Photobucket

PRK: BN Menang Besar

- Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau (N27) dan DUN Kerdau (N28) dalam pilihan raya kecil di kedua-dua kawasan itu semalam dengan meraih majoriti undi yang lebih besar.

- Di Merlimau, calon BN Roslan Ahmad, 44, memperoleh majoriti 3,643 undi menewaskan calon Pas, Yuhaizad Abdullah, 38. Di Kerdau pula, Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, mendapat majoriti 2,724 undi mengalahkan calon Pas, Hassanuddin Salim, 43.

- Kejayaan itu meneruskan momentum sokongan rakyat kepada BN selepas pilihan raya kecil Batang Ai (April 2009), Bagan Pinang (Oktober 2009), Parlimen Hulu Selangor (April 2010), Galas (November 2010), Parlimen Batu Sapi (November 2010) dan Tenang (Januari 2011).

- Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan rasa syukur atas kemenangan BN di kedua-dua kawasan pilihan raya itu.

Sokongan Terhadap Pas Terhakis – TPM

JASIN 6 Mac – Kemenangan dua calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Kerdau membuktikan sokongan rakyat terhadap Pas semakin terhakis.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemenangan itu memberi isyarat bahawa seluruh masyarakat berbilang kaum telah dapat menerima perubahan dari segi dasar-dasar transformasi ekonomi dan sosial yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sambil mengucapkan rasa syukur atas kejayaan tersebut, kata beliau, kemenangan yang diraih itu juga memberi mesej paling penting mengenai penolakan oleh penduduk di kedua-dua DUN tersebut terhadap perjuangan Pas yang tidak lagi relevan.

“Saya ingin ucapkan tahniah kepada kedua-dua calon BN yang bukan sahaja menang tetapi meraih majoriti yang cukup besar dan amat membanggakan. Ini adalah satu keputusan yang cukup baik dan meningkat di kedua-dua DUN tersebut berbanding daripada apa yang dicatat pada Pilihan Raya Umum 2008.

“Saya mewakili pucuk pimpinan parti juga ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat di Merlimau dan Kerdau kerana memberi mandat kepada calon BN untuk menjadi wakil rakyat mereka.

“Ucapan tahniah juga saya berikan buat Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob kerana mengemudi jentera BN dengan cemerlang termasuk jentera BN serta parti komponen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Kecil DUN Merlimau di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Politeknik Merlimau di sini malam ini.

Muhyiddin menambah, kemenangan yang diraih di Kerdau dan Merlimau dengan BN menyapu bersih di semua peti undi memberi petanda baik bagi BN menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang diadakan pada bila-bila masa.

“Kemenangan di Merlimau dan Kerdau meneruskan momentum kejayaan di Galas, Batu Sapi dan Tenang, tetapi ia tidak menggambarkan senario politik menjelang pilihan raya umum nanti,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, BN perlu berusaha lebih gigih untuk memastikan seluruh rakyat di negara ini akan terus memberikan sokongan terhadap BN.

UTUSAN MALAYSIA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers