Photobucket

KELUAR PKR BERAMAI-RAMAI

V. SUBRAMANIAM bersama sebahagian daripada 300 ahli PKR yang hadir melaungkan kata-kata semangat untuk keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kampung Tengku Hussein Hujung, Manjoi, Ipoh, Perak, kelmarin. - UTUSAN/Mohd. Najib Mohd. Nor

Kecewa dengan sikap dan cakap tidak serupa bikin para pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyebabkan seramai 700 ahli Pemudanya dari Bahagian Ipoh Barat bertindak keluar parti itu beramai-ramai, kelmarin.

Ketua Pemudanya, V. Subramaniam menjangkakan lebih ramai ahli parti itu akan keluar kerana telah sedar dengan apa yang berlaku.

Pengumuman keluar parti itu dilakukan di Kampung Tengku Hussein Hujung, Manjoi, Ipoh.

Hadir sama ialah Naib Ketuanya, Sherol Aizam Mohd. Damanhuri; Ketua Penerangan, Mokhtar Kodin dan Setiausaha, S. Vikneswaran.

Pemuda PKR Ipoh Barat ketika ini mempunyai kira-kira 900 ahli.Menurut Subramaniam, pemimpin PKR bukan sahaja bersikap 'cakap tidak serupa bikin,' malah mendakwa turut tidak menghormati agama lain.

UTUSAN MALAYSIA

Ahli Parlimen PKR Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR 25 Mac – Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Selangor, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia di rumahnya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras, Kajang malam ini.

UTUSAN MALAYSIA

Kerusi DUN Titi Tinggi Tidak Kosong - SPR

PUTRAJAYA 24 Mac - Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Titi Tinggi, Perlis tidak kosong dan penyandangnya, Yip Sun Onn masih anggota DUN yang sah, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Abdul Aziz berkata, setakat ini SPR belum lagi menerima sebarang surat rasmi mengenai peletakan jawatan Sun Onn daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Datuk Yazid Mat.

"Walaupun Speaker sudah sahkan terima surat itu tetapi selagi SPR tidak menerima sebarang surat rasmi, kerusi DUN itu tidak kosong dan hanya SPR sahaja yang boleh memaklumkan mengenai sebarang kekosongan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ditanya berapa lama Speaker boleh memegang surat peletakan jawatan itu, Abdul Aziz berkata, tempoh masa bagi Speaker boleh memegang surat itu tiada dalam undang-undang.

"Itu semua terpulang kepada urusan Speaker dan anak buahnya," katanya.

Semalam, Speaker DUN negeri itu, mengesahkan menerima surat peletakan jawatan daripada Sun Onn yang juga Naib Ketua MCA bahagian Padang Besar pukul 3 petang dua hari lepas dan menasihatkannya supaya mempertimbangkan keputusan itu.

Sub Onn, 52, dikatakan kecewa kerana tidak dilantik semula sebagai anggota Exco kerajaan negeri yang disandangnya sejak dua tahun lalu apabila namanya tidak disenaraikan dalam majlis mengangkat sumpah di Istana Arau, Jumaat lalu.

Sebaliknya ADUN kawasan Indera Kayangan, Dr. Por Choo Chor dilantik ke jawatan itu dan mengangkat sumpah di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

BERNAMA

Pendidikan Seks: GPMS Kedah Tidak Setuju

ALOR SETAR 23 Mac - Pendedahan awal mengenai pendidikan seks di sekolah dikhuatiri akan disalahgunakan oleh pelajar dan bukannya membantu mengurangkan gejala sosial.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Zuraidi Rahim berkata, walaupun cadangan melaksanakan pendidikan seks antara lain bertujuan memberi kesedaran kepada golongan muda, namun kemungkinan besar ia juga akan membawa lebih banyak keburukan.

Katanya, tidak mustahil pelajar akan mudah terjebak dengan perlakuan seks bebas jika mereka menyalahgunakan ilmu yang dipelajari dalam sukatan pelajaran tersebut.

"Kami cukup khuatir pelajar akan cuba 'macam-macam' dengan ilmu yang mereka peroleh itu kerana penerimaan mereka termasuk sesetengah remaja terhadap sesuatu perkara lebih kepada untuk seronok.

"Cara berfikir mereka lain daripada golongan yang sudah dewasa serta matang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada program soal jawab yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 malam tadi, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyarankan agar pendidikan seks dimasukkan dalam kurikulum pembelajaran di sekolah ekoran peningkatan kes buang bayi dan pelbagai gejala sosial di kalangan remaja.

Menurut beliau, maklum balas diterima kementeriannya menunjukkan masih ada remaja yang tidak memahami implikasi yang mungkin berlaku jika mereka melakukan hubungan seks luar nikah.

Zuraidi berkata, subjek pendidikan seks tidak perlu dikhususkan kerana mata pelajaran Sains sudah memadai bagi tujuan berkenaan.

Selain itu, katanya, banyak cara lain boleh digunakan untuk mengelakkan golongan muda terjebak dengan gejala sosial seperti mengadakan taklimat dan mempergiatkan lagi program kesedaran bahaya seks luar nikah.

"Jika dilihat daripada segenap aspek, GPMS Kedah tidak nampak apa motif untuk melaksanakan subjek pendidikan seks dalam kurikulum pembelajaran di sekolah," katanya.

UTUSAN MALAYSIA

PAS Tahu Komplot 16 September

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam menjelaskan bahawa parti itu mengetahui mengenai rancangan yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih kerajaan pusat pada 16 September 2008 lalu.

Menurutnya, PAS turut bersama dalam perancangan tersebut kerana parti itu dan Pakatan Rakyat (PR) berusaha untuk mengubah kerajaan pusat sama seperti tindakan Barisan Nasional (BN) yang berusaha mengubah kerajaan sesebuah negeri.

“Memang kita bersama (PR), kita berusaha untuk membuat perubahan tersebut, kita memang berusaha sepertimana BN, ia adalah amalan demokrasi negara,” katanya kepada media di lobi Parlimen semalam.

Ditanya adakah beliau mengetahui bahawa ada golongan ulama dalam parti itu yang mendakwa mereka tidak mengetahui mengenai perancangan itu, Abdul Hadi bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai pandangan peribadi sesetengah pihak.

“Dakwaan itu tidak tepat dengan hakikat yang sebenar, kami lebih faham apa yang berlaku, PAS juga bijak menangani hal ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan, dakwaan lapan nama ahli parlimen yang dikatakan akan melompat keluar dari BN oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim juga tidak tepat.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi menuntut perkataan Tuhan dalam Rukun Negara ditukar kepada nama Allah kerana penganut agama lain sudah menerima kalimah Allah seperti mana yang dituntut oleh penganut Kristian.

Katanya, Islam tidak pernah melarang orang bukan Islam dari menggunakan nama Allah dalam agama mereka walaupun terdapat percanggahan.

“Orang bukan Islam sudah menyedari kalimah Allah ini memberi makna yang unggul, perkataan seperti God dan Lord tidak menepati apa yang mereka mahukan.

“Oleh itu, kerajaan perlu menerima secara positif dalam menangani hal ini dan pada masa sama ia akan menuju kepada perpaduan rakyat,” katanya.

mSTAR

Tan sri Dr Sulaiman Daud Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pertanian Tan Sri Dr Sulaiman Daud meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 8.10 pagi ini setelah lama uzur.

Pengarah HKL Datuk Dr Zaininah Mohd Zain berkata jenazah dibawa balik ke kediaman Allahyarham di 61, Lorong Lai Tet Lok Satu Off Jalan Gurney di sini.

Allahyarham yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-77 pada 4 Mac lepas, meninggalkan empat anak, iaitu Mahathir, Norshida, Zelda Raha dan Azman.

Isteri Allahyarham, Puan Sri Naemah Hasbi meninggal dunia pada 26 Mac 2005 akibat barah paru-paru.

Sulaiman, yang merupakan bekas Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak dan bekas anggota Parlimen Petra Jaya, Sarawak, pernah menjawat pelbagai jawatan sebagai menteri di peringkat persekutuan, bermula dengan Menteri Wilayah Persekutuan pada 19 Mac 1981.

Selain itu, Allahyarham juga pernah memegang jawatan Menteri Pelajaran (1981-84 dan juga 1995-99), Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1984-86), Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah (1986-89), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1989-1990), Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (1990-1991) dan jawatan terakhirnya sebagai Menteri Pertanian (1995-1999).

Anak kelahiran Kuching, Sarawak yang berkelulusan ijazah kedoktoran pergigian dari University of Otago, New Zealand, pernah bertugas sebagai doktor gigi di kerajaan negeri Sarawak dan Jabatan Perubatan Brunei pada tahun 1960-an.

BERNAMA

Konsep 1Malaysia Tiru 1Israel Hanya Pembohongan

KUALA LUMPUR 18 Mac - Tuduhan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa konsep 1Malaysia ditiru daripada 1Israel yang kononnya mendapat nasihat syarikat perunding sama, adalah pembohongan terbaru Ketua Pembangkang itu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mendedahkan pembohongan Anwar itu berkata, firma perunding komunikasi global, Apco Worldwide (Apco) yang dikaitkan terlibat dalam pembentukan 1Israel telah pun membuat penafian.

''Apco dalam kenyataan hari ini menafikan dakwaan Anwar itu dan menegaskan bahawa gagasan 1Malaysia telah diilhamkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum firma perunding berkenaan dilantik untuk memberi sokongan komunikasi kepada kerajaan Malaysia.

''Firma perunding ini juga menafikan bahawa ia mewakili kerajaan Israel atau Perdana Menterinya, Ehud Barak dan turut menjelaskan ia tidak terlibat dengan kempen 1Israel," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ahli Parlimen Pontian yang juga Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, Khairy mengedarkan kepada wartawan kenyataan akhbar oleh Apco yang beribu pejabat di Washington, Amerika Syarikat dan mempunyai 29 pejabat cawangan di seluruh dunia.

Apco dilantik oleh kerajaan Malaysia sebagai firma perunding bagi membantunya berkomunikasi menerusi media bentuk baru.

Ketika berucap menyokong usul menjunjung kasih di atas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam, Anwar mendakwa konsep 1Malaysia diilhamkan oleh Apco yang merupakan sebuah firma perunding negara itu yang turut mengutarakan konsep 1Israel.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menegaskan, Anwar perlu menarik balik dakwaannya dan meminta maaf kepada kerajaan Malaysia dan Najib kerana membuat tuduhan melulu.

''Sekiranya beliau masih bertegas dengan dakwaan ini, Anwar tidak harus berselindung di sebalik kekebalan ahli Parlimen dengan mengulang balik retorik politiknya di luar Dewan.

''Ini bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadapnya," kata beliau.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pada sidang akhbar berasingan berkata, hanya Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat yang boleh menentukan bentuk hukuman terhadap Ketua Pembangkang itu.

''Ini kerana tuduhan ke atas Perdana Menteri adalah serius apatah lagi beliau yang juga seorang Islam dikaitkan dengan satu pertubuhan yang didakwa sebelum ini telah membantu Israel.

''Saya tidak tahu dan tidak mempunyai kuasa dalam hal ini, tetapi anda boleh merujuk kepada kes-kes lalu umpamanya membabitkan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo," katanya.

UTUSAN MALAYSIA

Pemecatan Anwar SAH

PUTRAJAYA 8 Mac - Pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada semua jawatan dalam kerajaan 11 tahun lalu, sah di sisi undang-undang setelah Mahkamah Persekutuan memutuskan pelantikan dan pelucutan jawatan menteri Kabinet merupakan kuasa Perdana Menteri.

Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff menyatakan, Yang di-Pertuan Agong langsung tidak mempunyai budi bicara mempertikai atau menolak sebarang pelantikan mahupun pemecatan menteri.

Jelas beliau, ini kerana sistem Raja Berperlembagaan mengehadkan kuasa Seri Paduka berbuat demikian memandangkan rujukan kepada baginda seperti yang dizahirkan di bawah Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan hanya satu formaliti.

Dengan keputusan itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku responden pertama dan kerajaan Malaysia responden kedua bertindak mengikut undang-undang ketika memecat Anwar daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

''Kuasa memilih dan melantik Menteri Kabinet terletak di tangan Perdana Menteri, jika beliau memutuskan seseorang menteri itu meletak jawatan, Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa menyatakan sebaliknya.

''Prinsip undang-undang jelas menyatakan bahawa hanya pihak yang melantik berhak melakukan pemecatan,'' ujar Hakim Alauddin ketika membacakan penghakiman bertulisnya setebal 33 muka surat.

Sehubungan itu, mahkamah berpuas hati bahawa Seri Paduka tiada pilihan selain bertindak atas nasihat Perdana Menteri kerana beliau yang bertanggungjawab memilih, melantik dan memecat Menteri Kabinet.

Hakim Alauddin menyatakan demikian ketika menggariskan alasan berhubung keputusan panel tersebut menolak rayuan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu terhadap pemecatannya pada pukul 5.30 petang, 2 September 1998.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Wira Mohd. Ghazali Mohd. Yusoff dan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan pemecatannya sah di sisi undang-undang.

Dalam rayuannya, Ketua Pembangkang tersebut menyatakan, pemecatan itu bercanggah dengan Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan kerana ia jelas menyatakan hanya Seri Paduka berhak memecat menteri Kabinet atas nasihat Perdana Menteri.

Anwar dipecat melalui surat yang ditandatangani oleh Dr. Mahathir yang antara lain menyatakan:

''Dengan dukacitanya, saya terpaksa melucutkan jawatan-jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan daripada Datuk Seri serta lain-lain jawatan yang dipegang dalam Kerajaan.

''Pelucutan ini berkuat kuasa dari hari ini, 2 September 1998 mulai pukul 5.30 petang. Pelucutan ini telah dimaklumkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong."

Sementara itu, Anwar dalam reaksi ringkasnya kepada pemberita di luar mahkamah berkata, beliau telah menjangkakan keputusan tersebut.

Peguam Karpal Singh ketika berhujah sebelum ini menyatakan, Dr. Mahathir bertindak tanpa mengikut perlembagaan ketika memecat Anwar kerana beliau sekadar menyampaikan atau memaklumkan keputusan yang dibuatnya, bukan menasihati baginda.

Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaludin Md. Said pula berhujah, Yang di-Pertuan Agong tidak membantah pemecatan Anwar ketika disampaikan oleh Dr. Mahathir dan ia jelas menunjukkan baginda memperkenankan keputusan tersebut.

UTUSAN MALAYSIA

JUARA RAKYAT Jadi Program BN

TANJUNG MALIM 6 Mac - Program Juara Rakyat yang diterajui oleh UMNO kini telah diterima sebagai program Barisan Nasional (BN), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu dipersetujui oleh Dewan Tertinggi BN dalam mesyuaratnya yang diadakan baru-baru ini.

Katanya, ia membuktikan bahawa semua komponen BN, sama ada di Semenanjung atau di Sabah dan Sarawak bersatu dalam gagasan 1Malaysia dan berkongsi perjuangan politik yang sama.

"Saya membawa perkara ini dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang lalu.

"Walaupun pada peringkat awal (program) Juara Rakyat ditaja oleh UMNO, seluruh kepimpinan BN berkata ia harus menjadi program BN dan Dewan Tertinggi BN bersetuju," katanya.

Beliau mengumumkan perkara itu sewaktu berucap pada majlis pelancaran Program Juara Rakyat Peringkat Negeri Perak di Tasek YDP, Slim River, dekat sini hari ini.

Walaupun berlangsung dalam suasana panas terik, program berkenaan berjaya menarik kira-kira 10,000 pengunjung.

Hadir sama pada majlis itu ialah isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; pemimpin-pemimpin BN Pusat dan negeri Perak.

Turut hadir bekas pemimpin pembangkang iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi; ADUN Changkat Jering, Osman Mohd. Jailu, ADUN Jelapang, Hee Yit Fong dan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd. Fairus Khairuddin.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menerima 315 borang keahlian Rakan Kelab Penyokong BN Parlimen Bagan Datoh yang terdiri daripada bekas ahli PKR.

Selain itu, beliau menyampaikan sijil dan derma siswa kepada pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2009 serta para graduan daripada keluarga miskin.

Sementara itu, Muhyiddin menjelaskan, program Juara Rakyat bukanlah sesuatu yang baru kerana pada dasarnya UMNO dan BN merupakan parti yang telah lama menjuarai isu-isu rakyat.

Katanya, pengenalan program berkenaan merupakan satu iltizam bahawa parti itu akan meneruskan tradisi berkenaan bagi memastikan rakyat terus terbela.

"Sebagai parti yang dinamik, UMNO dan BN sentiasa mengikuti perkembangan semasa, ia tak statik sebaliknya harus mendepani zaman.

"Ia harus berada di hadapan dalam usaha membawa perubahan kepada rakyat jelata, maka dengan sebab itulah hari ini kita menyatakan iltizam baru, apa masalah rakyat kita akan ambil langkah dan tindakan yang sesuai," tegasnya.

UTUSAN MALAYSIA

Zulkifli Tak Hirau Dipecat

KUALA LUMPUR 6 Mac – Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini memecat Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dan memintanya mengosongkan kerusi Parlimen itu.

Setiausaha Agung parti Saifuddin Nasution berkata keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan Pusat PKR yang diadakan hari ini.

“Ya, sah Zulkifli dilucutkan keanggotaan parti,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata Zulkifli juga diberi tempoh 14 hari untuk merayu keputusan itu.

Zulkifli yang juga seorang peguam, dihadapkan kepada Lembaga Disiplin parti bagi menjawab isu berhubung laporan polis yang dibuatnya terhadap rakan sekutu dari PAS, Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkenaan isu kalimah Allah dan kritikan beliau terhadap kepimpinan DAP.

Khamis lepas, anggota Parlimen yang terkenal dengan tindakan “menentang arus” dalam PKR itu bertindak keluar daripada sidang Lembaga Disiplin yang membicarakan kesnya kerana membantah anggota panel terdiri daripada bukan Islam.

Zulkifli memberitahu pemberita selepas itu bahawa tindakan tersebut berasaskan prinsipnya yang tidak mahu tunduk atau mengiktiraf panel bukan Islam bagi membicarakan isu berhubung agama Islam.

Beliau juga memberitahu pemberita tidak berhasrat untuk keluar daripada PKR kerana masih yakin dengan kepimpinan parti.

Pagi ini, Zulkifli menerusi surat terbuka di dalam blognya sekali lagi merayu anggota majlis pimpinan pusat PKR agar memberi peluang kepada beliau membela diri di hadapan panel disiplin beragama Islam berhubung isu yang dibangkitkan.

“Saya menuntut supaya saya diberikan keadilan. Sebab itu saya menyokong perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan keadilan dalam kes liwat beliau.

“Perjuangan beliau ingin mendapat keadilan sehingga sampai ke peringkat mendapat sokongan luar. Kalau Datuk Seri Anwar menuntut keadilan, saya juga menuntut keadilan yang sama... kita patut amal apa yang kita uar-uarkan,” katanya dalam surat itu.

Sebelum ini, Zulkifli mendakwa beliau adalah mangsa rancangan jahat “firaun-firaun kecil” dalam parti yang sengaja mahu memalukan dan mengaibkan beliau dan agama Islam serta sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan beliau dipecat.

Sementara itu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini memberi amaran kepada wakil rakyat parti itu supaya berpegang kepada prinsip perjuangan masyarakat berbilang kaum sekiranya tidak mahu dipecat.

Beliau berkata, PKR tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan seperti yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin hari ini jika wakil rakyat parti itu tidak berpegang kepada prinsip perjuangan parti yang mengutamakan semua kaum dan hak asasi manusia.

BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers