KUALA LUMPUR 15 Ogos – Kerajaan akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemilihan Parlimen dalam masa terdekat bagi menambah baik sistem pilihan raya negara agar tidak timbul sebarang syak wasangka pada masa hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jawatankuasa tersebut yang akan dianggotai oleh wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN) dan pembangkang adalah bukti kerajaan komited dengan sistem pilihan raya yang bersih.
Katanya, jawatankuasa itu akan berbincang serta mencari kata sepakat mengenai bentuk penambahbaikan yang perlu dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum diimplimentasi pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
“Saya dan anggota Kabinet tidak rela menjadi Perdana Menteri dan menteri tanpa sokongan daripada rakyat. Kami hanya akan menubuhkan kerajaan sekiranya terbukti rakyat benar-benar memilih kerajaan BN.
“Jangan ada sesiapa yang salah anggap kononnya kita tidak inginkan proses yang bersih dalam memilih kerajaan. Kerajaan cukup komited untuk meneruskan sistem demokrasi berparlimen yang kuasanya terletak pada tangan rakyat.
“Ini adalah pendirian kerajaan dan inilah juga respons kerajaan terhadap pertikaian yang tercetus baru-baru ini,” katanya semasa berucap pada majlis berbuka puasa bersama media di bangunan Bernama di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk G. Palanivel serta isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Mengulas lanjut mengenai keputusan kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa tersebut, Najib berkata, persetujuan itu bukan perkara baru sebaliknya ia merupakan proses bagi meneruskan tradisi demokrasi berparlimen.
Jelasnya, dalam sistem demokrasi berparlimen, rakyat mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan siapa bakal kerajaan dan dengan segala dasar yang dilaksanakan, BN tidak takut untuk menyerahkan nasib parti itu kepada rakyat.
“Kalau nasib sabut kita timbullah, kalau batu sebaliknya. Tetapi apa yang penting sekali komitmen kita di sini adalah untuk mengabdikan diri kepada rakyat. Kita merupakan kerajaan yang memperjuang dan membela nasib rakyat.
“Kita merupakan kerajaan yang membela kesejahteraan dan kebajikan rakyat dan mendahulukan rakyat itu adalah sesuatu yang dihayati oleh kita,” tegasnya.
UTUSAN MALAYSIA
UMNO diperlaku macam kain buruk untuk lap najis
-
Hari ini kebanyakan akhbar meletakkan isu berkaitan Menteri Pelaburan,
Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
d...
16 hours ago
0 comments:
Post a Comment