Photobucket

UTUSAN MALAYSIA : Tolak Pemimpin Pentingkan Diri


KUALA LUMPUR 3 Feb. - Drama Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dipercayai dirancang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik sahaja pembangkang kalah dalam pilihan raya umum lalu dengan meniru model gerakan politik Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Hakikat itu diperkuatkan dengan pengakuan Anwar sendiri bahawa tindakan mengosongkan DUN Kajang pada 27 Januari lalu sudah dirancang dan strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membolehkan beliau bertanding walaupun sebelum ini berulang kali menafikannya.

Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, Ketua Pembangkang itu terdesak selepas cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi ditolak majoriti rakyat dalam pilihan raya umum lalu menyebabkan beliau memperjudikan Kajang demi nafsu politiknya.

"Anwar rasa dia perlu platform baharu. Sudah tentu kedudukan sebagai Menteri Besar Selangor adalah terbaik kerana faktor kewangan yang besar. Dia cuba praktik gerakan politik seperti mana Erdogan semasa menjadi Gabenor Istanbul dan seterusnya muncul Perdana Menteri Turki.

"Tapi mungkin Anwar terlupa, geografi politik Malaysia dan Turki berbeza. Tidak mustahil cubaan beliau memperbodohkan rakyat Kajang bakal menjerat diri sendiri. Saya fikir rakyat Kajang sudah mula sedar siapa Anwar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dakwaan Ketua Pembangkang meniru gerakan Erdogan yang dinamakan 'Blueprint Projek Istanbul' di Kajang mula kedengaran apabila sebuah akaun Twitter bernama 'Aktivis Reformasi' mendakwa strategi tersebut dibentang kepada orang kepercayaan Anwar beberapa minggu lalu.

Semalam, Anwar ketika berceramah di hadapan lebih 200 penyokong PKR di Permatang Pauh, Pulau Pinang mengakui bahawa langkah meminta Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi DUN Kajang telah dirancang sebagai satu unsur kejutan bagi terus menarik perhatian umum kepadanya.

Beliau yang sebelum ini berulang kali menafikan rancangan tersebut malah pernah menuduh media sengaja mencipta spekulasi dipetik sebagai berkata:

"Peletakan jawatan Chin Cheh pada 27 Januari lalu dilakukan menerusi rundingan terlebih dahulu dan bukan secara mengejut."

Dalam pada itu, Anuar yang banyak menyimpan rahsia sulit Ketua Pembangkang tersebut berkata, Anwar terbukti seorang pemimpin yang tidak pernah mendahulukan rakyat walaupun pelbagai janji-janji manis ditaburkan kerana keutamaan beliau adalah kepentingan diri.

Katanya, Ketua Pembangkang itu tidak layak diangkat sebagai pemimpin dan cita-citanya mahu dilantik Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai batu loncatan untuk menjadi Perdana Menteri wajib ditolak pengundi Kajang.

"Anwar berani bertindak demikian kerana beliau yakin rakyat Malaysia berterusan boleh diperbodohkan tetapi saya fikir pengundi di Kajang cukup matang untuk menilai pemimpin yang pentingkan diri sendiri serta sarat dengan masalah moral seperti Anwar," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers