Photobucket

Anwar, Azizah, Azmin Aibkan PKR Sabah


KUALA LUMPUR 7 Feb. - Peletakan jawatan Pengerusi Perhubungan Negeri (PPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Pajudin Nordin berpunca daripada tindakan penghinaan berterusan kepimpinan parti itu terhadap ahli dan kepimpinan negeri itu.

Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pemimpin tertinggi parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali kerap membuat keputusan yang menghina PKR Sabah.

"Contohnya, satu ketika dulu, ahli-ahli PKR terkejut apabila Anwar mengisytiharkan tidak akan membenarkan pemimpin PKR yang bukan Islam seperti Datuk Dr. Jeffrey Kitingan menjadi PPN PKR Sabah walaupun jelas ramai yang mahu beliau menyandang jawatan itu.

"Selepas itu, penghinaan kepimpinan PKR Sabah sekali lagi berlaku pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi apabila Anwar memilih Ansari Abdullah sebagai calon, sedangkan Thamrin Jaini yang merupakan PPN PKR Sabah pada waktu itu adalah anak tempatan.

"Kini, isu peletakan jawatan Pajuddin sebagai PPN PKR Sabah dua hari lalu menjadi bukti terkini penghinaan Anwar, Wan Azizah dan Azmin kepada kepimpinan PKR Sabah," katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Belud kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Pajudin, 42, mengumumkan peletakan jawatannya pada sidang akhbar khas yang diadakan di kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Bekas pemimpin tertinggi PKR negeri itu menyatakan, perjuangan parti tersebut tidak lagi relevan dan tidak lebih daripada menabur janji kosong kepada rakyat, selain sekadar memperjuangkan agenda peribadi Anwar.

Abdul Rahman yang sempat berbual dengan Pajudin sebelum beliau mengumumkan peletakan jawatannya kelmarin berkata, timbul persoalan dalam diri anak muda itu mengapa Anwar, Wan Azizah dan Azmin enggan memberi kerjasama setelah beliau dilantik sebagai PPN PKR Sabah yang baru.

"Sudah tentu sejak awal lagi, Anwar, Wan Azizah dan Azmin menyedari hakikat bahawa pelantikan anak muda ini samalah dengan perumpamaan mencampak beliau ke dalam laut yang penuh dengan ikan-ikan yu akan membahamnya tanpa belas kasihan," katanya.

Katanya, kesimpulannya, apa yang berlaku di Sabah adalah disebabkan tindakan Anwar, Wan Azizah dan Azmin yang mahu pimpinan PKR Sabah lemah supaya senang untuk mereka bertiga memanipulasi apa jua perkara yang berlaku dalam parti.

"Ini penting kerana politik Sabah memang sukar dan mencabar. Ramai orang politik yang terbakar jari kerana salah strategi dan percaturan bermain politik di negeri ini.

"Sebab itu, amat penting untuk Anwar, Wan Azizah dan Azmin menghentak kaki dan menunjukkan kepada kepimpinan PKR Sabah siapa sebenarnya bos dalam parti itu. Tidak kisah apa cara, termasuklah membunuh karier politik kawan yang setia," katanya.

UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers