Photobucket

MB Johor Cabar Selangor Dan Pulau Pinang Turunkan Harga Rumah


ISKANDAR PUTERI – Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin hari ini mencabar negeri Selangor dan Pulau Pinang untuk menurunkan harga rumah mampu milik di negeri masing-masing.

“Kita tetap mengatakan bahawa kita kekalkan rumah harga RM42,000, RM80,000 dan RM150,000. Tunjuk pada saya di Selangor dan Pulau Pinang, boleh tak buat macam itu? Saya cabar turunkan harga sekarang.

“Dari segi soal rumah, kita 'walk the talk'. Walaupun kita ada banyak rumah yang harga mahal di sini, memanglah itu perlu dilakukan kerana setiap rumah yang harga mahal, kita boleh gunakan untuk lakukan ‘cross subsidy’. Kalau kita tidak ada penjualan rumah mahal, bagaimana kita hendak banyakkan rumah yang boleh kita beri subsidi untuk membolehkan rakyat kita membeli?" katanya ketika dalam sidang DUN Johor semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Adun Mengkibol dari DAP, Tan Hong Pin yang bertanyakan langkah kerajaan untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup, terutama bagi aspek perumahan akibat harga hartanah yang melambung tinggi.

Tambah Mohamed Khaled, keseimbangan pembangunan adalah penting dalam usaha memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati kemajuan yang diinginkan.

“Adakah kita nak di Johor Bahru ini semua rumah kos rendah? Johor Bahru jadi ‘slum’? Dan sudah tentulah Johor Bahru tidak akan menjadi metropolis bertaraf antarabangsa, semuanya ‘slum’ jika begitu. Jadi kita perlukan perimbangan, di sinilah kerajaan Barisan Nasional pandai dan berjaya buat perimbangan," jelas beliau lagi.

Walaupun soal penyelarasan gaji akan dipertimbangkan Kerajaan Negeri, namun usaha-usaha sedia ada bagi menangani kos sara hidup di Johor tetap menjadi keutamaan pentadbiran.

Menurut Mohamed Khaled lagi, sebahagian besar daripada perbelanjaan sara hidup rakyat ditelan untuk perumahan, pengangkutan dan makanan.

“Kita lihat di Negeri Johor, ketiga-tiga perkara ini kita sedang beri perhatian yang sangat serius. Dalam keadaan pertumbuhan ekonomi yang begitu pesat dalam Negeri Johor, saya ingin nyatakan kita bukan sahaja sedang, tapi akan terus beri perhatian yang sangat mustahak kepada tiga soal ini," ujarnya.

Mohamed Khaled menerangkan bahawa Kerajaan Negeri komited untuk membina 60,000 rumah mampu milik, dan bagi mereka yang layak, itu sudah tentu akan membantu mengurangkan perbelanjaan kos sara hidup mereka.

Malah, jumlah itu tidak termasuk jumlah unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dibina oleh Kerajaan Pusat.

“Projek perumahan rakyat, kerajaan pusat sekarang sedang bina lagi 2,917 unit dan untuk tahun ini, PPR kita sedang buat di Pengerang dan juga di Bandar Tenggara, dan kita berusaha untuk sentiasa mendapat daripada Kerajaan Pusat, pembinaan yang lebih banyak. Semasa lawatan YAB Perdana Menteri pada tahun lepas, saya beritahu Johor hendakkan 20 ribu unit lagi," katanya.

KLxpress
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers