Photobucket

Rakyat Keliru Angkara Nik Abdul Aziz, Hadi?

KOTA BHARU 3 Jun - Percanggahan pendapat antara Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung 'fatwa' mengundi Pas masuk syurga membuatkan kedudukan agama Islam di negara ini menjadi rumit.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, perbezaan pendapat antara kedua-dua pemimpin ini menyebabkan rakyat keliru.

Beliau berkata, kedua-dua pemimpin Pas itu sering bertelagah iaitu masing-masing menyatakan pendirian dan tidak mahu mengalah, menyebabkan akhirnya rakyat terutama ahli-ahli Pas menjadi mangsa sama ada harus mengikut pendirian Abdul Hadi atau Nik Abdul Aziz.

"Selain isu fatwa undi Pas masuk syurga, mereka juga berbeza pendapat mengenai isu Perdana Menteri mesti Melayu. Abdul Hadi tetap mahu Melayu, sedangkan Nik Abdul Aziz tidak kisah janji Islam.

"Sama juga mengenai isu muzakarah dengan UMNO, pada mulanya Nik Abdul Aziz ingin bermuzakarah manakala Abdul Hadi menentang sekeras-kerasnya, demi kepentingan politik akhirnya Musyidul Am Pas itu menarik balik pendirian tersebut," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi yang mengakui Pas tidak boleh menjanjikan syurga kepada mereka yang mengundi parti itu dalam pilihan raya.

Kenyataan Abdul Hadi itu sekali gus bercanggah dengan Nik Abdul Aziz yang sebelum ini mempertahankan pendirian 'undi Pas akan masuk syurga'.

Selain itu, kedua-dua pemimpin tersebut juga bercanggah pendapat mengenai isu Perdana Menteri Melayu iaitu Abdul Hadi menegaskan jawatan itu mesti disandang oleh orang Melayu beragama Islam sedangkan Nik Abdul Aziz tidak kisah siapa yang memegang jawatan tersebut asalkan individu berkenaan beragama Islam.

Dalam perkembangan lain, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menyeru rakyat negeri ini supaya jangan membazir dengan memberi derma untuk pembinaan lebuh raya rakyat Kota Bharu-Kuala Krai.

Katanya, pembinaan lebuh raya ini adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat dan hasrat kerajaan Pas Kelantan ingin membina lebuh raya berkenaan hanya gimik politik semata-mata.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional sudah berjanji akan membina lebuh raya jika diberi mandat memerintah Kelantan, jadi rakyat tidak perlu lagi bersusah payah menderma.

"Kalau ada duit, lebih baik derma di masjid, surau ataupun kepada golongan anak yatim yang dilihat lebih memerlukan. Derma tersebut lebih mendapat ganjaran pahala.

"Pas berjanji untuk membina lebuh raya hanya kerana mahu melawan kerajaan Pusat. Kerajaan Pusat janji hendak buat lebuh raya apabila memerintah Kelantan, Pas juga turut melakukan perkara yang sama.

"Kos membuat lebuh raya itu memerlukan peruntukan yang sangat banyak, mampukah dilaksanakan kerajaan Pas, sedangkan projek kecil yang dijanjikan sebelum ini pun masih belum terlaksana?" katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers