KOTA BHARU 27 Feb. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) berkata, beliau tidak kisah jika dilahirkan sebagai Orang Asli dan tidak meminta untuk dilahirkan sebagai orang Melayu.
Sehubungan itu, Menteri Besar Kelantan itu menegaskan, beliau tidak perlu bersyukur kerana dilahirkan sebagai seorang Melayu kerana ia adalah ketentuan Allah kepada setiap manusia di atas muka bumi.
"Saya berbangga dilahirkan sebagai seorang Islam, walaupun saya ini Orang Asli. Orang Asli pun kalau saya berjuang masuk Islam Alhamdulillah, kalau saya orang Arab tetapi berjuang tolak Islam tak ada guna.
"Cina pun kalau dia Islam, dia akan ke depan daripada orang Arab, Orang Asli pun kalau dia Islam, dia ke depan daripada orang Melayu, itu asas Islam. Bangsa dalam Islam tidak ada nilai langsung, saya bersyukur sebagai orang Islam, kalau orang Melayu tidak Islam tidak ada guna.
"Saya tidak minta jadi orang Melayu, Cina atau Arab, tidak ada bangsa di muka dunia ini minta jadi bangsa tertentu hatta Arab sekali pun. Bangsa dalam Islam tidak ada nilai langsung kecuali melalui Islam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Nik Abdul Aziz patut bersyukur dilahirkan sebagai orang Melayu yang tentunya beragama Islam.
Dr. Mahathir sebelum ini menyifatkan Nik Abdul Aziz sebagai pengkhianat orang Melayu kerana sanggup memecahbelahkan perpaduan ummah semata-mata untuk kepentingan politik.
Pada masa sama, Nik Abdul Aziz menyelar Dr. Mahathir kerana mementingkan orang Melayu lebih daripada agama.
"Dia (Dr. Mahathir) orang tua, kita hormatlah dia, boleh jadi dia lupa makan ubat hari ini," katanya sinis ketika diminta mengulas kritikan Dr. Mahathir terhadapnya.
Menurut Nik Abdul Aziz, Pas memperjuangkan Islam yang sederhana dan menentang tindakan melampau yang bertentangan dengan agama.
Bagaimanapun, beliau mengakui agak sukar untuk mengekalkan Islam yang diamalkan pada zaman Rasulullah SAW kerana jarak masa hampir 2,000 tahun.
"Ia ibarat air yang jatuh ke muka bumi, kemudian mengalir dari hulu kira-kira 1,500 kilometer, sudah tentu air yang sampai pada kita di sini (di muara) amat berbeza, untuk guna atau minum, kita kena tapis dulu menggunakan penapis.
"Begitu juga dengan Islam, pada zaman sekarang kena tapis juga, kalau air ditapis menggunakan penapis, maka Islam perlu ditapis menggunakan al-Quran dan hadis," katanya.
Ditanya mengenai ceramah Pas sejak akhir-akhir ini yang mengaitkan kebangkitan rakyat Mesir dan Libya dengan usaha untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN), Nik Abdul Aziz berkata, tidak mustahil rakyat di negara ini akan bangkit seperti berlaku di Asia Barat.
"Saya melalui pengalaman ketika berada di Mesir selama empat tahun, ketika itu ada pilihan raya, Hosni Mubarak menang pilihan raya Presiden Mesir dengan undi 99.9 peratus, tetapi sekarang semua rakyatnya memberontak, jika benar dia menang dengan undi sebanyak itu, mana pergi 99.9 peratus yang menyokong.
"Ini menunjukkan ada pembohongan dalam pilihan raya, rakyat akan merasa tidak puas hati dengan pentadbiran kerajaan kerana mereka menipu dan pilihan raya yang diadakan tidak telus," katanya.
UTUSAN MALAYSIA
0 comments:
Post a Comment