Photobucket

PRK Hulu Selangor - Kamalanathan Calon BN


Saya berjanji bekerja 'siang dan malam' - Kamalanathan

HULU SELANGOR 15 April - Calon Barisan Nasional (BN), P. Kamalanathan, 44, berjanji untuk bekerja keras 'siang dan malam' demi kebajikan rakyat di kawasan Hulu Selangor sekiranya berjaya memenangi pilihan raya kecil Parlimen kawasan itu 25 April depan.

Kamalanathan juga berjanji untuk menjadikan dirinya milik rakyat dengan tumpuan akan diberikan terhadap pembangunan Hulu Selangor, seiring dengan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendirikan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini jika BN kembali memerintah Selangor.

Katanya, pendekatan mesra rakyat akan digunakan bagi memenangi hati pengundi dengan matlamat utamanya adalah untuk menyedarkan rakyat di kawasan itu betapa pembangunan akan hadir serta-merta jika calon BN menguasai semula negeri ini.

''Saya yakin akan menang dan faham apa yang diperlukan penduduk di sini. Saya akan berenang, timbul atau tenggelam bersama rakyat Hulu Selangor dan tidak akan pulang ke Kota Bharu sebaik memenangi pilihan raya.

''Seluruh jentera akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan BN di sini. Iltizam saya adalah untuk berikhtiar sehabis mungkin bagi menghadiahkan Hulu Selangor kepada Perdana Menteri sempena setahun mentadbir kerajaan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas diumumkan sebagai calon BN oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan lebih 5,000 penyokong di Markas Induk BN di Bukit Sentosa di sini hari ini.

Pemilihan Kamalanathan melenyapkan spekulasi mengenai pemilihan Timbalan Presiden MIC, Datuk G. palanivel dan Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan sebagai calon BN di kawasan berkenaan.

Kamalanathan menambah, beliau hanya mengetahui mengenai pencalonannya tengah hari tadi setelah dimaklumkan oleh Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Katanya, beliau benar-benar terharu dengan kepercayaan diberi MIC dan BN sehingga menitiskan air mata.

''Umpama askar yang diarah ke medan perang, saya akan bekerjasama dengan askar-askar lain bukan sahaja untuk mempertahankan kubu malah bergerak gagah menawan kubu lawan," ujarnya.

Ditanya mengenai ketidakhadiran Palanivel pada majlis itu, beliau percaya Timbalan Presiden MIC itu turut merestui pencalonannya pada pilihan raya berkenaan.

''Saya dicalonkan kerana restu Presiden dan Timbalan Presiden BN serta MIC. Begitu juga dengan majlis tertinggi parti dan pemimpin komponen BN, kebanyakan mereka hadir ke sini memberi sokongan.

''Saya kenal para penyokong Palanivel dan telah bertemu dengan mereka. Mereka akan terus saya dekati bagi mendapatkan kerjasama kerana saya tidak boleh berdiri seorang diri," katanya.

Kamalanathan yang juga Ketua Penerangan MIC bagaimanapun enggan mengulas mengenai lawannya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim.

''Saya tidak mahu ulas tentang beliau. Biarlah kerja kita yang membuatkan BN menang dan kita akan turun padang. Apa yang penting, saya tidak akan pulang ke Kota Bharu sebaik menang kerana saya cuma tinggal di Sungai Choh, Rawang," katanya.

................

Calon muda mampu beri kelebihan

KUALA LUMPUR 15 April - Pemilihan calon muda mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini mampu memberi kelebihan kepada parti itu.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, kriteria itu penting bagi menjamin kemenangan BN sekali gus merampas semula kerusi Hulu Selangor daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

''Saya yakin kita ada peluang yang cerah untuk berjaya di Hulu Selangor tetapi kecerahan itu bergantung kepada calon yang akan bertanding.

''Kalau calon muda, saya rasa peluang BN untuk menang adalah cerah kerana suara hati pengundi di situ inginkan pemimpin yang muda," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, maklum balas yang diterima daripada pengundi di kawasan tersebut menunjukkan mereka mahu calon muda untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

''Kita akan pastikan kemenangan calon yang diturunkan untuk bertanding di kawasan itu menang dalam pilihan raya ini," katanya.

................

Isyarat kepada pengundi Hulu Selangor

HULU SELANGOR 15 April - Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Tan Wei Shu mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini memberi petanda kepada pengundi-pengundi bahawa kepimpinan PKR semakin tidak diyakini pemimpin-pemimpinnya sendiri.

Sambil menyifatkan ia waktu yang tepat kerana bakal berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, apa yang dilakukan oleh wakil rakyat berkenaan adalah satu yang agak klasik.

"Ia kerana sebelum ini beberapa Ahli Parlimen PKR sudah pun berbuat demikian. Ini menandakan PKR sudah sampai ke peringkat tidak boleh diyakini dan dipercayai oleh pemimpin mereka sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor di sini hari ini.

Muhyiddin mengulas tindakan Wei Shu yang dalam pengumumannya menyatakan tindakan itu dilakukan kerana kecewa dipergunakan oleh individu tertentu.

Sebelum ini empat ADUN PKR juga sudah melakukan tindakan yang sama. Mereka ialah Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering), Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang), Mohd.Radzhi Salleh (Lunas) dan Badrol Hisham Abdullah (Pelabuhan Klang).

Ahli Parlimen PKR yang berbuat demikian pula ialah Datuk Mohamed Zahrain Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) manakala Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) dipecat daripada parti tersebut.

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata, Wei Shu juga bertindak demikian selepas mendapati perjuangan PKR adalah sia-sia dan menilai sikap sebenar Penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bijak berkata-kata.

"Mungkin pada awal dahulu beliau begitu yakin dengan kepimpinan Anwar dan terpengaruh dengan kata-kata Penasihat PKR tersebut tetapi selepas dua tahun beliau sudah dapat menilai keadaan sebenar.

"Tetapi apa pun sebabnya termasuklah tidak diberi tempat sewajarnya dan layanan yang saksama, beliau berasa kecewa kerana perjuangan dalam PKR tidak ada apa-apa makna," katanya.

Mengenai calon BN, P. Kamalanathan yang akan berhadapan dengan calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim yang dianggap 'heavyweight', Muhyiddin menolak tafsiran tersebut.

Sambil berseloroh beliau berkata, "Mungkin kalau ditimbang, Zaid berat sikit daripada Kamalanathan tetapi sebenarnya PKR menggunakan psikologi kononnya Zaid lebih berwibawa."

"Tetapi kalau kita lihat rekod Zaid, ia bukanlah baik sangat. Saya tidak mahu menyentuh apa-apa tentang beliau, biarlah ia dinilai oleh pengundi-pengundi. Lagipun dia orang asing.

"Apabila saya turun bertemu rakyat di Hulu Selangor, mereka mahu orang (calon) di sini yang dekat dan tahu masalah mereka, soal dia 'heavyweight' atau tidak, itu tidak penting."

................

Pemilihan calon kehendak pengundi - Muhyiddin

HULU SELANGOR 15 April - Ketua Penerangan MIC, P. Kamalanathan diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor, 25 April ini.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis di Markas Induk BN, di Bukit Sentosa di sini hari ini.

Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, pemilihan Kamalanathan yang merupakan anak jati Rawang dilakukan selepas mengambil kira pandangan pengundi di kawasan Parlimen ini yang mahu seorang muka baru diketengahkan.

''Kamalanathan adalah seorang anak muda yang berkelulusan tinggi, fasih dalam tiga bahasa dan tidak mempunyai sebarang rekod buruk, pemilihan beliau menepati semangat gagasan 1Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan," katanya.

Beliau berkata, pemilihan calon daripada MIC itu membuktikan bahawa UMNO tidak tamak dan ingin mengambil kesempatan.

''Kita berpegang kepada semangat setiakawan, ini kerusi MIC, maka kita berikan kepada MIC untuk bertanding.

''Kamalanathan bukannya bertanding atas nama MIC tetapi BN. Beliau akan memberi perkhidmatan kepada semua penduduk tanpa mengira kaum," katanya.

Mengenai Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon yang paling layak, Muhyiddin berkata, beliau sudah bercakap dengan Mugilan sebelum pengumuman dilakukan.

''Saya jelaskan kepada beliau bahawa mungkin hari ini bukan rezeki beliau dan meminta kerjasama untuk turun berkempen, beliau memberi jaminan akan berbuat demikian," katanya.

Pada sidang akhbar selepas itu, Muhyiddin menjelaskan, BN mengambil masa agak panjang untuk membuat keputusan bagi memastikan calon yang dipilih benar-benar memenuhi kehendak pengundi.

''Selama dua minggu kita turun padang mendengar pandangan pengundi dan mereka ternyata mahukan muka baru, oleh itu kita sepakat mencalonkan Kamalanathan kerana beliau mempunyai kriteria yang dikehendaki,'' katanya.

Ditanya ketidakhadiran Datuk G.Palanivel ke majlis itu, Muhyiddin secara terus terang berkata, Timbalan Presiden MIC mungkin sedikit kecewa kerana tidak terpilih.

''Tetapi itu biasalah, kita manusia. Namun saya yakin sebagai Timbalan Presiden MIC, beliau pasti akan turun untuk berkempen bagi membantu BN, lagi pula Kamalanathan bukan orang asing bagi beliau," katanya.

Kamalanathan yang berkelulusan ijazah Komunikasi Massa dari Universiti Edith Cowan, Australia. Beliau adalah Pegawai Perhubungan Awam Serba Wangi Sdn. Bhd anak syarikat Beras Nasional (BN) dan telah menjadi ahli MIC sejak berusia 18 tahun.

................

Samy Vellu terima dengan hati terbuka

HULU SELANGOR 15 April - Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, beliau menerima dengan hati terbuka pemilihan P. Kamalanathan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor pada 25 April ini dan yakin Ketua Penerangan MIC itu akan mampu meraih sokongan pengundi.

Presiden MIC itu berkata, keputusan menamakan Kamalanathan diperakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan parti itu menghormatinya.

"Kamalanathan calon yang layak untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu memandangkan beliau berpendidikan tinggi dan juga fasih dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Tamil.

"Beliau turut terbabit dalam banyak aktiviti sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan selama bertahun-tahun dan ini akan memberi beliau peluang mendapatkan pendekatan untuk berkhidmat kepada rakyat dengan baik.

"Saya hanya boleh mencadangkan seorang calon namun keputusan muktamad terletak dalam tangan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas pengumuman calon BN di Markas Induk BN di Bukit Sentosa, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai keputusannya sebelum ini untuk meletakkan timbalannya, Datuk G.Palanivel sebagai calon sebelum ini, Samy memberitahu beliau sebenarnya telah menghantar dua nama kepada Perdana Menteri.

"Antara dua nama itu, Perdana Menteri memilih Kamalanathan. Kita sentiasa berhubung dengan Perdana Menteri ketika perbincangan semalam dan hari ini.

"Palanivel juga ada beberapa tugas lain untuk dilaksanakan dan beliau boleh jadi calon untuk pilihan raya lain. Sebaik sahaja Perdana Menteri pulang, akan ada perbincangan terus MIC dengannya. Saya yakin, semua hal berbangkit akan selesai," ujarnya.

Sementara itu, Samy mengesahkan bahawa Palanivel bakal menggantikan dirinya untuk mengepalai MIC dalam tempoh sekurang-kurangnya setahun lagi.

"Beliau akan jadi Presiden dalam tempoh 13 atau 14 bulan lagi. Apabila beliau jadi Presiden, beliau boleh pilih siapa calon disukainya untuk bertanding dan berpeluang memilih kawasan yang baik untuk dirinya sendiri," kata beliau.

Mengenai Kamalanathan, beliau percaya latar belakang Kamalanathan sebagai seorang pegawai perhubungan awam dan mengenali ramai wartawan bakal memberi kelebihan kerana dapat berkongsi pandangan dengan rakan-rakannya itu mengenai cara terbaik bagi meraih sokongan dan mentadbir kawasan Hulu Selangor.

Selebihnya kata beliau, usia Kamalanathan yang masih muda selain faktor calon tempatan bakal mendatangkan kelebihan.

"Beliau adalah calon muda yang mempunyai banyak pengalaman sebagai bekas ketua putera dan kini Ketua Penerangan MIC. Berdasarkan pengalamannya itu di samping latar belakang pendidikan serta karier yang baik, saya yakin Kamalanathan mampu meraih sokongan daripada penduduk di sini," katanya.

...............

Sumber : UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers