Photobucket

Tidak Tuju Pada Individu Tertentu - Nasrudin

KUALA LUMPUR 28 Nov.- Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan menjelaskan, suara luar yang menyebabkan Pas dalam keadaan 'bergegar sepanjang' masa itu tidak ditujukan kepada orang tertentu.

Sebaliknya, kata beliau, ia adalah kenyataan secara umum kepada sesiapa yang berada di luar parti.

Menurutnya, beliau tidak boleh menyekat sesiapa untuk bercakap mengenai Pas tetapi orang di luar parti itu tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku di dalam Pas.

''Sehubungan itu, ahli-ahli dan pemimpin Pas boleh mendengar suara luar, tetapi jangan menjadikannya sebagai asas untuk bertindak secara gopoh sebaliknya lihat, kaji dan teliti terlebih dahulu.

"Saya hanya memberi kenyataan kepada ahli-ahli Pas supaya tidak mudah terpengaruh dengan suara-suara luar ," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau menegaskan demikian berhubung kenyataannya dalam laman blog http://episodeperjuangan.blogspot.com yang antara lain menyebut suara luar menjadikan perjalanan Pas tidak seimbang dan 'bergegar sepanjang masa.'

Menurut Nasrudin, Pas mempunyai mekanisme untuk menangani pelbagai masalah terutama melibatkan isu dalaman.

Tambah beliau, pihaknya akan menerima perkara-perkara yang baik untuk diguna pakai dalam parti dan sebaliknya berhati-hati dalam perkara yang berunsur negatif.

Menyentuh tindakan sesetengah ahli Pas yang sanggup mendedahkan kandungan minit mesyuarat tanpa rasa bersalah dan berpolitik sesama sendiri Nasrudin berkata:

''Dalam blog itu saya nyatakan perkukuhkan parti dengan maksud supaya ahli-ahli Pas berdisiplin, berakhlak, beretika dan tidak membuka rahsia demi memperkukuhkan parti.''

Menurutnya, sebelum ini Lembaga Disiplin Pas telah menangani beberapa masalah dalaman yang melibatkan disiplin dan etika ahli-ahlinya.

Mengenai gesaan supaya Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menamakan penggantinya bagi mengelak kekalutan apabila tiba masa untuk melepaskan jawatan, Nasrudin berkata, semua pihak perlu memberi keselesaan dan ruang kepada 'Tok Guru' dalam membuat keputusan.

"Nik Abdul Aziz telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik dan tiada apa yang boleh membuatkan beliau digesa meletakkan jawatan.

"Cadangan supaya beliau meletakkan jawatan dan menentukan bakal Menteri Besar baru selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 hanya pandangan-pandangan individu," katanya.


UTUSAN MALAYSIA

Turun Padang Selesai Masalah Rakyat - Hishammuddin

KUALA TERENGGANU 28 Nov. - Semua pemimpin UMNO digesa turun padang untuk menyelesaikan masalah dihadapi rakyat bagi memastikan parti itu kembali kukuh dan diterima oleh golongan akar umbi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, dengan berbuat demikian segala masalah rakyat dapat didengar dan diselesaikan sebaik mungkin.

''Kalau kita tak dengar suara dari bawah (rakyat), sebuah parti yang kuat sekalipun tidak berguna kerana tidak mendapat sokongan rakyat.

''Sebab itu saya mahu tekankan seseorang pemimpin UMNO dari pelbagai peringkat kena turun menemui rakyat dan mendengar rintihan dan suara mereka tanpa mengira waktu," katanya selepas menghadiri Majlis Korban Peringkat Parlimen Kuala Nerus di Masjid Tok Jembal di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri.

Mengenai UMNO Terengganu pula, Hishammuddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, berdasarkan perkembangan terkini UMNO negeri itu sudah kembali teguh.

Menurutnya, segala pergeseran yang dikatakan berlaku sebelum ini ternyata tidak berasas semasa sekali.

Katanya, usaha yang dilakukan selama ini untuk merapatkan kepimpinan UMNO Terengganu kini sudah menunjukkan kesan dengan kesemua pemimpin menunjukkan sikap positif ke arah penyatuan dan perpaduan sesama sendiri.

''Berikutan itu, saya kini menumpukan usaha mendekati kepimpinan di peringkat bahagian dan akar umbi kerana dengan berbuat demikian suara dan rintihan rakyat dapat didengar,'' ujarnya.

Beliau menambah, pendekatan yang dilakukan itu bagi memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di negeri itu terus menjadi pilihan rakyat.

''Rahsia penyatuan ini adalah melalui keikhlasan dan kejujuran serta meletakkan agenda yang lebih besar melebihi kepentingan peribadi dalam apa jua tindakan yang dilakukan,'' jelasnya.

Menurutnya, konsep 'beri dan ambil' yang diterapkan di kalangan pemimpin membuahkan kesepakatan dalam menetapkan hala tuju politik negeri.

''Keadaan politik di Terengganu tidak seteruk yang disangka sehingga dilabel sebagai kemelut yang tiada akhirnya," katanya.


UTUSAN MALAYSIA

'KOLONEL MAT' Hanya Khayalan

KOTA BHARU 28 Nov. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hanya berkhayal dan mereka cerita bahawa wujud konspirasi yang dirancang oleh 'Kolonel Mat' untuk menjatuhkannya dan kerajaan Pas Kelantan.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, ia disebabkan Mursyidul Am Pas itu mahu menutup pergolakan yang berlaku dalam Pas Kelantan termasuk isu tajaan haji dan menantunya dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang disebabkan kelemahan dirinya sendiri.

"Saya melihat dakwaan Nik Abdul Aziz bahawa wujud 'Kolonel Mat' untuk menjatuhkannya sebagai khayalan dan rekaan yang dibuat disebabkan pergolakan dalaman sejak akhir-akhir ini yang semakin menonjol.

"Disebabkan terlalu lama berkuasa emosinya bercelaru dan mengeluarkan kenyataan politik seperti menegur Presiden Pas dan mendesak supaya Timbalan Presiden serta Setiausaha Agung dipecat sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Nik Abdul Aziz bahawa wujud konspirasi untuk menjatuhkannya daripada jawatan Menteri Besar dan dalam Pas yang sudah lama dilakukan oleh pihak tertentu.

Beliau menyebut 'Kolonel Mat' adalah dalang di sebalik konspirasi tersebut, bagaimanapun enggan mendedahkan individu berkenaan.

Ibrahim berkata, pelbagai isu yang melanda Nik Abdul Aziz pada masa kini adalah disebabkan kegagalannya untuk melaksanakan tugas dengan baik dan mula menuding jari kepada orang lain.

"Yang menjadi mangsa adalah pemimpin UMNO sedangkan masalah itu adalah dari dalam parti Pas sendiri.

"Dia mula mengeluarkan kenyataan yang karut akhir-akhir ini. Boleh pula suruh orang ramai berdoa musnahkan seseorang atau kumpulan yang bertentangan dengannya.

"Dalam Islam mana boleh seorang pemimpin yang bergelar ulama berdoa untuk hancurkan orang lain, doa hanyalah untuk kebaikan," katanya.

Jelasnya, langkah Nik Abdul Aziz memuji anak didiknya, Datuk Husam Musa bahawa Allah menciptakannya bukan untuk rakyat Kelantan sahaja tetapi bagi Malaysia turut menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan Exco kerajaan negeri yang lain.

"Saya percaya Exco yang lain berasa kecil hati dengan tindakan Nik Abdul Aziz memuji 'anak emasnya' itu dan ia menyebabkan ada di antara Exco yang mendesaknya supaya menamakan bakal penggantinya.

"Sebenarnya mereka memberikan tekanan kepada Tok Guru dan menyebabkan Husam terpaksa secara terbuka menolak sekiranya dicalonkan sebagai bakal menteri besar," katanya.


UTUSAN MALAYSIA

EGM MCA Batal Digantikan Sesi Taklimat Khas


Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA yang dicadangkan oleh sekumpulan pemimpin parti itu untuk diadakan Sabtu ini telah dibatalkan dan akan digantikan dengan sesi taklimat khas bersama perwakilan.

Naib Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan dan nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Liow memberitahu sidang akhbar di ibu pejabat MCA di Kuala Lumpur Khamis bahawa pembatalan EGM itu juga dibuat selepas beliau mencapai persetujuan dengan Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat dan Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek untuk mengadakan pemilihan baru parti.

"Hasil usaha gigih Pengerusi BN (Najib) dan Timbalan Pengerusi BN (Muhyiddin), kumpulan yang mahu EGM ini diadakan telah mencapai kata sepakat melibatkan tiga pihak, supaya satu pemilihan baru bagi Jawatankuasa Pusat MCA diadakan.

"Kami juga yakin Mesyuarat Agung Tahunan pada 5 Dis ini akan ditangguhkan ke satu tarikh sempena pemilihan parti yang dicadangkan itu," katanya pada sidang akhbar itu yang turut dihadiri Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong, Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun dan anggota-anggota Jawatankuasa Pusat, Wong Nai Chee, Datuk Wee Jeck Seng dan Datuk Liew Yuen Keong.

Liow berkata sesi taklimat khas itu akan digunakan untuk menerangkan kepada perwakilan berkenaan situasi semasa, masalah yang dihadapi oleh parti serta pentingnya pemilihan baru parti diadakan dan bagaimana ia boleh dilaksanakan.

"Seramai 1,300 perwakilan telah mendaftar untuk menghadiri EGM tersebut (yang kini diganti sesi taklimat). Kita akan gunakan masa itu untuk mengadakan taklimat kepada perwakilan dan ahli parti agar mereka memahami masalah yang dihadapi oleh parti dan betapa pentingnya pemilihan semula parti dan bagaimana pemilihan semula itu boleh diadakan.

"Oleh itu taklimat ini adalah penting untuk membolehkan ahli-ahli parti lebih memahami perkembangan semasa dalam parti,"katanya.

Mengenai tarikh pemilihan baru parti, Liow berkata pelan mengenainya telah pun digariskan dan diluluskan.

"Tarikh pemilihan akan diumumkan kelak. Road map (pelan) untuk pemilihan parti telah digariskan dan telah mendapat persetujuan. Yang penting road map sudah siap dan kita sudah tahu bila kita boleh mengadakan pemilihan," katanya.

Beliau berkata pemilihan itu perlu dilakukan segera demi kesinambungan politik MCA serta menjaga prestasi BN ketika ini.

Liow berkata tarikh paling sesuai untuk mengadakan pemilihan itu ialah Januari depan kerana sekiranya lewat masyarakat akan mula mempersoalkan kredibiliti MCA.

"Pemilihan perlu diadakan secepat mungkin. Pada awalnya kita cadang pada Disember ini tetapi setelah dibincangkan perkara itu dilewatkan sedikit. Jadi kita rasa Januari adalah masa paling sesuai.

"Paling lewat Januari. Itu kita boleh terima tetapi jika dibuat pada Mac atau Jun kita bimbang rakyat akan bosan dengan parti,"katanya.


AGENDA DAILY-25/11/2009

Salam Eidul Adha...

Krisis MCA : Akhirnya...Najib Campurtangan

Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui bahawa krisis yang semakin meruncing dalam MCA tidak mencerminkan langsung formula perpaduan yang dicanangkan oleh pimpinan parti itu.

"Sebenarnya kalau kita nak cari satu formula perpaduan, maka tindakan kita juga mesti mencerminkan hasrat tersebut. Nampaknya setakat ini, apa yang berlaku dalam MCA tidak memberi keyakinan lagi kepada mereka yang di luar MCA termasuk rakan-rakan komponen," katanya pada para wartawan selepas satu majlis di Kuala Lumpur Khamis.

Ini ekoran tindakan terbaru Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat Rabu menggantikan sembilan ahli majlis presiden dengan mengugurkan Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun yang menyokong Liow.

Kata Najib beliau melihat krisis MCA sekarang telah menjadi lebih serius dan buruk lagi dan kegagalan kepimpinan MCA untuk mencapai penyelesaian setakat ini boleh menyebabkan parti parti itu tidak mendapat kepercayaan dan keyakinan masyarakat Cina dan kaum-kaum lain pada keseluruhannya.

Perdana Menteri berkata banyak pihak yang merasa kecewa dengan apa yang sedang berlaku dalam MCA sekarang.

Serentak dengan itu Perdana Menteri nampaknya sudah set untuk campurtangan bagi membantu menyelesaikan segera krisis dalam parti komponen kedua terbesar dalam Barisan Nasional itu.

"Saya akan cari dan luangkan masa untuk berbincang dengan mereka dan lihat jika dapat mencari titik persamaan, kita akan mulakan dari situ," katanya.

Menurutnya kemungkinan beliau akan bertemu dengan pemimpin kumpulan-kumpulan berkenaan secara berasingan dan akan cuba berjumpa dengan mereka sebelum 28 November.

Perdana Menteri juga berkata krisis MCA sekarang boleh memberi kesan kepada BN terutama dalam usaha memulihkan imej BN di mata rakyat.

"Ya, ini akan menjejaskan usaha kita untuk memulihkan kedudukan BN di mata rakyat. Rakyat kini melihat UMNO sebagai amat stabil dan telah melalui proses transformasi dan memaparkan imej baru kepada rakyat.

"Dan kita berharap parti-parti lain akan dapat bersatu dan mencerminkan hasrat untuk memaparkan imej baru bagi BN," katanya.


AGENDA DAILY-19/11/2009

SPRM Tiada Hak Soal Siasat Saksi Selepas Waktu Pejabat



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini tidak boleh lagi menyoal siasat saksi hingga ke malam berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur Khamis bahawa soal siasat hanya boleh dilakukan pada waktu pejabat iaitu dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohd Ariff Md Yusof memutuskan bahawa Seksyen 30(3)(a) Akta SPRM 2009 tidak memberi kuasa kepada suruhanjaya itu untuk menjalankan penyiasatan terhadap seseorang saksi sepanjang hari dan malam.

"Frasa 'hari ke hari' dalam seksyen berkenaan bukan bermaksud 24 jam, tetapi waktu bekerja biasa," kata Mohd Ariff dalam keputusan bersejarah itu yang disampaikan pada pukul 2.50 petang.

Bernama melaporkan ketika membenarkan semakan semula kehakiman yang dipohon oleh anggota Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah, Mohd Ariff berkata: "Oleh itu saya bersetuju bahawa dalam kes ini, pemohon telah ditahan secara tidak sah oleh SPRM."

Tan, 39, menyaman ketua pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, penolong penguasa SPRM Mohammad Hassan Zulkifli dan SPRM kerana mendakwa penahanan dan soal siasat yang dilakukan terhadapnya selama 16 jam sehari oleh SPRM, menyalahi undangundang dan menyebabkan beliau mengalami kerugian serta kesan buruk.

Dalam permohonan mendapatkan semakan semula kehakiman yang difailnya pada 22 Julai, Tan meminta mahkamah mengisytiharkan bahawa defendan, yang menjalankan penyiasatan mengikut Seksyen 30(3)(a) Akta SPRM 2009, hanya boleh merekodkan kenyataannya sebagai saksi pada waktu pejabat iaitu dari pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

Tan adalah antara beberapa orang yang dipanggil SPRM untuk memberi kenyataan dalam penyiasatan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam peruntukan kerajaan Selangor.

Mahkamah itu juga memutuskan bahawa Tan perlu dibayar ganti rugi kerana beliau ditahan secara tidak sah oleh SPRM dari pukul 9.45 malam pada 15 Julai, 2009 hingga 2.53 pagi keesokan harinya dan memerintahkan defendan membayar kos kepada anggota majlis perbandaran itu.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohd Ariff berkata frasa "hari ke hari" dalam seksyen berkenaan adalah samar kerana ia tidak dijelaskan dengan sewajarnya dalam akta itu.

Kata beliau tafsiran yang sewajarnya perlu dibuat terhadap frasa itu bagi mengelak kekaburan kerana ia memberi kesan terhadap kebebasan asasi seseorang yang dijamin oleh Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

"Frasa "hari ke hari" bukan bererti dari siang ke malam. Seksyen 30 tidak boleh ditafsir begitu, kerana jika ini dilakukan, ia bertentangan dengan tujuan penggubal undangundang dan akan mengekang kebebasan peribadi seseorang," kata hakim itu.

Beliau berkata sebarang peruntukan berkanun yang menjejaskan kebebasan asasi perlu dibaca dengan sewajarnya dan diberi ruang yang seluas-luasnya.

Mohamad Ariff berkata beliau akan memberi penghakiman bertulis minggu depan.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Tan berkata beliau berasa lega dan gembira dengan keputusan mahkamah itu.

Sementara itu, Karpal Singh, peguam bela utama yang mewakili Tan berkata keputusan itu bukan saja terpakai bagi SPRM, tetapi juga bagi penyiasatan yang dilakukan oleh polis.

Beliau menggesa mereka yang pernah disoal siasat oleh SPRM selepas waktu pejabat supaya menyaman suruhanjaya itu.

Ditanya sama ada defendan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu, Peguam Kanan Persekutuan Noorin Badaruddin berkata beliau menunggu arahan tentang langkah seterusnya yang perlu diambil.


AGENDA DAILY-19/11/2009

Facebook PM tarik perhatian 6,287 pengguna

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Laman Facebook rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila 6,287 pengguna telah mendaftarkan diri sebagai peminat sehingga pukul 6 petang hari ini.

Jumlah itu merupakan satu lonjakan yang amat besar berbanding 804 peminat yang dicatatkan kira-kira pukul 10 malam tadi.

Lonjakan tersebut berlaku selepas para pengguna aplikasi rangkaian sosial itu mengetahui kewujudan laman Facebook rasmi Perdana Menteri apabila ia dilaporkan media massa termasuk Utusan Malaysia yang menjadikannya sebagai berita muka depan.

Tinjauan di laman www.facebook.com/najibrazak mendapati pengguna yang mendaftarkan diri mereka terdiri daripada rakyat pelbagai bangsa sekali gus membuktikan populariti gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri.

Ungkapan 1Malaysia juga menjadi mesej paling popular ditulis oleh para peminat Najib di 'dinding' (wall) laman Facebook berkenaan.

Kekerapan mesej ditulis juga terlalu pantas dan ada kalanya beberapa mesej ditulis serentak dalam masa seminit.

Pelbagai perkara turut diadu secara terus kepada Perdana Menteri antaranya mengenai pembangunan di Langkawi, masalah elektrik selalu terputus di Sandakan, kebajikan orang kurang upaya (OKU), kegelisahan mengenai kebanjiran 'awang hitam' dan cadangan penubuhan sebuah kementerian khusus untuk memajukan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).


UTUSAN MALAYSIA

Krisis MCA Semakin Kusut

- Krisis dalaman MCA semakin kusut apabila mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) parti itu semalam mengumumkan keputusan drastik termasuk menolak mesyuarat agung luar biasa (EGM) 28 November ini.


- Mesyuarat juga melucutkan keanggotaan Ketua Pemuda, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun serta tujuh lagi dalam Lembaga Presiden.


- Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang tetap mahu ahli-ahli MCA menghadiri EGM tersebut menyifatkan keputusan CC sebagai operasi pancung sejak mesyuarat 3 November lalu.


- Ka Siong berkata, muslihat di sebalik pelan perpaduan itu kini jelas iaitu Presiden mahu membina kumpulan yang mematuhi arahannya.


KUALA LUMPUR 18 Nov. – Kemelut kepimpinan MCA semakin parah apabila Mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) parti itu hari ini memutuskan menolak mesyuarat agung luar biasa (EGM) kedua yang dirancang oleh ‘kumpulan 16’ pada 28 November ini.

Dalam perkembangan yang sama, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat turut mengumumkan pelucutan keanggotaan sembilan ahli Majlis Presiden MCA yang kesemuanya terlibat dalam merancang untuk mengadakan EGM tersebut.

Ketua Pemuda, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun turut terlibat dalam pengguguran itu.

Pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu, Tee Keat berkata, 23 ahli CC telah memutuskan terdapat kecacatan pada resolusi EGM kedua tersebut.

“Dalam perbincangan hari ini, kami mendapati resolusi yang dicadangkan oleh kumpulan 16 ahli CC yang bertegas mengadakan mesyuarat itu, tidak bertepatan dengan perlembagaan parti,” katanya.

Turut hadir Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Naib Presiden, Datuk Seri Kong Cho Ha; Setiausaha Agung, Datuk Wong Foon Meng dan lima ahli CC, Senator Heng Seai Kie, Gan Ping Sieu, Datuk Seri Tan Chai Ho, Datuk Lee Chee Leong serta Datuk Ti Lian Ker.

Tee Keat berkata, rancangan mengadakan EGM kedua itu telah didebatkan pada mesyuarat CC tersebut yang turut dihadiri oleh Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

“Sebanyak 23 ahli CC menolak dan membantah untuk mengadakan EGM kedua kerana mendapati kecacatan resolusinya dan ia juga melanggar perlembagaan parti. Bagaimanapun 10 ahli CC menyokong dan dua ahli mengambil pendirian berkecuali,” katanya.

Sehubungan itu katanya, EGM kedua tersebut tidak seharusnya diadakan kerana mesyuarat CC telah menolak rancangan berkenaan.

Tambah Tee Keat, mesyuarat hari ini turut mempertikaikan notis yang diedarkan kepada para perwakilan di seluruh negara kerana menggunakan kepala surat MCA tanpa restu parti sekali gus melanggar perlembagaan parti.

Pada sidang akhbar itu Tee Keat turut mengumumkan telah menggunakan kuasanya sebagai Presiden mengikut Artikel 46 perlembagaan parti untuk melucutkan sembilan ahli CC daripada Majlis Presiden.

Tujuh anggota CC yang turut digugurkan ialah Lee Wei Kiat, Dr. Hou Kok Chung, Datuk Wee Jeck Seng, Gan Hong Su, Yoo Wei How, Wong Nai Chee dan Datuk Chor Chee Heung.



UTUSAN MALAYSIA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers