Photobucket

Rais Cadang Tubuh Majlis Media Sosial

SHAH ALAM – Sebuah majlis media sosial perlu ditubuhkan di negara ini bagi membincangkan pelbagai isu dan aspek termasuk berkaitan undang-undang serta penggunaan media berkenaan, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim pada Rabu.

Beliau berkata, media sosial bukan sahaja menjadi trend terkini tetapi merupakan satu keperluan kepada masyarakat negara ini.

Sehubungan itu, katanya, majlis berkenaan wajar diwujudkan dengan pembabitan pengamal media sosial yang boleh menjadikan ia sebagai medium untuk membincangkan isu yang relevan.

“Melalui majlis itu, mereka boleh berfikir dan mendalami isu berkaitan masyarakat kita, keselamatan dan tuntutan undang-undang termasuk memberikan pendidikan kepada pelajar sekolah dan universiti,” kata Rais.

Menteri itu bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama padaPersidangan Antarabangsa Asian Media Information dan Communication Centre (AMIC)-Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini.

Rais berkata, pengguna media sosial seperti Facebook mencatatkan kira-kira 12 juta orang dari pelbagai lapisan umur di negara ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, majlis berkenaan juga boleh memainkan peranan dalam mempastikan kandungan media sosial di negara ini mencerminkan industri kandungan tempatan dan bukan semata-mata bergantung kepada negara lain.

“Selain itu menerusi majlis itu kita akan mengetahui betapa pentingnya memahami apa yang menjadi salah di sisi undang-undang dalam dunia biasa adalah juga salah di sisi dunia siber.

“Dalam konteks itulah majlis media sosial wajar didebatkan dan sekiranya dapat sambutan masyarakat boleh mewujudkannya,” katanya.

Mengambil contoh penubuhan majlis media sosial di negara seperti Amerika Syarikat dan Britain, Rais berkata, rakyat negara berkenaan mendapat peluang untuk bermuafakat, membuat aduan dan mendapat pembelaan daripada majlis berkenaan.

Justeru, beliau berkata, dalam konteks yang sama rakyat negara ini juga perlu memikirkan idea penubuhan majlis berkenaan untuk mengaplikasi kandungan media sosial mengikut cara dan adat ketimuran.

“Tidak semestinya majlis ini diwujudkan dalam masa terdekat tetapi ini idea untuk kita berfikir cara kita mengguna pakai dunia siber dalam kehidupan kita di Malaysia,” katanya.

BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers