AlhamduliLLAHi ‘alaa kulli haal,
Segala puja-puji kepada Al-Khaliq, Yang Maha Menciptakan ke atas segala-galanya,
Selawat dan salam isyarat kecintaan kepada HabibuLLAH Ar-Rasul SAW, ahli keluarga serta para sahabat baginda.
“Al-Iman Yazid Wa Yankus”,
Kita biasa dengar penyataan yang satu ini. Maksudnya, iman itu hakikatnya mempunyai turun naiknya. Sihat dan bertumbuhnya iman itu adalah atas hasil ikhtiar empunya hati yang memiliki iman itu sendiri. Begitu juga apabila bercerita tentang jatuh merudumnya iman, ianya adalah natijah daripada pekerjaan manusia yang ‘asi, atas ikhtiar yang empunya hati itu sendiri.
Susahnya menjaga iman ini.
Susahnya menjaga iman kerana di zaman ini ada banyak macam benda yang mempu mencuri iman itu daripada hati manusia. Tidak perlu melihat ke dalam sudut yang lebih dalam ataupun di perspektif yang lebih jauh, cukuplah dengan memandang keadaan di sekeliling kita – itu sudah cukup untuk menjadi asbab agar iman kita itu dibawa lari.
Aurat yang tidak tertutup sepenuhnya mampu merampas iman dari dalam jiwa hati manusia. Hiburan tanpa mengenal batasan mampu juga merompak iman manusia. Memenuhi tuntutan hawa nafsu makan secara berlebihan juga mampu merombak iman manusia. Di zaman ini, seolah-olah selautan perkara, sebanyak macam benda boleh menjadi asbab kepada berkecainya iman di dalam hati manusia.
Bahayanya bahana iman yang tidak terjaga itu.
Bahayanya sekiranya tuan empunya hati yang menyimpan iman itu tidak menangisi realiti keteguhan iman yang semakin goyah, tercabar semakin hari. Tidak menjaga lidah dalam berbicara, tidak menutup telinga seraya seruan-seruan fahsya’ dan munkar memasuki ruang pendengaran, tidak mahu menoleh ke arah zon yang menyelamatkan iman apabila mata mula meliar mencari dosa-dosa, tidak mahu menarik tangan apabila tangan-tangannya itu ditawarkan dengan emas permata tipuan dunia, tidak mahu mengangkat kaki untuk berhijrah ke arah yang menghidupkan, masih mahu duduk di takuk dosanya yang lama.
Alangkah gelapnya terasa di dalam dunia orang yang tidak mahu menjaga iman itu.
Mahu sahaja datangnya cahaya iman ke dalam hatinya, dia hambat dan dia tutup tingkap hatinya daripada menerima sinaran iman itu. Dia tolak kehadiran cahaya itu. Dia seolah-olah lebih suka di dalam gelap gelita dunia kesesatannya sendiri!
Alangkah sedih melihat iman yang tidak dijaga,
Sedihnya melihat iman yang tidak dijaga, kerana tidak mengetahui ataupun telah menutup mata sendiri tentang hakikat iman yang tidak dapat dijual-beli serta diwarisi. Menangis dan merana jiwa yang hampa apabila melihat sewenang-wenangnya manusia yang pada mulanya beriman di dalam hatinya telah dihanyutkan oleh badai perosak iman.
Hari ini iman sudah mudah-mudah dijual-beli, sudah mudah-mudah digadai. Sedangkan nilai pajakannya itu apabila dibandingkan dengan harga iman, maka harga iman kurniaan Tuhan tiada ditandingi. Iman sudah boleh dijual dengan tawaran gaji yang tinggi, iman sudah boleh ditukar dengan pujukan suami ataupun isteri, iman sudah boleh dilelong dengan pangkat dan jawatan tertinggi, iman sudah boleh dilepaskan dari tambatan hati dengan menunaikan nafsu syahwat yang tidak dipagari.
Hari ini iman menjadi saksi,
Bahawa tanpa dirinya di dalam hati orang-orang yang memiliki hati, nyawa dengan mudah diragut sana-sini. Kekayaan duniawi menjadi sasaran utama sehingga manusia lupa akan tujuan ukhrawi. Pasangan yang belum bernikah sudah boleh jadi persis laki-bini. Amanah pangkat dan jawatan sudah tidak lagi dilihat sebagai ujian daripada Ilahi. Rasuah dan gelap duit semata-mata mahu kaya tanpa mengira keberkatan di dalam rezeki.
Hakikatnya, itulah dia natijahnya, banyak kemusnahan yang terjadi apabila iman yang mahal itu sudah ditolak ke tepi. Iman sudah jadi picisan bagi manusia yang tidak mengenang budi Tuhan hari ini!
Kasihanilah iman,
Kasihanilah ia bukan kerana lemahnya ia, tetapi kasihanilah ia kerana semakin nazak dan mungkin sudah matinya ia di dalam hati diri manusia. Iman tidak dapat dilihat, tetapi manusia yang mempunyai mata hati pasti sedar akan sakitnya iman di hujung zaman ini. Menangis ia. Meraung ia. Meronta-ronta ia. Meminta-minta ia untuk dilepaskan diri daripada dibelenggu nafsu manusia. Dibelenggu kemaksiatan manusia. Ia sudah tidak tahan dengan dosa-dosa kita! Ia mahu dibebaskan daripada penjara ‘melebihkan cinta dunia’!
Maka wahai kaum yang memiliki hati,
"Indeed, it is with the remembrance of ALLAH that the hearts enter into a state of tranquility"
Usahakanlah dirimu untuk menjaga iman di dalam hati itu. Bajai hati yang beriman itu. Kuatkan dirimu untuk bersolat agar subur kembali ia. Sedekahkanlah zikruLLAH untuknya. Berwudhu’lah untuk mensucikan dirinya. Tadabburlah Al-Qur’an serta alam untuk menerangi ia kembali.
Usahalah kamu ke atas kehidupan iman kamu! Jangan biarkan dia menangis, kerana yang ditakuti dalam ia menangis, ia semakin sakit, sangat boleh jadi kemudian iman itu mati!
Oleh itu, pujuklah hati ini. Pujuklah hati untuk menangis memikirkan hakikat iman di akhir zaman ini!
Menangislah! Menangislah wahai manusia akhir zaman! Menangislah ke atas iman yang kian mati itu!
Siapa Tun Omar Ong MCA?
-
“Mentega! Mentega! Mentega!” penulis tersenyum mengenangkan cerita oleh Tun
Omar Ong Yoke Lin (Allahyarham) mengenai sekumpulan rakyat Malaysia yang
be...
13 hours ago
0 comments:
Post a Comment