Photobucket

IMAN BERTAMBAH DAN BERKURANG

AlhamduliLLAHi ‘alaa kulli haal,

Segala puja-puji kepada Al-Khaliq, Yang Maha Menciptakan ke atas segala-galanya,

Selawat dan salam isyarat kecintaan kepada HabibuLLAH Ar-Rasul SAW, ahli keluarga serta para sahabat baginda.


“Al-Iman Yazid Wa Yankus”,

Kita biasa dengar penyataan yang satu ini. Maksudnya, iman itu hakikatnya mempunyai turun naiknya. Sihat dan bertumbuhnya iman itu adalah atas hasil ikhtiar empunya hati yang memiliki iman itu sendiri. Begitu juga apabila bercerita tentang jatuh merudumnya iman, ianya adalah natijah daripada pekerjaan manusia yang ‘asi, atas ikhtiar yang empunya hati itu sendiri.


Susahnya menjaga iman ini.

Susahnya menjaga iman kerana di zaman ini ada banyak macam benda yang mempu mencuri iman itu daripada hati manusia. Tidak perlu melihat ke dalam sudut yang lebih dalam ataupun di perspektif yang lebih jauh, cukuplah dengan memandang keadaan di sekeliling kita – itu sudah cukup untuk menjadi asbab agar iman kita itu dibawa lari.

Aurat yang tidak tertutup sepenuhnya mampu merampas iman dari dalam jiwa hati manusia. Hiburan tanpa mengenal batasan mampu juga merompak iman manusia. Memenuhi tuntutan hawa nafsu makan secara berlebihan juga mampu merombak iman manusia. Di zaman ini, seolah-olah selautan perkara, sebanyak macam benda boleh menjadi asbab kepada berkecainya iman di dalam hati manusia.


Bahayanya bahana iman yang tidak terjaga itu.

Bahayanya sekiranya tuan empunya hati yang menyimpan iman itu tidak menangisi realiti keteguhan iman yang semakin goyah, tercabar semakin hari. Tidak menjaga lidah dalam berbicara, tidak menutup telinga seraya seruan-seruan fahsya’ dan munkar memasuki ruang pendengaran, tidak mahu menoleh ke arah zon yang menyelamatkan iman apabila mata mula meliar mencari dosa-dosa, tidak mahu menarik tangan apabila tangan-tangannya itu ditawarkan dengan emas permata tipuan dunia, tidak mahu mengangkat kaki untuk berhijrah ke arah yang menghidupkan, masih mahu duduk di takuk dosanya yang lama.



Alangkah gelapnya terasa di dalam dunia orang yang tidak mahu menjaga iman itu.

Mahu sahaja datangnya cahaya iman ke dalam hatinya, dia hambat dan dia tutup tingkap hatinya daripada menerima sinaran iman itu. Dia tolak kehadiran cahaya itu. Dia seolah-olah lebih suka di dalam gelap gelita dunia kesesatannya sendiri!


Alangkah sedih melihat iman yang tidak dijaga,

Sedihnya melihat iman yang tidak dijaga, kerana tidak mengetahui ataupun telah menutup mata sendiri tentang hakikat iman yang tidak dapat dijual-beli serta diwarisi. Menangis dan merana jiwa yang hampa apabila melihat sewenang-wenangnya manusia yang pada mulanya beriman di dalam hatinya telah dihanyutkan oleh badai perosak iman.

Hari ini iman sudah mudah-mudah dijual-beli, sudah mudah-mudah digadai. Sedangkan nilai pajakannya itu apabila dibandingkan dengan harga iman, maka harga iman kurniaan Tuhan tiada ditandingi. Iman sudah boleh dijual dengan tawaran gaji yang tinggi, iman sudah boleh ditukar dengan pujukan suami ataupun isteri, iman sudah boleh dilelong dengan pangkat dan jawatan tertinggi, iman sudah boleh dilepaskan dari tambatan hati dengan menunaikan nafsu syahwat yang tidak dipagari.


Hari ini iman menjadi saksi,

Bahawa tanpa dirinya di dalam hati orang-orang yang memiliki hati, nyawa dengan mudah diragut sana-sini. Kekayaan duniawi menjadi sasaran utama sehingga manusia lupa akan tujuan ukhrawi. Pasangan yang belum bernikah sudah boleh jadi persis laki-bini. Amanah pangkat dan jawatan sudah tidak lagi dilihat sebagai ujian daripada Ilahi. Rasuah dan gelap duit semata-mata mahu kaya tanpa mengira keberkatan di dalam rezeki.


Hakikatnya, itulah dia natijahnya, banyak kemusnahan yang terjadi apabila iman yang mahal itu sudah ditolak ke tepi. Iman sudah jadi picisan bagi manusia yang tidak mengenang budi Tuhan hari ini!


Kasihanilah iman,

Kasihanilah ia bukan kerana lemahnya ia, tetapi kasihanilah ia kerana semakin nazak dan mungkin sudah matinya ia di dalam hati diri manusia. Iman tidak dapat dilihat, tetapi manusia yang mempunyai mata hati pasti sedar akan sakitnya iman di hujung zaman ini. Menangis ia. Meraung ia. Meronta-ronta ia. Meminta-minta ia untuk dilepaskan diri daripada dibelenggu nafsu manusia. Dibelenggu kemaksiatan manusia. Ia sudah tidak tahan dengan dosa-dosa kita! Ia mahu dibebaskan daripada penjara ‘melebihkan cinta dunia’!


Maka wahai kaum yang memiliki hati,

"Indeed, it is with the remembrance of ALLAH that the hearts enter into a state of tranquility"


Usahakanlah dirimu untuk menjaga iman di dalam hati itu. Bajai hati yang beriman itu. Kuatkan dirimu untuk bersolat agar subur kembali ia. Sedekahkanlah zikruLLAH untuknya. Berwudhu’lah untuk mensucikan dirinya. Tadabburlah Al-Qur’an serta alam untuk menerangi ia kembali.

Usahalah kamu ke atas kehidupan iman kamu! Jangan biarkan dia menangis, kerana yang ditakuti dalam ia menangis, ia semakin sakit, sangat boleh jadi kemudian iman itu mati!


Oleh itu, pujuklah hati ini. Pujuklah hati untuk menangis memikirkan hakikat iman di akhir zaman ini!


Menangislah! Menangislah wahai manusia akhir zaman! Menangislah ke atas iman yang kian mati itu!

MB Johor Cabar Selangor Dan Pulau Pinang Turunkan Harga Rumah


ISKANDAR PUTERI – Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin hari ini mencabar negeri Selangor dan Pulau Pinang untuk menurunkan harga rumah mampu milik di negeri masing-masing.

“Kita tetap mengatakan bahawa kita kekalkan rumah harga RM42,000, RM80,000 dan RM150,000. Tunjuk pada saya di Selangor dan Pulau Pinang, boleh tak buat macam itu? Saya cabar turunkan harga sekarang.

“Dari segi soal rumah, kita 'walk the talk'. Walaupun kita ada banyak rumah yang harga mahal di sini, memanglah itu perlu dilakukan kerana setiap rumah yang harga mahal, kita boleh gunakan untuk lakukan ‘cross subsidy’. Kalau kita tidak ada penjualan rumah mahal, bagaimana kita hendak banyakkan rumah yang boleh kita beri subsidi untuk membolehkan rakyat kita membeli?" katanya ketika dalam sidang DUN Johor semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Adun Mengkibol dari DAP, Tan Hong Pin yang bertanyakan langkah kerajaan untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup, terutama bagi aspek perumahan akibat harga hartanah yang melambung tinggi.

Tambah Mohamed Khaled, keseimbangan pembangunan adalah penting dalam usaha memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati kemajuan yang diinginkan.

“Adakah kita nak di Johor Bahru ini semua rumah kos rendah? Johor Bahru jadi ‘slum’? Dan sudah tentulah Johor Bahru tidak akan menjadi metropolis bertaraf antarabangsa, semuanya ‘slum’ jika begitu. Jadi kita perlukan perimbangan, di sinilah kerajaan Barisan Nasional pandai dan berjaya buat perimbangan," jelas beliau lagi.

Walaupun soal penyelarasan gaji akan dipertimbangkan Kerajaan Negeri, namun usaha-usaha sedia ada bagi menangani kos sara hidup di Johor tetap menjadi keutamaan pentadbiran.

Menurut Mohamed Khaled lagi, sebahagian besar daripada perbelanjaan sara hidup rakyat ditelan untuk perumahan, pengangkutan dan makanan.

“Kita lihat di Negeri Johor, ketiga-tiga perkara ini kita sedang beri perhatian yang sangat serius. Dalam keadaan pertumbuhan ekonomi yang begitu pesat dalam Negeri Johor, saya ingin nyatakan kita bukan sahaja sedang, tapi akan terus beri perhatian yang sangat mustahak kepada tiga soal ini," ujarnya.

Mohamed Khaled menerangkan bahawa Kerajaan Negeri komited untuk membina 60,000 rumah mampu milik, dan bagi mereka yang layak, itu sudah tentu akan membantu mengurangkan perbelanjaan kos sara hidup mereka.

Malah, jumlah itu tidak termasuk jumlah unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dibina oleh Kerajaan Pusat.

“Projek perumahan rakyat, kerajaan pusat sekarang sedang bina lagi 2,917 unit dan untuk tahun ini, PPR kita sedang buat di Pengerang dan juga di Bandar Tenggara, dan kita berusaha untuk sentiasa mendapat daripada Kerajaan Pusat, pembinaan yang lebih banyak. Semasa lawatan YAB Perdana Menteri pada tahun lepas, saya beritahu Johor hendakkan 20 ribu unit lagi," katanya.

KLxpress

#RMK11: Intipati Rancangan Malaysia Ke-11


Berikut ialah inti pati Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020), yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini:

* Tema : Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat.

* Rancangan 5 tahun memperkukuh komitmen kerajaan terhadap rakyat dan keyakinan bahawa pertumbuhan tidak boleh diukur dengan kejayaan ekonomi semata-mata;

* Rancangan memperakui kesejahteraan rakyat, dan komitmen untuk pertumbuhan inklusif dan mampan, perlu sebagai sebuah negara maju;

* Ekonomi Malaysia mendapat manfaat daripada prospek ekonomi dunia yang lebih kukuh, pemulihan harga komoditi dan inflasi global yang rendah;

* RMK-11 juga melihat pasca 2020 dengan Malaysia kekal sebagai sebuah ekonomi terbuka dan lebih bersepadu di peringkat serantau dan global;

* KDNK Malaysia mencecah RM2.6 trilion pada 2030 (RM1.4 trilion pada 2020);

* Lebih 40 peratus daripada jumlah guna tenaga akan terdiri daripada pekerja mahir pada 2030 (2020: 35 peratus);

* KDNK per kapita dijangka meningkat lebih dua kali ganda kepada RM117,260 pada 2030 (2020: RM54,890);

* Perdagangan dunia dijangka meningkat kepada US$44 trilion pada 2030 (US$26 trilion diunjurkan pada 2020);

* Sasaran RMK-11 menyasarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar sebenar berkembang 5.6 peratus setahun;

* Produktiviti pekerja meningkat kepada RM92,300 pada 2020 (2015: RM77,100)

* Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita mencecah RM54,100 (US$15,690) pada 2020;

* Purata pendapatan bulanan isi rumah meningkat kepada RM10,540 pada 2020 (2014: RM6,141);

* Sumbangan pampasan pekerja kepada KDNK meningkat kepada sekurang-kurangnya 40 peratus pada 2020, (2015: 34.9 peratus)

* Indeks Kesejahteraan Malaysia (IKM) meningkat 17 peratus setahun, petunjuk peningkatan kesejahteraan rakyat;

* Inflasi kekal rendah di bawah 3.0 peratus;

* 1.5 juta pekerjaan akan diwujudkan pada tahun 2020;

* Pertumbuhan akan dipacu oleh sektor swasta dengan pelaburan swasta berkembang pada 9.4 peratus setahun;

* Sektor pembuatan dan perkhidmatan menyumbang lebih daripada 75 peratus KDNK;

* Imbangan pembayaran dijangka kekal dalam lebihan sebanyak 2.6 peratus PNK;

* Jumlah hutang Kerajaan Persekutuan terus berkurangan kepada kurang daripada 45 peratus pada 2020;

* Hasil berkembang sebanyak 7.9 peratus setahun dan pergantungan kepada hasil berkaitan minyak berkurangan kepada 15.5 peratus pada 2020;

* Pengenalan GST akan menyumbang pendapatan sebanyak RM31.4 bilion setahun dalam tempoh lima tahun akan datang berbanding RM15.5 bilion yang dikutip menerusi cukai jualan dan perkhidmatan dalam RMK-10;

* RMK11: Enam teras strategik: –

Pertama: Memperkukuh inklusiviti ke arah masyarakat yang saksama

Kedua: Meningkatkan kesejahteraan untuk semua

Ketiga: Mempercepat pembangunan modal insan untuk negara maju

Keempat: Menuju ke arah pertumbuhan hijau bagi meningkatkan kemampanan dan daya tahan

Kelima: Memperkukuh infrastruktur bagi menyokong perkembangan ekonomi

Keenam: Merekayasa pertumbuhan ekonomi untuk peningkatan kemakmuran

#VIDEO Penuh Soal Jawab Khas TV3 Bersama YAB Perdana Menteri

#VIDEO : Apa Itu POTA

#VIDEO : Perbezaan Antara POTA dan ISA

#VIDEO : POTA Dari Kacamata Musa Hassan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers