Photobucket

Perjuangan Kaum Bukan Rasis

LABUAN 13 Feb. - Perjuangan orang Melayu dan mana-mana kaum terhadap keperluan serta hak mereka berlandaskan Perlembagaan tidak boleh dianggap perkauman atau rasis.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, semua kaum berhak menyuarakan kepentingan mereka selaras dengan Perlembagaan.

"Saya melihat bahawa penting bagi kita berjuang untuk setiap bangsa dan agama tetapi apabila bangsa itu menyuarakan (hak mereka), kita tidak boleh beranggapan ia bersifat perkauman.

"Setiap kaum ada melaungkan keperluan dan kepentingan mereka, masyarakat India hendakkan supaya keperluan mereka dipenuhi, begitu juga masyarakat Cina dan kaum lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian karnival sukan sempena program Juara Rakyat di sini hari ini.

Semalam, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu kini berada dalam dilema besar apabila tidak lagi boleh bercakap mengenai kepentingan Melayu kerana dikatakan rasis.

Kata Dr. Mahathir, lebih malang lagi orang Melayu tidak mampu mempertahankan diri sendiri kerana lebih banyak mengalah dan mengundur diri kononnya dengan cara itu mudah untuk mendapatkan keamanan.

Malah, bekas Perdana Menteri itu berkata, sehingga pada suatu tahap mereka tidak lagi boleh mengatakan bahawa negara ini adalah tanah air bagi orang Melayu.

Menurut Mohd. Shafie, peringatan Dr. Mahathir itu amat baik dan tidak perlu disalah anggap oleh mana-mana pihak.

Jelasnya, apa yang disuarakan setiap kaum yang berlandaskan Perlembagaan tidak akan memecahbelahkan masyarakat dan negara.

Dalam pada itu, Mohd. Shafie berkata, sistem pentadbiran yang dilaksanakan kerajaan juga adil dan tidak menyebelahi mana-mana kaum.

Jelasnya, bantuan yang diberi kerajaan juga adalah untuk semua kaum dan berdasarkan kepada keperluan rakyat.

"Contohnya apabila kita membantu masyarakat Iban di Sarawak, itu tidaklah merupakan satu sistem pentadbiran berat sebelah kerana hakikatnya kaum ini memerlukan sokongan dari segi prasarana dan bantuan," katanya.

Sementara itu, mengulas tindakan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) negeri, Datu Mohd. Akjan Ali Muhammad mengisytiharkan dirinya Sultan Sulu, beliau meminta pihak berkuasa melakukan siasatan dan mengenakan tindakan yang sewajarnya.

"Dari segi perundangan kita tahu Sulu itu bukannya negara Malaysia jadi mana mungkin rakyat Malaysia boleh menjadi sultan kecuali dia bukan rakyat Malaysia.

"Perkara itu perlu kita perjelas dari segi perundangan yang ada," katanya.

UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers