Photobucket

KITA KE FINAL


Skuad negara melayakkan diri ke perlawanan akhir acara bola sepak lelaki Sukan SEA XXV, Laos dengan bergaya selepas menewaskan tuan rumah, Laos 3-1 pada separuh akhir semalam.

Kejayaan penuh dramatik di depan 20,000 penyokong lawan itu membolehkan Malaysia menempah pertemuan dengan Vietnam pada perlawanan akhir, Khamis ini.

Jika berjaya menewaskan Vietnam yang pernah mengalahkan skuad negara 1-3 di peringkat kumpulan lalu, Malaysia bakal mengakhiri kemarau 20 tahun pingat emas acara bola sepak lelaki yang kali terakhir kita menangi pada Temasya 1989 di Kuala Lumpur.


UTUSAN MALAYSIA

Pas Tolak Syor Karpal Sing


KUALA TERENGGANU 13 Dis. - Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib hari ini menolak cadangan Pengerusi DAP, Karpal Singh agar kerajaan meminda Perlembagaan bagi membolehkan bahasa Inggeris dijadikan bahasa kedua rasmi negara.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu berkata, segala yang termaktub dalam Perlembagaan negara termasuk berkaitan bahasa rasmi tidak perlu dipinda dan dipertikaikan lagi.

Katanya, Perlembagaan negara sudah jelas menyebut bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan martabat bahasa tersebut perlu dipelihara dan dikekalkan sebagai satu-satunya bahasa rasmi.

Beliau memberitahu, adalah memadai bahasa Inggeris dijadikan bahasa perbualan harian yang dipertuturkan oleh individu tertentu malah ramai sedia maklum bahasa tersebut juga penting sebagai bahasa antarabangsa.

"Biarlah bahasa Inggeris dijadikan bahasa perbualan saja, tak perlulah jadi bahasa kedua rasmi di samping bahasa Melayu.

"Tak payah pinda Perlembagaan kalau hanya nak jadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua.

"Martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara mesti dipelihara dan dikekalkan, tak perlu ada dua bahasa rasmi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas saranan Karpal supaya kerajaan mempertimbangkan untuk meminda Perlembagaan bagi membolehkan bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi kedua.

Menurut Pengerusi DAP itu, langkah tersebut berikutan bahasa Inggeris tidak diberi tempat sewajarnya dalam prosiding mahkamah sehingga menyebabkan pelabur asing termasuk bertaraf multinasional memilih untuk ke timbang tara daripada membawa kes mereka ke mahkamah tempatan.

Kelmarin, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) menyifatkan tindakan Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Jelutong sebagai tindakan melampau dan cadangan itu dikhuatiri boleh menyebabkan bahasa etnik lain dalam negara ini terpinggir.


UTUSAN MALAYSIA

Malaysia Ke Final Selepas Tewaskan Laos 3-1


VIENTIANE 14 Dis. – Malaysia berpeluang menamatkan kemarau emas selama 20 tahun apabila mara ke perlawanan akhir acara bola sepak lelaki pada Sukan SEA XXV selepas menewaskan Laos 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional, di sini sebentar tadi.

Lawan Malaysia pada pertemuan akhir Khamis ini ialah Vietnam yang sebelum itu menumpaskan Singapura 4-1 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Stadium Chaou Anouvong, dekat sini.

Dua gol Malaysia dijaringkan oleh Baddrol Bakhtiar pada minit ke-13 dan m-79 sementara gol ketiga dijaringkan oleh Safiq Rahim pada minit ke-84.

Biarpun stadium dipenuhi 23,000 penyokong tuan rumah, anak buah K. Rajagobal bermula dengan yakin dan melakukan beberapa percubaan berbahaya bagi menguji kekuatan lawan.

Kedua-dua pasukan tidak bertemu dalam saingan peringkat kumpulan. Malaysia ialah naib juara Kumpulan A sementara Laos mengungguli Kumpulan B.


Bernama

Salam 1 Malaysia..

PAS sejak kebelakangan ini semakin celaru dan semakin kusut... pelbagai isu timbul kebelakangan ini akibat tindakan para pemimpin mereka yang terlalu rakus mengkritik dan menyalahkan orang lain. Sehingga ada kalanya terlupa yang mereka sendiri tidak terlepas dari melakukan kesalahan seterusnya melalkukan kesilapan tanpa mereka sedari.

PAS tidak mempunyai isu untuk dimainkan bagi memburukkan imej Kerajaan. Hinggakan ungkapan SALAM 1 MALAYSIA turut dijadikan isu. Bimbang Gagasan 1 Malaysia diterima umum, PAS sekali lagi mengeluarkan fatwa bahawa salam tersebut sebagai Bid'ah, dan tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.

PAS terlupa bahawa isu yang lebih berat dari itu belum diselesaikan. sebagai contoh dalam isu pertikaian orang kafir (dari Pakatan Pembangkang) terhadap pembinaan masjid dalam Malaysia.

Demi menutup kelemahan tersebut, PAS sekali lagi cuba mengalihkan pandangan rakyat terhadap tindakan yang patut diambil PAS dalam isu tersebut.

KPI Menteri Esok

PUTRAJAYA 11 Dis. – Ahad ini merupakan hari penting kepada menteri-menteri Kabinet apabila prestasi mereka akan dinilai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiap menteri akan mengemukakan dan membentangkan apa yang telah mereka laksanakan dan capai sejak Prestasi Petunjuk Utama (KPI) diperkenalkan April lalu.

Ia akan dilakukan pada mesyuarat KPI di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur lusa.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim memberitahu, Perdana Menteri dijadual mempengerusikan mesyuarat itu dan seterusnya membuat penilaian melalui panduan perunding dan Jabatan Perdana Menteri sendiri.

“Setiap menteri akan mengemukakan perkara pokok pencapaian kementerian mereka.

“Ini (mesyuarat KPI para menteri) merupakan tinjauan terakhir Perdana Menteri berasaskan janji komitmen beliau pada April lalu iaitu selepas November ini akan diadakan penilaian keseluruhan prestasi semua menteri Kabinetnya,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Rais, bagi kementerian beliau, antara perkara pokok prestasi dinilai berdasarkan pemahaman rakyat Malaysia mengenai gagasan 1Malaysia serta tahap penembusan Jalur Lebar di seluruh negara.

‘‘Alhamdulillah, nisbah diterokai yang dapat dipastikan ialah 30 peratus penembusan Jalur Lebar.

‘‘Demikian juga dengan kefahaman gagasan 1Malaysia yang mencapai tahap 30 peratus,” katanya.

April lalu, Perdana Menteri memperkenalkan pendekatan KPI untuk memantau prestasi dan pencapaian anggota Kabinetnya sebagai melambangkan pembaharuan serta pendekatan kerajaan yang lebih bertanggungjawab dan mendahulukan rakyat.

Berikutan itu, enam menteri kanan dilantik menerajui enam Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) bagi mencapai matlamat indeks KPI secara lebih berkesan.

Dalam aspek ini, Perdana Menteri terlibat secara langsung untuk mengkaji prestasi semua menteri pada setiap enam bulan.


UTUSAN MALAYSIA

Serang BTN...Usaha Terancang Untuk Cemar 1 Malaysia

Kenapa pihak pembangkang tiba-tiba menyerang bertalu-talu Biro Tatanegara kebelakangan ini? Agensi yang berperanan mengendali kursus membentuk jati diri dan memberi pengetahuan tentang soal kenegaraan bukan baru sehari dua ini wujud.


Bagi Menteri Dijabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz beliau yakin ia adalah satu usaha terancang pembangkang untuk mencemar gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Cuba lihat rentetan kenyataan pemimpin pembangkang serang kurikulum BTN dan kemudiannya satu per satu negeri-negeri dikuasai pembangkang mengeluarkan arahan melarang kakitangan awam negeri masing-masing menyertai program anjuran BTN.Kemudian kumpulan pelajar tampil bercakap...lepas ini entah apa pula,”katanya.

Beliau berkata tidak mungkin semua ini timbul secara adhoc begitu sahaja.

“Saya sudah lama dalam politik…kata orang sekilas saja saya dapat menduga ia satu gerakan terancang,”katanya kepada Agendadaily Khamis ketika diminta menghuraikan kenyataannya bahawa kurikulum BTN akan dirombak bagi mencerminkan gagasan 1Malaysia.

Menurut beliau kenyataan itu bukan dibuat secara semborono untuk jawab soalan wartawan mengenainya isu BTN tempoh hari.

“Saya menteri,saya duduk dalam kabinet…saya hanya cakap mengenai apa yang sudah dipersetujui,”ujarnya.

Kata Nazri langkah hendak merombak itu bukan sengaja akan dibuat untuk mengaburi mata orang terhadap cara lama BTN yang digembar gembur pembangkang.

“Perdana Menteri bawa gagasan 1 Malaysia jadi kursus itu perlu disesuaikan dengan semangat itu.Ibarat tutup buku lama buka buku baru.Datuk Seri Najib baru saja ambilihalih pimpinan.Pemimpin baru kenalah cara baru.Itu saja,

“Kita tahu pembangkang sangat bimbang pada gagasan 1 Malaysia kerana mereka cukup sedar ia satu gagasan yang terbaik untuk penyatuan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Jadi sudah pasti mereka kena fikir cepat cara untuk memintasnya.Apa lagi isu yang terbaik untuk mencetuskan keraguan dan persepsi negatif orang bukan Melayu pada 1 Malaysia kalau tidak membongkar cerita-cerita lama kursus BTN dulu.

“Mereka harap dengan cara ini orang bukan Melayu akan cepat terasa rupanya cakap lain buat lain.Sini cakap 1 Malaysia dalam BTN cakap hal perkauman,”katanya.

Menurut Nazri setiap pemimpin ada cara pendekatan masing-masing.Katanya kerajaan sekarang komited untuk menjayakan 1Malaysia.


AGENDA DAILY-10/12/2009

ISU MASJID

Isu masjid: Nasaruddin pula minta DAP jaga kesepakatan pakatan pembangkang



Sebelum ini, Timbalan presiden PAS Nasaruddin Mat Isa pernah dikecam pemimpin dalam pakatan pembangkang termasuk daripada PAS sendiri kerana kenyataan isu kerajaan perpaduan kerana dianggap bertentangan dengan kesepakatan dalam pakatan itu.

Peliknya, hanya PAS sahaja perlu jaga hati dan perasaan rakan-rakan mereka dalam PKR dan DAP sebaliknya pemimpin DAP khususnya sering membuat kenyataan yang tidak mengambil kira sensitiviti PAS yang dilabel parti memperjuangkan Islam.

Di Selangor contohnya, wakil rakyat serta Exco DAP, Ronnie Liu bertelagah dengan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Hasan Mohd Ali dalam beberapa isu termasuk soal penjualan arak di tempat terbuka.

Terbaru Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming pula mempersoal perbelanjaan kerajaan sebanyak RM748.26 bagi membina masjid dalam tempoh lapan tahun hingga 2008.

Beliau membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat kelmarin hingga membangkitkan rasa tidak puashati ahli parlimen Bebas Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang menyifatkannya "biadap" dan "dan cuba menyalakan api dalam sekam".

Nasaruddin yang jarang bercakap isu parti kebelakangan itu, hari Khamis ‘pulang paku buah keras’ terhadap keceluparan Nga yang juga ahli parlimen Taiping.

Beliau menggesa isu peruntukan besar untuk pembinaan masjid, tetapi rumah ibadat bukan Islam diabaikan, tidak harus dibesar-besarkan oleh DAP.

Nasharudin bimbang kenyataan Nga boleh membangkitkan sentimen agama dan menimbulkan salah faham orang ramai.

Nasharudin, yang juga ahli parlimen Bachok, berkata salah faham dalam isu seumpama ini boleh "dijadikan bahan untuk merungkai kesepaduan Pakatan Rakyat."

Dalam kenyataannya , beliau berkata menjadi "hak bukan Islam menuntut pembinaan rumah ibadat mereka tetapi bukan dengan mempertikaikan atau membandingkan hak agama Islam sebagai agama rasmi."

“Sepertimana yang kita maklum, sudah menjadi hak dan tanggungjawab pihak kerajaan untuk membina masjid-masjid dan institusi-institusi agama bagi menyemarakkan syiar Islam di Malaysia sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara kita,” katanya.

Bagaimanapun, pihak kerajaan digesa berlaku adil kepada semua rakyat dalam memenuhi keperluan mereka sepertimana yang telah digariskan dalam lunas perlembagaan negara.

“Kita tidak membantah malah menyokong usaha pihak bukan Islam menuntut pembinaan rumah ibadat mereka tetapi bukan dengan mempertikaikan atau membandingkan hak agama Islam sebagai agama rasmi kerana dikhuatiri langkah tersebut akan menyinggung dan menimbulkan perasaan tidak senang hati dikalangan umat Islam Negara kita,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap pimpinan pakatan pembangkang tidak membangkitkan sebarang isu berhubung sentimen agama dan bangsa yang seringkali disalahtafsir oleh sesetengah pihak untuk dijadikan bahan untuk merungkai kesepaduan Pakatan Rakyat.

“Amatlah diharapkan agar isu-isu yang boleh menyinggung sensitiviti agama dan bangsa serta kepentingan komponen parti Pakatan Rakyat dapat diselesaikan melalui saluran dalaman yang lebih efektif.

Ini bagi mengelakkan sebarang polemik sepertimana yang pernah melanda Pakatan Rakyat sebelum daripada ini,” tegasnya.

Apa yang penting katanya, adalah memberikan fokus sebaik mungkin kepada agenda perjuangan yang telah disepakati dalam membangunkan sebuah negara yang lebih berintegriti, berkebajikan dan beramanah.

Mengambil kira teguran Nasaruddin, ramai mahu melihat adakah pemimpin DAP ataupun Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bersuara dalam isu ini.


AD-10/12/2009

BN Azam Rampas 5 Kerusi DUN Pembangkang

MELAKA 2 Dis. - Barisan Nasional (BN) negeri berazam untuk merampas kembali lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimiliki pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, tidak mustahil untuk BN mendapatkan kembali lima kerusi yang 'terlepas' kepada pembangkang pada pilihan raya umum lalu jika gagasan 1Malaysia dapat diterjemahkan secara menyeluruh kepada rakyat negeri ini.

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata, seluruh ahli komponen BN perlu menterjemahkan gagasan 1Malaysia itu tanpa perlu menunggu musim pilihan raya umum hendak diadakan.

"Menjadi keazaman saya selepas sedekad menjadi Ketua Menteri dan Pengerusi BN negeri, saya akan pastikan lima kerusi DUN kembali ke pangkuan BN semula.

"Untuk itu, semua ahli parti komponen BN perlu bekerja keras bermula dari sekarang untuk merampas kembali lima kerusi tersebut," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Makan Malam Sedekad Menjadi Ketua Menteri, 1Malaysia 1Dekad di Dewan Seri Negeri, Air Keroh di sini malam ini.

Dalam pada itu, katanya, beliau akan memastikan rekod cemerlang BN di negeri ini tidak akan terlepas kepada Pas dan Parti Keadilan Rakyat.

Majlis tersebut diadakan kerana hari ini genap 10 tahun Mohd. Ali menjadi Ketua Menteri selepas mengangkat sumpah jawatan itu pada 2 Disember 1999.

Kira-kira 2,500 rakyat pelbagai lapisan masyarakat termasuk para pemimpin komponen BN iaitu UMNO, MIC, MCA, Gerakan dan Parti Progresif Penduduk (PPP) menghadiri majlis tersebut.

Turut hadir Exco kerajaan negeri, Ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka.

Pada majlis itu juga, Mohd. Ali telah dianugerahkan Tokoh Arkitek Melaka Moden yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Timbalan Pengerusi BN Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Di samping itu, beliau turut melancarkan buku biografi dirinya bertajuk Dari Bukit Katil ke Seri Bendahara hasil karya Setiausaha Akhbarnya, Daud Awang.


UTUSAN MALAYSIA

Malaysia 11, Timor Leste 0

DAP Perak Mohon Maaf Isu Pijak Gambar ADUN


KUALA LUMPUR: Akibat dikecam pelbagai pihak, DAP Perak hari ini memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang tersinggung dengan perbuatan beberapa pemimpin parti itu memijak poster wajah tiga anggota Bebas Dewan Undangan Negeri Perak pada Ahad lepas.

Sambil mengakui perbuatan itu satu kesalahan, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming berharap isu berkenaan akan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, Nga yang juga Anggota Parlimen Taiping, berkata parti itu bagaimanapun tidak akan mengambil tindakan terhadap tiga anggotanya yang meletakkan poster itu di pintu masuk ke konvensyen parti itu.

Pada konvensyen DAP Perak Ahad lepas, poster yang memaparkan wajah Hee Yit Fong (Jelapang), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) diletakkan di pintu masuk bertujuan agar perwakilan yang menghadiri konvensyen itu memijak gambar mereka.

Hee sebelum ini adalah daripada DAP manakala Jamaluddin dan Mohd Osman adalah daripada Parti Keadilan Rakyat.


BERNAMA

Mustahil Nak Letak Jawatan...- Nik Aziz


Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat anggap perhimpunan di depan pejabatnya di Kota Bharu Selasa sebagai ‘ suara 200 budak nakal UMNO ’ saja.

Menteri Besar Kelantan itu kata beliau tidak akan menarik balik ‘ doa musnah’ terhadap Perdana Menteri Datuk seri Najib Tun Razak seperti yang dituntut oleh kumpulan itu ataupun meletak jawatan.

"Mustahil saya perlu akur dan meletakkan jawatan semata-mata kerana digesa oleh 200 orang budak-budak nakal, bawah pohon jati di pintu SUK " katanya dalam satu kenyataan merujuk kepada demontrasi oleh satu kumpulan yang mahu beliau berundur kerana gagal memajukan Kelantan.

Kumpulan dikenali Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan itu turut menyerahkan satu memorandum meminta beliau menarik balik kenyataan yang meminta penduduk Kelantan berdoa agar Perdana Menteri ditimpa keburukan jika enggan memberikan wang royalti minyak kepada Kelantan.

"Mengapa harus saya hiraukan suara budak-budak Umno yang tak sampai 200 orang itu supaya saya meminta maaf sedangkan Presiden UMNO selaku orang nombor satu pun tidak menyuruh saya meminta maaf atau menarik balik," katanya.

Sebelum ini, Najib berkata beliau tidak akan meminta Nik Aziz meminta maaf tetapi katanya beliau tidak faham kenapa doa sedemikian perlu dibuat kerana kerajaan pusat telah membantu kerajaan Kelantan dengan menyediakan wang ihsan dan peruntukan lebih RM7 bilion dalam Rancangan Malaysia Kesembilan walaupun negeri itu diperintah oleh Pas.

Perdana Menteri juga berkata Nik Aziz perlu sedar bahawa umat Islam melihat hasrat untuk mendoakan keburukan orang lain itu sebagai keterlaluan dan tidak melambangkan semangat Islam.

Sementara itu bercakap kepada para wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri,Nik Aziz menukar sedikit saranannya itu dengan meminta agar doa itu dibuat secara individu.

"Oleh kerana Perdana Menteri terasa hati bahawa sebut nama dia dalam doa, maka saya minta tidak sebut secara beramai-ramai, hanya disebut bersendirian," katanya.

Nik Aziz berkata beliau kesal dengan pihak yang membesar-besarkan isu doa itu sehingga mencetuskan kekeliruan.

Beliau menjelaskan permintaan doanya pada peringkat awal ini adalah untuk meminta Tuhan mengubah hati Perdana Menteri supaya memberikan royalti minyak kepada Kelantan, dan jika itu gagal, barulah dibuat doa minta bala terhadap Najib.

"Jika tak beri barulah kita doakan kepada kemusnahan. Saya nak minta dia bayar royalti. Takkan orang buat kita, kita nak dok diam," katanya.


AGENDA DAILY-2/12/2009

Liwat : Anwar Gagal...Kes Mula 25 Januari Ini


Usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk ketepi dan batalkan kes liwat bekas pembantunya,Saiful Bukhari Azlan tidak kesampaian.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi Selasa tolak permohonannya untuk tujuan berkenaan.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Mohamed Zabidin Mohd Diah.

Kes yang sekian lama tertangguh ini akan mula didengar pada 25 Januari hingga 25 Februari ini.

Mohamed Zabidin berkata laporan perubatan yang menyatakan ketiadaan penetrasi.tidak boleh dijadikan asas untuk mahkamah menggunakan kuasa untuk membatalkan pertuduhan


Menurutnya ini kerana mahkamah perlu mendengar keterangan saksi-saksi pihak pendakwaan terlebih dahulu.

Pada peringkat ini, katanya, mahkamah bersetuju dengan hujahan Peguam Cara Negara Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden bahawa laporan-laporan tersebut terhad kepada pemerhatian dan pemeriksaan fizikal dan tidak konklusif sedangkan kes pendakwaan lebih berlandaskan kepada keterangan lisan, keterangan forensik dan keterangan lain.

Beliau berkata dalam kes ini elemen penting untuk pihak pendakwaan ialah membuktikan bahawa adanya kemasukan zakar tertuduh ke dalam dubur pengadu.

"Terpulang kepada pihak pendakwaan bagaimana ia ingin membuktikan elemen tersebut," kata Mohamad Zabidin.

Beliau berkata sudah semestinya laporan perubatan merupakan satu daripada keterangan yang boleh diguna, sama ada oleh pihak pendakwaan untuk menyokong keterangan berhubung isu kemasukan, atau oleh pihak pembelaan untuk menimbulkan keraguan berhubung keterangan berkenaan, atau untuk menunjukkan tidak terdapat kemasukan.

Anwar pada 17 Jun lalu membuat permohonan membatalkan pertuduhan terhadapnya setelah mengaku tidak bersalah pada 10 Mac terhadap dakwaan meliwat Mohd Saiful Bukhari, 24, bekas pembantu peribadinya, di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini pada 27 Jun tahun lepas.

Mohamad Zabidin juga berkata isu kedua yang mahkamah mengambil perhatian adalah dakwaan pemohon kononnya pertuduhan terhadap beliau mempunyai niat jahat dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Beliau berkata hujah pemohon melalui afidavitnya yang mengkaitkan peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan insiden "mata lebam" pada 1998 dengan pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes terbaru boleh menyebabkan mereka boleh bersikap berat sebelah adalah tidak dapat diterima.

"Beban untuk membuktikan terdapat niat jahat di pihak pendakwa dalam membawa pertuduhan terkini terhadap pemohon terletak di bahu pemohon. Afidavit pemohon ada menyenaraikan Tan Sri Gani dalam apa yang didakwa cuba putar belit atau mencipta keterangan terhadap pemohon dalam tahun 1998.

"Walaupun begitu, tidak ada apa-apa yang menunjukkan perkara yang sama berlaku dalam kes terkini," kata Mohamad Zabidin.

Beliau berkata hanya dengan menunjukkan bahawa barisan pendakwaan yang mengendali kes terbaru ada pengetahuan tentang peranan Gani dalam kejadian 1998, tidak cukup untuk mahkamah mendapati dalam kes terkini mereka akan bersikap berat sebelah.

Mohamad Zabidin menetapkan tempoh sebulan bermula 25 Jan tahun depan untuk perbicaraan kes walaupun peguam Karpal Singh membantah kerana anak guamnya ingin memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Karpal kemudian memberitahu media bahawa satu notis rayuan akan difailkan di Mahkamah Rayuan pada Rabu.

Anwar turut hadir di mahkamah pada Selasa.


AGENDA DAILY-1/12/2009

DAP Hias Tempat Kesat Kaki Dengan Gambar 3 ADUN...


Berat juga nampaknya meroyan politik yang dihadapi oleh DAP ekoran kehilangan kuasa di negeri Perak. Selama ini semua orang tahu DAP sebagai parti yang memiliki kerusi terbanyak dalam pakatan pembangkang membentuk kerajaan negeri sebelum ini, merupakan master mind atau tok dalang menggayakan pentadbiran kerajaan negeri dengan menteri besar patungnya Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Meroyannya parti itu dapat dilihat dengan beberapa siri sarkas yang dianjurkan bermula dengan sidang haram bawah pokok, kecoh dalam DUN Perak dan mengadakan mesyuarat sidang DUN olok-olok di Hotel Heritage.

Terbaru, DAP buat satu lagi perkara yang disifatkan oleh banyak pihak sudah melampau apabila membuat tempat kesat kaki dengan gambar tiga ADUN pakatan pembangkang yang meninggalkan parti masing-masing dan menyokong Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri yang baru di Perak.

Para penyokong bukan sahaja memijak gambar ketiga-tiga ADUN berkenaan iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (ADUN Behrang – PKR), Kapt (B) Osman Jailu (ADUN Changkat Jering – PKR) dan Hee Yit Foong (ADUN Jelapang – DAP) semasa memasuki dewan Konvensyen ke-15 DAP Perak di Ipoh malah ada yang seronok melompat-lompat di atas gambar ketiga-tiga ADUN tersebut khususnya gambar muka Yit Foong yang merupakan bekas ADUN DAP.

Kecuali Setiausaha Agung, Lim Guan Eng, semua pemimpin DAP termasuk Lim Kit Siang dengan bangganya memasuki dewan persidangan itu dengan memjiak tempat kesat kasut bergambar tiga ADUN tersebut.

Berdasarkan laporan beberapa laman web, banyak komen yang diberikan oleh para pembaca yang menyifatkan tindakan DAP itu sebagai tidak matang dan kebudak-budakan.

Rata-rata komen yang diberikan mengkritik tindakan DAP membuat tempat kesat kaki berkenaan yang akan memberikan imej negatif kepada DAP dan pakatan pembangkang secara keseluruhannya.

Walaupun ada yang memang marah dengan tindakan tiga ADUN yang menyebabkan berlakunya peralihan kerajaan di Perak tetapi meletakkan gambar muka mereka di tempat kesat kaki dan dipijak beramai-ramai, adalah tindakan tidak bertamaddun, demikian menurut beberapa komen pembaca.

Berdasarkan tindakan kurang ajar terbaru DAP itu, ada yang tidak hairan kerana apalah sangat tiga ADUN tersebut dibanding Sultan Perak yang dihina sebelum ini.

Sampai bila agaknya kesabaran boleh dipertahankan dalam melayani perangai biadap dan kurang ajar DAP ini.


AGENDA DAILY – 29/11/2009
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers