Photobucket

PKR Dijangka Berkubur

KUALA LUMPUR 8 Feb. – Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka hanya mampu bertahan sehingga penghujung tahun ini sebelum terkubur seperti Parti Semangat 46, kerana ahlinya hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti.

Ia diburukkan lagi dengan desas-desus bahawa ribuan ahli PKR akan meninggalkan parti secara beramai-ramai sebelum hujung tahun ini berikutan krisis dalaman yang berterusan, selain kegagalan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan janji politik yang ditaburkan sebelum ini.

Bekas wakil rakyat PKR, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, jangkaan mengenai hayat politik parti yang diasaskan oleh Anwar itu adalah berdasarkan krisis dalaman yang melanda parti berkenaan di beberapa negeri termasuk di Selangor yang kini ditadbir oleh kerajaan PKR.

“Saya menjangkakan hayat PKR hanya mampu bertahan sehingga hujung tahun ini kerana krisis hilang kepercayaan berterusan serta masalah dalaman yang melanda bukan hanya di Sabah tetapi turut melibatkan Perak, Pulau Pinang serta Selangor.

“Berdasarkan maklumat dalaman yang saya peroleh, pemimpin dan ahli PKR hilang kepercayaan terhadap 3A (Anwar, Azmin Ali dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail). Ribuan daripada mereka akan keluar parti sebelum hujung tahun ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Pengerusi Perhubungan PKR Sabah, Pajudin Nordin yang keluar parti dan menyertai UMNO berikutan hilang kepercayaan terhadap Anwar.

Zahrain yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru menambah, krisis terbaru yang melanda PKR Sabah menjadi bukti jelas bahawa keraguan mengatasi keyakinan dalam PKR.

Senario tersebut, jelas beliau, tidak akan memungkinkan parti itu bertahan lama, apatah lagi untuk mendapat sokongan rakyat.

“PKR ibarat retak menanti belah kerana bukan sedikit orang seperti Pajudin yang mengorbankan segala-galanya demi perjuangan parti tetapi akhirnya kecewa dengan sikap Anwar, ramai lagi bakal ikut langkahnya dan saya secara peribadi bersyukur kerana meninggalkan PKR lebih awal,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari juga optimis bahawa PKR akan berkubur sebelum 2012 berikutan trend keluar parti secara beramai-ramai yang tiada kesudahan sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, semua masalah itu berlaku disebabkan amalan politik tidak sihat yang diamalkan Anwar iaitu dengan cara mengugut, berjanji dan memujuk tanpa mengambil kira suara akar umbi, semata-mata demi memastikan cita-citanya untuk bergelar Perdana Menteri tercapai.

“Beban politik ciptaan Anwar ini kemudiannya dipindahkan kepada pengerusi perhubungan negeri, sedangkan segala janji datang daripada mulut beliau sendiri yang akhirnya mencetus krisis dalaman parti apabila semakin ramai tidak berpuas hati.

“Saya optimis jika trend ini berterusan, jangkaan bahawa PKR hanya mampu bertahan sehingga hujung tahun ini akan menjadi kenyataan melainkan ahli parti berani mengambil tindakan drastik iaitu memastikan 3A ini tiada lagi dalam parti,” katanya.

UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers