Photobucket

SELAMAT HARI GURU - 16 Mei 2010

Proton Exora Akan Diperkenal Sebagai Teksi 1Malaysia

KUALA LUMPUR 14 Mei – Bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan awam khususnya teksi, kenderaan pelbagai guna (MPV) Exora keluaran Proton Holdings Bhd. akan dijadikan sebagai teksi 1Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Proton pada 6 April lepas mengenai perkara itu dan berpendapat kenderaan berkenaan dapat memberi keselesaan kepada penumpang.

"Exora dijangka lebih baik daripada model teksi lain yang sedia ada sekarang kerana ia selesa dari segi ruang tempat duduk dan tempat menyimpan barangan.

"Imej teksi bukan sahaja terletak pada mutu perkhidmatan yang ditawarkan malah turut dilakar dari segi tahap kualiti kenderaan,” katanya kepada pemberita sebelum menyempurnakan majlis penyampaian surat tawaran kelulusan (STK) 3,000 lesen baru teksi individu di Lembah Klang di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada masa ini, pengeluaran teksi bajet menggunakan beberapa model kenderaan seperti Iswara, Wira, Waja dan Saga teksi akan diteruskan sehingga November ini selain memperkenalkan model Persona sebagai teksi.

Nazri berkata tahun lalu, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) menerima 5,954 permohonan baru lesen teksi individu dan daripada jumlah itu, 3,000 permohonan diluluskan.

"Daripada jumlah ini, pemohon mengikut kaum ialah Melayu (1,572 orang), Cina (659), India (743) dan lain-lain (26). Daripada angka ini, seramai 2,753 orang adalah lelaki manakala wanita (247),” katanya.


BERNAMA

Skandal Pasir: Ahli Parlimen Wee Choo Keong Keluar PKR


KUALA LUMPUR 14 Mei – Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong hari ini mengisytiharkan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana kesal dengan kepemimpinan PKR dan pakatan pembangkang yang gagal mengambil tindakan terhadap skandal pasir di Dengkil, Selangor.

Katanya beliau setakat ini, tidak bercadang menyertai mana-mana parti dan akan menjadi Ahli Parlimen Bebas.

"Saya mengumumkan keluar parti dan meletakkan jawatan dalam PKR setelah kecewa dengan kepemimpinan tertinggi PKR dan pakatan rakyat yang gagal mengambil tindakan sewajarnya berkenaan isu pasir di Dengkil.

"Saya merasakan saya tidak boleh lagi menyumbangkan khidmat dalam keadaan sebegini terutama isu-isu yang saya sendiri tidak boleh percayai,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Choo Keong, seorang peguam berkata, beliau telah memaklumkan peletakan jawatannya kepada majlis tertinggi PKR.

BERNAMA

Pengasas Al Arqam Meninggal Dunia

IPOH: Ashaari Muhammad, 73, bekas pemimpin kumpulan Al Arqam yang diharamkan, meninggal dunia di Hospital Pakar Ipoh di sini hari ini, tiga hari selepas dimasukkan kerana jangkitan paru-paru.

Ashaari yang juga Pengerusi Syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd berada di sini dalam siri lawatan ke rangkaian perniagaan syarikat berkenaan.

Seorang kakitangan syarikat berkenaan, Marzuki Hussein, 57, berkata jenazah Ashaari yang dipanggil Abuya oleh para pengikutnya telah dibawa ke kampung asalnya di Kampung Pilin, Rembau, untuk dikebumikan.

Katanya, Ashaari berada di sini selepas melawat Thailand dan Kedah dan dikejarkan ke hospital Isnin lepas selepas mengadu sakit dada.

Jurucakap hospital berkenaan sementara itu berkata Ashaari meninggal dunia pada 2.10 petang tadi.

"Ini siri lawatan biasanya ke rangkaian perniagaan Global Ikhwan," kata Marzuki kepada pemberita selepas jenazah Allahyarham Ashaari disembahyangkan di sebuah banglo milik syarikat itu di sini.

Marzuki berkata rumah berkenaan adalah rumah tamu syarikat berkenaan.

Rombongan yang membawa jenazah Allahyarham ke Rembau berlepas dari rumah berkenaan pada kira-kira 5.30 petang tadi.

Kira-kira 200 pengikut Allahyarham turut berada di rumah berkenaan. Kumpulan Al Arqam diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos 1994.

Apabila ajaran Al-Arqam diharamkan, Ashaari ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari 2 hingga 24 Sept 2004 sebelum ditahan mengikut Akta Kediaman Terhad di Rawang dekat sini dan Wilayah Persekutuan Labuan selama 10 tahun.

Al-Arqam diasaskan oleh Ashaari juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah dan aktivitinya berada di kemuncak sekitar lewat 80-an dan 90-an dan dilaporkan mempunyai kira-kira 10,000 pengikut.

Kumpulan itu dilaporkan menyebarkan kegiatan dakwah Islam melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan, perusahaan,perniagaan, perubatan, dan pertanian.

BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers