Calon Pas di Penanti?
UTUSAN MALAYSIA - 30 APRIL 2009
BUTTERWORTH 29 April - Pemuda Pas Pulau Pinang tetap bertegas mahu meletakkan calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada 31 Mei ini.
Ketuanya, Mohd. Hafiz Mohd. Nordin berkata, pihaknya sudah mempunyai calon yang sesuai dan akan mengadakan pertemuan dengan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membincangkan perkara itu dalam masa terdekat.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira sentimen ahli akar umbi yang mahu Pas bertanding semula di kawasan tersebut selepas kali terakhir merebut kerusi itu pada pilihan raya umum 1995.
''Kita buat keputusan berpandukan kehendak akar umbi dan selepas menimbang beberapa perkara, kita buat keputusan bertanding dan sudah pilih calon yang kita fikirkan layak.
''Insya-Allah, satu pertemuan dengan Presiden akan diatur dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam mengumumkan Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR negeri, Dr. Mansor Othman sebagai calon parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut.
Pemilihan Mansor, 56, diumumkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis di Yayasan Aman, dekat sini.
Diminta mengulas mengenai pengumuman itu, Mohd. Hafiz berkata, pemilihan Mansor adalah keputusan pemimpin PKR, bukannya ketetapan secara kolektif dalam pakatan pembangkang.
Katanya, pakatan pembangkang sepatutnya bergerak hasil muafakat dan perbincangan secara bersama oleh semua parti di dalamnya, bukan ditentukan oleh satu atau dua individu sahaja.
''Kalau tiada (perbincangan), ia bukan dinamakan satu pakatan. Sebab itu dalam apa juga keputusan, biarlah ia dibuat secara bersama atas semangat setiakawan," tambahnya.
Menjawab pertanyaan sama ada tindakan Pas meletakkan calonnya dalam pilihan raya itu akan mendapat tentangan daripada PKR, Mohd. Hafiz berkata:
"Kita akan letak calon kita atas semangat demokrasi yang diamalkan dalam negara ini."
Kerusi DUN Penanti kosong selepas penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin daripada PKR meletakkan jawatan pada 16 April lalu atas alasan mahu melanjutkan pelajaran.