Photobucket

Idris Jala dilantik Menteri Tanpa Portfolio di JPM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis mengumumkan pelantikan Datuk Seri Idris Jala sebagai Menteri tanpa portfolio di Jabatan Perdana Menteri.

Idris juga dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Najib berkata beliau telah memaklumkan kepada kabinet mengenai pelantikan itu pada Bengkel KPI Kabinet di Putrajaya.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan dengan pelantikan itu, katanya.

Idris, yang kini Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Malaysia Airlines, akan mengangkat sumpah sebagai senator pada tarikh yang ditetapkan kelak.

Sebagai CEO PEMANDU, organisasi yang akan mengawal pelaksanaan insiatif Indeks Prestasi Utama (KPI), Idris akan membantu dan melaporkan kepada Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap perpaduan nasional dan pengurusan prestasi.

Koh akan meneruskan tugas beliau dalam memformulasi dan melaksanakan keseluruhan dasar dan strategi mengenai pengurusan prestasi serta transformasi organisasi dengan tumpuan khusus terhadap Bidang Hasil Utama Nasional (N-KRA).

Koh akan menjadi pengerusi lembaga PEMANDU yang termasuk Ketua Setiausaha Negara dan pegawai kanan lain.

Idris sebaliknya akan menumpukan terhadap perkongsian kepakaran dan pengalaman di Shell dan Malaysia Airlines (MAS) serta memacu pelaksanaan pengurusan prestasi dalam kerajaan persekutuan.

Idris, yang akan menjadi timbalan pengerusi lembaga PEMANDU, akan bertanggungjawab untuk sub khusus N-KRA dan KPI Nasional (N-KPI) dan menasihat di KRA peringkat menteri (M-KRAs) dan M-KPI.

Beliau akan melapor kepada Koh mengenai isu-isu berkaitan KPI dan terus kepada Perdana Menteri mengenai tugas yang akan diberikan kepada beliau sebagai Menteri tanpa portfolio di JPM.

Menurut kenyataan itu, lembaga Malaysia Airlines akan mengumumkan secara berasingan CEO dan pengarah urusan baru syarikat penerbangan itu.

Idris dilantik sebagai pengarah urusan dan CEO Malaysia Airlines pada Disember 2005, selepas syarikat itu mengalami kerugian paling besar dalam sejarah korporatnya.

Sebelum menyertai Malaysia Airlines, Idris berkhidmat selama 23 tahun dengan Shell. Antara 2002 dan 2005, Idris adalah pengarah urusan, Shell MDS (Malaysia) dan naib presiden, Shell Malaysia Gas & Power (Malaysia).

Antara 2000 dan 2002, Idris merupakan naib presiden, pemasaran runcit, Shell International.

Beliau juga naib presiden perundingan pembangunan perniagaan di mana beliau mengetuai pasukan atasan perunding dalaman mengenai projek penambahbaikan perniagaan radikal, memperbaharui model perniagaan runcit global Shell bagi mencapai pertumbuhan menguntungkan.

Antara tahun 1998 dan 2000, Idris adalah pengarah urusan Shell Sri Lanka, di mana beliau membantu memulihkan perniagaan LPG Shell di Sri Lanka.

Idris memegang ijazah dari Universiti Sains Malaysia dan sarjana dari Warwick University, United Kingdom.

Sementara itu, semasa dihubungi Bernama susulan pelantikan beliau, Idris berkata: "Saya rasa terharu kerana diberi peluang ini dan akan melakukan yang terbaik untuk perubahan kepada negara."


AGENDA DAILY-27/8/2009

Kemelut MCA Masih Ada Ruang Diselesaikan - Shafie

TUARAN 28 Ogos - Kemelut yang melanda MCA masih mempunyai ruang untuk diselesaikan, demikian tegas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, apa yang penting adalah semua pihak terus berusaha dan tidak berputus asa mencari jalan penyelesaian kepada kemelut itu.

''Kemelut dalam parti berlaku di mana-mana bukan sahaja di dalam negara kita. Di Indonesia pun berlaku, malah di Amerika pun berlaku.

''Apapun ia harus diatasi (kemelut) dalam masa terdekat tanpa adanya kesan yang boleh menjejaskan kekuatan kita (Barisan Nasional)," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama ketua-ketua bahagian UMNO Sabah di Masjid Annur di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Salleh Said Keruak dan Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemelut yang melanda MCA sehingga menyebabkan Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Chua Soi Lek berdepan tindakan dipecat dari parti berkenaan.

Shafie menambah, tidak boleh dinafikan kemelut yang melanda MCA sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada kekuatan BN.

''Kita berharap ia dapat diatasi dalam semangat kekeluargaan dalam parti," katanya.

Dalam pada itu Shafie berkata, parti komponen BN perlu bergerak seiring dalam merencanakan program yang boleh mengembalikan kepercayaan rakyat kepada gabungan itu.

Katanya, semangat itu perlu dipupuk dari sekarang kerana BN sudah tidak mempunyai banyak masa untuk mendapat kembali sokongan rakyat bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

''Ini juga selaras dengan semangat 1Malaysia bahawa kita dari pelbagai bangsa bergerak seiringan. Apa yang mustahak semua pihak kini perlu mempunyai semangat untuk menghasilkan sesuatu yang boleh memanfaatkan semua pihak dan bukan satu pihak sahaja," katanya.


UTUSAN MALAYSIA

PM Umum Saham Amanah RM100 Juta Bantu Penduduk Miskin Bandar


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan memperuntukkan saham amanah bernilai RM100 juta untuk penduduk miskin di kawasan bandar bagi meringankan beban kewangan mereka.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, usaha tersebut akan membantu menjana pendapatan sampingan kepada kumpulan sasaran berkenaan.

"Kami kini dalam proses mengumpulkan senarai penduduk miskin," kata beliau pada majlis berbuka puasa dengan warga kota di Masjid Al Bukhari di Jalan Hang Tuah di sini, hari ini.

Najib berkata, kemiskinan tidak hanya terhad kepada penduduk kawasan luar bandar sahaja.

"Mereka yang miskin di kawasan bandar juga memerlukan bantuan," katanya.

Dalam pada itu, Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan lanjutan peruntukan langganan Amanah Saham 1Malaysia untuk kumpulan kaum kepada 30 September ini.

Bagaimanapun, had pelaburan maksimum untuk langganan unit baru akan dihapuskan selepas 30 hari tempoh tawaran bermula 4 September, 2009, demikian menurut PNB dalam satu kenyataan hari ini.

Keputusan untuk melanjutkan nisbah peruntukan dibuat bagi memberikan masa tambahan untuk orang ramai dari pelbagai kumpulan kaum melabur dalam dana itu, kata presiden dan ketua eksekutif kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Amanah Saham 1Malaysia, dana harga tetap dengan saiz 10 bilion unit, dilancarkan pada 31 Julai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Semasa tempoh tawaran selama 30 hari, had pelaburan maksimum sebanyak 50,000 unit dikenakan untuk pelabur berumur 18 hingga 55 tahun dan 100,000 unit untuk pelabur 55 tahun dan ke atas.

Sehingga 25 Ogos, lebih dua bilion unit Amanah Saham 1Malaysia dilanggan oleh 148,830 pelabur, kata Hamad Kama Piah.

Dana berkenaan terbuka kepada semua rakyat Malaysia dengan peruntukan sebanyak 50 peratus untuk pelabur Bumiputera, 30 peratus pelabur Cina, 15 peratus bagi pelabur India dan baki lima peratus untuk kumpulan etnik lain.


BERNAMA

Al-Fatihah...

Pengadil Bertaraf FIFA, Kapten Abdul Halim Meninggal Dunia
KUALA LUMPUR - Pengadil bola sepak tempatan bertaraf dunia, Kapten Abdul Halim Abdul Hamid meninggal dunia akibat masalah jantung di Hospital Kangar, Perlis malam semalam.

Halim, 47, yang dikenali kerana diberi penghormatan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjadi pembantu pengadil pada Piala Dunia 1998 di Perancis, meninggal dunia pada pukul 9.20 malam.

Halim menjadi penolong pengadil ketika pengadil perlawanan Kim Milton Nielsen melayangkan kad merah kepada David Beckham selepas insiden kekasaran dengan Diego Simeone ketika pertembungan England-Argentina di St. Etienne.

Simeone kemudian mengakui dia menipu pengadil supaya Beckham dibuang padang.

Halim meninggal dunia di sisi isterinya Wan Manirah Wan Mustafa dan empat anaknya Nur Alya Haifa, Mohd. Shah Iskandar, Nurul Aisya dan Hani Hilmi.

Berita kematian Halim mengusul beberapa bulan selepas seorang lagi pengadil tempatan bertaraf antarabangsa, Mohd. Nazri Abdullah meninggal dunia.

Sementara itu, pengadil tempatan Subkhiddin Mohd Salleh berkata, dia dimaklumkan Halim meninggal dunia malam semalam.

Beliau difahamkan Halim yang sememangnya mempunyai masalah kesihatan di masukkan ke Hospital Kangar pada pukulan 3 pagi semalam.


UTUSAN MALAYSIA
Dimaklumkan bahawa mulai 1 OGOS 2009, perlaksanaan proses pensijilan Halal Malaysia telah dikembalikan kepada Bahagian Hub Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) daripada Halal Industry Development Corporation (HDC).

Segala urusan permohonan sijil Halal Malaysia adalah di alamat berikut:

Bahagian Hub Halal,
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),
Aras G, Blok 2200,
Bangunan Enterprise 3,
Persiaran APEC, 63000 Cyberjaya,
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.

Tel : 03-8315 0200 (Hot Line)
Fax : 03-8318 7044
Portal : www.halal.gov.my

Menjadi YB...

Oleh ROZAID A. RAHMAN

KHABARNYA tidak berapa lama dahulu, menjadi ahli Yang Berhormat (YB) adalah satu profesion yang tidak sanggup dipikul orang.

Perdana Menteri kita yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ketika hayatnya pernah menulis dalam kolumnya di akhbar The Star, betapa beliau menghadapi kesukaran untuk menyakinkan kawan-kawannya agar bertanding pada pilihan raya umum yang pertama pada tahun 1955.

Kata Tunku, ramai yang enggan menerima bebanan tersebut kerana khuatir tidak terpikul tanggungjawab sebagai seorang ahli Yang Berhormat apatah lagi hendak menjadi menteri mahupun timbalan menteri.

Pada era tersebut, jawatan dan pangkat serta faedah-faedah yang bakal diperolehi bersama-sama kedudukan sebagai seorang YB bukanlah menjadi perkiraan utama untuk seseorang menyahut seruan agar menyertai pilihan raya umum.

Malah Tunku sendiri pernah merungut, menjadi Ketua Menteri Malaya ketika itu tidak memberikan apa-apa keistimewaan kepadanya. Kata Tunku, pihak British pernah memberikannya sebuah kuaters kerajaan yang atapnya bocor setiap kali hujan lebat.

Begitulah tahun-tahun seterusnya sehinggalah negara kita mencapai kemajuan yang pesat serta kedudukan ekonomi yang semakin kukuh dan kaya, maka menjadi YB juga telah melalui satu proses transformasi yang besar.

Orang melihat menjadi YB adalah pintu utama ke puncak kuasa. Memang benar pun. Menjadi YB membolehkan seseorang itu bergesel bahu dengan kepimpinan negara. Membuka laluan kepada jawatan dan kuasa yang semakin bertambah bersesuaian dengan pesatnya pembangunan negara.

Bila jadi YB secara automatisnya tersenarai untuk dilantik sebagai menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen, setiausaha politik, ahli exco kerajaan negeri dan lain-lain kedudukan dan pangkat yang datang bersama kedudukan tersebut.

Malah pada era kegemilangan Barisan Nasional (BN) - era yang mana ia sentiasa menguasai majoriti dua pertiga di Parlimen -menjadi YB adalah merupakan satu anugerah yang tidak terperi indahnya.

Malah sebaik sahaja nama dicalonkan, orang tunduk hormat, orang pegun, orang kagum, orang terima dan orang sokong tanpa mempersoalkan apa-apa.

Orang bukan sahaja melobi malah sanggup menunggu di depan pintu pejabat, di hadapan pintu pagar kediaman rasmi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri semata-mata untuk menyakinkan pucuk pimpinan dialah calon yang paling sesuai untuk dipilih sebagai calon.

Saya pernah melihat seorang setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Ketua Menteri melutut di hadapan Timbalan Perdana Menteri menangis teresak-esak agar namanya dimasukkan semula di dalam senarai calon YB.

Akibat rayuan dan tangisannya itu telah menyebabkan Timbalan Perdana Menteri ketika itu menjadi serba salah dan dengan sedikit ayat kesian daripada Timbalan Ketua Menteri yang merupakan bos calon tersebut, akhirnya namanya disenaraikan sebagai calon.

Tetapi ekoran daripada drama tersebut, upacara penyerahan watikah kepada calon-calon yang terpilih untuk bertanding terpaksa ditangguhkan kepada keesokan harinya.

Begitulah orang sanggup berbuat apa sahaja asalkan nama tersenarai sebagai calon YB.

Tetapi peristiwa tersebut berlaku pada era 1990an di mana parti yang memerintah sentiasa memperolehi majoriti dua pertiga dan pada era tersebut, siapa yang tersenarai sebagai calon pada prinsipnya sudah boleh meraikan "kemenangan" melainkan calon-calon di Negeri Kelantan yang terpaksa bercalar balar untuk memenangi kerusi pilihanraya.

Bapa saya Pak Rahman, juga pernah berkhidmat selama satu penggal sebagai seorang YB di Pulau Pinang.

Sehingga ke hari ini, ke mana sahaja beliau pergi sama ada ke pasar, ke kedai, ke restoran nasi kandar di Kampung Melayu Air Itam atau pun pergi berbisik membeli ikan di Kuala Muda,orang masih memanggilnya YB.

Seingat saya di Pulau Pinang sewaktu beliau berkhidmat sebagai YB, Pak Rahman pernah digelar Lee Lam Thye Pulau Pinang kerana beliau mendahulukan kepentingan dan keperluan rakyat berbanding keperluan dan kepentingan parti yang beliau wakili.

Pak Rahman akan ke majlis kenduri atau kematian orang UMNO, PKR, Pas dan siapa sahaja yang menjemputnya. Dia mendengar dan membawa suara peniaga-peniaga pasar termasuk peniaga kecil kaum Cina di Dewan Undangan Negeri. Malah di sesetengah majlis kenduri, beliau sendiri yang menyembelih lembu atau kerbau.

Beliau adalah YB dalam erti kata yang sebenarnya.

Hari ini, menjadi calon YB bukan lagi satu anugerah yang glamorous. Rohaizat Othman dan Salleh Man - dua orang calon pilihanraya kecil di DUN Permatang Pasir boleh mengesahkannya.

Rohaizat dan Salleh Man kini mendapati diri mereka menjadi subjek kepada penelitian rakyat dan orang-ramai belumpun sempat dinobatkan sebagai YB.

Malah bagi Rohaizat sendiri, dia mendapati dirinya tidak lagi berada dalam kedudukan istimewa kerana terpilih sebagai calon YB atau dalam kedudukan pasti menang tidak sepertimana bekas-bekas wakil rakyat BN pada era 1980an dan 1990an dahulu.

Kedua-dua calon berkenaan juga kini mendapati diri mereka turut diperkatakan di laman-laman blog dengan pelbagai pendedahan dan percakapan mengenai aktiviti mereka sebelum dipilih oleh parti masing-masing sebagai calon. Orang mempertikaikan macam-macam.

Itulah realiti menjadi YB sekarang. Hilang glamorous hilang seri...

Barisan Nasional Tidak Patah Semangat


BUKIT MERTAJAM 25 Ogos - Keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir tidak akan mematahkan semangat Barisan Nasional (BN) untuk terus bekerja keras melakukan yang terbaik bagi meraih sokongan rakyat.

Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN menerima keputusan pengundi di kawasan itu dengan hati yang terbuka atas semangat amalan demokrasi.

''Kita anggap ini sebagai satu takdir dan berlapang dada menerima keputusan dengan hati yang terbuka.

''Bagaimanapun, kita akan terus bekerja dan lakukan yang terbaik selepas ini," katanya kepada pemberita di Pusat Operasi BN di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan pilihan raya kecil itu yang menyaksikan calon Pas, Mohd. Salleh Man menang dengan majoriti 4,551 menewaskan calon BN, Rohaizat Ismail.

Salleh Man yang juga Pesuruhjaya Pas negeri memperolehi 9,618 undi manakala Rohaizat, Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh mendapat 5,067 undi.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, keputusan pilihan raya kecil itu menunjukkan penduduk di Permatang Pasir tidak mahukan perubahan yang cuba dibawa BN ke kawasan tersebut.

Sehubungan itu katanya, tidak wajar untuk menyalahkan mana-mana pihak atas kekalahan BN di dalam pilihan raya kecil itu.

''Saya fikir jentera kita adalah yang paling kemas tetapi nampaknya inilah yang penduduk Permatang Pasir mahukan, jadi kita kenalah terima.

''Penduduk memberi mesej bahawa mereka tidak mahukan perubahan, jadi kita jangan salahkan calon, jangan juga salahkan jentera," ujarnya.

Ditanya sama ada jentera BN menerima kerjasama sepenuhnya daripada parti komponen dan UMNO di peringkat bahagian, Ahmad Zahid berkata, secara keseluruhannya prestasi jentera BN sangat memuaskan.

''Begitu juga (kerjasama daripada UMNO) di peringkat bahagian, tapi nampaknya yang di bawah tidak mahukan perubahan, jadi kena terima ini sebagai satu hakikat cara mereka berpolitik," jelasnya.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, BN perlu optimis untuk mendapatkan sokongan daripada penduduk di kawasan itu pada masa depan walaupun ia merupakan kubu kuat pembangkang.

BN kata beliau, akan tetap memberikan cabaran sengit kepada pembangkan dalam mana-mana pilihan raya akan datang berdasarkan prinsip untuk membawa perubahan kepada nasib rakyat.

''Dalam pilihan raya ini misalnya, kita (BN) memperolehi lebih 5,000 undi dan bagi saya jumlah ini bukan kecil kerana kita bertanding di kawasan kubu kuat mereka.

''Apa yang penting kita kena pastikan pengundi yang menyokong akan terus bersama-sama kita dan bersedia memberi cabaran kepada mereka (pembangkang) pada masa akan datang," ujarnya.


UTUSAN MALAYSIA

Kemenangan Dan Kurangnya Majoriti PAS Telah Diduga - Pengananlisis

BUKIT MERTAJAM: Kemenangan Pas tetapi majoriti akan berkurangan adalah satu keputusan yang telah diduga pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir.

Pada pilihan raya kecil itu, Pas mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir apabila calonnya, Mohd Salleh Man meraih 9,618 undi, menewaskan calon BN Rohaizat Othman dengan majoriti 4,551 undi.

Pada pilihan raya umum 2008, penyandangnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman menang dengan majoriti 5,433 undi mengalahkan calon BN Ahmad Sahar Shuib.

Antara faktornya ialah kerana Permatang Pasir telah menjadi kubu kuat Pas selama tiga penggal dan kekuatan itu dikukuhkan lagi apabila Angggota Parlimen bagi kawasan Permatang Pauh itu ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

DUN Permatang Pasir adalah salah satu DUN di bawah Parlimen Permatang Pauh selain Penanti dan Seberang Jaya dan pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan antara calon Pas Mohd Salleh Man dan calon Barisan Nasional (BN) Rohaizat Othman berikutan kematian penyandangnya Mohd Hamdan.

Pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian berkata, faktor pengurangan majoriti Pas adalah disebabkan jumlah mereka yang keluar mengundi berkurangan kerana ia diadakan pada hari bekerja.

Katanya, faktor Anwar sememangnya membawa kemenangan kepada Pas dan pemimpin pembangkang itu terus mendapat sokongan pelbagai kaum.

"Anwar dalam ceramahnya sering menjelaskan bahawa satu undi untuk calon Pas adalah sama dengan satu undi kepadanya dan juga satu undi kepada kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang," kata beliau kepada Bernama di sini semalam.

Sivamurugan berkata, kenyataan Anwar itu berjaya meraih undi dari semua kaum kerana rakyat di kawasan Permatang Pauh menyokong beliau.

Katanya, faktor calon kini tidak boleh diambil kira kerana walaupun Rohaizat telahpun membersihkan namanya dari segala tuduhan manakala Mohd Salleh pula tidak popular dan tidak pernah memenangi enam pilihan raya umum sejak 1986 sehingga pilihan raya umum 2008 namun kemenangan masih memihak kepada Pas. Beliau mendakwa, satu lagi faktor penting yang menyumbang kekalahan calon BN ialah anggota parti komponen BN yang tidak mengundi atau menyokong BN sendiri.

Ketidaksetiaan anggota-anggota parti komponen BN itu terbukti apabila jumlah undi yang diperolehi adalah berkurangan daripada jumlah keanggotaan mereka.

Sivamurugan berkata terdapat sebanyak 5,600 anggota dari partiparti komponen BN malah anggota Umno sendiri adalah sebanyak 5,400 tetapi BN hanya mendapat 5,067 undi sahaja.

Penulis terkenal Kassim Ahmad pula berkata, kekalahan Umno telah diduga kerana rakyat masih mahu memberi peluang kerajaan pakatan pembangkang untuk meneruskan agenda mereka.

"Walaupun jumlah majoriti Pas telah berkurangan tetapi ia tidak sampai 1,000 pun dan ini menunjukkan rakyat masih percayakan pakatan pembangkang dan menolak sistem dan dasar pemerintahan kerajaan sekarang," kata beliau.

Katanya, isu-isu seperti kes kematian Teoh Beng Hock, isu rasuah, integriti dan moral yang dibawa oleh pembangkang masih mempengaruhi pengundi.

"Terdapat juga rakyat yang mahukan kerajaan memperkenalkan sistem dua parti seperti yang diamalkan oleh negaranegara Eropah dan disebabkan itu mereka menyokong pembangkang supaya memberi tekanan kepada kerajaan BN," kata beliau.


BERNAMA

PAS Kekal Kedudukan Kerusi di Permatang Pasir


BUKIT MERTAJAM 25 Ogos - Pas mengekalkan kedudukannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir apabila calonnya, Mohd. Salleh Man, 52, menewaskan calon BN, Rohaizat Othman, 38, dengan majoriti 4,551 undi.

Mohd. Salleh memperoleh 9,618 undi manakala Rohaizat yang terpaksa berhadapan dengan serangan peribadi dan kempen memburuk-burukkan imej beliau berjaya mendapat 5,067 undi.

Keputusan pilihan raya kecil N11 itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya pada pukul 7.25 malam di Dewan Perdana, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Jalan Berapit, di sini.

Sebanyak 14,832 atau 73.1 peratus daripada 20,290 pengundi di Permatang Pasir keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing manakala undi rosak sebanyak 83.

Mohd. Salleh yang ditemani Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman dan Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mahfuz Omar kelihatan tersenyum selepas diumumkan sebagai pemenang.

Pengumuman kemenangan beliau turut dirai dengan sorakan lebih 300 penyokong Pas yang berada di luar dewan.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan, Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman pada 31 Julai lepas kerana serangan jantung.

DUN Permatang Pasir merupakan kubu Pas di Pulau Pinang dan satu-satunya kerusi yang dimenangi parti itu sejak tiga penggal lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohd. Hamdan mengalahkan calon BN Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi setelah memperoleh 11,004 undi.

Pada pilihan raya umum itu, 82.6 peratus daripada 20,350 pengundi keluar mengundi.


UTUSAN MALAYSIA

PAS Kekal Kedudukan Kerusi di Permatang Pasir


BUKIT MERTAJAM 25 Ogos - Pas mengekalkan kedudukannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir apabila calonnya, Mohd. Salleh Man, 52, menewaskan calon BN, Rohaizat Othman, 38, dengan majoriti 4,551 undi.

Mohd. Salleh memperoleh 9,618 undi manakala Rohaizat yang terpaksa berhadapan dengan serangan peribadi dan kempen memburuk-burukkan imej beliau berjaya mendapat 5,067 undi.

Keputusan pilihan raya kecil N11 itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya pada pukul 7.25 malam di Dewan Perdana, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Jalan Berapit, di sini.

Sebanyak 14,832 atau 73.1 peratus daripada 20,290 pengundi di Permatang Pasir keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing manakala undi rosak sebanyak 83.

Mohd. Salleh yang ditemani Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman dan Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mahfuz Omar kelihatan tersenyum selepas diumumkan sebagai pemenang.

Pengumuman kemenangan beliau turut dirai dengan sorakan lebih 300 penyokong Pas yang berada di luar dewan.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan, Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman pada 31 Julai lepas kerana serangan jantung.

DUN Permatang Pasir merupakan kubu Pas di Pulau Pinang dan satu-satunya kerusi yang dimenangi parti itu sejak tiga penggal lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohd. Hamdan mengalahkan calon BN Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi setelah memperoleh 11,004 undi.

Pada pilihan raya umum itu, 82.6 peratus daripada 20,350 pengundi keluar mengundi.


UTUSAN MALAYSIA

PKR Sudah Dapat Petanda Awal Ikut Jejak Semangat 46


KUALA LUMPUR 24 Ogos - Parti Keadilan Rakyat (PKR) diramal berkubur berikutan semakin ramai pemimpin dan ahli parti itu yang hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, pergolakan dalaman yang berlaku menyebabkan parti itu kelihatan bercelaru, sekali gus memperlihatkan tanda-tanda ia bakal menerima nasib yang sama pernah dialami oleh Semangat 46 (S46).

"Saya meramalkan PKR akan menjadi seperti S46 yang akhirnya berkubur kerana rakyat menerima hakikat bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) benar-benar berjuang untuk agama, bangsa dan negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohd. Radzhi Salleh keluar daripada PKR selepas hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan parti.

Menurut Ahmad, sebelum ini PKR kehilangan ramai ahli biasa yang kecewa dengan perjuangan berbentuk janji-janji kosong dan kemudian diikuti dengan beberapa pemimpin pentingnya.

"Pemimpin-pemimpin PKR begitu ramai yang keluar parti seperti Ezam Mohd. Nor, Ruslan Kassim, Chandra Muzaffar, Marina Yusof, Zainur Zakaria, Nalla Karuppan dan lain-lain lagi," katanya.

Kini kata beliau, wujud pula tanda-tanda bahawa pemimpin PKR yang berjawatan seperti ADUN Lunas yang mula meninggalkan PKR.

Selain itu, wujud spekulasi bahawa ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah juga akan meninggalkan PKR tidak lama lagi.

Kata beliau, apabila pemimpin-pemimpin berjawatan di peringkat kerajaan negeri mula meninggalkan parti, maka situasi dalaman parti berkenaan sebenarnya berada dalam keadaan yang amat genting.

"Nyata ramai yang sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi PKR," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shaberry Cheek tidak menolak kemungkinan nasib PKR akan berakhir sebagaimana S46.

"Kalau seorang Exco negeri sanggup keluar parti, maka itu adalah satu perkara yang pelik, ini tanda-tanda PKR akan berpecah lebih awal daripada sejarah parti-parti lain," katanya.

Beliau yang juga bekas Ketua Penerangan S46 berkata, kewujudan PKR tidak ada asas yang jitu yang boleh dibanggakan.

"S46 lebih kepada intipati untuk mendapatkan legitimasi orang Melayu pada masa itu," katanya.

Malah beliau melihat bukan sekadar PKR akan menjadi lemah dan tumbang, tetapi pakatan pembangkang sendiri akan berpecah-belah tidak lama lagi.

Kata beliau, perpecahan itu boleh datang daripada pelbagai akibat dan salah satunya adalah sikap bongkak Pas sendiri yang sebenarnya tidak gemar untuk berkongsi kuasa dengan sesiapa.


UTUSAN MALAYSIA

Susulan ADUN Keluar PKR

Tindakan Mohd. Radzhi Bukan Luar Biasa

IPOH 24 Ogos - Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohd. Radzhi Salleh mengambil keputusan untuk keluar parti bukan satu tindakan luar biasa.

Bekas Timbalan Pengerusi PKR Perak yang kini ADUN Bebas, Jamaluddin Mohd. Radzi berkata, tindakan pimpinan parti itu yang tidak mempedulikan ahli dan mementingkan agenda peribadi adalah pendorong utama mereka bertindak demikian.

"Kebanyakan pemimpin PKR yang saya nampak semuanya mementingkan diri sendiri dan bukannya menjaga kepentingan rakyat atau negara.

"Saya yakin selepas ini lebih ramai ahli PKR yang akan keluar parti kerana rasa tidak puas hati dengan kepimpinan terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata ADUN Behrang itu kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Mohd. Radzhi yang bertindak keluar dari PKR selepas hilang kepercayaan dengan pucuk pimpinan parti tersebut.

Menurut Jamaluddin, tindakan Mohd. Radzhi itu sudah dijangka memandangkan pergolakan yang tidak henti-henti berlaku membabitkan parti itu.

"Dia ada menghubungi saya menyatakan rasa tidak puas hati dengan kepimpinan PKR di Kedah dan bertegas tidak mahu menjadi boneka pihak tertentu.

"Cuma saya tak sangka beliau mengambil tindakan sebegini cepat. Nampaknya apa yang saya rasa ketika bersama PKR di Perak sama dengan apa yang beliau alami dengan PKR di Kedah," katanya.

Ditanya mengenai perasaannya selepas keluar dari PKR, kata Jamaluddin, beliau kini rasa bebas untuk berkhidmat kepada rakyat berbanding ketika bersama PKR.

Sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat, katanya, mereka patut berjuang untuk kepentingan rakyat dan tidak menjadi 'kerbau yang dicucuk hidung'.

"Bukan layanan atau kemewahan yang dipandang, sebaliknya saya minta semua pemimpin berjuang untuk rakyat dan demi kepentingan bangsa Melayu," katanya.

-------------------------------

'Buat Apa Tunggu Dalam PKR Lagi?'

IPOH 24 Ogos - "Buat apa tunggu dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) lagi. Pemimpin PKR dah jadi lain sekarang." Itu pesanan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu kepada wakil rakyat serta ahli PKR yang masih dalam dilema sama ada mahu keluar atau terus kekal dalam parti itu.

Beliau yang merupakan antara dua wakil rakyat terawal yang keluar dari PKR berkata, perjuangan PKR sudah jauh berubah selepas menang banyak kerusi pada pilihan raya umum lepas.

"Pejuang-pejuang tulen dalam PKR sudah terpinggir sebenarnya. Ramai muka-muka baru cuba menonjol sebab parti dah ada kuasa sekarang.

"Dulu orang tak pandang dan tak mahu dekat dengan PKR tetapi apabila dah bentuk kerajaan, orang yang tidak pernah nampak muka dalam PKR sekarang ke depan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan ADUN kawasan Lunas, Kedah, Mohd. Radzhi Salleh keluar daripada PKR dan melepaskan semua jawatan dalam parti serta mengisytiharkan dirinya menjadi wakil rakyat bebas.

Ekoran itu, PKR Padang Serai turut dibubarkan dan 200 ahli keluar dari parti.

Menurut Mohd. Osman, pada pandangannya, Mohd. Radzhi mungkin bertindak demikian kerana mendapat tekanan daripada PKR atau pakatan pembangkang terutamanya Pas.

"Apa yang dilakukan beliau merupakan satu tindakan bijak dan berani. Ini juga memberikan satu petanda baik kepada Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir," katanya.

Diminta mengulas mengenai isu kroni dalam PKR yang turut dibangkitkan Mohd. Radzi, Mohd. Osman memberitahu, masalah itu sebenarnya sudah lama wujud dan sedang berlaku sekarang.


UTUSAN MALAYSIA

Hari Penentu Nasib Penduduk di Permatang Pasir

Majlis Peguam Menentang Lagi...

Majlis Peguam Mahu Sebat Dihapuskan

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Majlis Peguam hari ini mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan agar menghapuskan hukuman sebat untuk apa jua kesalahan jenayah.

Menurut kenyataan itu, Majlis Peguam mengutuk dan menolak hukuman sebat kerana tidak bersesuaian dengan masyarakat Malaysia yang penuh dengan perasaan belas kasihan.

"Malah, hak asasi manusia antarabangsa juga mengutuk hukuman sebat dan apa jua hukuman dera. Hukuman ini dianggap sebagai zalim, tidak berperikemanusiaan dan kami menggesa kerajaan untuk menghapuskan hukuman sebat ini," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, hukuman sebat terbukti bukanlah suatu hukuman yang boleh dijadikan teladan kepada orang lain.

Dalam kes Kartika Sari Dewi Shukarnor pula, Majlis Peguam berpendapat, terdapat beberapa alasan yang boleh digunakan untuk menarik balik hukuman yang dikenakan terhadap Kartika.

Di bawah undang-undang sivil, hukuman sebat ke atas wanita adalah dilarang sama sekali. Hukuman rotan keatas beberapa lelaki mengikut taraf kesihatan dan umur juga dilarang,

Majlis Peguam juga menggesa kerajaan supaya menarik balik segala hukuman yang telah ditetapkan keatas Kartika.


UTUSAN MALAYSIA

Susulan ADUN Lompat Parti...PKR Cuba Tutup Kelemahan

PKR Tuduh BN Jadi Punca

ALOR SETAR 23 Ogos - Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri yang menerima tamparan hebat selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohd. Radzhi Salleh mengisytiharkan keluar daripada parti itu menuduh Barisan Nasional (BN) terlibat dalam tindakan tersebut.

Pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kasim mendakwa, BN berkemungkinan merancang tindakan itu bagi memanipulasi isu menjelang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Selasa ini.

"Telah menjadi kebiasaan apabila ada pilihan raya kecil, akan ada isu-isu lompat parti.

"Kita menjangkakan ini adalah sebahagian daripada tindakan yang dirancang oleh BN untuk memanipulasi isu," katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Sidang akhbar yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak itu diadakan ekoran pengumuman Mohd. Radzhi hari ini keluar daripada PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Dalam pengumumannya di Kuala Lumpur, Mohd. Radzhi bagaimanapun tidak melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia negeri.

Seramai 200 ahli PKR Padang Serai turut bertindak keluar parti kerana hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan dan mendakwa perjuangan parti itu kini tidak seiring dengan matlamat asal penubuhannya.

Ahmad berkata, tindakan Mohd. Radzhi yang sengaja membuat kenyataan menjelang pilihan raya kecil berkenaan adalah untuk melemahkan jentera Pas di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau mendesak Mohd. Radzhi meletak jawatan sebagai ADUN Lunas dengan alasan beliau memenangi kerusi tersebut atas tiket PKR.

Ahmad turut mendakwa keputusan Mohd. Radzhi keluar parti ada kaitan dengan prestasi lemahnya dalam kerajaan negeri yang mengecewakan pimpinan PKR.

"Kita telah memberi amaran keras kepada ADUN Lunas itu supaya melakukan perubahan namun beliau tidak bersedia untuk melakukan perubahan sehinggalah mengisytiharkan keluar daripada parti hari ini," katanya.

Menurut Ahmad, PKR Bahagian Padang Serai telah digantung dan diambil alih pengurusan serta pentadbirannya oleh kepimpinan negeri pada 26 Julai lalu sehingga mesyuarat agung cabang itu diadakan.


UTUSAN MALAYSIA

ADUN PKR Keluar Parti


ANGGOTA Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Lunas, Kedah, Mohd. Radzhi Salleh mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan melepaskan semua jawatan dalam parti serta mengisytiharkan dirinya menjadi wakil rakyat Bebas selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti tersebut.

Beliau tidak melepaskan jawatan sebagai Exco Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia negeri.

PKR Padang Serai dibubar. 200 ahli bertindak keluar parti.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan menghadap Sultan Kedah hari ini untuk memaklumkan permintaan PKR supaya ADUN Lunas digugurkan daripada jawatan Exco.

Bekas ahli PKR mendakwa kekecohan melibatkan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan ketika proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Isnin lalu, dibuat atas arahan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-----------------------------------------

KUALA LUMPUR 23 Ogos – Seramai 200 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Padang Serai termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohd. Radzhi Salleh (gambar) hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu.

Mohd. Radzhi yang kini menjadi wakil rakyat Bebas serta ahli parti lain mengisytiharkan berbuat demikian setelah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan selain menganggap perjuangan PKR kini tidak lagi seiring dengan matlamat asal penubuhannya.

Serentak dengan itu, PKR Bahagian Padang Serai turut dibubarkan setelah mendapat sokongan semua 14 ahli jawatankuasa bahagian terbabit.

Keputusan pembubaran bahagian itu diumumkan oleh pemangku ketua bahagiannya, Jamaludin Abu Hassan dalam satu sidang akhbar pada pukul 11 pagi di sebuah hotel di sini hari ini.

“Sempena Ramadan, bulan yang mulia ini, saya ingin mengumumkan pembubaran PKR Bahagian Padang Serai berkuat kuasa serta-merta dan keluar parti. Tindakan saya ini disokong semua 14 ahli jawatankuasa bahagian.

“Amat menyedihkan, PKR tidak lagi memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu sebaliknya hanya mengutamakan kepentingan politik peribadi dan pemimpin-pemimpin atas pula hanya pandai bersandiwara dan bermain politik peribadi,” katanya.

Jamaludin turut menyarankan rakan-rakannya di bahagian lain di seluruh negara mengikut langkahnya, memandangkan perjuangan asal PKR tidak lagi relevan dan berkepentingan rakyat.

Dalam pada itu, Mohd. Radzhi yang membuat keputusan mengejut tersebut memberitahu, beliau bagaimanapun tidak melepaskan jawatan selaku ahli Exco kerajaan negeri Kedah dan portfolio Pelancongan, Pembangunan Masyarakat serta Sumber Tenaga Manusia.

“Saya tak letak jawatan Exco kerana itu hak Sultan Kedah, kalau Sultan suruh saya letak, saya baru letak,” katanya yang menyertai PKR sejak 1998.

Tambahnya, beliau akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasannya di samping memberi sokongan penuh kepada kerajaan Pusat di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Mohd. Radzhi, beliau merasakan hala tuju PKR sudah berubah secara drastik dan tidak lagi seperti diperjuangkan ketika menyertai PKR yang sebelum itu adalah Parti Keadilan Nasional, 11 tahun lalu.

Jelasnya, beliau sebelum ini bangga menyertai PKR kerana perjuangannya menjurus kepada usaha membantu, membina kekuatan dan jati diri serta menguatkan ekonomi orang Melayu.

“Namun semenjak PKR berjaya menguasai dan memerintah beberapa negeri selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu (2008), saya lihat hala tuju parti telah berubah. Ia menjurus kepentingan peribadi pula, orang yang bekerja kuat untuk pucuk pimpinan parti pula diketepikan.

“Pada mulanya saya masih bertahan dan menyangka akan ada perubahan, tetapi kini saya sudah tidak boleh sabar dan ambil keputusan tinggalkan parti,” katanya.

Mohd. Radzhi juga menafikan beliau telah ‘dibeli’ untuk menyertai parti lain.

“Kalau dah kena ‘beli,’ mestilah sudah masuk parti yang ‘beli’ saya. Saya sekarang cuma keluar parti dan masuk parti Bebas. Parti Bebas pun politik juga,” tegasnya yang tidak merancang untuk menyertai parti lain.


UTUSAN MALAYSIA

TAK SEMUA HOTEL DI MALAYSIA "HALAL"

Hanya 27 Ada Sijil Halal
KUALA LUMPUR 22 Ogos – Dalam keghairahan umat Islam berbuka puasa di hotel pada bulan Ramadan ini ramai yang tidak sedar bahawa hanya 1.4 peratus daripada kira-kira 2,000 hotel di seluruh negara diiktiraf sebagai halal.

Malah seperti satu budaya, apabila tiba bulan Ramadan hotel-hotel tersebut akan berlumba-lumba menawarkan pakej berbuka puasa walaupun tidak mempunyai sijil halal untuk dapur utama mereka.

Berdasarkan statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Persatuan Hotel Malaysia, sehingga Mei lalu, hanya 27 hotel di seluruh negara yang dapur utama mereka diiktiraf halal.

Angka itu pastinya menimbulkan kemusykilan kerana pada bulan Ramadan ini hotel-hotel yang tidak mendapat pengiktirafan halal turut menganjurkan majlis berbuka puasa untuk umat Islam.

Tindakan mereka itu tentunya mengelirukan umat Islam terutama jika makanan yang disediakan tidak halal atau tidak menepati keperluan syariat Islam.

Sehubungan itu, Jakim menasihatkan umat Islam lebih berwaspada mengenai soal halal di sesebuah hotel bagi memastikan mereka tidak makan makanan yang diharamkan oleh agama.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, amat penting bagi umat Islam untuk memantau dan memastikan mereka hanya menjamu selera di hotel yang mempunyai persijilan halal sah bagi dapur utama mereka.

“Ketika Ramadan, seperti satu budaya, kebanyakan umat Islam gemar berbuka di hotel. Jadi diharap hotel yang dipilih itu menghidangkan makanan halal 100 peratus.

“Begitu juga dengan pihak yang menganjurkan majlis berbuka puasa di hotel-hotel, kami berharap penganjur lebih peka untuk memastikan tempat itu ada sijil halal Jakim atau jabatan agama Islam di negeri lain,” katanya.

Ini kerana, kata beliau, Ramadan dan soal berbuka puasa adalah ibadah bagi umat Islam.

“Janganlah nanti seharian berpuasa tetapi ia menjadi sia-sia hanya kerana hidangan yang dimakan tidak halal.

“Dalam hal ini, umat Islam mesti memainkan peranan supaya mereka hanya makan hidangan yang halal dan berkat,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, PPIM kecewa dengan sikap sebilangan umat Islam yang kurang peka dengan soal halal apabila menjamu selera di hotel.

“Sejak dulu lagi, PPIM menyedari ada umat Islam membelakangkan soal halal atau haram hidangan yang dimakan di hotel dengan tidak memastikan terlebih dahulu sama ada ia memiliki sijil halal sah atau sebaliknya,” katanya.

Noor Nirwandy menambah, apabila memilih untuk berbuka di hotel, umat Islam bukan sahaja perlu memikirkan soal halal makanan tetapi juga kesempurnaan tandas dan kelengkapan bilik solat.

Menurutnya, ada hotel termasuk yang bertaraf lima bintang tidak dilengkapi bilik solat dan tandas tanpa paip yang seolah-olah menunjukkan pengurusannya tidak mementingkan keperluan umat Islam.


ARKIB : 23/08/2009 UTUSAN MALYSIA

KUALA LUMPUR – Tanggungjawab pengeluaran sijil Halal Malaysia yang sebelum ini dikendalikan Perbadanan Kemajuan Industri Halal (HDC) dikembalikan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkuat kuasa serta-merta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mej. Jen. (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata, perkara itu yang dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet semalam mampu mengembalikan peranan utama Jakim sebagai pengeluar pensijilan halal di negara ini.

Beliau berkata, peranan itu kurang sesuai dikendalikan HDC memandangkan badan berkenaan mempunyai tanggungjawab khusus iaitu menguruskan industri hab halal di negara ini.

“Jadi kita harus beri kewibawaan itu kepada HDC dan kita fikir tanggungjawab mengeluarkan sijil halal ini perlu dikembalikan kepada Jakim kerana permintaan sijil halal ini begitu tinggi di peringkat antarabangsa,” katanya di Parlimen di sini semalam.

Pada April 2008, kerajaan menyerahkan tugas pengeluaran sijil Halal Malaysia kepada HDC.

Pengundi Tidak Terpengaruh

BUKIT MERTAJAM 20 Ogos – Para pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir tidak terpengaruh dengan kempen memburuk-burukkan peribadi calon Barisan Nasional (BN) , Rohaizat Othman, 38, yang dilakukan secara berterusan oleh parti lawan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun para pemimpin Pas melakukan serangan bertubi-tubi tetapi pengundi tahu ia adalah mainan politik parti berkenaan.

Beliau berkata, perkembangan positif itu terserlah berikutan peningkatan momentum penerimaan kempen BN di kalangan para pengundi.

‘‘Pada peringkat awal kempen BN ada penolakan tetapi apabila jentera pilihan raya kita memasuki gelombang kedua, kita dapat meneutralkan keadaan dan gelombang kempen seterusnya menunjukkan penerimaan yang positif,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan dari rumah ke rumah di Kampung Kolam di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil DUN Permatang Pasir berkata, pengundi sebenarnya tidak memberi keutamaan kepada calon sebaliknya keutamaan mereka adalah parti yang bakal dipilih.

Menurutnya, BN juga tidak menjanjikan sebarang projek segera dalam kempennya kerana tidak mahu dituduh mengambil kesempatan berbuat demikian hanya ketika pilihan raya.

Sebaliknya kata beliau, BN akan melaksanakan semua permintaan munasabah daripada penduduk sekiranya calonnya diberi kepercayaan menjadi wakil rakyat di Permatang Pasir.

‘‘Saya yakin sekiranya tidak menang sekali pun kita berupaya mengurangkan majoriti parti lawan pada pilihan raya kecil ini,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid menyeru bekas rakan kongsi firma guaman Rohaizat, Yusri Isahak supaya tidak mempolitikkan masalah peribadi antara mereka.

Pada satu sidang akhbar berasingan hari ini, Yusri mendakwa beliau telah dijadikan kambing hitam melibatkan kes penggantungan lesen peguam sivil Rohaizat ekoran salah guna wang pelanggan.

Kes berkenaan telah selesai dua tahun lalu dan Rohaizat tidak menghadapi sebarang tuduhan jenayah di mahkamah serta disahkan layak bertanding pada pilihan raya kecil tersebut.

Diminta mengulas dakwaan bahawa calon Pas, Mohd. Salleh Man, 52, terlibat menyeleweng RM600,000 dana parti berkenaan Ahmad Zahid berkata, beliau tidak mahu terlibat menyerang peribadi calon parti lawan itu.

Ini kerana katanya, bukan amalan BN untuk mendedahkan aib calon yang bertanding sebaliknya memberi tumpuan kepada kebaikan yang boleh dibawa kepada rakyat.

Laman blog bigdogdotcom.wordpress.com hari ini mendakwa, Mohd. Salleh menyeleweng RM600,000 milik parti berkenaan ketika pilihan raya kecil Permatang Pauh pada tahun lalu.

Dakwaan tersebut dikatakan dibuat oleh Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mujahid Yusof Rawa dan bekas Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Zulkifli Lazim.


UTUSAN MALAYSIA

SELAMAT BERPUASA


SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK..

Selamat Berpuasa dan Selamat Menjalankan Ibadah...

SEMOGA RAMADHAN KALI INI LEBIH BAIK DAN LEBIH BERMAKNA DARI RAMADHAN YANG SEBELUMNYA...

Pilihan Raya Kecil DUN Kota Siputeh?


ALOR SETAR - Kedah mungkin menyaksikan satu lagi pilihan raya kecil selepas Bukit Selambau di sini April lalu.

Kemungkinan pilihan raya itu berikutan kegagalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif hadir pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebanyak dua kali berturut-turut.

Speaker DUN, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail memberitahu, mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, kerusi yang disandang Abu Hasan akan menjadi kosong apabila beliau tidak menghadiri persidangan DUN dua kali berturut-turut tanpa kebenaran.

"Kami telah memaklumkan hal itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai perkara itu semalam (kelmarin). Terserah kepada SPR untuk membuat sebarang keputusan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Pada pilihan raya umum lalu, Abu Hasan yang mewakili Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi itu bagi penggal keempat selepas menewaskan calon Pas, Ismail Wan Teh dengan majoriti 1,573 undi.


KOSMO

Siapa DIA Tentukan Layak Ke Syurga?


KUALA TERENGGANU 18 Ogos - Siapa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang boleh menentukan kelayakan seseorang masuk syurga atau neraka, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein.

Menurutnya, beliau hairan kenapa Nik Aziz mengeluarkan kenyataan tersebut terutama di musim pilihan raya.

Katanya, isu berkenaan sememangnya isu lama dan sering kali dikeluarkan.

''Ia juga membuktikan Pas sering menggunakan agama untuk kepentingan politik dan hanya untuk mendapat sokongan pengundi semata-mata," katanya.

Hishammuddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu menyatakan demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO Terengganu di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Nik Aziz selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir di Bukit Mertajam semalam bahawa ahli UMNO tidak akan masuk syurga kerana mereka mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, terdapat perbezaan antara Islam yang didakwah oleh Pas dan Islam yang diamalkan oleh umat Islam daripada kalangan anggota UMNO.

Mengulas lanjut Hishammuddin berkata, urusan masuk syurga atau neraka ditentukan oleh Allah dan bukannya manusia.

''Segala urusan masuk syurga atau neraka adalah ketentuan Allah berdasarkan amalan, ketaqwaan dan taubat terhadap ajaran Islam,'' katanya.


UTUSAN MALAYSIA

Penyokong UMNO Tidak Masuk Syurga


KOTA BHARU 18 Ogos - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan kenyataannya bahawa penyokong UMNO tidak akan masuk syurga kerana parti itu memisahkan Islam dengan iman.

Bagaimanapun, beliau menafikan bahawa kenyataannya semalam hanya merujuk kepada ahli UMNO.

Sebaliknya, kata beliau, ia melibatkan sesiapa sahaja yang menyokong parti tersebut dan ia tidak kena-mengena dengan Palestin.

Beliau berkata, sesiapa sahaja yang mengasingkan iman daripada Islam seperti apa yang diamalkan parti yang menjadi tunjang kepada pemerintahan negara itu, tidak akan diterima Allah.

"Saya baca dua surat khabar arus perdana hari ini ada perkataan Palestin, saya nafi sekeras-kerasnya bahawa saya sebut perkataan itu, ini adalah untuk melagakan saya dengan Palestin.

"Perkara kedua adalah ahli UMNO, saya tak biasa guna ahli UMNO, saya guna penyokong UMNO, ahli lain penyokong lain (makna). Memang mana-mana orang Islam yang asingkan iman daripada Islam tidak akan masuk syurga.

"Jadi mana-mana gerakan orang Islam yang hanya mementingkan Islam sahaja tanpa melibatkan iman, mustahil akan dapat syurga, usaha UMNO nak sebut Islam tanpa iman mustahil diterima Allah," katanya pada sidang akhbar khas di pejabatnya di sini hari ini.

Sidang akhbar tersebut diadakan bagi menjelaskan laporan Bernama yang disiarkan media hari ini.

Semalam, beliau dilaporkan berkata, anggota UMNO tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin.

Dalam pada itu, beliau turut menempelak Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kerana memberikan reaksi terhadap kenyataan tersebut hanya berdasarkan laporan media sahaja.

"Sepatutnya seorang mufti sebelum keluar kenyataan tanya saya dulu untuk mendapatkan gambaran sebenar, surat khabar arus perdana surat khabar UMNO tetapi kalau dia nak buat kenyataan juga itu dia punya pasal," katanya.


UTUSAN MALAYSIA

PAS dan UMNO Bertanding, Mengapa GOBALA Yang Lebih?


''MENGAPA dia (N. Gobalakrishnan) sedangkan pemimpin dan penyokong Pas atau UMNO tidak pun bertindak begitu," soal Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub dalam reaksinya berhubung kekecohon yang tercetus angkara Ahli Parlimen PKR mewakili Padang Serai itu.

Sememangnya persoalan itu tepat. Dari awal ketibaan penyokong sehinggalah kepada proses penamaan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir hampir selesai, suasana di pekarangan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam cukup aman.

Namun beberapa ketika sebelum pengumuman akhir dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), beberapa pemimpin PKR termasuk Gobalakrishnan atau Gobala dan Tian Chua - parti yang tidak pun bertanding pada pilihan raya berkenaan mula menuju ke arah kumpulan penyokong Pas.

Sambil menggunakan alat pembesar suara, Gobala melaung kata-kata kesat ke atas BN sambil mengajak penyokong Pas bersorak mengulangi kata-kata itu.

Ribuan penyokong Pas yang setia menanti di bawah pancaran terik matahari sementara menanti calon mereka, Mohd. Salleh Man selesai proses penamaan calon, kembali 'naik sheikh' dan berteriak.

Tidak cukup dengan itu, Gobala memasuki pula kawasan lapang yang memisahkan antara dua kumpulan penyokong dan ini menjadi permulaan kepada tindakan polis.

Permintaan polis secara berhemah bagaimanapun tidak diendahkan Gobala yang semakin galak berteriak. Ini menyebabkan berlaku sedikit kekecohan berikutan kedegilannya yang disusuli tindak balas terhadap arahan polis itu.

Jelas Ayub, tindakan menghalang Gobalakrishnan daripada meneruskan provokasi melalui pembesar suara itu terpaksa diambil bagi mengelakkan tindak balas penyokong BN.

Lagipun ia menyalahi peraturan kerana alat pembesar suara dilarang digunakan oleh mana-mana kumpulan penyokong.

Jadi hairannya di sini mengapa suasana aman antara dua kumpulan penyokong parti terbesar orang Melayu itu cuba dikeruhkan oleh Gobala?

Mengapa Gobala yang elok sahaja berada di khemah para pemimpin dalam kawasan IKBN perlu meluru keluar ke arah kumpulan penyokong Pas hanya untuk menimbulkan suasana tegang?

Untuk apa beliau mengajak penyokong Pas melemparkan provokasi berupa kata kesat dan ejekan terhadap pemimpin dan parti lawan serta pihak berkuasa seperti mana sering dilakukan PKR di kawasan yang parti itu bertanding?

''Saya tak tahu apa tujuan dan matlamat dia, mungkin dia tak suka melihat perjalanan pilihan raya berjalan dengan aman.

''Pas, BN sahut saranan kita, semua in order, tak ada laungan provokasi tapi mengapa dia secara solo buat begitu," soal Ayub dalam nada penuh kesal.

Untuk mencari niat sebenar Gobala di celah-celah ribuan penyokong Pas serta UMNO itu sebenarnya tidak sukar ditelah kerana beliau bukan baru dalam mencipta kontroversi.

Jika ada yang mahu mengupas perlakuan Gobala itu secara lebih mendalam di saat UMNO dan Pas bertembung, itu terpulang kepada tafsiran masing-masing.

Namun bagi beberapa saksi yang melihat adegan Gobala itu, secara berseloroh menyifatkan jalan cerita yang dijayakan pemimpin PKR hari ini boleh memenangi skrip terbaik sekiranya diadakan festival filem.

Tambahan pula terdapat puluhan lensa kamera yang merakamkan adegan beliau itu yang pastinya mengalahkan jumlah kamera yang digunakan dalam penggambaran filem hero Tamil terkenal, B. Rajinikanth dalam filem Padayappa sekalipun.

Tindak tanduk di luar dugaan seperti itu bukanlah asing baginya kerana Gobala sendiri beberapa kali terlibat dengan adegan kontroversi hingga ada yang menggelarnya raja sandiwara.

Tidak cukup dengan itu, beberapa perlakuan Ahli Parlimen PKR itu sebelum ini juga pernah mengundang kepada siasatan polis termasuk ada kes mahkamah yang melibatkan beliau.

Siapa yang boleh lupa bagaimana beliau bertindak di luar amalan Parlimen apabila meluru ke tempat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk berbisik sesuatu selain 'menganjurkan' parti hari jadi di lobi Parlimen.

Tapi yang peliknya mengapa ada di kalangan mereka yang berkopiah boleh terikut sama perilaku Gobala dan bukannya menuruti pemimpin Pas sendiri dalam kejadian semalam?


UTUSAN MALAYSIA

Pertahan KONTRAK SOSIAL


ALOR SETAR 18 Ogos – Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu‘adzam Shah bertitah, negara akan berhadapan dengan bencana dan huru-hara jika kontrak sosial terus dipertikaikan serta dijadikan bahan untuk berpolitik.

Baginda khuatir tamadun dan kemerdekaan akan runtuh sebagaimana berlaku terhadap banyak negara apabila api kemarahan akar umbi tidak dapat dikawal.

Titah baginda, perkara-perkara yang terkandung dalam kontrak sosial sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan merupakan sesuatu yang dianggap suci dan tidak harus dipersoalkan bagi menjamin kerukunan negara.

‘‘Jika perkara-perkara ini dijadikan bahan perbincangan umum dan berpolitik, ia akan membawa bencana kepada masyarakat dan negara.

‘‘Kontrak sosial tidak wajar dipertikaikan, apatah lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah asas pembentukan negara ini yang menjadikan rakyat pelbagai kaum hidup aman dan damai,’’ titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Seminar Khas Perlembagaan Persekutuan peringkat negeri di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah menyampaikan ceramah pada seminar khas berkenaan yang dihadiri pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan serta ahli-ahli politik di Kedah.

Titah baginda, sejak kebelakangan ini keharmonian yang wujud sekian lama mula terjejas ekoran adanya pihak tertentu yang berani mempertikaikan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tuanku Abdul Halim bertitah, pertikaian tersebut telah menimbulkan rasa marah di kalangan pemimpin Melayu dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

Baginda bertitah, antara sebab yang dikenal pasti berlakunya pertikaian mengenai peruntukan Perlembagaan Persekutuan adalah kedangkalan pihak-pihak tertentu terhadap latar belakang sejarah mengapa ia dimaktubkan.

Selain itu, titah baginda, ia juga disebabkan pengaruh prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diaplikasikan di negara ini tanpa bertunjangkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara.

“Situasi ini jika tidak dibendung boleh membawa kepada ketegangan kaum,’’ titah baginda.

Justeru Sultan Kedah menasihatkan semua pihak khususnya ahli politik, pegawai kerajaan dan rakyat supaya memandang serius serta mengambil iktibar mengenai perkara itu.

Baginda mahu pembuat dasar kerajaan memahami dengan jelas Perlembagaan Persekutuan supaya kepentingan kaum-kaum lain di negara ini terjamin dan terus menikmati hak mereka sebagai warga negara.

Titah baginda, keamanan yang dikecapi pada masa ini tidak datang bergolek kerana ia dicapai hasil permuafakatan, toleransi dan pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu.

‘‘Mereka duduk semeja berbincang bagi menuntut kemerdekaan. Perbincangan ini mewujudkan peruntukan perlembagaan yang menjamin kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam dan hak istimewa orang Melayu serta bumiputera Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain yang dikenali sebagai kontrak sosial.

‘‘Kontrak sosial ini merupakan pengorbanan besar orang Melayu kepada kaum lain.

“Oleh itu, tidak wajar kontrak ini dipertikai, disemak semula atau diubah kerana ia adalah asas pembentukan Malaysia,’’ titah baginda.


UTUSAN MALAYSIA

Tidak Mustahil BN Lakukan Keajaiban di Permatang Pasir


TIDAK mudah. Hakikat itu mesti diakui Barisan Nasional (BN) apabila memperkatakan tentang peluang untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir. Banyak faktor yang mesti diambil kira lantaran N11 bukan cabaran yang boleh dilepasi semudah itu.

Seawal hari penamaan calon telah memberi gambaran tentang apa sebenarnya masalah baik di pihak BN mahu pun Pas. Tidak banyak rintangan yang perlu dilalui oleh Pas, malah boleh saja dikatakan faktor X di Permatang Pasir memihak kepada parti itu.

Permatang Pasir kubu kuat Pas. Kawasan itu juga merupakan tempat 'berhimpunnya' penyokong-penyokong tegar parti itu yang sama sekali tidak akan berpaling kepada parti berlatar-belakangkan warna biru.

Permatang Pasir juga terletak di bawah Parlimen Permatang Pauh. BN pernah tersungkur di situ - orang Melayu di kawasan itu dikatakan tidak bersatu, sokongan terhadap pembangkang lebih ketara. Kaitannya dengan Permatang Pasir amat rapat.

Sokongan terhadap setiap inci kempen yang dijalankan akan mendapat sokongan Parlimen Permatang Pauh - malah seawal jalan masuk bagi laluan penyokong-penyokong pakatan pembangkang ke pusat penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam, poster Parti Keadilan Rakyat (PKR) bergantungan menyambut kedatangan orang ramai.

Bukan PKR yang bertanding, tetapi sokongan kepada calon Pas sangat jelas. Ahli Parlimen Padang Serai dari parti itu, N. Gobalakrishnan turut menunjukkan sokongan padu dengan membuat onar untuk menunjukkan betapa pakatan pembangkang boleh berbuat apa sahaja di Permatang Pasir.

Faktor itu mengekalkan peluang Pas untuk terus bertapak di N11. Biar pun selama tiga penggal menguasai DUN tersebut tanpa membawa banyak perubahan untuk rakyat, Pas tetap diterima. Tempoh hampir 15 tahun cukup untuk membuat pengundi di situ selesa menolak arus pembangunan.

Penolakan itu yang mesti ditangani BN. Tugas itu sekali lagi tidak mudah.

Apa pendekatan BN menerusi calonnya Rohaizat Othman untuk menawan hati pengundi di kawasan majoriti Melayu yang percaya pembangunan itu tidak perlu?

Apakah BN mampu berbuat demikian apatah lagi kempen sepanjang 10 hari ini terpaksa dipadatkan dengan penjelasan tentang 'serangan peribadi' pembangkang terhadap anak muda yang dipilih oleh BN sebagai calon untuk mengembangkan gelombang birunya?

Biar pun tidak mudah tetapi tidak mustahil untuk BN melakukan 'keajaiban'. Slogan 'Pas pasti terkubur' yang tertera pada sepanduk barisan hadapan kumpulan penyokong BN boleh menjadi kenyataan jika resipi serta pendekatan yang digunakan betul.

Faktor X yang ada pada Pas dan pakatan pembangkang hakikatnya boleh ditukar menjadi Z jika ahli-ahli BN amnya dan UMNO khususnya belajar dari kesilapan lalu dan menjadikan Permatang Pasir sebagai bukti bahawa masih ada peluang untuk kemenangan.

Masih ada ruang untuk membuat catatan yang lebih baik berbanding kejayaan menurunkan majoriti undi Pas seperti mana yang dilakukan di Manek Urai.

Jika BN dan UMNO bertungkus lumus mengorbankan seratus peratus tenaga dan usaha di Manek Urai, maka usaha berlipat kali ganda menjangkau lima ratus peratus mesti ditunjukkan di Permatang Pasir yang terletak dalam negeri pimpinan DAP - rakan sebantal Pas biar pun mimpi lain-lain.

Usaha itu mesti datang dari dalam BN sebagai parti induk dan UMNO sebagai komponen yang bertanding di situ. Tanpa perpaduan, penyatuan, keikhlasan dan kesungguhan, BN akan terus mengulangi kesilapannya dan perkara ini tidak boleh dibenarkan berlaku di Permatang Pasir.

Dalam keadaan Pas meletakkan calon yang telah enam kali tewas dalam pilihan raya, apakah BN mahu memberikan rekod kemenangan kepada beliau bukan kerana Pas itu kuat sebaliknya hanya disebabkan UMNO tidak mahu belajar.

Justeru, keyakinan barisan hadapan pemimpin BN yang mahu mengambil-alih N11 dari tangan pembangkang mesti disokong dan didorong hasilnya menerusi penyatuan hati dan kesungguhan ahli-ahli parti.

Permatang Pasir adalah medannya dan perjuangan itu kini bermula.


UTUSAN MALAYSIA

Tiada Nas Sertai PAS Masuk Syurga


PUTRAJAYA 17 Ogos - Tiada nas dalam al-Quran dan hadis mensyaratkan seorang itu perlu menjadi ahli sesebuah parti sebelum dijanjikan masuk syurga.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan, syurga dijanjikan Allah hanya untuk mereka yang beriman dan bertakwa kepada-Nya.

''Syurga itu hak Allah, malah belum tentu lagi mereka yang sembahyang diterima (pahalanya) sebab kena tengok dulu sembahyangnya betul atau tidak.

''Apatah lagi jika ada dakwaan kata masuk parti ini baru dijanjikan syurga, itu lagi tidak betul, jangan kita mendahului Tuhan," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Kenyataan Nik Abdul Aziz itu dipercayai bermotif politik berikutan persaingan Pas dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir 25 Ogos ini.


UTUSAN MALAYSIA

Ahli UMNO Tak Akan Masuk Syurga


BUKIT MERTAJAM 17 Ogos - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, anggota UMNO tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin.

Katanya, terdapat perbezaan antara Islam yang didakwah oleh Pas dan Islam yang diamalkan oleh umat Islam daripada kalangan anggota UMNO.

"Islam bawah UMNO tidak ke mana dan tidak boleh bawa seseorang itu ke syurga. Berdasar perkara itu, saya percaya penduduk di kawasan Permatang Pasir akan memilih calon Pas sebagai wakil rakyat mereka," katanya kepada pemberita di Institut Kemahiran Belia Negara Bukit Mertajam di sini hari ini selepas proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Permatang Pasir.

Pengundian ialah pada 25 Ogos ini.


BERNAMA

Satu Lawan Satu di N11


BUKIT MERTAJAM 17 Ogos – Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada 25 Ogos ini bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.
BN mempertaruhkan Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman manakala Pas pula diwakili Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man Mat Aji.

Penceramah motivasi, Kamal Ramizu Idris yang menawarkan diri bertanding sebagai calon Bebas bagaimanapun gagal menyerahkan borang pencalonan gara-gara lewat tiba di pusat penamaan calon di sini atas alasan kesesakan lalu lintas.

Rohaizat, 38, mengemukakan kertas pencalonannya pada pukul 9.03 pagi dengan dicadang oleh Abdul Majid Othman dan disokong oleh Ng Tong Hye.

Salleh Man, 52, menyerahkan borang kira-kira tiga minit kemudian. Pencalonan beliau dicadangkan Mahdi Abdullah dan disokong Shamsul Kamal Sahpie.

Nama kedua-dua calon yang sah bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Permatang Pasir, Roslan Yahaya di pekarangan Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) kira-kira pukul 11.30 pagi.

Rohaizat dan Salleh disahkan bertanding bagi kerusi DUN tersebut selepas tamat tempoh waktu bantahan selama sejam bermula 10 pagi.

Sementara itu, Salleh Man tiba di pusat penamaan kira-kira pukul 8.30 pagi dengan diiringi beberapa pemimpin pakatan pembangkang termasuk Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Rohaizat yang memakai baju Melayu kuning pula tiba lima minit kemudian dengan diiringi Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin; tiga Naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal serta para pemimpin parti komponen BN.

Pilihan raya kecil DUN itu diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohd. Hamdan Abd. Rahman dari Pas kerana sakit jantung pada 31 Julai lalu.



UTUSAN MALAYSIA

'Usah Guna Cara Samseng Halang Saya Berkhidmat'

IPOH 17 Ogos - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir memberi amaran keras kepada pakatan pembangkang supaya tidak menggunakan cara samseng untuk menghalang beliau menjalankan tugas terhadap rakyat.

Zambry menegaskan, setakat ini, beliau masih bersabar dan tidak terikut-ikut dengan cara ganas dan tidak bermoral pembangkang bagi memastikan keamanan di Perak.

Sambil menyifatkan perbuatan pemimpin dan penyokong DAP yang membuat kecoh pada satu majlis yang dijadualkan dihadirinya di Dewan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) hari ini, Zambry menambah, perbuatan itu menunjukkan mereka terdesak.

''Saya beri amaran keras jangan halang saya berkhidmat dengan cara (guna samseng) ini. Saya datang untuk beri perkhidmatan kepada rakyat.

''Jangan ingat saya takut atau seorang pengecut. Bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, saya sebenarnya telah dinasihatkan oleh pasukan keselamatan supaya tidak hadir pada majlis itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada 818 ketua kampung negeri Perak di sini hari ini.

Zambry sepatutnya menyerahkan Borang 5A (hak milik tanah) kepada 188 penduduk Kampung Kaki Bukit Jana, Kampung Aulong Baru Tambahan dan Batu 14 Trong di Dewan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) tengah hari ini.

Bagaimanapun, beliau yang telah berada di Taiping ketika itu terpaksa mewakilkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting, Mohd. Zahir Abdul Khalid selepas dinasihatkan oleh polis supaya tidak hadir pada program itu.

Ia ekoran tindakan kira-kira 20 penyokong pembangkang dari DAP yang diketuai Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming; ADUN Aulong, Yew Tian Hoe dan ADUN Pokok Assam, Yee Seu Kai merancang membuat kecoh di Dewan MPT tersebut.

Keadaan tersebut benar-benar berlaku apabila Kor Ming bersama penyokongnya bertindak keluar dewan ketika majlis sedang berlangsung dan cuba menimbulkan kekecohan dengan membawa kain rentang bertulis 'MB haram, malu! malu! malu!'

Zambry berkata, beliau memohon maaf kepada penduduk kampung terbabit kerana tidak dapat hadir.

''Kor Ming buat kenyataan dia kecewa rakyat ditipu dengan janji-janji kerana saya tidak hadir.

''Bayangkan kalau saya datang dengan perilaku mereka (pembangkang), jika berlaku sesuatu, ia akan menyebabkan berlaku keadaan tidak diingin (lebih teruk),'' katanya.

Beliau berkata, apa yang dilakukan pembangkang itu menunjukkan mereka terdesak sehingga sanggup melakukan apa sahaja supaya tidak hilang pengaruh.

''Sebab itu, mereka (pembangkang) minta Persatuan Cina di sini tidak jemput saya kerana mereka tahu kepercayaan rakyat semakin pulih kepada Barisan Nasional (BN).

''Atas sebab itu juga, mereka merancang untuk membuat satu lagi 'sidang dewan','' ujar beliau.

Mengulas mengenai dakwaan Kor Ming bahawa pemberian tanah itu adalah atas 'usaha' mereka, Zambry berkata, perkara itu sebenarnya sudah dilakukan oleh BN sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 lagi.

''Pergi tanya pejabat daerah siapa yang mulakan dulu? Kita akan laksanakan sesuatu yang kita janjikan kepada rakyat,'' katanya.

Sementara itu, Mohd. Zahir berkata, pemberian hak milik tanah itu merupakan sebahagian daripada dasar perumahan rakyat kerajaan negeri.

Beliau berkata, penduduk yang terlibat terdiri daripada 51 penduduk Kampung Kaki Bukit Jana, Kampung Aulong Baru Tambahan (80), Batu 14 Trong (26) dan Ayer Kuning seramai 31 orang.

''Daripada 188 penerima, 40 peratus adalah kaum Cina, manakala masing-masing 30 peratus adalah kaum Melayu dan India,'' katanya.


UTUSAN MALAYSIA

PERGI TAK KEMBALI... Al-Fatihah....


Dunia hiburan Tanahair hari ini dikejutkan lagi dengan kembalinya Ustaz Mohamad Asri Ibrahim Ke Rahmatullah.. Dunia hiburan kehilangan seorang lagi Anak Seni yang cukup berbakat yang sinonim dengan lagu-lagu NASYID yang berunsur DAKWAH.


Pemimpin kumpulan nasyid Rabbani itu meninggal dunia dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Pantai (PMC), Kuala Lumpur kira-kira jam 11 pagi kerana sakit jantung.

Penyanyi utama kumpulan itu tiba-tiba pengsan kira-kira jam 10.30 pagi ketika menyertai program Syahadah musim kelima di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Pondok Panas: SPR Tidak Lagi Tolak Ansur


PUTRAJAYA 10 Ogos – Tiada lagi tolak ansur! Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertegas akan menguatkuasakan sepenuhnya larangan merayu undi dan membuka pondok-pondok panas pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang, 25 Ogos ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, SPR dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menguatkuasakan larangan tersebut sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

‘‘Kita tidak terima desakan daripada mana-mana pihak tetapi langkah ini dilakukan hasil laporan dan rakaman visual yang SPR terima selepas Pilihan Raya Kecil Manek Urai.

‘‘Jadi kita buat keputusan bahawa di Permatang Pasir tidak akan ada lagi barung-barung parti politik, tiada lagi meja semakan dan kita akan pastikan tiada lagi merayu dan meraih undi pada hari pengundian,’’ katanya.

Tegas Abdul Aziz, SPR tidak mahu lagi penyokong-penyokong parti yang bertanding berdiri di kiri dan kanan jalan berhampiran pintu masuk pusat pengundian sehingga mengganggu pergerakan para pengundi.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat suruhanjaya itu di Ibu Pejabat SPR di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata; ‘‘Dua kumpulan bertanding itu mengeluarkan perkataan-perkataan tidak elok, lebih-lebih lagi pada bulan puasa, adalah tidak elok sama sekali mengeluarkan perkataan tidak baik, malah semua agama pun melarang perbuatan itu.

‘‘Jadi saya harap sangat media dapat beri kerjasama memaklumkan kepada para pemimpin parti, mengingatkan perkara ini supaya tidak berlaku lagi pergaduhan, baling botol dan baling batu,’’ katanya.

Sebagai alternatif dan kemudahan para pengundi, katanya, SPR akan menyediakan meja semakan di luar pagar pusat pengundian dan di tempat-tempat strategik.

Jelas beliau, langkah itu adalah untuk memastikan keadaan pada hari pengundian ‘benar-benar tenang, tenteram dan selamat’ bagi membolehkan para pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.


UTUSAN MALAYSIA

Masyarakat Berbilang Kaum Kekuatan Malaysia - PM


KUALA LUMPUR: Penduduk Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum merupakan kekuatan dan kelebihan yang ada pada negara yang dapat memacu negara ke tahap lebih tinggi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.Perdana Menteri berkata oleh yang demikian, masyarakat berbilang kaum tidak wajar dilihat sebagai satu liabiliti atau kelemahan.

"Ini akan memberi kelebihan kepada kita jika kita melihatnya daripada konteks positif. Masyarakat berbilang kaum kita adalah satu realiti politik. Ia adalah keunikan Malaysia," katanya dalam ucapan kepada kirakira 6,000 pengunjung yang membanjiri karnival 1Malaysia yang diadakan di Batu Caves di sini.

Najib berkata sebab itu asas pertama konsep 1Malaysia ialah untuk menukar cara berfikir semua rakyat Malaysia daripada sikap hanya bersandarkan kepada toleransi sematamata kepada penerimaan sepenuhnya masyarakat berbilang kaum.

"Saya percaya setiap komuniti dan kumpulan etnik mempunyai keperluannya sendiri, sistem nilai sendiri, aspirasi sendiri, agama dan cara hidup sendiri, dan perlu kita menghormatinya sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia," katanya.

Najib berkata adalah penting bagi semua rakyat Malaysia untuk menjadikannya sebagai sebahagian daripada jiwa, sistem nilai dan cara hidup mereka.

Beliau juga berkata adalah penting bagi semua rakyat Malaysia untuk saling menghormati antara satu sama lain dan percaya dengan konsep kesamaan dalam 1Malasyia.

"Saya percaya ini merupakan aspirasi semua rakyat Malaysia yang mahu melihat kita semua bersatu, hidup dalam harmoni dan aman dan untuk melihat kita melakukan transformasi terhadap Malaysia, dan membawa Malaysia ke tahap dan kejayaan lebih tinggi.

"Tetapi, bagi membolehkan semua itu berlaku, kita perlu bersatu sebagai 1Malaysia," katanya.

Najib berkata dengan keunikan yang dimiliki negara, Malaysia boleh menjadi pintu masuk kepada dunia.

"Kita adalah pintu masuk ke China, kita adalah pintu masuk ke India dan kita adalah pintu masuk ke dunia Melayu dan Timur Tengah. Kita mempunyai semua tamadun utama di sini, di Malaysia, sebab itu kita gelar diri kita sebagai 'Malaysia Truly Asia'. "Kita mesti manfaatkan semua kelebihan ini kepada faedah strategik," katanya.

Najib berkata kerajaan bersedia memperuntukkan dana untuk membangunkan Batu Caves sebagai destinasi pelancongan utama dan berharap ini akan menjadi permulaan baru bagi seluruh kawasan itu daripada segi pembangunan pelancongan.

Perdana Menteri juga berjanji akan menghadiri perayaan Thaipusam tahun depan, ini adalah seiring dengan langkah allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak Hussain yang merupakan perdana menteri kedua yang pernah menghadiri sambutan Thaipusam dan melawat Batu Caves.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata peruntukan yang disediakan kerajaan bagi membantu masyarakat India melalui pelbagai kaedah membuktikan pentadbiran sekarang adalah komited dan ikhlas dalam usaha untuk membantu semua kaum di negara ini.

Karnival tiga itu dianjurkan oleh kuil Sri Maha Mariamman.


BERNAMA

Ayat 'Paria' Cetuskan Kemarahan

ALOR SETAR 9 Ogos - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-12 di sini hari ini panas apabila tindakan Lim Soo Nee (PKR-Kulim) menyebut Kerajaan Barisan Nasional (BN) Kedah sebelum ini 'paria' mencetuskan kemarahan pembangkang.

Soo Nee menggunakan perkataan itu ketika mengemukakan soalan tambahan terhadap isu pusat penyembelihan babi yang dijawab oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Penerangan negeri, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah.

Tindakannya itu segera mendapat reaksi daripada Datuk Syed Sobri Syed Hashim (BN-Kuala Nerang) yang meminta laluan mencelah kerana tidak berpuas hati dengan Soo Nee.

Sejurus selepas Syed Sobri berbuat demikian, Mohd. Rawi Abd. Hamid (BN-Ayer Hangat) bingkas bangun meminta Soo Nee menarik balik kenyataan itu kerana berpendapat ia tidak wajar disebut di Dewan itu yang turut dihadiri oleh pemerhati luar.

Melihat keadaan menjadi semakin panas, Speaker DUN, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail meminta Mohd. Rawi duduk tetapi ADUN Ayer Hangat itu tidak mengendahkannya dengan terus mendesak supaya Soo Nee menarik balik kenyataannya.

Beberapa anggota pembangkang turut membuat bising sebagai membantah kenyataan Soo Nee.

Keadaan kembali 'sejuk' apabila Abdul Isa kemudian meminta Soo Nee menarik balik kenyataannya dan ADUN Kulim itu akur untuk berbuat demikian.

''Soal kasar atau tidak bahasa yang digunakan itu bergantung kepada orang yang mendengarnya. Saya berasakan ia tidak sesuai dan meminta Kulim menarik balik,'' katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Rawi semasa sesi perbahasan mengambil kesempatan menyentuh mengenai isu 'paria' itu dengan menyifatkannya ia tidak sesuai digunakan di Dewan persidangan yang dianggap mulia.

Katanya, sepanjang pengetahuannya, penggunaan bahasa seumpama itu tidak pernah disebut dalam persidangan DUN Kedah dan berharap ia tidak akan berulang.

Soo Nee turut menggunakan peluang pada sesi perbahasan dengan meminta Speaker menegurnya jika dia menggunakan bahasa yang tidak sesuai.

Mengenai soalan tambahan Dr. Cheah Soon Hai (BN-Derga) berhubung bila pusat penyembelihan babi baru siap dibina, Amiruddin berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Tanah dan Galian mengenal pasti tempat yang sesuai sebagai cadangan untuk pembinaannya.


UTUSAN MALAYSIA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers