Photobucket

Kerajaan Terus Tambah Produk 1Malaysia, Kurangkan Beban Rakyat

KUALA LUMPUR: Kenaikan taraf hidup yang meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) empat peratus sejak 1993 mendorong kerajaan terus menambah produk baru melalui label 1Malaysia bagi mengurangkan beban rakyat.

Pengarah Khas Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Datuk Aziyah Bahauddin berkata produk yang diperkenalkan di bawah 1Malaysia sehingga ke hari ini terus mendapat sambutan dan kemudahan yang disediakan juga terus bertambah.

"Sebagai contoh, pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) menuju sasaran 85 buah kedai menjelang Disember ini. Sekarang berjumlah 48 buah dan 19 lagi kedai baru dibuka pada bulan Julai," katanya ketika memberi taklimat kepada pengunjung Hari Terbuka Pelan Tindakan 2.0 Program Transformasi Negara (GTP) di sini Selasa.

Lebih 5,000 orang yang menghadiri hari terbuka itu berpeluang mengemukakan pandangan mengenai keberkesanan pelan transformasi kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Aziyah berkata sungguhpun barangan di kedai KR1M dijual pada kadar 40 peratus lebih murah daripada harga biasa, namun ia merupakan bahan yang bermutu.

Mengenai menu 1Malaysia, beliau berkata walaupun ada beberapa perbezaan harga barang dan makanan di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, ia disebabkan kos pengangkutan dan merupakan perkara biasa.

Aziyah berkata kedai dan restoran yang terlibat dalam Menu Rakyat 1Malaysia semakin bertambah dan menjelang hujung tahun, dijangka mencecah sehingga 3,000 berbanding sekarang 2,400 buah.

Sementara bagi Klinik 1Malaysia pula, beliau berkata seramai 4.6 juta orang telah mendapat rawatan di klinik berkenaan yang mengenakan bayaran RM1 sejak dilancarkan Perdana Menteri dua tahun lepas.

Menurut beliau, kerajaan juga membantu mengurangkan kos hidup rakyat melalui pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA), bantuan persekolahan RM100 serta Baucer Bantuan Buku 1Malaysia untuk 1.3 juta pelajar universiti melibatkan kos RM553 juta.

BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers