Photobucket

Bekas pemimpin minta ROS siasat PKR

IPOH 4 Jun - Bekas Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Ipoh Barat, Fauzi Muda hari ini mendakwa parti itu melakukan penipuan dalam penyediaan laporan tahunannya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Pendaftar Pertubuhan (ROS) menyiasat dakwaan tersebut.

"Saya membuat aduan kepada ROS ini agar dapat menjalankan siasatan bahawa selama ini PKR adalah sebuah parti yang menipu.

"Rakyat harus sedar, PKR sudah tenat dan mereka tidak harus tertipu dengan menyokong parti didokong oleh pemimpin berkepentingan diri sendiri," katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menyerahkan memorandum meminta ROS menyiasat dakwaan penipuan laporan tahunan PKR.

Dakwa Fauzi, kebanyakan cabang PKR Perak yang menjalankan mesyuarat agung tahun lalu tidak sah kerana tidak cukup kuorum.

"Ada cabang-cabang yang tidak menjalankan mesyuarat tetapi menghantar laporan palsu kepada ROS kononnya mereka sudah mengadakan mesyuarat," dakwa beliau.

Laporan yang diberikan oleh cabang-cabang berkenaan, kata Fauzi, adalah palsu dan hanya direka-reka bagi memenuhi kehendak ROS untuk mengelak kedudukan mereka dibatalkan.

Beliau mendakwa, Kongres Nasional Tahunan PKR yang berlangsung pada 28 hingga 30 Mei lalu di Kelantan juga terbatal kerana perwakilan yang hadir adalah tidak sah.

"Saya mendesak ROS supaya menggantung parti itu daripada beroperasi sehingga siasatan menyeluruh dijalankan," katanya.

Fauzi, 51, meletakkan semua jawatan dan mengisytiharkan keluar parti berkuatkuasa serta-merta kerana mendakwa hilang kepercayaan terhadap parti itu pada 15 Mei lalu.

Serentak itu, beliau mengumumkan PKR Ipoh Barat dibubarkan kerana lebih daripada dua pertiga Ahli Jawatankuasanya (AJK) termasuk sayap Wanita mengambil tindakan serupa.

Fauzi sebelum ini pernah membuat dakwaan bahawa beliau ditawarkan RM50 juta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menarik mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini melompat parti.

Kenyataan itu dibuat ekoran tindakan ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi dan ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu meletak jawatan dan keluar daripada PKR.

Fauzi kemudiannya didakwa oleh penyokong pembangkang sebagai individu bertanggungjawab memujuk Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri meninggalkan PKR pada Mac lalu.

UTUSAN MALAYSIA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers