Photobucket

Krisis politik pembangkang amat serius

PEKAN 30 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan krisis politik pembangkang terutama di Pulau Pinang kini berada pada tahap amat serius yang menggambarkan penolakan jelas terhadap kepimpinan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng.

Sambil menegaskan krisis dalaman itu tiada kaitan dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN), Perdana Menteri berkata, apa yang berlaku bukan perselisihan pendapat sebaliknya merupakan perbalahan dan pergolakan di kalangan parti-parti pembangkang.

''Nampaknya kedudukan di kalangan parti pembangkang khususnya di Pulau Pinang sudah sampai pada satu peringkat yang begitu serius. Ini bukan perselisihan pendapat tetapi perbalahan amat serius yang sedang bergolak dalam pakatan pembangkang.

''Perbalahan ini merupakan satu tanda bahawa telah hilang keyakinan sama sekali di kalangan pemimpin pembangkang terhadap apa yang dilakukan di peringkat negeri.

''Ini bukan dibuat oleh UMNO atau BN tetapi ini adalah perpecahan yang begitu serius dan terbuka sekali di kalangan parti pembangkang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Digital Pekan 1Malaysia di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Najib mengulas krisis pakatan pembangkang yang semakin serius dan merebak ke Pulau Pinang apabila Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd. Hashim secara keras menyerang Guan Eng.

Menggambarkan Guan Eng sebagai diktator dan cauvinis, Zahrain yang merupakan bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang berkata, pakatan pembangkang perlu menghentikan sebarang tolak ansur dengan pemimpin itu setelah dia gagal menunaikan janji-janji pilihan raya umum lalu.

Najib yang juga Pengerusi BN menegaskan, krisis politik yang berlaku di Pulau Pinang menggambarkan wujudnya rasa tidak puas hati yang tidak dapat dibendung lagi di kalangan pemimpin pakatan pembangkang di negeri tersebut.

''Dasar dan pentadbiran kerajaan negeri menyebabkan sekumpulan pemimpin utama PKR mengeluarkan kenyataan yang dianggap sebagai penolakan yang amat jelas terhadap apa yang dilakukan pimpinan sedia ada," jelasnya.

Perkara itu, tegas beliau, dibuktikan dengan peletakan jawatan beberapa pemimpin utama pembangkang termasuk Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehudin Hashim pada 7 Januari lalu.

''Setiausaha Agung PKR telah meletakkan jawatan dan selepas itu, di kalangan wakil Parlimen pun mereka bercanggah secara terbuka," katanya.

Najib tidak menolak kemungkinan krisis yang sedang melanda pakatan pembangkang itu akan memberi kesan kepada negeri-negeri lain yang dikuasai pakatan pembangkang.

''Tidak dapat kita nafikan kesan dan tempiasnya mungkin menular ke tempat lain pula," katanya.


UTUSAN MALYSIA

Dr. M: Pakatan Tidak Akan Kekal

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Gabungan pakatan pembangkang merupakan marriage of convenience (perkahwinan mutaah) yang tidak akan kekal lama, demikian bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengulanginya hari ini.

"Tidak ada apa-apa persamaan antara Pas, DAP dan PKR. Ia hanya marriage of convenience dan ia tidak kekal lama," katanya kepada pemberita selepas melawat I-City di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pergesaran antara Ahli Parlimen Kulim Zulkifli Noordin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dari PAS.

Mengenai isu dakwaan menghina Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, oleh seorang penulis blog baru-baru ini, Dr Mahathir, yang juga seorang penulis blog, berkata penulis blog tidak wajar menyatakan sesuatu yang tidak membawa manfaat kepada sesiapa pun.

"Kenapa guna blog untuk mencerca orang dan membuat tuduhan yang anda tidak dapat pertahankan? Saya ada banyak artikel dalam blog saya berbanding penulis blog lain. Saya tidak fikir mereka akan menahan saya setakat ini," katanya dengan nada gurau.


BERNAMA

Nordin Dakwa Anwar Bersikap Seperti 'DIKTATOR'

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa bersikap seperti 'diktator' dan tidak akan mendengar pandangan ahli partinya kerana beliau bimbang muslihat yang disusun, akan musnah di tangan pengikut sendiri.

Bekas Setiausaha Biro Penerangan Pemuda PKR, Nordin Ahmad berkata, sejak awal penubuhan parti itu, segala keputusan ditentukan oleh Anwar seorang diri.

Sehubungan itu katanya, beliau tidak terkejut jika lebih ramai ahli PKR terutama yang memegang jawatan tinggi akan mengikut rentak Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail yang memilih untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Negeri Pahang.

"Saya yakin Azan meletakkan jawatan kerana tidak tahan dengan sikap Anwar yang egois dan tidak mahu mendengar pandangan orang lain.

"Perkara ini telah terjadi kepada bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd. Noor, yang sanggup keluar parti kerana tidak mahu menurut kehendak Anwar yang bersikap seperti diktator dan gagal memperjuangkan nasib rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas peletakan jawatan Azan sebagai Timbalan Pengerusi Negeri Pahang yang berkuatkuasa kelmarin.

Azan turut melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Biro Keahlian PKR negeri, namun beliau masih menjadi Ahli Parlimen Indera Mahkota dengan mengekalkan keahlian parti dan sebagai Ketua PKR Bahagian Indera Mahkota.

Mengulas lanjut, Nordin yakin Azan membuat keputusan itu setelah berasa tertipu dengan Penasihat PKR itu.

"Memang benar Azan seorang pemimpin yang 'ikut buku' atau terikut dengan protokol kerana beliau seorang yang jujur dan benar-benar mahukan perubahan dalam parti,'' ujarnya.

Nordin yang merupakan individu terawal bertindak keluar daripada PKR atau ketika itu dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional (Keadilan), menyatakan kebimbangannya terhadap masa depan orang Melayu jika masih ramai yang terus memberi sokongan kepada pakatan pembangkang.

Katanya, negara akan kecoh jika diperintah oleh pakatan pembangkang ekoran Pas, PKR dan DAP masih dengan ideologi masing-masing dan keakraban yang mereka tonjolkan selama ini hanya lakonan semata-mata.

"Apabila timbul isu cah keting, memang tidak dinafikan perkara itu telah lama berlaku di dalam PKR, malah saya turut menyaksikan sendiri bagaimana Anwar dengan mudah melakukannya pada pilihan raya di sebuah kawasan di Selangor.

"Sehubungan itu tidak mungkin perkara yang sama akan dilakukan oleh Penasihat PKR tersebut kepada Pas dan DAP demi kepentingan dirinya,'' ujar beliau.


UTUSAN MALAYSIA

Isu Kalimah Allah : Zul Noordin dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin PKR

Ahli Parlimen PKR Kulim Bandar Bharu Zulkifli Noordin hanya akan tahu mengenai kedudukannya dalam parti itu dalam masa sebulan lagi ekoran tindakannya buat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mengenai isu kalimah Allah.

Ini kerana Biro Politik PKR yang bermesyuarat di ibupejabat parti itu dekat Petaling Jaya petang Selasa putuskan untuk hadapkannya ke Jawatankuasa Disiplin parti itu.Hadir sama di mesyuarat itu ialah Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.Zulkifli tidak hadir kerana bukan anggota biro itu..

Hal ini diumumkan oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution dalam satu kenyataan yang dibacakan kepada wartawan selepas mesyuarat berkenaan.

Katanya, keputusan Jawatankuasa Disipilin akan terikat kepada tiga perkara iaitu memberi amaran, menggantung atau memecat keahlian.

Zulkifli juga diarah supaya tidak membuat sebarang kenyataan sepanjang tempoh berkenaan.

Menurut beliau Biro Politik PKR kesal dengan tindakannya.

Sebelum ini ramai yang menduga PKR akan bertindak serta merta keatas Zulkifli yang membuat laporan polis terhadap Khalid Samad pada hari Sabtu lalu.

Ia mencetuskan kemarahan kalangan pimpinan PKR dan pembangkang.

Zulkifli bagaimanapun menegaskan beliau tidak akan tarik balik laporan polis itu dan sedia keluar dari parti demi mempertahankan kesucian kalimah Allah.

Sementara itu bercakap kepada wartawan selepas mesyuarat berkenaan Anwar mengulangi pendirian terbuka PKR terhadap isu kalimah Allah.

Katanya , “saya ulangi pendirian pimpinan parti berdasarkan pandangan ulama-ulama besar dunia yang kita rujuk, tidak terbatas pada tiga ulama besar seperti Syeikh Yusuf Qaddrawi, Syeikh Wahbah Zuhkairi dan Syeikh Taha Jabbir Alwani tetapi juga beberapa tokoh lain.”

“Saya ingin ulangi bahawa pendirian kita masih tetap pada prinsip hak yang ditetapkan di dalam Islam sepertimana yang telah kami rujuk kepada ulama besar dan keduanya apa yang dijamin dalam perlembagaan kita,” katanya.

Menurut beliau dalam masa yang sama PKR akan meneruskan sidang pertemuan dan perbincangan dengan pengganut ugama krisitian dan lain-lain dan juga akan menyuarakan kebimbangan umat Islam supaya kemudahan ini tidak disalahgunakan.

“Saya yakin setakat ini ketua-ketua paderi kristian telah memberi jaminan bahawa mereka hanya mahu menggunakan hak ini untuk kegiatan agama dan pengganut agama kristian dan bukan maksud mereka untuk menghasut atau mendakyahkan kepada umat Islam.” kata Anwar.
Sementara itu, berhubung isu Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail yang meletak jawatan sebagai Timbalan Pengerusi 2 PKR Pahang, beliau memberitahu Biro Politik telah diberi penerangan khas oleh Azan sendiri.


AGENDA DAILY - 26/1/2010

----------------------------------------------------------------

‘Rela dipecat’


KUALA LUMPUR 26 Jan. – Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin menegaskan beliau bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berikutan ketegasannya dalam memperjuangkan isu berkaitan Islam.

Walaupun akur dengan keputusan mesyuarat Biro Politik PKR hari ini yang akan menghadapkan beliau kepada jawatankuasa disiplin parti kerana membuat laporan polis ke atas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, namun Zulkifli berkata, beliau juga mempunyai hak dan pendirian berhubung perkara itu.

‘‘Tidak apa saya tunggulah sebulan apa yang hendak dilakukan oleh jawatankuasa disiplin parti kerana ia dilaksanakan berdasarkan kepada peruntukan parti, itu hak mereka, tetapi saya juga ada hak.

‘‘Malahan saya tidak perlu pun tunggu sebulan untuk mengambil pendirian dan membuat keputusan, saya ada pilihan berbuat demikian tanpa menunggu jawatankuasa disiplin,’’ katanya.


UTUSAN MALAYSIA

Lagi Laman Sesawang Mengutuk dan Mempersendakan ISLAM


*Klik Pada Gambar Untuk Link ke Laman Tersebut

ALFATIHAH... Anak ADUN Sungai Tiang Maut Dirempuh Kereta

Ahli Dewan Undangan Negeri BN kawasan Sungai Tiang, Kedah Suraya Yaacob kehilangan anak lelaki, Syed Arif Syed Afandi Barakhbah,12 yang maut dirempuh kereta semasa melintas jalan di Jalan Kuala Kedah jam 8 pagi Sabtu.

Semasa kejadian pada Sabtu, identiti kanak-kanak yang dilanggar dan mati di tempat kejadian itu tidak dikenalpasti.

Dalam kejadian itu sebuah kereta merempuh kanak-kanak itu yang menunggang basikal ketika dia melintas jalan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sharifah Rodziah.

Sementara itu, Ketua Trafik Kota Setar DSP Mohd Sham Abdullah berkata pemandu kereta terbabit iaitu seorang wanita berusia 20-an membuat laporan di bahagian Trafik Kota Setar tidak lama selepas kemalangan.

Suraya, yang ditemui di kediamannya enggan memberikan kenyataan atau bercakap dengan wartawan.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Albukhary Alor Star pada kira-kira pukul 11 pagi Ahad.


AGENDA DAILY - 24/1/2010

Al-Fatihah...

Veteran Umno dan juga bekas Menteri, Allahyarham Tun Ghazali Shafei, telah kembali ke Rahmatullah petang tadi kira-kira jam 7.45pm di Subang Jaya.

Al-fatihah ... semoga roh beliau ditempatkan dalam golongan yang beriman.

Sultan Johor Mangkat

JOHOR BAHRU 22 Jan. – Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail disahkan mangkat hari ini.

Baginda disahkan mangkat pukul 7.15 malam semasa dirawat di Hospital Pakar Puteri.


Kemangkatan baginda diumumkan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman pukul 11.20 malam ini.



UTUSAN MALAYSIA

Zaman Kegelapan PKR Berterusan - Muhyiddin


MIRI 21 Jan. - Senario yang membelenggu Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk semakin kehilangan sokongan berikutan peletakan jawatan beberapa ahli jawatankuasa bahagian dan pusat, dipercayai akan berterusan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat senario itu sebagai petanda penyokong-penyokong PKR semakin sedar mereka telah berjuang di atas landasan yang salah dan mahu kembali ke pangkal jalan.

Katanya, itu juga satu lagi perkembangan yang menunjukkan semakin hari kepercayaan ahli-ahli PKR semakin merosot.

''Baru-baru ini kita dengar Setiausaha Agung PKR letak jawatan, kemudian ahli jawatankuasa dibubarkan di Kuala Selangor. Saya fikir ia trend yang (akan) berterusan.

''Sewaktu PKR ditubuhkan, pihak-pihak tertentu terpengaruh atau terpedaya dengan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sehingga mereka fikir PKR membela nasib mereka.

''Saya tahu dan dapat maklumat mereka berasa kecewa dengan kepimpinan Anwar dan kepimpinan (Tan Sri) Abdul Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor),'' katanya.

Muhyiddin bercakap pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis makan tengah hari anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Miri di sini hari ini.

Beliau mengulas peletakan jawatan 11 anggota jawatankuasa serta Ketua Pemuda dan Ketua Wanita PKR Bahagian Kuala Selangor kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdul Khalid.

Kesemua 13 AJK berkenaan termasuk Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nazaruddin Darmawan dan Ketua Wanita, Fauziah Sulaiman meletak jawatan secara berperingkat-peringkat bermula November lalu hingga kelmarin.

Mereka bertindak demikian kerana hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid yang juga Pengerusi Perhubungan PKR Selangor.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau percaya dan optimis ahli-ahli PKR akan keluar beramai-ramai daripada parti menjelang pilihan raya umum akan datang.

''Ahli-ahli PKR semakin sedar kepimpinan parti itu lebih banyak bermain politik tetapi tidak berupaya memajukan negara atau menunjukkan kesungguhan memajukan rakyat,'' katanya.

Menjawab soalan mengenai desakan mewujudkan semula Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD), Muhyiddin berkata, kerajaan belum memutuskan sama ada ia perlu diwujudkan semula atau sebaliknya.

''Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika awal-awal memegang jawatan telah menerangkan sebab-sebab kementerian itu ditutup.

''Tetapi kita adalah kerajaan yang prihatin, mereka (usahawan) boleh kemukakan pada Perdana Menteri, terserah kepada pada budi bicara beliau,'' katanya.

Muhyiddin memberitahu, penubuhan kementerian adalah dalam bidang kuasa Perdana Menteri dan cadangan mewujudkan semula MECD perlu diketengahkan kepada Najib supaya boleh diteliti kewajarannya.

Baru-baru ini usahawan bumiputera mendesak kerajaan mewujudkan semula MECD atau badan khas bagi membela nasib mereka yang kian tertekan.

Presiden Persatuan Kontraktor Buku Malaysia, Hasan Hamzah berkata, usahawan bumiputera khususnya dalam industri kecil dan sederhana (IKS) kini dalam keadaan getir selepas kementerian itu dibubarkan sembilan bulan lalu.


UTUSAN MALAYSIA - 22 JANUARI 2010

Budaya “Cah Keting” Sudah Lama Wujud Dalam PAS – Mohd Puad

BATU PAHAT, 17 Jan – Anggota Majlis Tertinggi UMNO Dr Mohd Puad Zarkashi berkata budaya “cah keting” atau cantas-mencantas bukan perkara baru dalam PAS tetapi sebenarnya telah lama wujud di dalam parti itu.

Katanya budaya itu sudah lama wujud dalam PAS tetapi parti itu berselindung di sebalik parti Islam yang dipimpin oleh ulama.

Mohd Puad, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, berkata PAS cuba melindungi masalah dalamannya dengan ‘menyerang’ kerajaan pusat, Barisan Nasional (BN) dan UMNO menerusi pelbagai dakwaan dan tuduhan tidak berasas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas pengakuan terbuka Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam tentang kewujudan budaya “cah keting” sehingga memburukkan lagi kepincangan dalam parti itu.

“Rakyat boleh menilai sendiri parti PAS yang kini dilanda pelbagai bentuk kepincangan serta kebolehannya mentadbir dengan berkesan negeri-negeri yang dikuasainya oleh pakatan pembangkang,” katanya selepas melancarkan program Juara Rakyat Kawasan Parlimen Batu Pahat di Senggarang, di sini, pada hari Ahad.

Mohd Puad, yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat, mendakwa kepincangan dalam PAS semakin serius dan wujud perbalahan pendapat serta pertelingkahan terbuka di kalangan anggota serta pemimpin parti itu mengenai beberapa isu.


– BERNAMA

Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sepatutnya bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Januari ini ditunda ke 2 Februari.

Ini kerana Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuannya bagi mendapatkan dokumen-dokumen penting kes pagi Rabu hanya dapat membuat keputusan pada 29 Januari ini.

Keputusan berkenaan diumum oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Ariffin Zakaria.

Selain beliau dua hakim lain yang mendengar rayuan ini ialah Datuk Md Raus Shariff dan Datuk Abdul hamid Embong.Penal peguam Anwar diketuai oleh Karpal Singh.

Ketiga hakim berkenaan tidak dapat mencapai kata putus setelah berbincang hampir 45 minit di kamar hakim.

“Kami tidak dapat membuat keputusan hari ini. Kami akan memutuskannya pada 29 Januari. Perbicaraan kes ini akan ditunda sehingga keputusan diumumkan. Ia boleh diteruskan pada 2 Februari,” kata Arifin.

Usaha Anwar mendapatkan dokumen penting daripada pihak pendakwaraya bermula sejak tahun lalu.

Pada 16 Julai tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah meluluskan permohonan Anwar supaya pendakwaraya menyerahkan beberapa dokumen, antaranya laoran perubatan pemeriksaan ke atas Mohd Saiful Bukhari di HKL dan rakaman CCTV bagi memudahkannya membela diri. Hakim bagaimanapun menolak permohonan Anwar untuk mendapatkan spesimen asal DNA.

Hakim berkenaan memutuskan, mengikut Seksyen 51A Penal Jenayah, pihak pendakwa mesti menyerahkan Anwar semua dokumen, kecuali sampel DNA Mohd Saiful Bukhari bagi membolehkan beliau membela diri dan proses kehakiman dapat dijalankan lebih adil dan telus.

Bagaimanapun pada 6 November, Mahkamah Rayuan pula telah sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu. Hakim Hasan Lah menggunakan Seksyen 51 Penal Jenayah, dengan alasan Anwar tidak berhak diberikan dokumen-dokumen berkenaan sebelum perbicaraan bermula.

Hasan berkata, seseorang yang dituduh melakukan kesalahan jenayah tidak boleh dibenarkan“memancing” makluamat daripada pendakwaraya sebelum perbicaraan bermula. Katanya Mahkamah Tinggi telah melakukan kesilapan apabila ia memerintahkan pendakwaraya menyerahkan dokumen berkenaan kepada Anwar.


AGENDA DAILY - 20/1/2010

Lagi Tokoh Kristian Gesa Gugur Kalimah Allah


KOTA KINABALU 13 Jan. - Seorang lagi tokoh Kristian dari negeri ini, Webley Disim, yang juga Yang Dipertua Dewan Usahawan Bumiputera Sabah hari ini menggesa akhbar Herald-The Catholic Weekly menggugurkan kes tuntutan penggunaan kalimah Allah di mahkamah.

Tegasnya, langkah itu, penyelesaian terbaik bagi mengelak pertelingkahan atau konflik antara agama terus berlaku sehingga mencetuskan ketegangan.

"Sebagai tanda hormat kepada agama rasmi negara ini iaitu Islam dan juga masyarakat pelbagai kaum, Herald-The Catholic Weekly wajar menimbang tindakan ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahad lalu, Presiden Majlis Jaksa Pendamai Malaysia, Datuk Clarence Bongkos Malakun menyarankan akhbar itu menggugurkan kes berkenaan sebagai jalan penyelesaian yang terbaik.

Menurut tokoh Kristian dari Sabah itu, tindakan tersebut perlu, memandangkan perkembangan isu berkenaan semakin membimbangkan sehingga mengakibatkan beberapa gereja dibakar dan turut menerima ugutan.

Webley yang juga Naib Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Malaysia mengakui, tindakan akhbar itu sememangnya mempunyai motif untuk menarik penganut Islam kepada Kristian.

"Saya difahamkan oleh rakan-rakan dari Kuala Lumpur, tindakan akhbar itu adalah untuk menguji orang Melayu dan Islam, dengan menyatakan 'kita' menyembah tuhan yang sama iaitu Allah," katanya.

Menurutnya, perbuatan tersebut akan mengelirukan umat Islam kerana Allah bagi penganut Islam dan Kristian adalah berbeza mengikut kepercayaan masing-masing.

"Ini tidak baik, kenapa perlu menarik orang yang sudah beragama, sepatutnya kita (Kristian) menarik orang yang masih tiada agama seperti Orang Asli di Semenanjung atau Bumiputera di Sabah atau Sarawak," katanya.

Bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Joseph Pairin Kitingan ketika menjadi Ketua Menteri Sabah itu bagaimanapun tidak bersetuju jika penggunaan kalimah Allah diharamkan terus dalam agama Kristian kerana ia akan menimbulkan kemarahan penganut agama itu pula.

"Saya bersetuju jika akhbar tersebut menggugurkan tuntutan itu tetapi tidak secara keseluruhan, maksudnya dalam upacara-upacara sembahyang di gereja, kalimah Allah masih boleh digunakan," katanya.

Webley menggesa semua pihak mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin supaya rakyat Malaysia bertenang dan menghormati semua rumah ibadat.

Katanya, rakyat Malaysia tanpa mengira agama perlu berterima kasih kepada kerajaan atas kebebasan beragama yang mereka nikmati sejak pembentukan Malaysia.


UTUSAN MALAYSIA

'Jangan Terperangkap, Anwar Makin Terdesak'

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Umat Islam dan rakyat negara ini diingatkan supaya tidak terperangkap dengan permainan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh gereja Katolik.



Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd. Noor (gambar) mendakwa, pendirian semasa Penasihat PKR itu berhubung isu itu disebabkan beliau semakin terdesak dengan tarikh perbicaraan kes tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang semakin hampir.

Dalam masa sama, dakwa beliau, Anwar juga mahu menggunakan isu itu untuk meraih sokongan pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang dijangka tidak lama lagi.

"Saya menyeru umat Islam dan rakyat Malaysia tidak terperangkap dalam permainan politik Anwar yang semakin terdesak.

"Anwar yang terdesak kerana tuduhan meliwat itu akan melakukan apa saja untuk merosakkan keharmonian negara serta mengalihkan perhatian rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 5 Januari lalu, Anwar melalui laman blognya anwaribrahimblog.com menyiarkan kenyataan Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Dr. Muhd. Nur Manuty yang mewakili pendirian parti itu dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

Menurut kenyataan itu, PKR berpendirian keinginan masyarakat bukan Islam menggunakan kalimah Allah adalah perkembangan positif dan perlu diterima secara terbuka dan tidak perlu pihak tertentu mengambil kesempatan menjadikannya agenda politik untuk menampakkan merekalah jaguh dalam mempertahankan Islam di negara ini.

Sementara itu, Ezam mendakwa agenda jahat Anwar itu boleh dilihat melalui kecaman Penasihat PKR itu terhadap negara Islam yang didakwanya menzalimi kelompok minoriti pada awal Disember 2009 di Australia.

Dakwa Ezam, kecaman Anwar itu disiarkan dalam media Australia termasuk The Age pada 6 Disember lalu.

"Dan hari ini dia bakar sentimen Kristian di Malaysia dalam isu kalimah Allah, Anwar memang pemimpin yang sanggup lakukan apa saja demi kepentingan peribadi.

"Dan kenyataan dia di Australia sebulan sebelum isu penggunaan kalimah Allah di Malaysia meletus memaparkan agenda jahatnya," katanya.


UTUSAN MALAYSIA

BN Ada Bukti PAS Bersalah


KUALA LUMPUR 12 Jan. – Barisan Nasional (BN) Kelantan mempunyai bukti lengkap menunjukkan kes ganti rugi RM800 juta yang perlu dibayar kerajaan negeri kepada sebuah syarikat bukan berpunca daripada kesilapan pentadbiran kerajaan BN sewaktu memerintah negeri itu sebelum ini.

Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, walaupun pimpinan kerajaan Pas Kelantan hari ini meletakkan kesalahan itu kepada kerajaan BN namun fakta yang ada menunjukkan sebaliknya.

“Kita ada maklumat lengkap bahawa Pas memang bersalah dalam isu ini dan kerajaan juga sedang mengumpul pelbagai maklumat lain lagi. Semua fakta yang ada menunjukkan mereka bersalah,” katanya.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bercakap pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan Menteri Perdagangan dan Industri Mesir, Eng Rachid Mohamed Rachid di Menara Matrade di sini hari ini.

Hadir sama timbalan beliau, Datuk Mukhriz Mahathir.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan mengulas pengakuan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, bahawa UMNO tidak bersalah sepenuhnya dalam isu itu.

Semalam, Husam berkata, kerajaan negeri tidak meletakkan sepenuhnya kesalahan ke atas bahu pemimpin UMNO yang mentadbir Kelantan pada era sebelum Pas.

Sebaliknya, kata Husam, kerajaan negeri semasa akan bertanggungjawab mencari penyelesaian melalui mahkamah untuk menghadapi kes itu.

Kenyataan itu berbeza dengan pendirian Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Pesuruhjaya Pas III Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang menyalahkan kerajaan BN kerana Pas terpaksa mewarisi kesilapan tersebut.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, berikutan kenyataan Husam itu, kerajaan Pas Kelantan kini terpaksa menelan malu setelah Nik Aziz dan Mohd. Amar sebelum itu membuat tuduhan sebaliknya.

“Ini bukan kali pertama Pas membuat kenyataan menyalahkan BN atas masalah yang mereka tanggung.

“Mereka membuat secara melulu sehingga akhirnya wujud percanggahan pendapat di kalangan mereka sendiri kerana fakta menunjukkan sebaliknya.

“Itulah cara Pas berpolitik. Mereka politikkan semua isu bagi meraih sokongan rakyat walaupun sebagai kerajaan negeri, parti itu perlu bertanggungjawab menyelesaikan masalah bukan menuding jari kepada pihak lain,” katanya.

Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan kerajaan negeri membayar ganti rugi RM800 juta kepada Timbermine kerana melanggar kontrak pada tahun 1964.


UTUSAN MALAYSIA

Semua Diminta Bertenang

BERTENANG

Adalah dimaklumkan bahawasanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah mengambil perhatian serius terhadap isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah Herald-The Catholic Weekly oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sehubungan itu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua pihak agar sentiasa menghormati kesucian ajaran dan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia.

Bagi menjamin suasana aman dan harmoni di antara penganut yang berlainan agama, maksud dan rujukan kalimah Allah dalam konteks umum hendaklah menepati sifat yang ditetapkan oleh Islam kerana amalan ini sekian lama telah diterima baik oleh semua penganut agama lain di Malaysia.

Baginda amat berharap agar semangat perpaduan dan hormat menghormati antara kaum dan agama yang menjadi tunjang kekuatan negara ini sentiasa dijaga.

Memandangkan pihak kerajaan sedang mengambil langkah-langkah yang perlu berbangkit daripada keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini, maka Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga turut menzahirkan harapan baginda agar semua pihak terutama orang Islam agar bertenang.

Baginda juga menitahkan agar semua pihak saling menghormati semua tempat ibadat tanpa mengira agama.

Istana Negara,

Kuala Lumpur

8 Januari 2010

Setiausaha Agong PKR Letak Jawatan

Akhirnya Sallehuddin Letak Jawatan Setiausaha Agung PKR

Desas desus mengenai kemungkinan ini sudah berlegar sejak bulan Oktober lalu…akhirnya ia menjadi kenyataan.

Setiausaha Agung PKR Sallehuddin Hashim, yang juga kawan lama Datuk SeriAnwar Ibrahim secara rasmi letak jawatan hari ini.

Beliau dikatakan kurang senang beberapa hal dalaman parti itu.

Namun Salehuddin memberi alasan hendak kembali pada kerjaya lamanya sebagai perunding minyak dan gas.

Beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung parti itu pada bulan April 2008.

AGENDA DAILY

Kalimah Allah:Bantahan terus bergema…

Disebalik seruan kalangan pemimpin agar semua pihak bertenang - berbagai pihak disekitar negara khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tanpa mengira ideoloji politik terus menyuarakan bantahan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan akhbar mingguan dikendalikan oleh gereja katholik The Herald mengunakan kalimah Allah.

Selain di media cetak ia juga terus hangat diperdebatkan dalam laman-laman web dan blog.Satu usaha mendapatkan tandatangan membantahnya yang dikendalikan menerusi laman Facebook juga menarik sokongan ramai.

Ahad antara yang paling vokal membantahnya ialah Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr. Ma'amor Osman yang menyifatkan tindakan Herald itu seolah-olah menjolok sarang tebuan dan sebagai biadab dan tidak memikirkan sensitiviti pelbagai kaum di negara ini

Beliau menyatakan demikian selepas mengetuai 13 NGO termasuk PPIM membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul,Kuala Lumpur.

Menurut Dr Ma’amor pihaknya bertindak mengikut perlembagaan negara fasal 11(4) yang secara jelasnya melarang mana-mana pihak selain Islam menggunakan kalimah Allah.

Katanya bantahan mereka tidak setakat laporan polis dan sebagai langkah janjut, PPIM akan mengadakan perhimpunan secara aman di pekarangan masjid di sekitar ibu negara selepas solat Jumaat.

Di Pulau Pinang satu perhimpunan diadakan di depan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di Lebuh Farquhar untuk tujuan sama.

Ia dianjurkan oleh kumpulan yang mengelar diri mereka Badan Anti Suruhanjaya Antara Agama (Badai)

Pengerusi Badai, Mohd. Hafiz Nordin berkata beliau tidak tidak faham mengapa pihak yang membawa hal berkenaan ke mahkamah tidak pernah bersyukur .

Beliau mengingatkan perhimpunan itu juga tanda amaran kepada orang bukan Islam supaya tidak mencabuli kehormatan agama Islam.

Di Pekan,20 NGO menyampaikan satu memorendum kepada Perdana Menteri sebelum beliau menghadiri mesyuarat UMNO Bahagian itu.

Di Melaka,Majlis Gabungan Belia Melaka menuntut Majlis Raja-raja dan Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa segera berhubung dengan isu berkenaan.

Di Kuala Terengganu,20 NGO yang menamakan diri mereka Gerakan Kebangkitan Rakyat merancang mengadakan perhimpunan di Batu Buruk Jumaat ini bagi menyuarakan bantahan ketas pengunaan kalimah Allah.

Sementara itu sehingga jam 6 pagi Isnin seramai 28,506 orang telah menandatangani sokongan petisyen bagi membantah pengunaan kalimah Allah.

Petisyen bertajuk MENENTANG PENGGUNAAN NAMA ALLAH OLEH GOLONGAN BUKAN ISLAM yang dilancarkan oleh kumpulan itu berharapo mendapat satu juta tandatangan.

Penasihat agama kumpulan berkenaan ialah penceramah,Ridhuan Tee Abdullah.


AGENDA DAILY-3/1/2020
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers