Photobucket

Al-Azhar Iktiraf Pendekatan Wasatiyyah Anjuran Najib

Oleh: ZAMZUKHAIRI NOORDIN

Universiti Al-Azhar, Mesir, sebuah universiti Islam terkemuka dunia mengiktiraf kesungguhan kerajaan Malaysia dalam usaha membina sebuah ummah wasatiyyah yang dijangka akan mengimarahkan nilai-nilai Islam di kalangan umatnya di seluruh dunia, khususnya di negara ini.

Mantan Dekan Fakulti Syariah Dan Kanun Universiti Al-Azhar Mesir, Dr. Hamed Mohamed Abdel Rahman yang mewakili Al-Azhar menyampaikan pengiktirafan tersebut di dalam sidang media di sini lewat semalam.

“Saya mewakili Al-Azhar berbangga mengiktiraf sokongan dan usaha kerajaan Malaysia dalam usaha mewujudkan ummah wasatiyyah melalui program-program seminar seperti ini,” katanya sejurus selepas pembentangan kertas kerja kelima Seminar Antarabangsa – Fiqh Mentaati Pemimpin.

Kertas kerja kelima yang bertajuk “Pendakatan Wasatiyyah Peneraju Kepimpinan Islam” itu dibentangkan oleh Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Abdullah Mohd Zin, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra.

Mengulas lanjut mengenai pendekatan wasatiyyah yang dianjurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di negara ini, mantan Timbalan Syeikhul Azhar, Syeikh Mahmoud Abdul Ghany Mahmoud Ashour menegaskan bahawa konsep tersebut selari dengan ajaran Rasulullah SAW.

“Pada pandangan saya, konsep yang dibawa oleh Perdana Menteri Malaysia itu adalah sebuah konsep yang dianjurkan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

“Maksudnya menganjurkan sesuatu yang bukan ekstrem dan tidak menyeleweng sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah,” katanya sambil memetik beberapa hadis sahih dan kisah-kisah sahabat berhubung konsep wasatiyyah tersebut.

Selain itu, beliau berkata, seminar yang dianjurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO), Generasi Bestari, dan laman portal terkenal, Mykmu.net itu merupakan satu bukti jelas sokongan kerajaan Malaysia membawa ke arah transformasi umat Islam di Malaysia.

Katanya, penganjuran seminar itu merupakan satu langkah positif dan progresif yang sepatutnya mendapat perhatian dan diambil sebagai contoh terbaik oleh negara-negara Islam di seluruh dunia.

“Semua tajuk, tema-tema, isu-isu dan perbincangan yang membina ummah wasatiyyah seperti ini seharusnya mendapat tempat dan dianjurkan oleh semua negara Islam kerana ia akan menentukan masa depan umat Islam itu sendiri.

“Seminar ini adalah satu model dari segala sudut sama ada penganjurannya, tajuk-tajuk perbahasannya dan pengisiannya,” kata wakil-wakil Al-Azhar tersebut.

Selain itu, kedua ulama Al-Azhar itu juga meluahkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Perdana Menteri, pihak kerajaan, penganjur program dan seluruh rakyat Malaysia atas layanan baik serta penganjuran seminar yang penuh pengisian tersebut.

“Saya mengucapkan terima kasih atas penganjuran seminar seperti ini bagi pihak Al-Azhar dan dari pihak diri saya sendiri,” katanya sambil memuji penganjur program seminar yang berlangsung selama 3 hari di Pusat Dagangan Dunia Putra itu.

Turut dikagumi oleh Dr. Hamed Mohamed dan Syeikh Mahmoud Ashour ialah seminar itu yang dihadiri oleh golongan muda yang sentiasa memberikan sokongan penuh dan memenuhi dewan pada setiap pembentangan kertas kerja mereka.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers