Photobucket

KADAR TOL KEKAL : Tiada Kenaikan - TPM



PUTRAJAYA 5 Feb. - Kadar tol di semua lebuh raya di negara ini tidak akan dinaikkan sehingga hujung tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, keputusan tersebut dipersetujui oleh Jemaah Menteri selari dengan hasrat kerajaan untuk tidak membebankan pengguna dengan kenaikan harga tol.

“Ada syarikat konsesi yang telah mengemukakan di bawah Kementerian Kerja Raya untuk menaikkan kadar tol mengikut perjanjian, (tetapi) kita putuskan tol tidak dinaikkan dan ini selari dengan hasrat kita untuk tidak membebankan pengguna.

‘‘Walau bagaimanapun, kita perlu menampung jumlah ganti rugi kepada syarikat konsesi terlibat melibatkan kos lebih RM400 juta. Ini tidak bermaksud apabila rakyat tidak bayar tol (atas kenaikan kadar), maknanya itu percuma. Kerajaan terpaksa juga membantu dengan membayar ganti rugi yang telah dimeterai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Kos Sara Hidup di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Dalam masa sama, Muhyiddin berkata, ahli jawatankuasa khas tersebut turut memutuskan supaya Kementerian Kerja Raya membuat kajian menyeluruh mengenai konsesi tol dengan semua syarikat konsesi.

Katanya, kajian tersebut adalah untuk melihat semula terma yang boleh dipersetujui bersama termasuk melanjutkan tempoh konsesi sebagai salah satu kaedah untuk tidak menaikkan kadar tol pada masa hadapan.

Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat tersebut bersetuju memperuntukkan RM120 juta kepada tiga agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) bagi memastikan bekalan makanan yang telah dikenal pasti serta terpilih mencukupi di pasaran.

UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers