Photobucket

Lambaian Lombok - Bella Pulang Ke Pangkuan Keluarga


Isyarat Jelas PKR Tidak Mampu Bela Rakyat

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Pengumuman Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini isyarat jelas bahawa PKR bukan parti yang mampu memperjuangkan nasib rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai orang lama dalam politik Zahrain terpaksa bertindak sedemikian setelah didapati sumbangan serta pengorbanannya tidak lagi diiktiraf oleh PKR.

"Kita sudah jangka perkara ini kerana telah ada pemimpin dan ahli-ahli mereka keluar parti. Zahrain mungkin sedar perjuangannya tidak lagi bermakna dan sia-sia.

"Saya percaya Zahrain terpaksa ambil keputusan ini kerana perjuangannya semakin tidak mendapat pengiktirafan. Oleh itu apa guna beliau terus kekal dalam PKR," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pembukaan cawangan Ar-Rahnu X'Change Koperasi Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) di Cheras Maju dekat sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman keluar PKR oleh Zahrain hari ini. Bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang itu turut meletakkan semua jawatannya dalam PKR.

Isu yang membabitkan Zahrain mula tercetus apabila beliau lantang mengkritik kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang dilabel beliau sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran bahaya.

Berikutan kecaman tersebut, Jawatankuasa Disiplin PKR pada 31 Januari lalu menetapkan tempoh sebulan untuk meneliti tindakan ke atas Zahrain selain seorang lagi wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, berkemungkinan Zahrain selepas ini akan mengikut jejak wakil rakyat lain untuk tidak menyertai mana-mana parti.

"Saya fikir beliau mahu menjadi wakil rakyat bebas. Namun begitu segala-galanya terletak pada tangannya.

"Bagi UMNO kita tidak pernah menutup pintu kepada sesiapa yang mahu berjuang bersama kita. Walau apa pun seperti yang saya katakan tadi di peringkat ini kita biarkan Zahrain untuk membuat keputusan," tambahnya.

UTUSAN MALAYSIA

Zambry Mahu Wujud Kerajaan Negeri Terbaik Untuk Rakyat Perak

IPOH: Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah pada Selasa lepas menguatkan lagi semangat dan perjuangannya untuk mewujudkan sebuah kerajaan negeri terbaik untuk rakyat negeri itu.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak akan mempedulikan tentangan politik keterlaluan sebaliknya mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada pembangunan negeri dan rakyat.

"Semalam pula saya difahamkan ramai rakyat berpuasa dan membuat kenduri kesyukuran. Saya ingin katakan di sini kemenangan itu bukan kemenangan Dr Zambry tetapi ia adalah kemenangan seluruh rakyat," katanya ketika berucap pada majlis kesyukuran dan perhimpunan rakyat yang dihadiri kira-kira 3,000 orang di kediaman rasmi Menteri Besar, di sini hari ini.

Ketika ditanya pemberita selepas itu mengenai dakwaan Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham bahawa beliau tidak ikhlas ketika membuat kenyataan kerajaan BN sentiasa bekerjasama dengan semua pihak untuk membangunkan negeri dan rakyat, Zambry berkata anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sitiawan itu lebih mengetahui siapa ikhlas dan siapa yang tidak.

"Saya nak tanya, adakah dia betul-betul ikhlas ketika pakatan pembangkang memerintah negeri 11 bulan yang lepas?," katanya.

Zambry turut mempersoalkan syarat pembangkang yang mahu kerajaan negeri pimpinannya membenarkan Adun pembangkang menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Negeri dan Jawatankuasa Tindakan Daerah.

"Sebelum ini ketika Barisan Nasional jadi pembangkang dengan mempunyai 28 Adun kenapa mereka tidak memasukkan kami sebagai Adun di dalam jawatankuasa berkenaan," katanya.

BERNAMA

Saya Pening - Ahli Parlimen Nibong Tebal

KUALA LUMPUR: "Kepala saya sudah pening, saya mahu makan panadol malam ini."

Demikian keluhan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Bang mengenai kemelut politik Pakatan Rakyat (PR) di Pulau Pinang ketika ini.

Sementara itu, Tan pada satu sidang ahkbar hari ini berdolak-dalik apabila ditanya tentang masa depan politiknya selepas Datuk Seri Zahrain Hashim keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pagi tadi.

"Saya tidak boleh kata bahawa saya beri sokongan kepada tindakan beliau, tapi saya sokong dia menentang Ketua Menteri, Lim Guan Eng," ujarnya.

Setakat ini hanya beliau yang berani menyuarakan sokongan kepada Ahli Parlimen Bayan Baru yang mengelarkan Lim sebagai diktaktor, cauvinis dan berfikiran komunis.

Tan juga mengelarkan Setiausaha Agung DAP itu "pemimpin yang tiada kelas" kerana meminggirkan pemimpin PKR dalam membuat keputusan.

Beliau juga mendakwa kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang enggan menyediakan peruntukan kewangan kepada wakil-wakil rakyat PKR di negeri itu.

Terdahulu Zahrain mengumumkan peletakan jawatannya dalam PKR, menjadikan beliau wakil rakyat PR di Parlimen yang pertama menjadi anggota bebas.

Peletakan jawatannya diumumkan ketika timbul khabar-khabar angin yang mengatakan beberapa wakil rakyat PKR yang lain akan meletak jawatan sebelum Tahun Baru Cina lusa.

Mengenai tindakan Zahrain itu, Tan berkata: "Saya tidak boleh memaksa beliau, saya menghormati tindakannya. Saya ucapkan selamat kepadanya.

"Itu berita yang mengejutkan bagi saya juga."

Ditanya sama ada beliau juga akan mengikut langkah keluar parti, Tan berkata beliau masih mahu berhadapan dengan pucuk pimpinan parti berhubung tindakan Lim.

"Setakat ini belum terlintas dalam fikiran saya. Saya masih dalam proses mengumpulkan lebih banyak bukti terhadap Lim dan saya harap parti akan bertindak. Jika tidak kami perlu mempertimbangkan tindakan selanjutnya," kata beliau.

"Sejak pilihan raya umum 2008, lima ADUN PKR telah keluar parti untuk menjadi penyokong Barisan Nasional (BN).

Dengan tindakan Zahrain keluar parti, jumlah kerusi PR dalam 222 anggota Parlimen sekarang tinggal 81.

Buat masa ini BN menguasai 137 kerusi dengan SAPP dari Sabah mempunyai dua kerusi manakala dua lagi termasuk Zahrain dikuasai oleh bebas.

mStar Online

Zahrain Tinggalkan PKR

PETALING JAYA 12 Feb. – Tidak mahu dilihat sebagai sebahagian daripada ‘gerombolan yang menjahanamkan negara, bangsa dan agama Islam’, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim hari ini meletak kesemua jawatan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan keluar parti itu serta-merta berkuat kuasa hari ini.

Katanya, semasa beliau dijemput oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai parti itu dulu, beliau yakin PKR berjuang untuk reformasi dan perubahan tanpa berkompromi dengan nilai-nilai bangsa serta agama.

Namun katanya, beliau kini ragu dengan matlamat dan cara perjuangan PKR dalam pakatan pembangkang kerana bekerjasama dengan DAP yang disifatkannya mengamalkan politik sempit.

Katanya, ini dapat dilihat melalui gaya kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang membelakangkan orang Melayu beragama Islam khususnya golongan penjaja di negeri itu.

Beliau yang juga bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang menambah, dasar cauvinis dan ekstremis yang dibawa DAP di negeri itu turut dibuktikan dengan tindakan Guan Eng mempolitikkan institusi Islam seperti pusat zakat baru-baru ini.

‘‘Saya tidak mahu sejarah menghukum saya kerana tidak berbuat apa-apa dalam berdepan dengan keadaan tersebut.

‘‘Saya tidak mahu generasi akan datang melihat saya sebagai sebahagian daripada gerombolan yang menjahanamkan dan merosakkan negara, bangsa dan agama saya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehudin Hashim dan Pengerusi Tetap PKR cabang Bayan Baru, Ismail Mohd. Ali.

Zahrain bagaimanapun menegaskan prinsipnya untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas tanpa menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) serta belum berjumpa dengan mana-mana pemimpin pembangkang mahupun pemimpin BN mengenai tindakannya hari ini.

Dalam pada itu, beliau menafikan bahawa tindakannya keluar daripada PKR mempunyai kaitan dengan isu ‘pembelian’ wakil rakyat pembangkang seperti di uar-uarkan Anwar sebelum ini.

‘‘16 September itu apa cerita? Saya pun kecewa dengan 16 September, tidak timbul isu beli membeli,” tegasnya.

Beliau merujuk kepada janji Anwar sebelum ini untuk merampas kerajaan berikutan dakwaan mempunyai ramai wakil rakyat BN yang akan berpaling tadah menyertai pembangkang tahun lalu.

Mengulas lanjut, kata Zahrain, tindakannya meninggalkan PKR antara lain didorong oleh gaya kepimpinan Guan Eng yang membelakangkan prinsip keadilan dan hak asasi manusia dalam penyingkirannya sebagai Pengerusi Island Golf Properties (IGP) Sdn. Bhd.

Lebih memeranjatkan, katanya, setelah penyingkiran beliau itu diketahui umum, Guan Eng mengarahkan agar butiran mesyuarat tersebut tidak direkodkan.

‘‘Inilah pemimpin yang kononnya mahu menerapkan prinsip dan amalan cekap, bertanggungjawab dan telus (CAT) dalam pentadbiran beliau,” tegasnya.

Dalam laporan portal berita propembangkang The Malaysian insider semalam, Guan Eng menyatakan Zahrain masih merupakan Pengerusi IGP.

Zahrain sebelum itu mendakwa Guan Eng telah memecatnya daripada jawatan berkenaan ekoran kritikan pedas beliau melabelkan Setiausaha Agung DAP itu sebagai sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran bahaya baru-baru ini.

Dalam pada itu Salehudin yang ditemui selepas sidang akhbar berkenaan menjelaskan kehadirannya hanyalah sebagai tanda sokongan kepada Zahrain yang merupakan kawan baiknya sambil menafikan beliau turut akan meninggalkan PKR.

Zahrain dan Salehudin dikenali sebagai teman dan penyokong kuat Anwar.


UTUSAN MALAYSIA

Pembangkang Gagal Wujud Kerajaan Alternatif

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Perasaan tidak puas hati yang diluahkan secara terbuka oleh wakil rakyat pembangkang terhadap pentadbiran negeri-negeri yang diterajui pakatan itu membuktikan ia telah gagal membentuk kerajaan alternatif.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, wakil rakyat terbabit tidak dapat lagi menyembunyikan perasaan tidak berpuas hati mereka kerana terdapat pelbagai masalah yang gagal ditangani dengan berkesan.

"Adalah jelas pentadbiran kerajaan negeri pembangkang telah gagal. Kita harap rakyat menyedari hakikat bahawa parti-parti yang menyertai pakatan ini tidak boleh bekerjasama.

"Ini adalah jelas apabila wakil rakyat pembangkang terlibat dalam 'perang terbuka' sesama sendiri dalam tempoh kira-kira lebih setahun selepas pilihan raya umum lalu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perhimpunan Bersama Petugas Kumpulan Felda di Dewan Perdana Felda di sini hari ini.

Antara wakil rakyat pembangkang yang lantang bersuara ialah Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang baru-baru ini menegaskan, DAP tidak diperlukan dalam pakatan berkenaan kerana parti itu menjadi punca utama kepada semua masalah dalaman.

Zulkifli yang juga ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, kes pusat penyembelihan babi di Kedah dan peletakan jawatan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Fairus Khairuddin sebahagian daripada contoh tindak-tanduk DAP sebagai 'duri dalam daging' bagi pakatan pembangkang.

Muhyiddin berkata, kegagalan paling ketara pakatan pembangkang ialah mereka tidak mempunyai hala tuju yang jelas bagaimana hendk mentadbir negeri-negeri yang dimenangi.

"Kita nak tanya pembangkang apa pelan mereka untuk memajukan negeri. Mereka tak pernah bentang pun, sebaliknya bercakaran sesama sendiri, jadi saya harap ini menjadi satu iktibar," katanya.

Menurut beliau, pendekatan pembangkang itu jauh berbeza dengan kerajaan BN di peringkat negeri dan Pusat yang telah mengatur hala tuju lebih jelas termasuk mewujudkan Program Transformasi Kerajaan (PTK), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan model ekonomi baru.

"Apabila bercakap tentang soal masa depan rakyat negara kita, BN tak bercanggah ataupun mempertikaikan soal kerjasama kita termasuk bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat.

"Walaupun ada sedikit masalah dalam komponen BN, ini tak menjadi halangan untuk kita bergerak ke hadapan," ujarnya.

Sementara itu, beliau menyifatkan laporan perunding risiko serantau bahawa Malaysia telah berubah haluan ke arah keadaan tidak stabil sebagai karut.

Beliau berkata, kerajaan tidak perlu memberikan reaksi terhadap laporan yang dibuat Perunding Politik dan Risiko Ekonomi (PERC) yang beribu pejabat di Hong Kong kerana pihak berkenaan tidak tahu apa-apa mengenai negara ini.

"Saya fikir pihak-pihak di PERC 'bercakap menerusi hidung dan bukannya mulut.' Mereka juga mungkin duduk di suatu tempat di pedalaman Hong Kong menyebabkan mereka tidak tahu apa-apa," katanya.

PERC dalam laporan yang dipetik oleh portal berita The Malaysian Insider semalam mendakwa sejak awal tahun ini situasi di Malaysia menjadi semakin tidak stabil dengan kumpulan elit minoriti menguasai agenda nasional sehingga menjejaskan tarikan pelabur.

Antara isu-isu yang dibangkitkan oleh PERC bagi mengesahkan dakwaan mereka ialah kehilangan dua enjin pesawat pemintas F-5E, perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penahanan suspek pengganas dari beberapa negara Afrika dan Asia Barat serta kejadian membakar gereja dan surau.

Menurut Muhyiddin, laporan berkenaan mempunyai agenda tersembunyi bagi mewujudkan ketidakstabilan di negara ini.

"Semua laporan ini memang ada motif tertentu dengan niat tidak mahu membantu.

"Bagaimanapun kita tidak minta mereka bantu. Kita bantu diri sendiri dan kita tidak perlukan komen mereka kerana saya fikir ramai lagi orang yang tahu dan dapat menilai diri kita secara sangat objektif.

"Kita juga tidak meletakkan asas kepada emosi tetapi fakta dan realiti.

"Pada hakikatnya rakyat Malaysia gembira dan tidak menghadapi sebarang bencana besar atau mengalami kegelisahan kaum di negara ini atau berperang sesama sendiri.

"Jadi, apa yang mereka cakap?" katanya.

Tambah Muhyiddin, pihak-pihak yang membuat laporan berkenaan sepatutnya datang ke Malaysia bagi menyaksikan sendiri suasana kehidupan harian rakyat negara ini.

"Kita gembira untuk membawa mereka ke sini bagi (membolehkan mereka) melihat apa itu kestabilan, apa itu keselamatan, apa itu perang dan apa itu kegelisahan," katanya.


UTUSAN MALAYSIA

Awas ! Berhati-Hati Dengan Jerat Valentine Day


Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008.

Secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari.

Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat! ( setiap 17 minit ada anak luar nikah )

Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang Islam.

Tidak dapat dinafikan bahawa statistik ini menunjukkan kejadian zina semakin berleluasa. ( sudah membarah dan jadi budaya )

Antara penyumbang ialah sambutan Valentime Day / Hari Kekasih yang disambut pada 14 Februari. ( Tahun ini bertepatan cuti Tahun baru Cina ) maka berpestalah anak anak muda kita nanti.

Hari VDay juga dilihat sebagai salah satu hari daripada hari yang digelar ‘Musim Mengawan’ kepada muda-mudi kita.

Sebagai langkah pencegahan dan kesedaran umum....
Copy poster dan sebarkan. Print, Fotocopy dan tampal di tempat2 awam...

Moga Allah Selamatkan kita dari Musibah dan Bala ini bilamana ZINA sudah berleluasa dan sukar dibendung lagi.


Sumber : Email

Pakatan Pembangkang Tidak Perlukan DAP

KUALA LUMPUR 9 Feb. – Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin menegaskan, DAP tidak diperlukan dalam pakatan kerana parti itu menjadi punca utama kepada semua masalah dalaman yang melanda pembangkang sekarang.

Katanya, kes pusat penyembelihan babi di Kedah dan peletakan jawatan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Fairus Khairuddin sebahagian contoh tindak-tanduk DAP sebagai “duri dalam daging” bagi pakatan.

“DAP tidak diperlukan, malah ‘duri dalam daging’ kepada pakatan selain menjadi punca kepada masalah-masalah yang berlaku dalam pembangkang.

“Di Kedah, DAP mengugut kerajaan apabila pusat membela babi dirobohkan pihak berkuasa, manakala Fairus Khairuddin pula ditekan sehingga berhenti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual pada program Soal Jawab disiarkan secara langsung menerusi TV3 malam tadi.

Jelas Zulkifli, pakatan pembangkang perlu berani mengambil risiko termasuk kemungkinan hilang kuasa di negeri yang mereka tadbir sekarang bagi menyingkirkan DAP demi kepentingan rakyat dan negara.

Mengulas lanjut mengenai peranan sulit DAP, beliau memberitahu, banyak aduan telah dibuat sejak pakatan pembangkang ditubuhkan termasuk tindak-tanduk parti tersebut, tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

“Bukan tak guna saluran dalaman, sudah disuarakan dalam mesyuarat dan sebagainya, tetapi tiada tindakan diambil,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meramalkan akan ada anggota parti itu yang bertindak keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) beramai-ramai dalam masa dua hingga tiga minggu ini kerana kecewa dengan pendirian pucuk pimpinan parti yang tunduk kepada DAP.

Mengulas kerjasama dengan UMNO, Zulkifli berkata, Pas dan PKR seharusnya mengambil peluang mengadakan perbincangan Islamiah dengan UMNO dan membuang perasaan buruk sangka atau prejudis.

“Siapa yang memartabatkan perjuangan Islam adalah sahabat kita, tidak kiralah PKR, Pas atau UMNO,” tegasnya.


UTUSAN MALAYSIA

Hilang Kepercayaan: 100 Ahli PKR Sertai UMNO

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Gara-gara tidak lagi percayakan kepimpinan yang mementingkan agenda peribadi berbanding nasib rakyat, 100 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diketuai Bendahari PKR Wilayah Persekutuan, Norasidi Salim nekad keluar parti dan menyertai UMNO.

Mereka yang merupakan ahli PKR Cabang Bandar Tun Razak turut mendakwa hilang kepercayaan kepada Ahli Parlimen kawasan tersebut, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dianggap terlalu elit sehingga melupakan tugas selaku wakil rakyat.

Kumpulan itu menyerahkan borang keahlian kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan di pejabat badan itu di sini malam ini. Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan badan itu.

Perkembangan tersebut merupakan tamparan hebat kepada parti itu apatah lagi pada saat-saat kes liwat Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang dibicarakan di mahkamah.

Sementara itu, menurut Norasidi, keputusan itu dibuat dengan rela hati tanpa sebarang desakan.

"Kami yakin UMNO dapat mengembalikan kepercayaan rakyat dan mentadbir negara dengan baik demi kesejahteraan rakyat,'' katanya kepada pemberita di sini malam ini.


UTUSAN MALAYSIA

Zambry Kekal Sebagai Menteri Besar Perak Yang Sah

PUTRAJAYA 9 Feb. – Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Putrajaya hari ini memutuskan bahawa Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak yang sah.


UTUSAN MALAYSIA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers