Photobucket
Calon Pas di Penanti?
UTUSAN MALAYSIA - 30 APRIL 2009

BUTTERWORTH 29 April - Pemuda Pas Pulau Pinang tetap bertegas mahu meletakkan calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada 31 Mei ini.

Ketuanya, Mohd. Hafiz Mohd. Nordin berkata, pihaknya sudah mempunyai calon yang sesuai dan akan mengadakan pertemuan dengan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membincangkan perkara itu dalam masa terdekat.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira sentimen ahli akar umbi yang mahu Pas bertanding semula di kawasan tersebut selepas kali terakhir merebut kerusi itu pada pilihan raya umum 1995.

''Kita buat keputusan berpandukan kehendak akar umbi dan selepas menimbang beberapa perkara, kita buat keputusan bertanding dan sudah pilih calon yang kita fikirkan layak.

''Insya-Allah, satu pertemuan dengan Presiden akan diatur dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam mengumumkan Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR negeri, Dr. Mansor Othman sebagai calon parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut.

Pemilihan Mansor, 56, diumumkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis di Yayasan Aman, dekat sini.

Diminta mengulas mengenai pengumuman itu, Mohd. Hafiz berkata, pemilihan Mansor adalah keputusan pemimpin PKR, bukannya ketetapan secara kolektif dalam pakatan pembangkang.

Katanya, pakatan pembangkang sepatutnya bergerak hasil muafakat dan perbincangan secara bersama oleh semua parti di dalamnya, bukan ditentukan oleh satu atau dua individu sahaja.

''Kalau tiada (perbincangan), ia bukan dinamakan satu pakatan. Sebab itu dalam apa juga keputusan, biarlah ia dibuat secara bersama atas semangat setiakawan," tambahnya.

Menjawab pertanyaan sama ada tindakan Pas meletakkan calonnya dalam pilihan raya itu akan mendapat tentangan daripada PKR, Mohd. Hafiz berkata:
"Kita akan letak calon kita atas semangat demokrasi yang diamalkan dalam negara ini."

Kerusi DUN Penanti kosong selepas penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin daripada PKR meletakkan jawatan pada 16 April lalu atas alasan mahu melanjutkan pelajaran.
Husam Tanding Timbalan Presiden?
Oleh AZRAN FITRI RAHIMazran.rahim@utusan.com.my
UTUSAN MALAYSIA - 30 april 2009

KOTA BHARU 29 April – Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa membayangkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu berdasarkan perkembangan semasa terutama apabila timbulnya keraguan tentang ‘hubungan sulit’ Pas-UMNO.

Beliau berkata, perkara utama yang perlu dilihat sebelum menawarkan diri ialah sama ada tindakan itu akan mengganggu arah tuju Pas dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, Pas perlu membuat keputusan secepat mungkin kerana tempoh enam sehingga 12 bulan dari sekarang adalah waktu yang amat kritikal kerana diramalkan akan berlaku pilihan raya.

“Jika arah tuju Pas diperjelaskan dan tidak ada keraguan dalam hubungan sulit antara Pas dan UMNO, saya rasa tidak ada sebab besar untuk saya bertanding mencabar pemegang jawatan sedia ada.

“Tetapi pada pendapat saya, trend yang berlaku sekarang wujudnya keraguan terhadap hala tuju Pas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selain penyandangnya, Nasharuddin Md. Isa, Naib Presiden Pas, Mohammad Sabu, Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali turut berminat untuk bertanding jawatan itu.

Husam menegaskan, Pas tidak mempunyai pendirian rasmi mengenai kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Oleh sebab tiada ikatan rasmi, maka jalan yang lebih munasabah ialah memperkuatkan parti dan mendapatkan kawasan yang sekarang ini dikuasai oleh UMNO,” katanya.

Ditanya kenyataan Nasharuddin bahawa beliau diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan keputusan muktamar termasuk mengadakan perbincangan dengan organisasi luar termasuk UMNO, beliau berkata:
“Itu yang jadi keliru, sebagai Naib Presiden pun saya keliru. Lembap sikit nak faham benda macam ini, kalau berbelit-belit susah, saya lebih senang berterus-terang saja,”.

Beliau bagaimanapun berkata, pemilihan jawatan utama dalam parti itu terutama Timbalan Presiden mungkin diselesaikan melalui sesi muqabalah.
Modenisasi Sektor Awam

Oleh ZULKIFLI JALIL dan HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my

UTUSAN MALAYSIA - 29 April 2009

PUTRAJAYA 28 April – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mencadangkan jawatan-jawatan utama sektor awam dibuka kepada bakat-bakat daripada sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selain perkhidmatan tadbir dan diplomatik.

Perdana Menteri berkata, pembaharuan struktural perkhidmatan awam itu dicadangkan demi kepentingan rakyat.

“Kita tidak boleh lagi terlalu dogmatik, kita perlu mendapatkan bakat yang terpilih, terbaik dan tersaring demi kepentingan rakyat,” katanya pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-10 (MAPPA X) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Beliau berkata, cadangannya mengenai kaedah sistem kemasukan pelbagai peringkat ke dalam perkhidmatan awam itu akan dapat memanfaatkan proses keterampilan bersilang antara bakat-bakat sektor awam dan sektor swasta serta GLC.

Najib juga mencadangkan satu dasar pintu terbuka dengan pegawai-pegawai perkhidmatan awam boleh dipinjamkan ke GLC dan sebaliknya untuk saling menimba ilmu.

Perdana Menteri berkata, dengan cara itu pegawai perkhidmatan awam boleh didedahkan kepada keperluan sektor swasta yang merupakan peneraju utama pertumbuhan negara.

Bagi mendapatkan bakat yang terbaik, katanya, perkhidmatan awam perlu mencontohi pelan pembangunan kerjaya dan pencarian bakat yang diamalkan seperti Petronas, Permodalan Nasional Berhad dan Bank Negara.

“Kita akan menghantar yang terbaik di kalangan penjawat awam untuk menimba ilmu di beberapa institusi tersohor di dunia seperti Kennedy School of Government di Universiti Harvard dan Wharton Business School di Universiti Pennsylvania,” katanya.

Serentak itu, Najib mencabar generasi muda yang hari ini mengkritik sektor awam untuk bersama-sama menambah baik sistem perkhidmatan awam dari dalam.

Kata beliau, meskipun kerajaan sedar buat masa ini sektor itu tidak boleh menandingi kelumayanan yang ditawarkan oleh sektor swasta tetapi apa yang ia boleh tawarkan adalah rasa kepuasan berkhidmat demi rakyat dan negara.

“Dalam menterjemahkan aspirasi ini, saya komited untuk memastikan perkhidmatan awam Malaysia dianggotai anak-anak Malaysia yang terbaik.

“Marilah bersama menyertai sektor awam, mempersembah kudrat dan pemikiran saudara-saudari demi pertiwi. Walau apa pun, kita sedang berusaha untuk menyemak dan menambah baik skim-skim perkhidmatan yang kritikal agar pengorbanan saudara-saudari dihargai,” katanya.
Bekas SU Politik Anwar Calon PKR
mymetro - 29 April 2009

BUKIT MERTAJAM: “Saya berterima kasih kepada penyokong dan Mohammad Fairus Khairuddin kerana memberi laluan kepada saya bertanding sebagai calon PKR dalam pilihan raya ini.“Ini satu cabaran dalam karier politik saya untuk bertanding menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan saya yakin akan menang walaupun bukan anak jati Penanti tetapi pengalaman selama lapan tahun sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR negeri, saya dapat memahami masalah penduduk,” kata Dr Mansor Othman, 56, yang dipilih sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Penanti bulan depan.

Beliau yang juga bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan bekas Setiausaha Politik Anwar pada 1996 hingga 1998 ditemui selepas Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan namanya sebagai calon PKR.

Anwar dalam ceramahnya di Dewan Yayasan Aman kira-kira jam 10 malam tadi, berkata jika calon PKR itu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, beliau akan mengemukakan nama Dr Mansor sebagai calon Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang menggantikan Mohammad Fairus Khairuddin meletakkan jawatan itu bulan ini.
UMNO Perlu Buka Pintu Untuk Semua Lapisan Masyarakat - Najib
UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 27 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, UMNO tidak sepatutnya menjadi parti eksklusif sebaliknya bersifat inklusif yang membuka seluas-luas pintu untuk segenap lapisan rakyat.
Presiden UMNO berkata, orang Melayu dan bumiputera tanpa mengira kira latar belakang sosioekonomi sama ada bekerja sendiri atau profesional, peringkat umur termasuk tua dan remaja serta pendidikan, harus diterima menyertai parti itu.
Menurut beliau, UMNO juga perlu mewakili segenap lapisan masyarakat kerana hanya dengan cara itu parti berkenaan dapat dipulihkan dan menjadi kuat.
"Saya harap UMNO tidak menjadi parti eksklusif untuk golongan elitis apabila hanya orang tertentu boleh menjadi tunjang kepada parti ini dan kita juga jangan menolak golongan intelek yang boleh menyumbang idea-idea baru.
"Kita juga perlu memastikan budaya meminggirkan pihak tertentu yang dianggap tidak menyokong kita dan mencantas pihak yang dianggap sebagai pencabar, tidak akan berlaku lagi dalam parti," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-15 UMNO Bahagian Cheras di sini hari ini.
Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.
Hadir sama naib-naib presiden, ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) parti dan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.
Menurut Najib, UMNO juga mesti sentiasa berada di barisan hadapan dalam membuat pembaharuan bagi memastikan ia terus mendapat sokongan rakyat.
Dalam pada itu, katanya, konsep inklusif yang beliau maksudkan bukan saja merujuk kepada usaha membela orang Melayu dan bumiputera malah harus melibatkan kaum-kaum lain termasuk Cina dan India.
"Kita bukan sahaja perlu menjadi juara bagi orang Melayu dan bumiputera malah sepatutnya membela seluruh rakyat selaras dengan gagasan Satu Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin dalam ucapan alu-aluannya berkata, sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan yang baru, beliau akan berusaha memulihkan sokongan semua rakyat terhadap parti itu dan Barisan Nasional (BN) di wilayah berkenaan.
Pilihan Raya Kecil Penanti Pada 31 Mei
HARIAN METRO

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada 23 Mei ini, manakala hari pengundian pada 31 Mei jika ada pertandingan.Kerusi DUN Penanti kosong selepas penyandangnya, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin meletakkan jawatan pada 16 April lalu, berikutan siasatan kes rasuan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Md. Isa Janji Utamakan Kepentingan Rakyat
UTUSAN ONLINE - 27 APRIL 2009

KANGAR 26 April - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu akan mengutamakan kepentingan rakyat tanpa mengira fahaman politik dalam menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, kuasa yang diberi bukan untuk dibanggakan, sebaliknya penyatuan UMNO peringkat negeri dan khidmat terbaik kepada rakyat adalah satu keutamaan.
Katanya, beliau akan bertemu dengan Najib bagi berbincang dan mengambil pandangan berhubung beberapa perkara yang perlu dilakukan di Perlis sebelum bertemu ahli dan pemimpin peringkat Bahagian Arau, Kangar dan Padang Besar.
''Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden parti yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk menerajui UMNO Perlis.
''Berhubung beberapa perkara di Perlis termasuk hal berkaitan rombakan, saya perlu bertemu dengan Najib terlebih dahulu untuk mendapatkan pandangan serta nasihat," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-44 Koperasi Anggota Kerajaan dan Swasta Perlis di Dewan Residensi di sini.
Kelmarin, Najib mengumumkan pelantikan Md. Isa sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim.
Menurut Md. Isa, selepas pertemuan dengan Presiden parti, pandangan daripada rakan-rakan termasuk Shahidan akan diadakan.
''Saya berharap dengan pelantikan ini, harapan rakyat untuk melihat UMNO lebih mantap akan tercapai,'' katanya.

Malaysia Kita

Sebuah Negara Berdaulat, Selamat, Aman dan Makmur. Rakyatnya yang berbilang kaum, bangsa, dan agama...hidup dalam suasana yang sangat harmoni. Dengan menjadikan Islam sebagai Agama Rasmi sambil membenarkan Agama-agama lain dianuti dan diamalkan secara bebas telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang cukup unik dan cukup harmoni. Tidak ada satu negara pun di dunia ini yang mempunyai keunikan dan keistimewaan sebegini. Justeru itu, marilah kita sama-sama menjaga Malaysia Kita ini agar kedaulatan dan keamanannya sentiasa terjamin. Maka "SATU MALAYSIA" merupakan satu kaedah terbaik ke arah mancapai matlamat ini...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers