Pengerusi Island Golf Properties (IGP) Sdn. Bhd.

Lebih memeranjatkan, katanya, setelah penyingkiran beliau itu diketahui umum, Guan Eng mengarahkan agar butiran mesyuarat tersebut tidak direkodkan.

‘‘Inilah pemimpin yang kononnya mahu menerapkan prinsip dan amalan cekap, bertanggungjawab dan telus (CAT) dalam pentadbiran beliau,” tegasnya.

Dalam laporan portal berita propembangkang The Malaysian insider semalam, Guan Eng menyatakan Zahrain masih merupakan Pengerusi IGP.

Zahrain sebelum itu mendakwa Guan Eng telah memecatnya daripada jawatan berkenaan ekoran kritikan pedas beliau melabelkan Setiausaha Agung DAP itu sebagai sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran bahaya baru-baru ini.

Dalam pada itu Salehudin yang ditemui selepas sidang akhbar berkenaan menjelaskan kehadirannya hanyalah sebagai tanda sokongan kepada Zahrain yang merupakan kawan baiknya sambil menafikan beliau turut akan meninggalkan PKR.

Zahrain dan Salehudin dikenali sebagai teman dan penyokong kuat Anwar.


UTUSAN MALAYSIA

Pembangkang Gagal Wujud Kerajaan Alternatif

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Perasaan tidak puas hati yang diluahkan secara terbuka oleh wakil rakyat pembangkang terhadap pentadbiran negeri-negeri yang diterajui pakatan itu membuktikan ia telah gagal membentuk kerajaan alternatif.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, wakil rakyat terbabit tidak dapat lagi menyembunyikan perasaan tidak berpuas hati mereka kerana terdapat pelbagai masalah yang gagal ditangani dengan berkesan.

"Adalah jelas pentadbiran kerajaan negeri pembangkang telah gagal. Kita harap rakyat menyedari hakikat bahawa parti-parti yang menyertai pakatan ini tidak boleh bekerjasama.

"Ini adalah jelas apabila wakil rakyat pembangkang terlibat dalam 'perang terbuka' sesama sendiri dalam tempoh kira-kira lebih setahun selepas pilihan raya umum lalu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perhimpunan Bersama Petugas Kumpulan Felda di Dewan Perdana Felda di sini hari ini.

Antara wakil rakyat pembangkang yang lantang bersuara ialah Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang baru-baru ini menegaskan, DAP tidak diperlukan dalam pakatan berkenaan kerana parti itu menjadi punca utama kepada semua masalah dalaman.

Zulkifli yang juga ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, kes pusat penyembelihan babi di Kedah dan peletakan jawatan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Fairus Khairuddin sebahagian daripada contoh tindak-tanduk DAP sebagai 'duri dalam daging' bagi pakatan pembangkang.

Muhyiddin berkata, kegagalan paling ketara pakatan pembangkang ialah mereka tidak mempunyai hala tuju yang jelas bagaimana hendk mentadbir negeri-negeri yang dimenangi.

"Kita nak tanya pembangkang apa pelan mereka untuk memajukan negeri. Mereka tak pernah bentang pun, sebaliknya bercakaran sesama sendiri, jadi saya harap ini menjadi satu iktibar," katanya.

Menurut beliau, pendekatan pembangkang itu jauh berbeza dengan kerajaan BN di peringkat negeri dan Pusat yang telah mengatur hala tuju lebih jelas termasuk mewujudkan Program Transformasi Kerajaan (PTK), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan model ekonomi baru.

"Apabila bercakap tentang soal masa depan rakyat negara kita, BN tak bercanggah ataupun mempertikaikan soal kerjasama kita termasuk bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat.

"Walaupun ada sedikit masalah dalam komponen BN, ini tak menjadi halangan untuk kita bergerak ke hadapan," ujarnya.

Sementara itu, beliau menyifatkan laporan perunding risiko serantau bahawa Malaysia telah berubah haluan ke arah keadaan tidak stabil sebagai karut.

Beliau berkata, kerajaan tidak perlu memberikan reaksi terhadap laporan yang dibuat Perunding Politik dan Risiko Ekonomi (PERC) yang beribu pejabat di Hong Kong kerana pihak berkenaan tidak tahu apa-apa mengenai negara ini.

"Saya fikir pihak-pihak di PERC 'bercakap menerusi hidung dan bukannya mulut.' Mereka juga mungkin duduk di suatu tempat di pedalaman Hong Kong menyebabkan mereka tidak tahu apa-apa," katanya.

PERC dalam laporan yang dipetik oleh portal berita The Malaysian Insider semalam mendakwa sejak awal tahun ini situasi di Malaysia menjadi semakin tidak stabil dengan kumpulan elit minoriti menguasai agenda nasional sehingga menjejaskan tarikan pelabur.

Antara isu-isu yang dibangkitkan oleh PERC bagi mengesahkan dakwaan mereka ialah kehilangan dua enjin pesawat pemintas F-5E, perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penahanan suspek pengganas dari beberapa negara Afrika dan Asia Barat serta kejadian membakar gereja dan surau.

Menurut Muhyiddin, laporan berkenaan mempunyai agenda tersembunyi bagi mewujudkan ketidakstabilan di negara ini.

"Semua laporan ini memang ada motif tertentu dengan niat tidak mahu membantu.

"Bagaimanapun kita tidak minta mereka bantu. Kita bantu diri sendiri dan kita tidak perlukan komen mereka kerana saya fikir ramai lagi orang yang tahu dan dapat menilai diri kita secara sangat objektif.

"Kita juga tidak meletakkan asas kepada emosi tetapi fakta dan realiti.

"Pada hakikatnya rakyat Malaysia gembira dan tidak menghadapi sebarang bencana besar atau mengalami kegelisahan kaum di negara ini atau berperang sesama sendiri.

"Jadi, apa yang mereka cakap?" katanya.

Tambah Muhyiddin, pihak-pihak yang membuat laporan berkenaan sepatutnya datang ke Malaysia bagi menyaksikan sendiri suasana kehidupan harian rakyat negara ini.

"Kita gembira untuk membawa mereka ke sini bagi (membolehkan mereka) melihat apa itu kestabilan, apa itu keselamatan, apa itu perang dan apa itu kegelisahan," katanya.


UTUSAN MALAYSIA

Awas ! Berhati-Hati Dengan Jerat Valentine Day


Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008.

Secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari.

Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat! ( setiap 17 minit ada anak luar nikah )

Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang Islam.

Tidak dapat dinafikan bahawa statistik ini menunjukkan kejadian zina semakin berleluasa. ( sudah membarah dan jadi budaya )

Antara penyumbang ialah sambutan Valentime Day / Hari Kekasih yang disambut pada 14 Februari. ( Tahun ini bertepatan cuti Tahun baru Cina ) maka berpestalah anak anak muda kita nanti.

Hari VDay juga dilihat sebagai salah satu hari daripada hari yang digelar ‘Musim Mengawan’ kepada muda-mudi kita.

Sebagai langkah pencegahan dan kesedaran umum....
Copy poster dan sebarkan. Print, Fotocopy dan tampal di tempat2 awam...

Moga Allah Selamatkan kita dari Musibah dan Bala ini bilamana ZINA sudah berleluasa dan sukar dibendung lagi.


Sumber : Email

Pakatan Pembangkang Tidak Perlukan DAP

KUALA LUMPUR 9 Feb. – Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin menegaskan, DAP tidak diperlukan dalam pakatan kerana parti itu menjadi punca utama kepada semua masalah dalaman yang melanda pembangkang sekarang.

Katanya, kes pusat penyembelihan babi di Kedah dan peletakan jawatan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Fairus Khairuddin sebahagian contoh tindak-tanduk DAP sebagai “duri dalam daging” bagi pakatan.

“DAP tidak diperlukan, malah ‘duri dalam daging’ kepada pakatan selain menjadi punca kepada masalah-masalah yang berlaku dalam pembangkang.

“Di Kedah, DAP mengugut kerajaan apabila pusat membela babi dirobohkan pihak berkuasa, manakala Fairus Khairuddin pula ditekan sehingga berhenti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual pada program Soal Jawab disiarkan secara langsung menerusi TV3 malam tadi.

Jelas Zulkifli, pakatan pembangkang perlu berani mengambil risiko termasuk kemungkinan hilang kuasa di negeri yang mereka tadbir sekarang bagi menyingkirkan DAP demi kepentingan rakyat dan negara.

Mengulas lanjut mengenai peranan sulit DAP, beliau memberitahu, banyak aduan telah dibuat sejak pakatan pembangkang ditubuhkan termasuk tindak-tanduk parti tersebut, tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

“Bukan tak guna saluran dalaman, sudah disuarakan dalam mesyuarat dan sebagainya, tetapi tiada tindakan diambil,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meramalkan akan ada anggota parti itu yang bertindak keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) beramai-ramai dalam masa dua hingga tiga minggu ini kerana kecewa dengan pendirian pucuk pimpinan parti yang tunduk kepada DAP.

Mengulas kerjasama dengan UMNO, Zulkifli berkata, Pas dan PKR seharusnya mengambil peluang mengadakan perbincangan Islamiah dengan UMNO dan membuang perasaan buruk sangka atau prejudis.

“Siapa yang memartabatkan perjuangan Islam adalah sahabat kita, tidak kiralah PKR, Pas atau UMNO,” tegasnya.


UTUSAN MALAYSIA

Hilang Kepercayaan: 100 Ahli PKR Sertai UMNO

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Gara-gara tidak lagi percayakan kepimpinan yang mementingkan agenda peribadi berbanding nasib rakyat, 100 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diketuai Bendahari PKR Wilayah Persekutuan, Norasidi Salim nekad keluar parti dan menyertai UMNO.

Mereka yang merupakan ahli PKR Cabang Bandar Tun Razak turut mendakwa hilang kepercayaan kepada Ahli Parlimen kawasan tersebut, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dianggap terlalu elit sehingga melupakan tugas selaku wakil rakyat.

Kumpulan itu menyerahkan borang keahlian kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan di pejabat badan itu di sini malam ini. Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan badan itu.

Perkembangan tersebut merupakan tamparan hebat kepada parti itu apatah lagi pada saat-saat kes liwat Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang dibicarakan di mahkamah.

Sementara itu, menurut Norasidi, keputusan itu dibuat dengan rela hati tanpa sebarang desakan.

"Kami yakin UMNO dapat mengembalikan kepercayaan rakyat dan mentadbir negara dengan baik demi kesejahteraan rakyat,'' katanya kepada pemberita di sini malam ini.


UTUSAN MALAYSIA

Zambry Kekal Sebagai Menteri Besar Perak Yang Sah

PUTRAJAYA 9 Feb. – Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Putrajaya hari ini memutuskan bahawa Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak yang sah.


UTUSAN MALAYSIA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers