Photobucket

'Terima Kasih Perdana Menteri, Kerajaan'


SEPANG 7 Feb. - ''Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan.'' Hanya itu ungkapan yang mahu disampaikan oleh 778 pelajar dan rakyat Malaysia sebaik saja menjejakkan kaki di landasan lapangan terbang di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10 pagi ini di sini.

Kepuasan dan kegembiraan jelas terpancar di wajah mereka kerana dapat pulang ke tanah air untuk berjumpa dengan keluarga tercinta yang selama ini dilanda kebimbangan ekoran pergolakan di Mesir.

Perasaan itu dikongsi bersama pasangan suami isteri, Salman Al Farisi, 25, dan Fatimah Zahrah Rosli, 26, bersama anak mereka, Ezzat Salman, sembilan bulan ketika ditemui pemberita.

"Penghargaan sama juga perlu diberikan kepada pihak tentera, Tabung Haji, Malaysia Airlines (MAS), AirAsia dan semua pihak yang terlibat yang secara langsung.

"Usaha tersebut membolehkan kami keluar daripada kekalutan yang melanda Kaherah ekoran demonstrasi besar-besaran rakyat Mesir yang mendesak Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan," katanya.

Salman, pelajar sarjana tahun pertama Pengajian Islam, Universiti Kaherah itu turut menarik nafas lega kerana dia sekeluarga dapat pulang bersama adik iparnya, Ashikin Kamilah Hani Rosli, 17.

Ketika ditanya mengenai pengalaman pahit di ibu kota negara yang sedang bergolak itu, Salman memberitahu, dia tidak dapat melupakan kejadian bagaimana rumahnya cuba dipecah masuk perompak pada pukul 4.30 pagi ketika rusuhan tersebut berlaku.

"Saya nekad bertindak menghalang perompak itu dengan menahan pintu daripada dibuka menggunakan bahu saya.

"Saya rasa lega dan bersyukur setelah beberapa minit kemudian mereka mengambil keputusan untuk beredar," katanya.

Sementara itu, pelajar tahun kedua Universiti Al Azhar, Nurul Ashikin Kamaruddin, 23 berkata, dia bersyukur kerana dapat pulang ke tanah air untuk berjumpa dengan keluarga.

"Terima kasih kepada kerajaan kerana mengambil usaha membawa pulang pelajar Malaysia dengan segera," kata pelajar jurusan Pengajian Syariah itu.

Nurul Ashikin yang juga merupakan anak kepada kakitangan Kumpulan Utusan, Kamaruddin Ab. Rahim berharap keadaan huru-hara itu akan selesai secepat mungkin bagi membolehkan pengajiannya dapat diteruskan seperti biasa.

Samshiah Nawawi, 47, ibu kepada seorang pelajar perubatan tahun kedua Universiti Ein Sham, Nur Nasuha Zahran, 20, bersyukur dengan kepulangan anaknya ekoran usaha segera yang diambil kerajaan.

"Sejak berita kejadian rakyat Mesir merusuh disiarkan oleh media massa, hati saya menjadi tidak tenteram mengenangkan nasib anak-anak.

"Saya mempunyai seorang lagi anak lelaki yang sedang menuntut di Universiti Iskandariah tetapi bernasib baik kerana dia tidak berada di Mesir ketika kejadian itu berlaku," katanya.

Bagi Maimun Mohd. Syarif, 50, pula, kepulangan anaknya, Norliyana Ramlan, 21, yang merupakan pelajar tahun pertama dalam bidang Usuluddin Universiti Al Azhar melenyapkan kebimbangan yang terbuku di hatinya sejak mendapat tahu demonstrasi besar-besaran itu berlaku.

Maimun mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mengambil tindakan segera membawa pulang pelajar-pelajar berkenaan.

UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers